EksklusifKomunitiSejarah

Flash Point – Laut China Selatan

Kongsi di

Di sebalik ketenangan permukaan air di Laut China Selatan, tersembunyi titik panas yang boleh merungkaikan kedamaian di rantau Asia Tenggara, dan boleh jadi di dunia.

Pada 28 Ogos 2023, Kementerian Sumber Asli China telah mengumumkan peta rasmi[i] negara China versi tahun 2023. Terkandung dalam versi peta berkenaan adalah Garisan Sembilan Sengkang atau Nine-Dash Line yang penuh dengan kontroversi. Garisan berkenaan bersifat kontroversi kerana garisan berkenaan telah bertindih masuk ke dalam wilayah ekonomi ekslusif (Exclusive Economic Zone – EEZ) Malaysia. Selain kontroversi pertindihan tuntutan ke atas EEZ Malaysia, peta terbaru China ini turut bertindih dengan Filipina, Vietnam, Brunei, Republik China (Taiwan), dan Indonesia di Laut China Selatan, serta India, Rusia, Jepun, dan Korea Selatan.

Reaksi

Penerbitan peta rasmi berkenaan telah menerima bantahan rasmi daripada kerajaan Malaysia[ii], Filipina[iii], Vietnam[iv], dan Taiwan[v], atas kemasukan wilayah-wilayah maritim negara-negara berkenaan dalam peta rasmi negara tersebut.

Selain negara-negara berkenaan, peta berkenaan turut bertindih dengan wilayah-wilayah yang kini dikuasai oleh India, Jepun, Korea Selatan, dan Rusia. Setakat ini, kerajaan India telah menyuarakan bantahan kerana peta berkenaan memasukkan wilayah Arunachal Pradesh serta wilayah Aksai Chin yang dikuasai oleh China.

Sejarah

Tuntutan negara China ke atas wilayah EEZ Malaysia bukanlah perkara baru; para penganalisa pertahanan sudah menjangkakan bahawa Laut China Selatan, khususnya kepulauan Spratlys akan menjadi titik punca pertelagahan semenjak 1980an lagi.

Pada tahun 1988, China telah menawan Terumbu Johnson South secara kekerasan, membunuh 64 anggota tentera Vietnam dan kehilangan enam orang askar mereka sendiri.

Pada tahun 1994, China juga telah bertindak keras merampas Terumbu Mischief daripada penguasaan Filipina tanpa sebarang kematian, berhasil daripada tindakan Filipina mengundurkan tentera mereka daripada terumbu berkenaan.

Malaysia juga tidak terlepas daripada tempias perangai China ini. Pada tahun 1999, tentera laut negara berkenaan dikatakan telah cuba mendarat  secara kekerasan di Pulau Layang-Layang yang telah pun diduduki elemen pasukan khas negara. Namun, tiada pengesahan rasmi peristiwa tersebut telah berlaku, dengan satu-satu pengesahan tidak rasmi dibuat oleh seorang bekas anggota lain-lain pangkat TLDM[vi].

Kenapa Wujud Sembilan Garis Sengkang?

Sembilan Garisan Sengkang yang menjadi asas kepada tuntutan China itu bukanlah suatu perkara baru yang wujud pada hari ini. Sebaliknya, garisan itu telah wujud semenjak zaman negara Republik China, yakni, China di bawah penguasaan Nasionalis. Dalam usaha kerajaan Nasionalis China untuk membangkitkan semangat nasionalisme, pemimpin negara berkenaan telah memperkenalkan konsep penghinaan bangsa menggunaan siri beberapa peta yang dipanggil peta penghinaan bangsa China.

