EksklusifIndustriKomunitiSejarah

Kepintaran Buatan Dalam Aplikasi Ketenteraan

Kongsi di

Pada bulan November 2022, aplikasi ChatGPT menguasai imaginasi sedunia. Buat pertama kali dalam sejarah peradaban manusia, kepintaran buatan berjaya mempengaruhi kehidupan manusia secara terus.

Tetapi di luar pengetahuan am, pasukan tentera di serata dunia telah mula mengorak langkah ke dalam dunia kepintaran buatan dalam aplikasi ketenteraan.

Melangkah Masuk ke dalam Dunia Kepintaran Buatan

Tamatnya Perang Dingin pada era tahun 1990-an menyaksikan negara-negara di seluruh dunia mula mengecilkan angkatan tentera masing-masing. Kemungkinan berlakunya peperangan global telah berkurangan secara mendadak dengan tumbangnya gergasi Kesatuan Republik Soviet Russia (USSR). Pengurangan saiz angkatan tentera turut diikuti dengan pengurangan perbelanjaan pertahanan.

Sebagai contoh Angkatan Tentera United Kingdom. Sejurus sebelum tumbangnya USSR pada tahun 1989, Angkatan Tentera United Kingdom1 berkekuatan seramai 311,600 pegawai dan anggota merentasi semua cabang perkhidmatan, disokong dengan perbelanjaan ketenteraan pada kadar 4.09% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom.

Pada 2022, Angkatan Tentera United Kingdom hanya berkekuatan 147,9802 pegawai dan anggota merentasi kesemua cabang perkhidmatan, dengan peruntukan perbelanjaan hanya 2.16%3 daripada KDNK United Kingdom. Sebagai konteks, tahun 2022 juga menyaksikan tercetusnya Perang Russo – Ukraine.

Isu Anggota Memaksa Inovasi

Pemotongan bilangan anggota serta perbelanjaan memaksa angkatan tentera di seluruh dunia untuk berinovasi dan menggunapakai apa yang sudah tersedia untuk melaksanakan tugas masing-masing. Kegunaan platform-platform mula dipelbagaikan, daripada platform berdasarkan misi objektif yang menjadi arus perdana pada era antara 1950-an ke 1970-an.

Ambil contoh Amerika Syarikat secara khusus; jet tempur sebelum 1970’an direka khusus sama ada untuk misi pesawat serang bagi tugasan serangan darat (dengan designasi A, seperti pada pesawat A4 SkyHawk4 dan A10 Thunderbolt II5) atau sebagai pesawat pemintas dan pengiring (designasi F, seperti pada pesawat F4 Phantom6 dan F5EII Tiger7).

Pesawat-pesawat yang direkabentuk pada tahun 1980’an kemudiannya berevolusi menjadi konsep pesawat tempur pelbagai peranan (Multi-Role Combat Aircraft – MRCA) hari ini, dengan pesawat F/A18 Hornet8 menjadi pesawat pertama yang memperagakan designasi F dan A. Pesawat-pesawat terdahulu juga diberikan label MRCA sebagai mengiktirafkan bahawa pesawat-pesawat tersebut menjadi susur-galur kepada evolusi konsep MRCA.

Angkatan tentera sedunia juga mengenalpasti potensi untuk mengintegrasikan sistem pengkomputeran untuk kegunaan ketenteraan. Antara aplikasi pengkomputeran terawal adalah sistem kawalan tembakan berkomputer. Sistem kawalan tembakan berkomputer membolehkan kapal-kapal perang serta kereta kebal untuk menembak dengan tepat semasa bergerak.  

Kepintaran Buatan Era Moden dalam Aplikasi Ketenteraan

Rencana ini akan melihat beberapa program ketenteraan dari seluruh dunia dalam mengaplikasikan kepintaran buatan dalam perkhidmatan masing-masing. Pemerhatian yang dibuat ini adalah pada asas sahaja bagi membolehkan para pembaca mendapat pendedahan dan konsep awal aplikasi kepintaran buatan dalam alam ketenteraan.

Amerika Syarikat

Tentera Udara AS

Pada Februari 2023, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menerbangkan sebuah pesawat F169 yang dikawal oleh kepintaran buatan untuk jangka masa 17 jam. Sebagai persediaan awal untuk menyediakan pesawat F16 tersebut untuk dikawal oleh kepintaran buatan, program tersebut telah diterbangkan menentang juruterbang sebenar menggunakan sistem simulator.

