BeritaEksklusifKomuniti

Shipping Under Attack! Kesan Serangan Pemberontak Houthi ke atas Kapal-Kapal Dagangan di Bab al-Mandab

Kongsi di

Seperti yang dijangkakan ramai pakar-pakar strategik dan ketenteraan, pergolakan di Gaza di mana rejim penjajah Israel terus bermaharajalela melakukan genocide ke atas orang awam di Palestin telah melarat ke wilayah lain.

Pemberontak Houthi yang berpangkalan di Yemen menunjukkan bantahan kepada kekejaman Israel dan sokongan terhadap Palestin dengan cara menyerang kapal-kapal dagangan milik Israel atau yang mempunyai kaitan dengannya yang melalui perairan sepanjang Yemen. Serangan bertumpu kepada kapal-kapal yang belayar melalui terusan Bab al-Mandab yang menyediakan laluan masuk ke Laut Merah yang bersempadan dengan benua Afrika dan Semenanjung Arab. 

Terusan selebar 32 km ini memisahkan Djibouti dan Eritrea, dua negara di Tanduk Afrika, dan Yemen di Semenanjung Arab.  Ia merupakan salah satu laluan dagangan maritim yang paling penting dan strategik di dunia yang memudahcarakan pengangkutan minyak dan gas dari Timur Tengah ke pasaran di Barat dan Timur serta sejumlah besar dagangan antarabangsa melalui Terusan Suez.

Kumpulan militia ini diasaskan pada dekad 90an sebagai response kepada pemerintahan Presiden Yemen di kala itu yang dilabelkan mereka sebagai korup.  Mereka mempunyai akar umbi di kalangan penganut Shiah di Yemen yang digelar Zaidi dan mendapat namanya dari pengasasnya, Hussein al-Houthi.  Pemberontak Houthi mengawal Sanaa, ibu negara Yemen dan sebahagian besar negara itu yang teruk terkesan oleh operasi ketenteraan oleh coalition forces yang diketuai oleh Saudi Arabia yang sudah berlangsung hampir sedekad. 

Mereka telah terlibat dalam perang saudara di Yemen semenjak 2014 dan mengkategorikan kumpulan mereka sebagai axis of resistance menentang Israel, AS dan kuasa-kuasa Barat, seiring dengan pejuang-pejuang Hamas dan Hezbollah yang dicap sebagai organisasi pengganas oleh AS yang menjadi dalang keganasan Israel ke atas Palestin dan di banyak pentas konflik lain di seluruh dunia.

Serangan Bermula 

Serangan pemberontak Houthi ke atas kapal-kapal yang belayar melalui Bab al-Mandab bermula selepas meletusnya konlflik Israel-Hamas pada 7 Oktober 2023.  Pada bulan November 2023, mereka merampas sebuah kapal kargo yang mempunyai kaitan dengan Israel di Laut Merah dan memesongkan laluannya ke sebuah pelabuhan di Yemen. 

Akibat serangan ini, kapal-kapal komersil termasuk yang dimilki oleh syarikat-syarikat perkapalan yang terbesar di dunia telah mengubah laluan pelayaran mereka melalui route yang lebih jauh iaitu mengelilingi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) dan belayar di lautan di barat benua Afrika untuk ke Eropah (lihat Gambarajah 1).   

Gambarajah 1 : Perbezaan jarak dan masa belayar di antara laluan Bab al-Mandab dan Tanjung Harapan
(Sumber : S&P Global Market Intelligence)

Bagi mendapat gambaran perbezaan jarak antara Terusan Suez dengan Tanjung Harapan, jarak bagi sebuah kapal kargo yang belayar pada kelajuan 20 knot akan belayar sejauh 15,630 km (8,440 batu nautika) selama 17.6 hari menggunakan laluan Laut Merah / Terusan Suez.  Bandingkan ini dengan laluannya mengelilingi Tanjung Harapan sejauh 21,705 km (11,720 batu nautika) yang mengambil masa 24.4 hari.

Tentunya ini akan mendatangkan kesan kepada rantaian bekalan (supply chain) akibat masa yang lebih lama yang diperlukan untuk mengangkut barangan dari pelabuhan ke pelabuhan dan juga kos yang lebih tinggi kepada syarikat perkapalan yang menggunakan lebih banyak minyak / tenaga untuk belayar mengikuti perjalanan yang lebih jauh. 