Dalam peta berkenaan, mereka memperkenalkan beberapa wilayah yang pada hemat pemimpin China pada masa tersebut merupakan sebahagian daripada wilayah asal China yang telah dirampas oleh penjajah asing. Salah satu peta tersebut merupakan antara peta terawal yang menggariskan kewujudan Sembilan Garisan Sengkang ini. Lebih merisaukan, antara peta-peta ini, terdapat satu peta yang kini dimiliki Chinese University of Hong Kong yang diterbitkan pada tahun 1927 yang memaparkan sebahagian besar rantau Asia Tenggara sebagai wilayah China yang telah jatuh ke tangan penjajah.

Hari Ini

Biarpun hubungan diplomatik Kuala Lumpur dengan Beijing boleh dikatakan rapat sama ada dari segi ekonomi, pertukaran budaya, mahupun dalam bidang ketenteraan (TLDM memiliki empat buah kapal Littoral Mission Ship kelas KERIS buatan China), kapal-kapal People’s Liberation Army – Navy (PLA – N) serta China Coast Guard (CGC) tetap sering menceroboh kawasan EEZ, dengan satu laporan Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa antara tahun 2016 sehingga 2019, sebanyak 89 pencerobohan telah dibuat oleh kapal-kapal PLA – N dan CGC[vii].

Selain peristiwa tahun 1997 yang tidak mendapat pengesahan kerajaan itu, PLA – N pernah melaksanakan satu latihan tentera laut di kawasan sekitar Beting Serupai pada tahun 2013. Pada 2021, giliran PLA – Air Force (PLA – AF) menguji kedaulatan negara dengan menghantar 16 buah pesawat PLAAF yang terdiri daripada pesawat pengangkut strategik IL76 dan Xian Y20.

Tindak Balas Kerajaan Malaysia

Biarpun pencerobohan demi pencerobohan telah dilakukan oleh kapal-kapal PLA – N dan CGC, tindak balas daripada kerajaan Malaysia boleh dikatakan, lemau. Bukan sahaja kerajaan Malaysia melalui Wisma Putera setakat menghantar nota bantahan terhadap tindakan pencerobohan negara berkenaan, mereka juga enggan mengiktiraf bahawa negara kita berhadapan dengan masalah pencerobohan oleh negara tersebut.

Malahan terdapat suatu tempoh masa, di mana hubungan antara kedua-dua negara dibayangkan adalah sebagai sebahagian daripada kesinambungan daripada hubungan China Dinasti Ming dengan Kesultanan Melayu Melaka. Tindak balas Dinasti Ming, khususnya terhadap kehadiran rombongan Portugis di Macau selepas tumbangnya Melaka dikatakan sebagai membalas dendam penjajahan Portugis ke atas Melaka.

Penulis Portugis tersohor, Tome Pires, yang menulis Suma Oriental yang turut bersama rombongan Portugis ke Macau akhirnya antara yang menjadi tawanan kepada Dinasti Ming. Bayangan tersebut ke atas kedua-dua Malaysia dan Indonesia itu sekaligus melemahkan pendirian ASEAN bersatu berhadapan dengan tindak-tanduk China.

Perbelanjaan Pertahanan Malaysia

Tindakan berdolak-dalik kerajaan Malaysia terhadap ancaman negara berkenaan yang menjadi ancaman kepada kedaulatan negara kian menjadi; kali terakhir negara berkenaan dilihat sebagai ancaman keberlangsungan negara adalah selepas elemen kepimpinan Parti Komunis Malaya (PKM) dan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang berselindung di negara berkenaan membuat keputusan meletakkan senjata selepas angin perubahan di dunia komunis yang menyaksikan tamatnya Perang Dingin.

Dividen keamanan setelah tamatnya Perang Dingin juga menyaksikan kerajaan Malaysia mula mengabaikan kepentingan perbelanjaan pertahanan. Perolehan besar dan bermakna terakhir telah dibuat di bawah Program PERISTA menyaksikan peruntukan terbesar kepada sektor pertahanan dibuat pada tahun 1981, dengan jumlah peruntukan pada 5.8% daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Peruntukan ini telahpun menurun dengan mendadak kepada sekadar 0.9% daripada KDNK pada tahun 2019.