Kepintaran buatan dalam program ini dijangkakan akan menjadi asas kepada program awalan untuk program Next-Generation Air Dominance (NGAD) atau program Penguasaan Udara Generasi Baru. Program ini sudahpun mula mengorak langkah. Amerika Syarikat merangkakan agar bagi setiap juruterbang manusia, akan disokong oleh dua pesawat dron tempur yang dikuasai oleh kepintaran buatan10.

Sekiranya program ini berjaya, teknologi ini akan membolehkan USAF untuk mengaplikasikan taktik mengerumun ke atas kedudukan aset pertahanan udara musuh seperti sistem S400 untuk dilaksanakan seiring dengan operasi Wild Weasel untuk melaksanakan Suppression of Enemy Air Defence (SEAD). Operasi Wild Weasel merujuk kepada operasi mengumpan sistem pertahanan udara musuh untuk cuba menembak jatuh pesawat USAF dan sekaligus menjadikan diri mereka sebagai sasaran kepada penembakan sistem HARM (High-speed Anti-Radiation Missile).

Tentera Darat AS

Untuk kegunaan unit infantri Tentera Darat Amerika Syarikat, mereka telah melancarkan program Integrated Visual Augmentation System (IVAS)11 yang mana anggota-anggota tentera infantri akan dilengkapkan dengan peranti yang dipasangkan pada goggle atau peranti pandangan mereka.

Peranti berkenaan boleh digunakan untuk kegunaan semua cuaca dan boleh digunakan untuk operasi siang dan malam. Selain menambahbaik keupayaan untuk melihat pada malam hari, peranti berkenaan akan memberi keupayaan kepada anggota infantri untuk melihat objektif misi mereka yang turut akan dibantu oleh kepintaran buatan.

Setiap anggota infantri dibekalkan dengan IVAS yang akan mengumpulkan maklumat-maklumat operasi seperti kedudukan masing-masing, kedudukan musuh yang telah dikenalpasti, objektif misi, dan sebagainya. Bagi memaksimakan maklumat-maklumat ini, setiap peranti akan menghantar maklumat taktikal setiap pengguna kepada sistem awangan (cloud-based system) yang akan memproses data operasi.

Kepintaran buatan akan memproses maklumat medan yang telah dipelajari daripada situasi taktikal dan bertindak memberi kepada anggota-anggota infantri pilihan-pilihan pergerakan taktikal yang boleh dilaksanakan. Sekaligus, memberi penambahan keupayaan kepada anggota-anggota infantri biasa.

Memandangkan peranti ini boleh berhubungan dengan sistem awangan, besar kemungkinan sistem ini boleh juga diintegrasikan dengan sistem pengurusan pertempuran (battle management system) yang dipasangkan dalam kenderaan tempur seperti kereta kebal Abrams dan Bradley, serta helikopter seperti Blackhawk serta Apache.

Selain membantu pasukan infantri membuat keputusan taktikal, sambungan kepada sistem awangan membolehkan pasukan sokongan seperti unit artileri dan mortar mengenalpasti sasaran untuk memberi bantuan tembakan tak langsung secara real time.

Republik Rakyat China (PRC)

PRC telah mula mengorak langkah dalam mengintegrasikan kepintaran buatan ke dalam sistem simulator12 mereka seawal tahun 2021 untuk melatih dan meningkatkan keupayaan juruterbang-juruterbang mereka. Setakat ini, PRC mendedahkan bahawa sistem kepintaran buatan mereka ini telah berjaya menewaskan para juruterbang terbaik mereka setiap kali.

Ketika ini, PRC menyatakan bahawa mereka belum lagi bersedia untuk mengintegrasikan sistem kepintaran buatan untuk pertempuran. Tetapi, Yang Wei, ketua perekabentuk untuk pesawat siluman J-20 China pernah menzahirkan hasrat dan perancangan untuk mengintegrasikan kepintaran buatan untuk pesawat-pesawat tempur masa hadapan China13.

Persekutuan Russia

Pada Ogos 2022, Kementerian Pertahanan Russia telah mengumumkan penubuhan sebuah jabatanarah14 khusus dalam merekabentuk sistem persenjataan yang akan mengintegrasikan keupayaan kepintaran buatan.

Menariknya, Kementerian Pertahanan Russia mendedahkan bahawa mereka berhadapan dengan dilema etika15 untuk menurunkan kuasa membuat keputusan peringkat pegawai pemerintah kepada sistem kepintaran buatan. Kita akan membincangkan dilema etika ini di hujung rencana ini.

