Kebangkitan (dan Kejatuhan) Kontraktor Tentera Swasta
Pada 22 Februari 2022, ketika Angkatan Tentera Persekutuan Rusia mengempur dan melanggar masuk ke dalam sempadan dan garisan kawalan Ukraine, sebuah entiti yang sekian lama bergerak di sebalik tabir mula menampakkan diri mereka dan turut serta dalam pergerakan Tentera Rusia. Kumpulan tersebut, Wagner, sebuah syarikat kontraktor tentera swasta (Private Military Contractor – PMC), istilah baru kepada pasukan tentera upahan.
Penglibatan pasukan tentera Wagner bersama-sama tentera Rusia pada Februari 2022 itu menjadi penanda aras kepada kemunculan semua tentera upahan sebagai pilihan yang mampan bagi negara-negara dalam peperangan tanpa mengotori tangan mereka. Namun begitu, tindakan mengupah tentera upahan turut membawa risiko yang amat besar.
Apa itu Tentera Upahan?
Tentera upahan[i] atau nama yang lebih molek, iaitu kontraktor tentera swasta adalah individu yang telah direkrut sama ada dari kalangan anak tempatan mahupun dari luar negara untuk terlibat dalam peperangan sebagai ahli kepada organisasi yang bukan merupakan sebahagian daripada angkatan tentera yang terlibat secara langsung dalam peperangan.

Definisi ini secara langsung mengecualikan pasukan legion asing yang direkrut secara rasmi sebagai sebahagian daripada ketumbukan angkatan tentera rasmi sesebuah negara, seperti pasukan Legion Asing Perancis, pasukan Legion Asing Sepanyol, dan pasukan Legion Asing Ukraine. Definisi ini juga mengecualikan warga-warga asing yang menyertai ketumbukan angkatan tentera rasmi sesebuah negara tanpa mengambil kira pangkat.
Dalam bahasa pasar, tentera upahan adalah pasukan tentera yang dimiliki oleh syarikat swasta dan mendapat kontrak untuk berperang bagi pihak yang boleh membuat bidaan tertinggi.
Untuk tujuan rencana ini, kita akan menggunakan frasa kontraktor tentera swasta, PMC, dan tentera upahan bagi merujuk perkara yang sama.
Kenapa Mengupah Tentera Upahan?
Pengambilan tentera upahan membolehkan sesebuah negara ataupun puak bertelagah untuk memperbesarkan saiz pasukan dan kepakaran dengan lebih cepat, khususnya kalau pasukan tentera upahan tersebut sudahpun memiliki peralatan perang mereka sendiri. Sebagai contoh, pasukan tentera upahan seperti Blackwater, Wagner, dan Executive Outcome memiliki kereta kebal, helikopter, artileri serta jet mereka sendiri untuk melaksanakan operasi mereka.
Sebilangan tentera upahan mempunyai kepakaran tertentu yang membolehkan mereka menjadi pengganda keupayaan (force multiplier) di medan tempur. Ramai bekas anggota pasukan khas dan anggota pasukan elit yang mengambil keputusan untuk menyertai pasukan tentera upahan, menjadikan pengambilan tentera upahan ini sebagai satu pilihan menarik untuk mana-mana negara yang hendak membesarkan angkatan tenteranya dengan cepat.
Yang menjadikan pengupahan tentera upahan sebagai suatu pilihan menarik kepada mana-mana negara adalah penafian bermunasabah (plausible deniability). Penafian bermunasabah ini amat penting bagi sesebuah negara untuk menafikan penglibatan mereka dalam sesebuah konflik tanpa pengumuman perang secara rasmi. Contoh terbaik adalah penglibatan Wagner sebagai askar berbaju hijau (little green men) di wilayah Donbass dan Crimea pada tahun 2014 serta pasukan-pasukan upahan yang diupah oleh Divisyen Aktiviti Khas Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA Special Activities Division).