Sebagai perbandingan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (North Atlantic Treaty Organisation – NATO) telah menggariskan bahawa perbelanjaan pertahanan yang mampan serta terus membangunkan keupayaan baharu memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya 2.0% daripada KDNK negara tersebut. Manakala perbelanjaan antara 1.0% ke 2.0% sekadar cukup untuk memastikan keberlangsungan keupayaan sedia ada. Dan sekiranya perbelanjaan jatuh kepada kurang daripada penanda aras di atas, akan menyaksikan keupayaan pertahanan sesebuah negara itu dimamah usia dan pengusaian besar-besaran, seperti mana yang dihadapi oleh ATM hari ini, khususnya oleh TLDM dan TUDM.

Ketiadaan semangat politik atau political will melakukan perkara yang betul turut diburukkan oleh pempolitikan perolehan pertahanan berserta amalan pecah amanah dalam sektor pertahanan. Penyokong kerajaan akan mempertahankan pemerolehan pertahanan, dan penyokong pembangkang terus menyerang isu pemerolehan sebagai tidak telus dan dipengaruhi elemen rasuah. Dengan sikap penyokong kedua-dua belah pihak yang amat mudah ‘memaafkan dan meraikan’ atau ‘mengutuk’ mana-mana ahli politik yang bertukar pihak, memudahkan golongan ini mempolitikkan isu pertahanan serta menyembunyikan isu sebenar di sebalik keperluan untuk kerahsiaan dalam pemerolehan pertahanan.

Perbandingan Dengan Negara Jiran

Sebagai perbandingan, kedua-dua Filipina dan Vietnam terus membangunkan keperluan pertahanan mereka dengan meningkatkan pemerolehan pertahanan mereka. Pada tahun 2021[viii], Vietnam telah membelanjakan USD5.5 bilion untuk pertahanan, lebih kurang 2.0% daripada KDNK negara berkenaan. Biarpun Filipina hanya membelanjakan sebanyak 1.0% KDNK mereka pada 2021[ix] untuk pertahanan, mereka telah menandatangani perjanjian untuk membeli sembilan buah kapal Fast Attack and Interdiction Craft (FAIC) kelas ACERO daripada Israel[x].  

Filipina turut menamakan semula wilayah berkenaan sebagai Laut Filipina Barat[xi] (West Philippines Sea) sebagai tindak balas terhadap tindakan China menggunakan nama Laut China Selatan itu sendiri sebagai bukti sejarah tuntutan mereka. Malaysia boleh juga mengambil langkah sama dengan menamakan laut berkenaan sama ada sebagai Laut Melayu atau Laut Champa[xii], iaitu nama lama sebelum kehadiran penjajah di wilayah ini. Namun, langkah tersebut bersifat tidak produktif. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kewujudan Lautan Hindi Selatan ke arah selatan India tidak menyaksikan India menuntut lautan berkenaan.

Dalam hal berhadapan dengan China ini, boleh dikatakan Vietnam bersifat paling agresif, mungkin kerana kedua-dua negara pernah berperang dalam Perang Sino – Vietnam, dan juga menyokong pihak berbeza dalam Perang Saudara Kemboja. Selain sentiasa menggunakan militia nelayan mereka secara agresif dalam mempertahankan tuntutan mereka, Vietnam turut mengambil langkah dalam hal hiburan. Kemakmuran ekonomi China serta pasaran China yang luas menyaksikan banyak Syarikat China yang melabur dalam filem di Hollywood.