Pemberontak Houthi dikatakan menerima bekalan senjata, maklumat risik dan latihan ketenteraan dari Iran walaupun Teheran menafikan penglibatannya di dalam serangan di Laut Merah.  Serangan ke atas kapal-kapal oleh pemberontak Houthi ini telah membuat pertentangan di antara Israel dengan Hamas merebak menjadi konflik serantau. Ini menggusarkan banyak pihak yang mempunyai kepentingan ekonomi, dagangan dan strategik di perairan sepanjang Laut Merah / Terusan Suez. 

Perikatan Dibentuk

Ancaman serangan ke atas kapal-kapal membawa kargo ini memaksa syarikat-syarikat perkapalan dan tenaga untuk mengubah transit dari laluan yang semakin merbahaya kepada pelayaran dagangan.  Sekiranya ancaman ni berterusan, kita oleh bayangkan kesan mendalamnya kepada pasaran tenaga dan alirannya serta kepada dagangan dan ekonomi global.

Ketika artikel ini ditulis, media mengumumkan yang satu perikatan tentera-tentera laut sedang dibentuk untuk memberikan perlindungan kepada kapal-kapal yang belayar di Laut Merah / Terusan Suez dan untuk bertindak ke atas  pemberontak Houthi yang terus mengganggu aliran dagangan di situ. 

Tidak mengejutkan yang inisiatif yang digelar Operation Prosperity Guardian ini diketuai oleh AS yang seolah-olah mengikut telunjuk Israel dan ‘menghalalkan’ genocide yang dilakukannya di Gaza dengan membekalkan senjata serta menghalang undi Majlis Keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu untuk megenakan gencatan senjata ke atas serangan Israel ke atas Gaza. 

Lebih kurang 20 negara turut serta dalam inisiatif membentuk coalition naval forces ini termasuk Bahrain, Belanda, Canada, Itali, Perancis, Norway, Seychelles dan Sepanyol.  Langkah melindungi kapal-kapal di laluan dagangan maritim penting ini disokong oleh beberapa pertubuhan industri maritim seperti International Chamber of Shipping (ICS) yang gusar teerhadap ancaman ke atas anak-anak kapal dan aliran perkapalan yang mengangkut hampir 90 peratus dari dagangan antarabangsa.

ICS mengalu-alukan pembentukan Operation Prosperity Guardian bagi membuntukan ancaman ke atas kapal-kapal memandangkan serangan pemberontak Houthi sudah mula mendatangkan kesan serius kepada perkapalan dagangan di perairan itu. 

Keselamatan Maritim Kembali di atas Radar

Syarikat-syarikat perkapalan utama dunia seperti AP Moller Maersk dari Denmark, CMA CGM (Perancis), OOCL (Hong Kong), Evergreen (Taiwan PRC) dan Hapag-Lloyd (German) sudah mula memberhentikan perkhidmatan di laluan itu ataupun mengalihkan pelayaran mereka mengikut laluan yang lebih jauh, malah ada yang memgumumkan tidak menerima kargo dari Israel atau yang berkaitan dengannya.

Syarikat tenaga UK, BP pula mengumumkan untuk tidak menggunakan Bab al-Mandab sebagai laluan transit di Laut Merah.  Syarikat minyak gergasi Norway, Equinor telah mengalih jajaran pelayaran mereka yang sepatutnya belayar menerusi Laut Merah. Begitu juga dengan syarikat kapal tangki Frontliner dan syarikat perkapalan kontena dari yang juga telah mengumumkan untuk mengelak laluan ini. Tentunya bilangan syarikat-syarikat yang terkesan oleh situasi ini akan semakin meningkat dari hari ke sehari sekiranya serangan berterusan.  Kesannya pasti akan dirasai oleh rantaian bekalan dan dagangan antarabangsa. 

Perhatian antarabangsa kini kembali kepada keselamatan maritim yang menjadi isu hangat selepas insiden 9/11 pada tahun 2001 bilamana beberapa inisiatif untuk melindiungi perkapalan, pelabuhan, kargo dan rantaian bekalan maritim dari ancaman pengganas telah diperkenalkan. 

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan ISPS Code, Container Security Initiative (CSI) dan Customs – Trade Partnership Against Terrorism (C-TPAT) yang dilancarkan oleh AS yang menjadi mangsa serangan 9/11. Keselamatan perkapalan juga menjadi isu antarabangsa dengan meningkatnya serangan lanun di perairan-perairan strategik dagangan seperti Selat Melaka, Selat Singapura dan Teluk Aden selepas peristiwa 9/11.