Tangan Yang Terselindung
Memandangkan tentera upahan bukanlah sebahagian daripada ketumbukan rasmi sesebuah negara, kematian dan kecederaan yang dialami oleh pasukan tentera upahan tidak dikira sebagai sebahagian daripada kematian dan kecederaan ketumbukan tentera rasmi. Berdasarkan kajian oleh Brown University, Amerika Syarikat, peperangan di Iraq dan Afghanistan telah mengakibatkan seramai 7,057 anggota pasukan tentera Amerika Syarikat terkorban. Dalam tempoh yang sama, jangkaan seramai 8,000 anggota tentera upahan turut terbunuh, dengan angka jangkaan ini hanya mengambil kira warga Amerika Syarikat sahaja dengan tiada angka rasmi dilaporkan oleh Pentagon[ii].
Satu lagi daya tarikan untuk mengupah tentera upahan adalah mereka tidak berhadapan dengan sekatan serta karenah birokrasi sepertimana yang dihadapi oleh sesebuah angkatan ketumbukan tentera rasmi, membolehkan mereka ditempatkan di negara asing serta melaksanakan operasi menyelamat sekiranya perlu. Daya tarikan ini turut menyaksikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan China turut menubuhkan satu variasi kepada tentera upahan yang dipanggil syarikat keselamatan swasta (private security companies)[iii].
Risiko Mengupah Tentera Upahan
Risiko Taat Setia
Risiko paling utama dalam membicarakan mengenai tentera upahan adalah taat setia. Sepertimana nama profesion tersebut, tentera upahan adalah tentera upahan semata-mata. Patriotisme tiada tempat dalam pasukan tentera upahan. Dengan kata lain, duit adalah raja kepada mereka.
Risiko ini bukan sahaja dihadapi oleh tentera upahan. Pasukan legion asing juga berhadapan dengan risiko ini. Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua di medan Eropah, pasukan perisikan Tentera Jerman, Abwehr, telah melaksanakan misi penyusupan ke dalam Pasukan Legion Asing Perancis. Sejurus sebelum perang tercetus, separuh kekuatan anggota prebet serta 80% pegawai tak bertauliah Pasukan Legion Asing Perancis merupakan warga Jerman[iv].
Ketidakpatuhan Oleh Pasukan Tentera Upahan Kepada Konvensyen Geneva
Konvensyen Geneva tidak memperuntukkan perlindungan kepada tentera upahan. Sekiranya mereka tertawan dalam pertempuran, hak mereka untuk mendapat perlindungan sebagai tawanan perang amat bergantung kepada budibicara pasukan yang menawan mereka. Dalam kebanyakan masa, mereka hanya akan dilayan sebagai penjenayah biasa sepertimana layanan diberikan kepada anggota Legion Asing Ukraine yang ditawan oleh Rusia dalam perang Russo – Ukraine. Namun, dalam hal Legion Asing Ukraine yang ditawan ini, layanan ini sebenarnya bersifat kontroversi kerana mereka sebenarnya diiktiraf sebagai ketumbukan rasmi Angkatan Tentera Ukraine[v].
Ketiadaan perlindungan di bawah Konvensyen Geneva ini secara tidak langsung menyebabkan pasukan tentera upahan untuk tidak mematuhi Konvensyen Geneva itu sendiri. Dan secara tidak langsung, ketiadaan perlindungan ini menyebabkan anggota tentera upahan yang lebih rela membunuh tawanan mereka tanpa mengambil kira siapa tawanan tersebut dan sama ada mereka masih menjadi ancaman kepada mereka.
Ketidakpatuhan Kepada Konvensyen Hague V
Sebagai langkah untuk mengelakkan peperangan berleluasa tanpa kawalan, Artikel 4 kepada Konvensyen Hague V turut menggariskan bahawa sesebuah pasukan tentera upahan daripada sebuah negara yang terlibat dalam peperangan tidak boleh membuka cawangan untuk merekrut anggota tentera upahan baru di negara-negara berkecuali[vi]. Dengan mengambil contoh aktiviti perekrutan yang dibuat oleh Wagner, tindakan mereka dalam merekrut anggota tentera upahan dalam Serbia[vii] dan Syria[viii] jelas melanggar peruntukan ini.