Syarikat-syarikat China ini menggunakan pengaruh mereka untuk memasukkan elemen pro-China dalam filem-filem barat, dan malahan memasukkan peta yang memaparkan Sembilan Garisan Sengkang ini dalam filem-filem seperti “The Abominable[xiii]” dan “Barbie[xiv]”, yang mana pihak berkuasa Vietnam telah bertindak mengharamkan filem-filem berkenaan. Namun, kehadiran pelabur-pelabur besar daripada China yang cuba mengawal naratif filem Hollywood ini sudah mula menjelakkan segelintir pengusaha filem Hollywood, yang mana filem Top Gun 2022 tetap memasukkan bendera Republik China pada jaket yang dipakai oleh watak utama yang dilakonkan oleh Tom Cruise bagi mengingati veteran Amerika Syarikat serta sekutu-sekutu mereka, termasuk Republik China[xv]

Elemen Lain – White-Hull Navy

Dalam membincangkan pencerobohan China ke wilayah-wilayah bertindih di Laut China Selatan, adalah amat penting bagi kita membincangkan elemen baru yang diwujudkan oleh negara berkenaan, iaitu penggunaan kaedah White-Hull Navy.

Menurut artikel Collin Koh bertajuk “The South China Sea’s ‘White-Hull’ Warfare[xvi] yang diterbitkan oleh The National Interest pada tahun 2016, ahli teori Harold Kearsley pada tahun 1992, memperkenalkan konsep di mana kapal-kapal agensi pengawal pantai atau white-hull navy dilihat sebagai kuasa pengimbang. Namun, menyedari bahawa kapal-kapal agensi pengawal pantai ‘dilihat’ sebagai kurang agresif, China telah menumpukan taktik mereka dengan membangunkan kekuatan agensi CGC dan menggunakan agensi tersebut dengan agresif di Laut China Selatan. Hasilnya, kebanyakan pencerobohan oleh China dilaksanakan oleh CGC berbanding PLA – N.

Dari satu segi, tindakan proaktif kerajaan Malaysia dalam menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) boleh dilihat sebagai tindakan yang memahami keperluan agensi berkenaan dalam melaksanakan tugas pengawalan kedaulatan perairan negara dalam keadaan yang boleh mengurangkan ketegangan. Namun, pengaplikasian white-hull navy oleh China yang menggunakan agensi CGC secara agresif terhadap negara-negara lain menjadikan agensi berkenaan kelihatan seolah-olah tidak bertaring.

Malah, terdapat juga mereka yang mempersoalkan keperluan agensi berkenaan, tanpa menyedari bahawa agensi berkenaan merupakan cara terbaik bagi Malaysia menangani ancaman pencerobohan China. Mereka beranggapan bahawa cukup untuk menggunakan kapal-kapal TLDM untuk melaksanakan tugas interdiksi terhadap kapal-kapal China, malahan kapal-kapal penceroboh daripada negara lain, tanpa menyedari bahawa tindakan menghantar kapal perang TLDM untuk berhadapan dengan agensi maritim yang bersifat ‘awam’ ini boleh diputarbelit dan memperlihatkan negara sebagai aggressor dalam hal ini.

Kesan Di Luar ASEAN

Sepertimana disebut di awal rencana ini, peta rasmi baharu China ini juga membawa implikasi di luar daripada Asia Tenggara semata-mata. Kita akan lihat implikasi ini dari tiga segi, iaitu kesan ke atas kebangkitan kuasa ketenteraan Jepun, kemunculan AUKUS, dan kesan ke atas BRICS.

Kebangkitan Kuasa Ketenteraan Jepun

Tamatnya Perang Dunia Kedua menyaksikan Jepun beralih kepada menjadi sebuah kuasa pasifis. Keperluan pasifisme dimasukkan ke dalam Perlembagaan Jepun oleh penguasa Amerika Syarikat. Biarpun terdapat bekas pemimpin tentera Jepun dan politik yang tidak terpalit dengan jenayah perang telah cuba memaksa kerajaan mereka untuk mengukuhkan kembali kekuatan ketenteraan mereka, kebanyakan usaha ini tidak mendapat sokongan ramai.

