AcaraBeritaEksklusifIndustri

CyberDSA 2023 : Memandang Wajah Ancaman Siber Secara Berdepan

Kongsi di

CyberDSA 2023 membuka tirai pada 15 Ogos 2023 sebagai sebuah acara rasmi di negara yang mengangkat tema pertahanan dan keselamatan siber. Acara selama tiga hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan pemain- pemain industri di dalam sektor keselamatan dan pertahanan siber tampil menawarkan pelbagai bentuk penyelesaian bagi menghadapi ancaman serangan siber yang bukan sahaja boleh menggugat sektor kewangan dan ekonomi dalam talian, tetapi juga berpotensi menggugat keselamatan negara. Acara ini juga menjadi titik pertemuan penting bagi para pemegang taruh, pemain industri, ahli akademik dan pengamal keselamatan siber untuk membina jaringan ke arah kerjasama yang erat bagi membina kemampuan pertahanan siber yang menyeluruh.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serangan siber berlaku dalam pelbagai bentuk meliputi serangan perisian hasad (malware attack), memancing data (phishing), perdayaan (spoofing) perisian tebusan (ransomware) dan banyak lagi. Serangan-serangan siber ini selain melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit, turut boleh mencetuskan kelumpuhan infrastruktur teknologi maklumat dan juga ancaman keselamatan serius kepada pertahanan negara.

Penganjuran program yang diterajui oleh Aerosea Exhibitions Sdn Bhd ini mendapat sokongan padu daripada CyberSecurity Malaysia dan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP). Perkembangan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menerajui inisiatif ke arah memastikan sektor awam dan swasta bersedia untuk menghadapi cabaran serangan siber yang tidak lagi asing di dunia pada hari ini.

Acara selama tiga hari ini akan menyaksikan pempamer-pempamer yang akan mengetengahkan pelbagai bentuk peralatan dan perisian keselamatan siber terkini. Dianggarkan lebih 5000 peserta daripada 20 negara akan memeriahkan acara ini. CyberDSA 2023 akan mengetengahkan pelbagai perkembangan terkini teknologi keselamatan siber meliputi pertahanan siber , keselamatan jaringan komunikasi daratan dan selular , data raya, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan dan teknologi blok rantai. – – perajurit/mjh (Foto: MJH, CyberDSA)

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.