Negara-negara berkecuali hendaklah mengambil tindakan untuk menghalang aktiviti merekrut berlaku dalam wilayah mereka. Namun, tiada halangan dikenakan kepada individu-individu daripada negara berkecuali untuk direkrut di negara yang terlibat dalam peperangan tersebut. Dalam hal ini, kita boleh mengambil contoh kerajaan Nepal yang tidak berdaya untuk mengambil tindakan ke atas warga Nepal yang memilih untuk menyertai Wagner di Russia[ix].
Kriteria Pengrekrutan yang Longgar
Pasukan tentera upahan mempunyai kriteria pengrekrutan yang amat longgar. Asalkan pemohon berupaya bertempur, latar belakang mereka tidak menjadi keutamaan. Secara tidak langsung, anggota kumpulan penjenayah boleh menyeludup masuk ke dalam kumpulan mereka.
Untuk kes kumpulan Wagner, mereka sebenarnya merekrut anggota baru dari kalangan penghuni penjara. Secara tak langsung, kemungkinan penjenayah tegar menyertai pasukan tentera upahan adalah amat tinggi.
Lebih membahayakan, apabila anggota rekrut baru dari penjara bertindak lari dari medan bersama-sama dengan senjata yang baru diperoleh. Sekurang-kurangnya satu kes penembakan telah dilakukan oleh seorang anggota tentera Wagner yang lari dari medan di bandar Rostov dan mencederakan dua anggota polis Rusia[x].
Risiko Penyeludupan Senjata
Memandangkan kumpulan-kumpulan tentera upahan memiliki peralatan dan persenjataan masing-masing, risiko berlaku penyeludupan senjata secara berleluasa meningkat dengan mendadak. Malah, sebilangan tentera upahan telahpun terlibat secara langsung dengan penyeludupan senjata[xi] [xii].
Lebih berbahaya adalah penyeludupan teknologi peralatan ketenteraan yang canggih. Dengan mengambil contoh pengasas kumpulan Blackwater, Erik Dean Prince disiasat oleh kerajaan Amerika Syarikat atas tuduhan menyeludup senjata ke Libya[xiii] dan membantu menyeludup teknologi Amerika Syarikat yang mempunyai sekatan ke China[xiv].
Kumpulan-Kumpulan Tentera Upahan Utama dan Kisah Mereka
Seterusnya, kita akan melihat kebangkitan beberapa kumpulan tentera upahan dan bagaimana kumpulan-kumpulan ini berakhir dengan kejatuhan.
Wagner
Kumpulan ini mula menampakkan diri mereka di Crimea pada tahun 2014 sebagai ‘askar berbaju hijau’ tanpa lambang unit dan negara, di mana mereka telah membantu ‘kebangkitan rakyat tempatan’ mengangkat senjata menentang kerajaan Ukraine. Penglibatan mereka ini membawa kepada campur tangan tak rasmi Rusia dalam hal ehwal Ukraine dan seterusnya memperlihatkan wilayah tersebut telah dimasukkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada Rusia melalui referendum yang dilihat dibuat di muncung senjata[xv].
Dalam hal ini, Rusia telah meniru langkah yang diambil oleh Angkatan Tentera Amerika Syarikat di Iraq dan juga mencontohi langkah CIA SAD yang menggunakan tentera upahan untuk penafian bermunasabah.
Penganalisa dari barat sering menggunakan penglibatan ‘askar berbaju hijau’ di Crimea sebagai bukti kemunculan kumpulan Wagner sebagai sebuah pasukan tentera upahan, perang Crimea itu sendiri boleh dilihat sebagai pencetus kepada sekumpulan individu yang mempunyai pengalaman lampau yang sama dan memiliki pandangan yang sama berkumpul dalam pertubuhan yang sama. Contoh terbaik yang lampau adalah penubuhan al Qaeda oleh Osama bin Laden dengan bekas anggota Mujahidin yang bersama-sama berjuang dalam kempen menentang penjajahan Afghanistan oleh Soviet Russia, dengan al Qaeda bertujuan sebagai pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan bekas anggota Mujahidin (Perajurit, 1997).
