EksklusifKomuniti

Krisis Sumber Air, Adakah Kita Bersedia?

Kongsi di

Musibah Di Baling, Terputus Air Di Pulau Pinang

Bencana banjir akibat kejadian kepala air di Baling, Kedah pada Isnin lepas (4 Julai) bukan sahaja membawa kemusnahan pada kawasan di sana, malah memberi impak yang tidak dijangka apabila turut memberi kesan pada penduduk negeri berjiran Pulau Pinang apabila terjadi krisis terputus bekalan air bersih.

Ia disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dihentikan berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat kejadian banjir tersebut.

Air mentah yang dipam dari Sungai Muda melalui Terusan Sungai Dua ke loji itu direkodkan adalah 3,000 NTU, sedangkan bacaan normal kekeruhan air mentah sungai tersebut biasanya di bawah 1,000 NTU.

NTU merujuk pada unit kekeruhan Nephelometric iaitu unit yang digunakan bagi mengukur kehadiran zarah atau jirim terampai dalam air selepas berlaku kekeruhan. LRA Sungai Dua merupakan loji rawatan terbesar dan terpenting di Pulau Pinang.

Air mentah dari Sungai Muda, Kedah telah tercemar dengan selut dan pasir di mana keadaan ini telah menyukarkan pengoperasian sehingga menyebabkan LRA Sungai Dua menghentikan operasi.

Sebagai langkah segera, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengalirkan air dari Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai satu empangan penyimpanan air bagi menghadapi keadaan luar biasa itu.

Air dari Empangan Mengkuang ini disalurkan ke LRA Sungai Dua dan loji berdekatan untuk meneruskan operasi loji supaya bekalan air bersih dapat sampai kepada pengguna.

Sebagai empangan penyimpanan, air Empangan Mengkuang mampu bertahan sehingga 100 hari untuk menyalurkan air kepada 85 peratus pengguna di seluruh negeri.

Air merupakan sumber utama dalam kehidupan manusia dan ketiadaan bekalan air boleh mengundang pelbagai masalah.

Pelan Kontingensi Bekalan Air Seberang Perai Selatan

Dalam pada itu, pada 23 Mei lepas, PBAPP telah melaksanana Pelan Kontingensi Bekalan Air Seberang Perai Selatan (SPS) untuk menangani isu bekalan air di kawasan kediaman.

Menerusi pelan tersebut, bekalan air kepada semua pengguna air domestik di SPS disalurkan selama 12 jam bermula pukul 6.01 petang hingga 6 pagi setiap hari.

Manakala pada waktu malam bekalan air ke kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak akan dikawal dan lebih banyak air akan dipam ke kawasan perumahan di SPS. 

Bagi premis domestik perlu dilengkapi dengan tangki simpanan air 24 jam manakala simpanan bagi indusri pula ialah 48 jam. Langkah ini akan membolehkan pengguna domestik dan industri menyimpan air yang mencukupi.

Peta menunjukkan aliran sumber air mentah Pulau Pinang yang bergantung dari Kedah melalui Sungai Muda.

Air, Sumber Bekalan Strategik

Krisis air atau sumbernya bukanlah baharu, malah sejak ribuan tahun lalu banyak konflik termasuk peperangan tercetus akibat sumber asli ini termasuk membabitkan perebutan sempadan.

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Boutros Boutros Ghali pada tahun 1990-an dan mendiang pemerintah Jordan, Raja Hussein pula meramalkan bahawa punca konflik pada masa hadapan di Timur Tengah boleh tercetus disebabkan air, bukannya minyak atau juga dikenali sebagai emas hitam.

Pandangan kedua-dua tokoh ini masih dipersetujui dalam kalangan geostrategik hari ini, apatah lagi apabila dunia melihat terhadap krisis air yang berlanjutan di Pakistan, Mesir dan Uzbekistan.

Mesir, negara tamadun terkenal dunia misalnya mengalami isu bekalan air sejak 30 tahun lalu, malah negara itu dikatakan berhadapan dengan defisit bekalan air sehingga sembilan kubik meter padu setahun.

Apa yang dibimbangi, dikatakan situasi di negara tersebut bertambah parah menjelang tahun 2025.

Walaupun 90 peratus sumber air utama negara itu datangnya dari aliran Sungai Nil, bagaimana pun aliran berkenaan berkongsi dengan sempadan lain-lain negara selain faktor perubahan iklim.

Sejak perpecahan Soviet pada 1991 pula misalnya mencetuskan masalah bekalan air kepada negara-negara di Asia Tengah yang selama ini berkongsi sumber yang sama semasa berada dalam Kesatuan Soviet.

Uzbekistan misalnya menerima sumber air daripada dua sungai iaitu Syr Drya dan Amu Darya. Menjelang tahun 2050 dikatakan sumber air ke negara itu akan berkurangan  sehingga 15 peratus.

Keperluan air bagi kegunaan pertanian yang menjadi sumber ekonomi utama negara memburukkan lagi keadaan. Ketiga-tiga negara tersebut berhadapan krisis air meruncing untuk sumber minuman dan pertanian selain ekoran perubahan iklim.

Jawatankuasa Berhubung Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya PBB pada November 2002 pula merumuskan bahawa, air diiktiraf bukan sahaja sebagai sumber semulajadi terhad dan kepentingan umum tetapi juga sebagai hak kemanusiaan.