Memandangkan yang 90 peratus dagangan dunia diangkut oleh kapal dan kebergantungan tinggi ekonomi dunia ke atas laluan pelayaran yang selamat dan terbuka, tidak menghairankan yang isu keselamatan di Bab al-Mandab menggamit perhatian media dan masyarakat antarabangsa.  Tidak dapat dielakkan yang rantaian bekalan global yang menghubungkan pengeluar bahan mentah dan barangan pembuatan dengan pasaran / pengguna akan terkesan oleh apa-apa juga gangguan ke atas perkapalan dagangan. 

Cabaran getir Memelihara Keselamatan Pelayaran

Premium war risk insurance bagi kapal-kapal yang belayar melalui terusan ini juga mendadak naik, beserta dengan kadar mengangkut kargo atau freight rates yang dikenakan oleh syarikat-syarikat perkapalan yang masih belayar di situ. Semua ini berpotensi meningkatkan kos pengangkutan maritim yang kemudiannya akan membebankan industri, perniagaan dan pengguna.

Wilayah Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara terutamanya paling gusar dengan situasi keselamatan pelayaran di Laut Merah sekarang.  S&P Global Market Intelligence menganggarkan 15 peratus komoditi serta barangan impot oleh wilayah-wilayah ini diangkut oleh kapal-kapal dari Asia dan wilayah Teluk.  Jumlah ini termasuk 13 peratus minyak mentah dan 21 peratus minyak yang ditapis. 

Oleh itu, tidak hairanlah yang beberapa negara Eropah (Perancis, Itali, Belanda dan Norway) yang ekonominya bergantung kepada laluan ini dengan cepatnya menyertai Operation Prosperity Guardian untuk melindungi kapal-kapal dan dagangan maritim yang belayar melalui Bab al-Mandab.

Walaupun negara-negara yang terlibat dalam Operation Prosperity Guardian mempunyai kekuatan dan sumber kolektif yang besar, ramai penganalisa keselamatan maritim dan ketenteraan berpendapat yang ancaman pemberontak Houthi di laluan pelayaran penting itu tidak dapat dipatahkan dengan tindakbalas di lautan semata-mata.  Pengamatan ini dibuat walaupun AS mendakwa telah berjaya mematahkan beberapa serangan drones dan peluru berpandu (missiles) yang dipercayai dilancarkan dari kawasan-kawasan di Yemen yang dikuasai oleh pemberontak Houthi.

Kawasan liputan yang menjadi sasaran pemberontak Houthi adalah sangat luas dan mereka menggunakan kaedah non-conventional seperti menyerang kapal-kapal komersil dengan bot-bot kecil dan drones yang membawa bahan letupan.  Mungkin juga mereka akan menggunakan bot-bot kawalan jauh, missiles dan periuk api yang boleh mendatangkan ancaman besar kepada anak-anak kapal serta kapal-kapal yang membawa pelbagai kargo yang bernilai tinggi dan mempunyai ciri-ciri mudah terbakar.

Pendekatan Komprehensif Diperlukan

Walaupun para pengamal industri perkapalan rata-rata mengalu-alukan response oleh multinational naval coalition ini, ancaman pemberontak Houthi ini memerlukan pendekatan komprehensif untuk dipatahkan secara mutlak. Tindakbalas di lautan sahaja tidak memadai kerana ancaman datang dari kumpulan militia non-state actor yang mempunyai pendekatan non-conventional dan asymmetrical yang tidak boleh dipatahkan oleh operasi ketenteraan semata-mata. 

Ramai penganalisa keselamatan maritim menyarankan yang infrastruktur pemberontak Houthi di Yemen seperti tapak pelancaran drones dan missiles serta tempat ia disimpan harus dimusnahkan bagi membuntukan kebolehan mereka menyerang di lautan.  Pada pengamatan para penganalisa, ini perlu dilakukan memandangkan pemberontak Houthi berupaya meningkatkan serangan ke atas kapal-kapal dagangan serta lantang memberi amaran kepada AS untuk menyerang kapal-kapal perangnya serta kepentingan AS sekiranya mereka diserang. 

Mereka juga mengunjurkan saluran sokongan serta maklumat risik yang diberi oleh Teheran yang sering dituduh oleh AS sebagai pendokong pemberontak Houthi harus diputuskan.  AS mendakwa missiles yang digunakan oleh pemberontak Houthi untuk menyerang kapal-kapal di Laut Merah mempunyai ciri-ciri yang sama dengan missiles yang dilancarkan mereka ke Arab Saudi dan UAE yang dianggap oleh kumpulan ini dan Iran sebagai common enemies.   