Wagner di Benua Afrika
Selepas 2014, kumpulan Wagner muncul dan beroperasi di beberapa buah negara, khususnya Libya, Syria, dan Mali. Kumpulan aktivis hak asasi manusia telah menuduh Wagner terlibat dalam jenayah perang. Sebagai contoh, pada tahun 2021 rangkaian media CBS yang berpusat di Amerika Syarikat telah menuduh Wagner membunuh sekitar 100 orang penduduk kampung di Bambari[xvi], Central African Republic untuk memaksa mereka meninggalkan perkampungan mereka supaya mereka boleh merampas lombong emas di situ.
Di Mali, Angkatan Tentera Perancis turut menuduh kumpulan Wagner melakukan pembunuhan beramai-ramai dan telah menanam bukti palsu untuk menuduh pembunuhan tersebut telah dilakukan oleh askar Perancis[xvii]. Askar Perancis berada di Mali bagi membantu kerajaan negara tersebut untuk menangani ancaman daripada kumpulan militan Islam yang mempunyai hubungan dengan kumpulan al Qaeda. Tentera Perancis terpaksa meninggalkan Mali apabila kerajaan negara tersebut memilih untuk mengupah Wagner bagi meningkatkan keupayaan angkatan tentera negara tersebut.
Wagner di Ukraine
Seperti disebut di awal rencana ini, Wagner terlibat dalam peperangan Russo – Ukraine bagi pihak kerajaan Rusia untuk menawan Ukraine. Namun, kehadiran mereka di Ukraine secara tidak langsung telah bercanggah dengan objektif rasmi kerajaan Rusia di Ukraine, yakni untuk menyah-nazi-kan negara Ukraine.
Kumpulan Wagner itu sendiri dinamakan sempena komposer muzik Jerman terkemuka abad ke-19 yang juga dikenali sebagai seorang yang memegang fahaman anti-semitik, Wilhelm Richard Wagner. Antara peminat tegar komposer berkenaan adalah Adolf Hitler[xviii], pemimpin Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Dimitry Utkin[xix], individu yang dikatakan sebagai pengasas kepada Wagner, merupakan seorang bekas anggota pasukan khas dari cawangan perisikan Tentera Russia, GRU, dikatakan sebagai seorang neo-Nazi dan menggunakan panggilan Wagner dalam operasi.
Walaupun Utkin dikatakan sebagai pengasas kepada kumpulan Wagner, satu lagi nama yang muncul sebagai pengasas sebenar kepada kumpulan berkenaan. Yevgheny Prigozhin, seorang penyokong tegar Presiden Vladimir Putin yang juga digelar sebagai ‘Tukang Masak Putin[xx]’ tampil mengaku bahawa beliau adalah pengasas dan pendana sebenar kepada kumpulan Wagner. Prigozhin juga pernah mengaku terlibat secara langsung menjalankan kempen campur tangan ke dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat[xxi].
Berikutan dengan penglibatan kumpulan tersebut dalam perang di Ukraine, pada 26 Januari 2023, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah menyenaraikan kumpulan tersebut sebagai kumpulan penjenayah merentasi sempadan. Tindakan ini membolehkan tindakan sekatan dikenakan ke atas individu yang berkaitan dengan kumpulan Wagner[xxii].
Dalam peperangan Russo – Ukraine, kumpulan Wagner menjadi terkenal kerana penggunaan anggota kerahan kontrak dari penjara-penjara di Rusia dalam serangan ombak manusia ke atas kedudukan tentera Ukraine di bandar Bakhmut[xxiii]. Mereka berjaya menawan bandar berkenaan setelah hampir sepuluh bulan serta mengalami sekurang-kurangnya 20,000 kematian dari kalangan anggota kerahan dari penjara[xxiv].
Prigozhin

Percubaan Rampasan Kuasa oleh Prigozhin
Sepanjang perang Russo – Ukraine, Prigozhin sering menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Kementerian Pertahanan Rusia. Dia menuduh Kementah Rusia sering menghalang bekalan daripada sampai ke pasukan Wagner. Tuduhan-tuduhan terhadap Kementah Russia semakin menjadi-jadi dan menjadi lebih teruk pada 23 June 2023 apabila dia menuduh bahawa casus belli rasmi kerajaan Rusia dalam perang tersebut adalah palsu semata-mata dan Menteri Pertahanan Russia, Shergei Shoigu telah menipu Putin bahawa Ukraine tengah merancang untuk menyerang Russia.