Namun, dalam tempoh sedekad yang lalu, kerajaan Jepun sudah mula mengorakkan langkah untuk mengukuhkan kembali kekuatan ketenteraan mereka, khususnya apabila mereka menyedari bahawa Amerika Syarikat yang menjadi penjamin keamanan mereka selama ini selepas tamat Perang Dunia Kedua berhadapan masalah berperang di lebih daripada satu medan peperangan. Perang Afghanistan dan Perang Iraq yang berakhir menjadi penjajahan oleh kuasa besar itu telah banyak mengalihkan fokus kuasa besar tersebut daripada sebuah angkatan perang konvensional kepada sebuah angkatan yang terlalu menumpukan perhatian terhadap peperangan anti-insurgensi.

Pada masa sama, kebangkitan kuasa ketenteraan China mula menyerlah dengan negara berkenaan mula mengoperasikan dua buah kapal pengangkut pesawat yang bersifat strategik. Pada masa sama, Korea Utara mula bersikap agresif semula dengan memulakan kembali program senjata nuklear dan program peluru berpandu antara benua (InterContinental Ballistic Missile – ICBM).

Memburukkan keadaan adalah perang Russo – Ukraine. Dengan sebahagian besar NATO dan Amerika Syarikat bertungkus lumus membantu Ukraine, Jepun menyedari bahawa Amerika Syarikat juga berhadapan risiko terlibat dalam perang di terlalu banyak medan. Mereka juga risau sekiranya Russia bertindak agresif terhadap Jepun yang masih lagi mempunyai tuntutan ke atas kepulauan Sakhalin yang telah ditawan Russia di hujung Perang Dunia Kedua. Sebagai rekod, deklarasi perang antara Russia dan Jepun masih belum ditamatkan biarpun Perang Dunia Kedua sudah lama tamat.

Langkah kerajaan Jepun untuk mengukuhkan semula tentera mereka adalah selaras dengan perancangan Amerika Syarikat bagi menambahkan sekutu yang berkeupayaan untuk berhadapan dengan ancaman bersama daripada China, Korea Utara, dan Russia[xvii].

Kerjasama AUKUS antara Amerika Syarikat, Britain, dan Australia

Peningkatan ancaman daripada China juga secara tak langsung memberi kesan terhadap Australia. Sebagai salah satu daripada lima negara yang terlibat dalam Five Power Defence Arrangements (FPDA), Australia secara aktif membantu Malaysia dalam hal ehwal rondaan maritim. Malahan, pesawat P-8 Poseidon Tentera Udara Diraja Australia (TUDA – RAAF) terlibat secara aktif dalam membantu pihak berkuasa Malaysia mengesan kapal ORKIM HARMONI apabila kapal berkenaan dirampas lanun[xviii].

Beban FPDA pada Australia juga adalah yang paling berat antara tiga buah negara penjamin, iaitu Britain, Australia, dan New Zealand. Angkatan Tentera Britain sedang mengalami penguncupan saiz[xix] sehinggakan terdapat kerisauan bahawa angkatan tentera negara berkenaan tidak akan mempunyai sebarang keupayaan ofensif serta power projection untuk terlibat secara langsung dalam medan operasi di Eropah. Angkatan Tentera New Zealand pula sudah lama tidak mempunyai keupayaan ofensif. Dengan hanya Singapura sahaja mempunyai taring, amat sukar bagi negara Kangaroo itu memastikan mereka berupaya meneruskan komitmen mereka.  

Bagi membendung kebangkitan China yang boleh mengancam keupayaan Australia untuk melaksanakan tanggungjawab di bawah FPDA, maka negara berkenaan telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat serta Britain untuk menubuhkan AUKUS (Australia, United Kingdom, and the United States)[xx].