Pengajaran Kepada Malaysia

Serangan ke atas kapal-kapal dagangan di Bab al-Mandab tentunya menggusarkan kita di Malaysia walaupun pendirian kita terhadap isu Palestin dan kekejaman rejim Israel sudah diketahui dunia.  Malaysia terus menunjukkan sokongan padu terhadap Palestin dengan pengumuman yang kapal-kapal dari Israel tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan tempatan dan mengarahkan kontena milik Israel dikeluarkan dari tapak kontena di pelabuhan-pelabuhan kita. 

Perhatian kita juga tertumpu kepada perkembangan di terusan Bab al-Mandab kerana open and safe passage atau laluan terbuka dan selamat adalah sangat penting kepada Malaysia sebagai negara yang kesejahteraan ekonominya bergantung tinggi kepada dagangan antarabangsa dan perkapalan.  Tentunya kita patut merasa khuatir akan kemungkinan aliran dagangan terganggu akibat serangan beterusan ke atas kapal-kapal komersil di laluan penting itu yang berupaya mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan dagangan kita. 

Lebih membimbangkan sekiranya rakyat kita yang bekerja di atas kapal dan juga kapal-kapal milik syarikat-syarikat Malaysia serta kargo yang kita mempunyai kepentingan terhadapnya terancam oleh serangan pemberontak Houthi. 

Di kalangan pengamal dan pemerhati industri maritim, ingatan kita masih segar terhadap serangan lanun Somalia di Teluk Aden ke atas kapal miilik syarikat perkapalan terbesar negara MISC yang mengancam nyawa anak-anak kapal kita serta aset dan kargo yang tinggi nilainya.  Pada tahun 2008, dunia digegarkan oleh peristiwa Operasi Fajar 8 melibatkan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia, PASKAL yang berjaya menyelamatkan anak-anak kapal MT Bunga Laurel, sebuah kapal tangki milik MISC yang ditawan oleh lanun Somaila.  

Walaupun mereka berjaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan, insiden ini mendedahkan betapa vulnerable kapal-kapal komersil terhadap ancaman serangan di lautan.

Ambil Iktibar dari Situasi di Bab al-Mandab

Melalui pengumuman menegah kemasukan kapal-kapal Israel ke pelabuhan-pelabuhan kita, Malaysia menggamit perhatian dunia terhadap protes simboliknya ke atas tindakan kejam Israel ke atas penduduk Palestin. Langkah ini sejajar dengan pendirian kita yang tidak mengakui rejim Israel sebagai negara berdaulat dan menggariskan sokongan berterusan kita terhadap rakyat Palestin yang sudah sekian lamanya merana akibat dasar apartheid Israel dan kini akibat serangan kejam dan beterusan ke atas penduduk Gaza.  

Namun kita sewajarnya memberikan perhatian terhdap keselamatan pelayaran di laluan-laluan maritim yang strategik seperti Bab al-Mandab.  Adalah penting untuk kita mengambil pelajaran dan iktibar dari situasi di terusan ini bagi mengelakkan ancaman dan mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi mematahkannya sekiranya ia berlaku di perairan kita. 

Penilaian komprehensif harus diambil dan persoalan mendalam perlu ditanya apakah persiapan kita dan tindakan yang kita ambil sekranya berlaku serangan ke atas kapal-kapal dagangan di Selat Melaka yang merupakan laluan perkapalan tersibuk di dunia yang menjadi pemudahcara sebahagian besar dagangan antarabangsa. 

Tentunya kita tidak mahu kehadiran tentera-tentera laut dari negara lain di perairan kita untuk menangani situasi yang boleh mengancam aliran perkapalan dan dagangan maritim di laluan penting ini.  Kita masih ingat ‘gertakan’ Tentera Laut AS untuk menghantar kapalnya ke Selat Melaka semasa berlakunya beberapa serangan lanun ke atas kapal-kapal di Selat Melaka pada tahun 2006 bilamana badan insurans maritim Lloyd’s of London memberikan gelaran war risk zone ke atas perairan ini. 

Pendirian Tegas Malaysia

Perlu ditekankan peri pentingnya Selat ini sebagai laluan dagangan antarabangsa yang sangat strategik.  Ia menyediakan laluan kepada hampir 90,000 kapal setiap tahun dan 40 peratus dagangan dunia serta dua pertiga dagangan kontena global.  Ia juga menjadi pemudahcara penting bagi aliran dagangan antara Timur dan Barat dan dikategorkian sebagai antara sea line of communication dan maritime chokepoint yang sibuk dan tidak ternilai kepentingan strategiknya bukan sahaja kepada negara-negara pesisirnya tetapi kepada dagangan serta ekonomi dunia.