Menurut jawatankuasa ini lagi, ketiadaan akses terhadap sumber air boleh menjejaskan kualiti hidup manusia.

Lumpur dan kelodak tanah menyebabkan operasi LRA Sungai Dua dihentikan sekali gus menyebabkan penduduk Pulau Pinang terputus bekalan air.

Krisis Air Selangor

Tanpa perlu menoleh jauh, inilah keadaan yang dihadapi 1.8 juta penduduk Selangor di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling semasa krisis air pada Oktober 2016.

Sejak 22 September, LRA Semenyih ditutup akibat pengesanan pencemaran di Sungai Semenyih menyebabkan bekalan air bersih gagal disalurkan.

Ekoran masalah bekalan air yang kerap terputus atau air tidak berkualiti ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) tampil mendesak kerajaan negeri Selangor berbuat sesuatu bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Pada masa itu, dianggarkan kira-kira 300,000 penduduk di 240 kawasan perumahan di sekitar Semenyih hidup merana sejak tahun 2008 ekoran kerap terputus bekalan air atau tidak menerima air yang berkualiti.

Ma­salah yang berpanjangan dalam tempoh lapan tahun lalu itu didakwa ekoran pencemaran air di Sungai Semenyih.

LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup jika Sungai Semenyih tercemar dipercayai berpunca daripada sebuah kawasan perindustrian di Sungai Lalang.

Pemantauan selama 10 hari pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah mengenal pasti punca pencemaran air Sungai Semenyih disebabkan operasi premis kitar semula minyak hitam kenderaan di Batu 22 1/4, Jalan Sungai Lalang.

Difahamkan kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya termasuk tindakan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara.

Notis daripada Kumpulan Air Selangor memberitahu, pelan pemulihan berjadual yang dilaksanakan sejak 5 Oktober merupakan langkah sementara sehingga bekalan air pulih sepenuhnya di kawasan terlibat.

Pasukan 60 Rejimen Pakar Air RAJD (AW) merupakan unit simpanan yang akan diatur gerak jika berlaku krisis air semasa konflik. Namun, sejauhmana pasukan tersebut memainkan peranan semasa bencana besar?

Pencemaran Terus Berlaku

Pada November 2011, tumpahan sisa diesel menyebabkan LRA Cheras, Batu 11 dihentikan akibat sebuah kilang batu-bata berhampiran melepaskan sisa diesel ke Sungai Langat menyebabkan 52,000 pengguna terjejas.

Sungai Langat sekali lagi menjadi mangsa pencemaran pada Ogos 2013 apabila tumpahan diesel dikesan pada sauk muka air mentah di LRA sungai berkenaan memaksa operasinya dihentikan sementara.

Insiden tumpahan diesel juga berlaku di muka sauk air mentah LRA Sungai Bernam menyebabkan kira-kira 150,000 pengguna terjejas pada Ogos 2014.

Sebuah kilang aluminium di Lot 805 Mukim Semenyih diarah menghentikan operasinya ekoran menjadi punca pencemaran LRA Sungai Semenyih pada April tahun menyebabkan ratusan ribu terputus bekalan.

Melihat empat insiden ini boleh memberi bayangan tidak mustahil krisis serupa akan berulang lagi pada masa hadapan.

Benar, contoh krisis bekalan air di Selangor yang berlaku tujuh tahun lalu sengaja dipaparkan perajurit.com bagi mengajak pembaca melihat kembali situasi tersebut.

Krisis bekalan air yang kerap berulang di Lembah Klang misalnya menuntut penyelesaian yang konkrit daripada kerajaan dan syarikat utiliti agar rakyat tidak menjadi mangsa.

Isu Air Beri Impak Ekonomi

Masalah gangguan bekalan air mempunyai kesan ke atas ekonomi dan industri. Malah, bekalan air bersih amat diperlukan sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19.

Gangguan bekalan air membebankan pengguna serta pemilik perniagaan yang sedang menghadapi cabaran ekoran wabak itu. Gangguan bekalan air turut mempengaruhi keyakinan pelabur sekali gus menjejaskan peluang perniagaan.

Apa yang penting adalah usaha pihak berwajib memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan agar aktiviti ekonomi dan industri dapat berjalan tanpa gangguan.

Namun, ini haruslah berjalan seiring dengan kepekaan terhadap isu pencemaran sungai.

Menurut statistik Air Selangor, pada penggal ketiga Julai hingga September  2020, purata penggunaan air bagi setiap individu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 230 liter sehari.

Ia lebih tinggi daripada yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 165 liter, manakala sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah sebanyak 180 liter sehari menjelang tahun 2025.

Setakat Jun 2020, sebanyak 34 LRA Air Selangor membekalkan 5,000 MLD air kepada 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Persoalannya, sejauh manakah pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bersedia berhadapan dengan isu ketiadaan bekalan air yang sebenarnya kerap berulang.  Bagaimana jika berlaku krisis bencana, misalnya peperangan?

Pasukan 60 Rej Pakar Air RAJD (AW) perlu sentiasa didedahkan kepada aset-aset strategik bekalan air negara supaya mereka mampu untuk diaturgerakkan dengan efektif semasa krisis

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.