SAN DIEGO, CALIFORNIA – 13 MAC: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese (kiri), Presiden AS Joe Biden (tengah) dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak (kanan) mengadakan sidang media selepas mesyuarat tiga hala semasa sidang kemuncak AUKUS pada 13 Mac 2023 di San Diego, California. Presiden Biden menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di San Diego untuk mesyuarat AUKUS bagi membincangkan perolehan kapal selam berkuasa nuklear di bawah pakatan antara tiga negara. (Foto oleh Leon Neal/Getty Images)

Kesan Ke Atas BRICS

Brazil, Russia, India, China, dan Afrika Selatan merupakan negara-negara yang terlibat dalam perkumpulan ekonomi BRICS. Perkumpulan BRICS ini dikatakan perkumpulan negara-negara yang mempunyai potensi pembangunan ekonomi sedunia. Gabungan ekonomi-ekonomi negara ini bernilai USD26.03 trilion pada tahun 2022[xxi], dan adalah lebih besar daripada ekonomi Amerika Syarikat pada USD20.18 trilion pada masa yang sama[xxii].

Perang Russo – Ukraine telah sedikit sebanyak merapatkan hubungan antara anggota kumpulan berkenaan lantaran tindakan Amerika Syarikat menjadikan sistem kewangan antarabangsa sebagai senjata untuk memaksa Russia untuk menghentikan peperangan. Pada masa sama, Russia telah juga mempergunakan Kumpulan berkenaan sebagai pemangkin kepada aktiviti dedollarisation[xxiii], yang secara langsung memaksa Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah dalam negara berkenaan. Hasilnya, peningkatan kadar faedah pinjaman yang dituruti dengan pelemahan matawang hampir setiap negara di dunia.

China adalah antara kuasa utama yang berdiri di sebalik BRICS. Namun, tindakan China mengumumkan peta rasmi baharu berkenaan secara tidak langsung mengganggu dua negara lain yang terlibat dalam BRICS, iaitu India dan Russia.

Biarpun India pernah berperang melawan China pada tahun 1962[xxiv] yang menyaksikan India dimalukan oleh China, kehadiran Russia dalam BRICS menyaksikan India menggunakan Russia untuk mempengaruhi tindak-tanduk China. Dengan China memasukkan pulau Bolshoi Ussuriysky[xxv] dalam peta rasmi baharu tersebut, menandakan bahawa China boleh jadi akan tidak menghormati perjanjian antara Beijing dan Moscow pada tahun 2005. Apatah lagi ketika ini, Russia dikatakan terlalu bergantung kepada China untuk bantuan ekonomi.

Pengaruh Rusia Ke Atas India

Pengaruh Rusia ke atas India pula kian terkikis. Perang Russo – Ukraine menyaksikan India mendapatkan bekalan dan peralatan perang daripada negara-negara selain Russia. Sekatan ekonomi dan eksport dikenakan ke atas Russia serta keperluan medan perang menyebabkan Russia sukar membekalkan bekalan tersebut kepada India[xxvi].

Menyedari bahawa India amat bergantung kepada Russia dari segi pertahanan, Amerika Syarikat telahpun mula memasukkan jarum untuk negara berkenaan untuk beralih arah kepada peralatan perang daripada Amerika Syarikat. Ini dilihat melalui tawaran Amerika Syarikat untuk menjual F/A-18E/F Super Hornet[xxvii] kepada India. Selain Amerika Syarikat, Perancis juga telah pun lebih awal mengorak langkah menjual pesawat Rafale[xxviii] kepada negara berkenaan. Sebelum ini, Perancis juga pernah membekalkan pesawat daripada keluarga Mirage kepada India.

Dengan kebergantungan India kepada Russia dilemahkan, Delhi boleh jadi tidak lagi memerlukan persepakatan BRICS. Apatah lagi China turut menuntut Arunachal Pradesh dan masih lagi menguasai Aksai Chin. Pada masa sama, China juga bersekutu dengan Pakistan, musuh ketat India serta cuba mendapatkan beberapa pelabuhan di Myanmar[xxix], Pakistan[xxx], dan Sri Lanka[xxxi]. Pelabuhan-pelabuhan ini menjadi pemangkin kepada China untuk masuk ke Lautan Hindi Selatan.