Kemudian, Prigozhin sekali lagi mengamuk dan menuduh tentera Rusia telah sengaja mengebom kedudukan Wagner[xxv] di Ukraine, mengorbankan sebilangan anggotanya. Seterusnya, dia telah mengajak anggota-anggotanya untuk bangkit dan mara[xxvi] ke Moscow untuk mendapatkan penjelasan dan keadilan. Tindakan Prigozhin itu amat mengganggu keupayaan tentera Rusia untuk menghadapi serangan balas Tentera Ukraine, apatah lagi, apabila kumpulan berkenaan telah merampas bangunan yang menjadi markas rancangan operasi Tentera Rusia dalam Ukraine ketika kumpulan itu memasuki bandaraya Rostov[xxvii].
Pada saat-saat akhir semasa kumpulan berkenaan sedang mara ke Moscow, Prigozhin telah menerima tawaran yang dibuat oleh Presiden Belarus Anthony Lukashenko untuk dibuang negara[xxviii] ke Belarus. Manakala, anak-anak buahnya diizinkan untuk mendapatkan kontrak dengan Tentera Rusia.
Kejayaan Mengundang Peniru
Tindakan Prigozhin menerima tawaran Lukashenko tersebut secara tidak langsung menyebabkan sebilangan penyokong Prigozhin mula mempersoalkan tujuan sebenar Prigozhin. Kejayaan kumpulan Wagner di medan tempur telah menarik minat entiti swasta lain di Russia, antaranya Gazprom[xxix] untuk memiliki pasukan tentera upahan mereka sendiri.
Penubuhan pelbagai unit askar upahan ini mungkin telah merisaukan aparatus keselamatan Russia dan pada pertengahan bulan Jun menyaksikan Kementah Russia mengumumkan bahawa kesemua anggota pasukan tentera upahan perlu menandatangani kontrak dengan Kementah Rusia pada hujung Jun 2023[xxx]. Langkah yang diambil oleh Kementah Russia ini secara efektif akan menghapuskan ancaman yang boleh dibawa oleh kumpulan-kumpulan askar upahan ini, termasuklah daripada kumpulan askar upahan Patriot yang media Ukraine telah tuduh sebagai dimiliki oleh Shoigu sendiri[xxxi]. Langkah tersebut juga secara tidak langsung telah menghapuskan sebarang perlindungan untuk Prigozhin untuk mendekati tingkap[xxxii], payung[xxxiii], dan tukul pemecah ais[xxxiv]. Malah, Prigozhin menyedari ancaman ini dan dikatakan telah memilih untuk mendapatkan bilik hotel yang tidak bertingkap sejurus selepas tiba di Minsk, Belarus[xxxv].

Blackwater
Bekas anggota Navy SEAL, Erik Dean Prince dan Alfred Clark telah menubuhkan syarikat Blackwater pada tahun 1997 dengan tujuan untuk melatih tentera dan anggota penguatkuasa undang-undang. Selepas Amerika Syarikat menceroboh dan menawan Iraq, syarikat berkenaan berubah rupa menjadi sebuah syarikat tentera upahan apabila menerima kontrak pertama daripada Paul Bremer, ketua pentadbir Kerajaan Sementara Bersekutu Iraq (CPA – Coalition Provisional Authority)[xxxvi]. Bagi memudahkan tugasan Blackwater, Bremer telah mengeluarkan arahan CPA no. 17 yang telah memberi kebebasan kepada semua anggota tentera upahan daripada dikenakan tindakan undang-undang Iraq.
Pada bulan April 2004, rangkaian media CBS menerbitkan gambar-gambar lelaki Iraq yang menjadi tahanan dalam Penjara Abu Ghraib. Hasil daripada penerbitan gambar-gambar tersebut, beberapa orang askar Amerika Syarikat daripada Pasukan Polis Tentera ke-800 dikenakan hukuman penjara serta ditamatkan perkhidmatan secara pelepasan tidak terhormat. Apa yang tidak didedahkan ketika itu adalah penglibatan dua syarikat tentera upahan, CACI[xxxvii] (sekarang dikenali sebagai L-3[xxxviii]) dan Blackwater. Sebanyak 36% daripada kes deraan dikenalpasti dikendalikan oleh anggota daripada kedua-dua syarikat berkenaan.