Ketika ini, keupayaan Russia untuk melaksanakan program untuk mengintegrasikan kepintaran buatan dalam alam ketenteraan sedang menghadapi cabaran untuk merekrut para programmer yang berupaya melaksanakan tugas ini. Walaupun Kementerian Pertahanan Russia telah memberi jaminan untuk mengecualikan16 pakar IT daripada kerahan tenaga, seramai 100,000 pakar IT17 telah meninggalkan Russia berikutan sekatan ekonomi yang amat berat dikenakan ke atas negara berkenaan semenjak tercetusnya Perang Russo – Ukraine.

United Kingdom

Seperti rakan-rakan setugas mereka di Kementerian Pertahanan Russia, Kementerian Pertahanan UK turut berhadapan dengan dilema etika18 sama ada untuk memberi keupayaan untuk sistem kepintaran buatan untuk membunuh sasaran mereka atau sekadar untuk membantu anggota manusia dalam mengenalpasti sasaran untuk dimusnahkan. Bagi menyelesaikan permasalahan hasil dilema etika ini, Kementerian Pertahanan UK membuat keputusan bahawa sistem kepintaran buatan untuk tentera mereka adalah khusus untuk mengenalpasti sasaran sahaja.

Pada Julai 2021, Angkatan Tentera United Kingdom telah melaksanakan satu latihan perang di Estonia19 yang mana mereka telah mengaplikasikan sistem kepintaran buatan buat pertama kali. Menurut Mejar James McEvoy daripada Briged Infantri Berperisai Ke-20 yang terlibat dalam latihan berkenaan, mereka mendapati bahawa sistem kepintaran buatan tersebut telah memudahkan mereka membuat perancangan operasi medan dengan lebih lancar.

Perancis dan Singapura

Program kepintaran buatan Perancis dan Singapura adalah antara yang paling menarik dan unik di mana kedua-dua negara bekerjasama untuk membangunkan sistem kepintaran buatan melalui inisiatif yang dikenali sebagai Singapore And France Advanced Research Initiative (SAFARI) 20 atau Initisiatif Penyelidikan Singapura dan Perancis.

Kedua-dua negara berkenaan sekadar mengadaptasikan inisiatif sedia ada antara kedua-dua negara tersebut yang telah dilaksanakan semenjak tahun 1997 dan melebarkan sayap ke dalam bidang kepintaran buatan. Kerjasama ini turut melibatkan agensi-agensi awam dan makmal kajian di Universiti Kebangsaan Singapura serta Pusat Kajian Kebangsaan Perancis (CNRS – Centre Nationale de la Recherche Scientifique).

Republik China (RoC)

Memandangkan kita telah membincangkan kepintaran buatan oleh PRC dalam aplikasi ketenteraan, kita perlu juga membincangkan aplikasi yang sama oleh seteru keras mereka, yakni RoC, yang lebih dikenali sebagai Taiwan. Perebutan pengiktirafan status negara antara kedua-dua entiti politik ini serta polisi “Satu China” oleh PRC menyaksikan banyak negara telah menukarkan pengiktirafan mereka daripada Taipei kepada Beijing.

Ini memaksa Taiwan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan mereka secara kendiri bagi berhadapan dengan lawan mereka PRC yang jauh lebih besar. Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen tempatan di Taiwan, Formosa TV21 telah mendedahkan kepada rakyat Taiwan bagaimana Angkatan Tentera RoC telah mengintegrasikan kepintaran buatan dalam tentera mereka, khususnya dalam sistem latihan simulator dan latihan perang bersifat table-top.

Dimensi Dilema Etika dalam Melaksanakan Kepintaran Buatan untuk Kegunaan Ketenteraan

Selain daripada cabaran dalam membangunkan kepintaran buatan, dilema etika turut merupakan cabaran terbesar. Ini terbukti di mana beberapa buah negara telahpun menggariskan dilema etika ini dalam program kepintaran buatan masing-masing. Perlaksanaan sistem kepintaran buatan dalam latihan berbentuk simulasi, membantu dalam pembuatan keputusan boleh diterima oleh negara-negara berkenaan, kebanyakan negara masih memilih untuk memberi anggota manusia untuk membuat keputusan untuk “menarik picu” untuk keputusan-keputusan membunuh anggota penggempur musuh.

Memandangkan kepintaran buatan membuat keputusan berdasarkan parameter yang telah diprogramkan, secara tidak langsung, bermakna keputusan untuk ‘menarik picu’ yang membunuh anggota penggempur musuh berada di tangan para pemprogram yang mencipta sistem kepintaran buatan tersebut. Realisasi kepada realiti ini mungkin terlalu sukar kepada para pemprogram. Pada masa sama, sistem kepintaran buatan tidak mempunyai sifat insani yang boleh membataskan tindakan mereka.