Kesimpulan

Dengan keadaan geopolitik sedunia semakin tidak menentu, situasi di Laut China Selatan hampir pasti akan menjadi kian panas. Apakah Putrajaya sudah bangun daripada tidur yang cukup enak di atas kerusi empuk yang kian panas? Apakah kita masih lagi beranggapan bahawa kemungkinan perang ini terpencil dan hanya retorik propaganda barat untuk memaksa China ke medan perang? Atau kita sudah menjadi Mat Jenin yang tidur terlalu lama di atas pokok? Hanya masa sahaja yang menentukan, dan kita amat berharap jangkaan kita adalah salah.


[i] https://www.nst.com.my/world/world/2023/08/948686/china-unveils-new-map-territories-which-include-waters-sabah-and-sarawak

[ii][ii][ii] https://www.nst.com.my/news/nation/2023/08/949448/malaysia-lodge-formal-protest-against-chinas-south-china-sea-map-claims

[iii] https://www.channelnewsasia.com/asia/china-new-map-south-china-sea-territory-claim-protest-malaysia-india-indonesia-3736831

[iv] https://economictimes.indiatimes.com/news/international/world-news/malaysia-philippines-and-taiwan-protest-china-map/articleshow/103257959.cms?from=mdr

[v] https://www.bloomberg.com/news/articles/2023-08-31/vietnam-opposes-new-china-map-claiming-south-china-sea-islands

[vi] https://fb.watch/n3xG2Rn9Ov/?mibextid=i76BS0

[vii] https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/06/01/rmaf-intercepts-16-chinese-air-force-planes-over-malaysia/

[viii] Vietnam: annual defense government spending | Statista

[ix] Military expenditure (% of GDP) – Philippines | Data (worldbank.org)

[x] Philippines puts first two Acero-class fast interdiction crafts into service – Asia Pacific Defense Journal

[xi] In South China Sea, Even the Name is Disputed — BenarNews

[xii] Asal Usul Nama Laut Melayu Untuk Laut China Selatan – The Patriots

[xiii] Vietnam pulls Abominable film over South China Sea map – BBC News

[xiv] https://variety.com/2023/film/news/barbie-banned-vietnam-movie-warner-bros-1235660317/#:~:text=%E2%80%9CWe%20do%20not%20grant%20license%20for%20the%20American,for%20multiple%20films%20and%20TV%20series%20in%20Vietnam.

[xv] ‘Top Gun: Maverick’ Trailer Restores Taiwan & Japan Flag Patches – Report – Deadline

[xvi] The South China Sea’s ‘White-Hull’ Warfare | The National Interest

[xvii] Pacifist Japan unveils biggest military build-up since World War Two | Reuters

[xviii] Australian Air Force trails missing Malaysian tanker found in Cambodian waters – ABC News

[xix] Does the UK need to change its defence strategy after the Ukraine war? | Financial Times

[xx] Aukus: UK, US and Australia launch pact to counter China – BBC News

[xxi] BRICS: GDP per country 2028 | Statista

[xxii] GDP report shows U.S. economy grew in 2022 – The Washington Post

[xxiii] De-Dollarization: Here’s What 5 World Leaders Said Amid BRICS Summit (businessinsider.com)

[xxiv] India-China dispute: The border row explained in 400 words – BBC News

[xxv] Russia Breaks Silence Over China Map Claiming Its Territory (newsweek.com)

[xxvi] India is cutting back its reliance on Russian arms (economist.com)

[xxvii] F/A-18 Super Hornet to enhance India’s naval and industrial capability (forceindia.net)

[xxviii] What’s India-France fighter jet deal all about? – DW – 08/03/2021

[xxix] Military, Chinese preparations underway to open Kyaukphyu Special Economic Zone and deep sea port (myanmar-now.org)

[xxx] For locals, a China-funded port in Pakistan brings fears of being erased – The China Project

[xxxi] AidData Report Warns of a Chinese Naval Base in Sri Lanka’s Hambantota Port – The Diplomat

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.