Malaysia mengambil pendirian tegas pada masa itu untuk tidak membenarkan kuasa luar menjalankan rondaan di Selat Melaka dan sentiasa menekankan yang keselamatan dan pengurusan perairan ini ialah tanggungjawab negara-negara pesisir.  Kita sentiasa konsisten dengan pendirian yang sebagai negara pesisir Selat Melaka dan negara di rantau Asia Tenggara, Malaysia dan negara-negara di rantau ini mesti mengambil kedudukan centrestage dalam menentukan struktur dan halatuju regional security architecture di rantau ini. 

Ini termasuk di perairan seperti Selat Melaka di mana kita mempunyai sovereign rights sebagai negara pesisir walaupun ia dikategorikan dalam perundangan kelautan antarabangsa sebagai strait for international navigation.

Walaupun AS tidak meneruskan hasratnya untuk melibatkan diri dalam inisiatif membanteras aktiviti pelanunan di Selat Melaka waktu itu, kita dapat mengambil beberapa pengajaran berharga dari situasi itu.  Antaranya ialah kita perlu bersedia dengan sumber manusia dan aset yang siapsiaga serta struktur yang cekap untuk memberikan tindakbalas yang tangkas dan efektif untuk menangani ancaman maritim seperti yang diberikan oleh non-state actors seperti kumpulan pemberontak, pengganas atau lanun.   

Keperluan Siapsiaga Pada Tahap Optima

Sama pentingnya ialah mengasah kebolehan statecraft dan menggunakan pelantar multilateral seperti ASEAN untuk menyelesaikan apa jua konflik melalui saluran diplomatik.  Kegagalan kita mematahkan ancaman maritim di backyard kita sendiri, contohnya di Selat Melaka dan Selat Johor yang menjadi tumpuan serangan lanun di rantau ini, boleh mengundang kehadiran kuasa-kuasa luar seperti yang dilihat di Laut Merah / Teluk Aden sekarang.   

Walaupun circumstances keselamatan maritim di antara rantau kita dengan di sana jauh berbeza, kita harus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.  Ancaman dari non-state actors boleh datang bila-bila masa sahaja dan dalam pelbagai bentuk yang mungkin di luar jangkaan conventional thoughts dalam konteks keselamatan maritim, percaturan strategik dan pemikiran kententeraan tradisional. 

Dalam persekitaran VUCA (vulnerability, uncertainty, complexity, ambiguity) masa kini, kita perlu siapsiaga pada tahap optima supaya boleh bertindakbalas dengan cepat dan efektif ke atas apa jua ancaman ke atas kepentingan maritim kita. 

Impak Kepada Reputasi

Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh menggugat kepentingan dagangan dan ekonomi kita serta masyarakat antarabangsa.  Ia juga boleh mendatangkan impak kepada reputasi Malaysia sebagai negara pesisir perairan yang penting seperti Selat Melaka serta mengundang persoalan terhadap kebolehan serta kewibawaan kita menjaga keselamatan laluan penting ini. 

Jangan sekali-kali kita memberikan ruang kepada kuasa-kuasa asing untuk campurtangan dalam pengurusan keselamatan maritim di perairan wilayah kita ini.  Track record mereka jelas untuk kita amati : di mana-mana sahaja mereka campurtangan samada secara langsung (contohnya di Iraq dan Afghanistan) atau melalui proxy war seperti di Syria, Yemen dan Ukraine, penderitaan, kemusnahan dan kebinasaan boleh dijamin.

Dunia menahan nafas meneka aksi seterusnya multinational naval coalition pimpinan AS untuk menangani ancaman pemberontak Houthi di Bab al-Mandab serta di Laut Merah / Teluk Aden. 

Sekiranya Operation Prosperity Guardian melibatkan serangan darat ke atas kedudukan pemberontak Houthi di Yemen yang kemudiannya bertindakbalas meningkatkan serangan ke atas kapal-kapal dagangan dan menarik penglibatan negara-negara seperti Iran dan Saudi Arabia, konflik Israel-Gaza akan merebak ke wilayah laluan maritim dan sumber tenaga penting ini dan seterusnya mendatangkan kesan buruk kepada dagangan dan ekonomi dunia. 

Tentunya sebagai negara yang bergantung kepada perkapalan dan dagangan antarabangsa serta tinggi tahap integrasinya dalam global supply chains, Malaysia akan turut terkesan dengan situasi di sana sekiranya ia menjadi lebih buruk.

Watch this space untuk komentari seterusnya mengenai topik ini nanti.  Sama-samalah kita terus berdoa dan melakukan apa yang terdaya untuk penduduk Gaza dan Palestin. 

From the river to the sea, Palestine will be free. Selamat tahun baru 2024.

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian.

Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian. Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]