Malahan, program NGAD Amerika Syarikat yang diwar-warkan akan mempunyai sistem dron yang boleh memusnahkan lawan mereka, turut perlu dikawal oleh juruterbang manusia. Jelas terbukti isu ketiadaan sifat insani dalam sistem kepintaran buatan ini turut menjadi dilema kepada Amerika Syarikat apabila seorang wakil rasmi USAF telah mempersembahkan satu senario hipotetikal22 di mana dron yang dikawal kepintaran buatan bertindak menghapuskan anggota manusia yang mengawalnya yang menghalang dron kawalan kepintaran buatan tersebut melaksanakan misi objektif yang telah diberikan kepada dron berkenaan.

Kita bernasib baik bahawa senario tersebut adalah senario hipotetikal semata-mata, walaupun ketika senario tersebut didedahkan kepada umum, telah disalahtafsir oleh para media telah berlaku secara hakiki.

Foto: Skrin menunjukkan pelawat sedang dirakam oleh kamera keselamatan AI (kepintaran buatan) dengan teknologi pengecaman muka di Pameran Antarabangsa Keselamatan dan Keselamatan Awam China ke-14 di Pusat Pameran Antarabangsa China di Beijing pada 24 Oktober 2018. (Foto oleh NICOLAS ASFOURI / AFP ) (Foto oleh NICOLAS ASFOURI/AFP melalui Getty Images)

Sumber

  1. https://www.theguardian.com/news/datablog/2011/sep/01/military-service-personnel-total
  2. https://www.statista.com/statistics/579991/number-of-uk-armed-forces-by-military-branch/#:~:text=Number%20of%20personnel%20in%20the%20UK%20armed%20forces%202012%2D2022%20by%20branch&text=In%202022%2C%20there%20were%20approximately,6%2C650%20in%20the%20Royal%20Marines.
  3. https://news.sky.com/story/uk-defence-spending-as-share-of-gdp-falls-despite-russias-war-in-ukraine-12839579
  4. https://www.si.edu/object/douglas-a4d-2na-4c-skyhawk%3Anasm_A19760757000
  5. https://www.military.com/equipment/a-10-thunderbolt-ii
  6. https://www.boeing.com/history/products/f-4-phantom-ii.page
  7. https://www.northropgrumman.com/what-we-do/air/f5-tiger/
  8. https://www.boeing.com/history/products/fa-18-hornet.page
  9. https://www.sandboxx.us/blog/us-air-force-ai-pilot-flies-real-f-16-in-simulated-dogfights/
  10. https://www.defensenews.com/air/2023/03/08/us-air-force-eyes-fleet-of-1000-drone-wingmen-as-planning-accelerates/
  11. https://www.army.mil/article/264773/ivas_campaign_of_learning_ensures_development_production_and_fielding_remain_on_track
  12. https://www.globaltimes.cn/page/202106/1226131.shtml
  13. https://www.globaltimes.cn/page/202007/1195803.shtml
  14. https://www.c4isrnet.com/artificial-intelligence/2022/08/17/russia-military-to-develop-weapons-using-artificial-intelligence/
  15. https://www.azureforum.org/russian-military-debates-ai-development-and-use/
  16. https://www.reuters.com/world/europe/russia-excludes-some-it-professionals-bankers-state-journalists-mobilisation-2022-09-23/
  17. https://www.themoscowtimes.com/2022/12/20/russian-oligarch-deripaskas-sochi-hotel-seized-after-war-criticism-ft-a79749
  18. https://www.electropages.com/blog/2021/07/uk-armed-artificial-intelligence-time-training-exercise#:~:text=One%20application%20of%20AI%20in,to%20target%20and%20neutralise%20automatically.
  19. https://www.electropages.com/blog/2021/07/uk-armed-artificial-intelligence-time-training-exercise#:~:text=One%20application%20of%20AI%20in,to%20target%20and%20neutralise%20automatically.
  20. https://www.defense.gouv.fr/sites/default/files/aid/MOAF%20News%20Release%20on%20Joint%20Lab_V7ENG_20230412_14%20Apr%202023.docx_.pdf
  21. https://youtu.be/VPz7q9r6Kbs
  22. https://www.independent.co.uk/tech/ai-drone-us-military-kill-human-operator-b2350194.html

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.