Pada 16 September 2007, anggota Blackwater telah melepaskan tembakan ke arah Medan Nisour[xxxix], mengorbankan 17 orang awam dan mencederakan seramai 20 lagi orang awam. Tragedi tersebut memaksa Kongres Amerika Syarikat membuka siasatan ke atas kumpulan Blackwater. Siasatan yang dilakukan oleh Ahli Kongres Henry Waxman yang dibentangkan pada Oktober 2007, Ahli Kongres Waxman[xl] mendedahkan bahawa anggota Blackwater telah terlibat dalam 195 kes tembakan daripada tahun 2005 sehingga September 2007, dengan Blackwater didapati melepaskan tembakan dahulu dalam 163 insiden[xli].
Tindakan PMC Menjadi Propaganda Kepada Pergerakan Militan
Tindakan penderaan serta imuniti askar upahan daripada tindakan undang-undang secara langsung telah menaikan amarah penduduk tempatan dan menjadi motivasi kepada mereka untuk mengangkat senjata menentang pendudukan Amerika Syarikat dan Bersekutu. Kemarahan penduduk tempatan ini telah dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan militan seperti Daish dan al Qaeda[xlii]. Malah, bilangan rekrut yang diterima oleh Daish[xliii] yang ditubuh oleh Abu Musab al-Zarqawi akhirnya cukup besar sehinggakan mereka berjaya mengambil alih sebahagian wilayah di Syria dan Iraq. Wilayah berkenaan menjadi pseudo-negara yang dipanggil Islamic State itu berpusat di Raqqa, Syria diperintah oleh pengganti salah seorang pengganti Abu Musab yang dikenali sebagai Abu Bakr al-Baghdadi, yang merupakan seorang bekas tahanan Penjara Abu Ghraib[xliv].

Selepas Blackwater
Kerosakan kepada jenama Blackwater menyaksikan syarikat berkenaan dijenamakan semula sebagai Xe pada tahun 2009, dan kemudiannya sebagai Academi[xlv]. Pada tahun 2016, mereka bergabung bersama sebuah lagi syarikat tentera upahan dikenali sebagai Triple Canopy untuk menubuhkan sebuah syarikat kontraktor swasta yang dinamakan sebagai Contellis Group Inc[xlvi].
Prince meninggalkan syarikat yang dibinanya itu sekitar tahun 2010 selepas kerajaan Amerika Syarikat menyiasat Prince atas tuduhan cuba melanggar sekatan yang dikenakan ke atas Libya dengan menyeludup senjata ke negara berkenaan[xlvii]. Dia kemudiannya menubuhkan sebuah syarikat baru di Hong Kong yang dikenali sebagai Frontier Service Group pada tahun 2021 dengan syarikat milik kerajaan China, CITIC Group sebagai pendana utama.
Namun, Prince masih tidak bebas daripada siasatan kerajaan Amerika Syarikat. Awal tahun ini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ke syarikat Frontier Service Group dan beberapa individu yang berkaitan atas tuduhan bahawa mereka telah membekalkan bahan dan latihan taktik pertempuran udara kepada juruterbang-juruterbang Tentera Udara Pembebasan Rakyat Republik China (PLA – Air Force). Tindakan yang sama turut diambil oleh kerajaan British dan Australia, dengan Daniel Duggan[xlviii], seorang bekas juruterbang F/A-18 Kor Marin Amerika Syarikat yang telah menjadi rakyat Australia telah ditahan untuk siasatan.
Executive Outcome
Perang Dingin antara blok Barat dan blok Komunis menyaksikan benua Afrika menjadi medan perang. Angkatan Tentera Kebangsaan Afrika Selatan (South African National Defence Force – SANDF) dan cabang paramilitari Polis Afrika Selatan (South African Police – SAP) telah mengasah bakat mereka dalam peperangan semak. Veteran kedua-dua pasukan kemudiannya berkumpul di bawah naungan bekas pegawai pasukan khas SANDF, Leftenan Kolonel Luther Eeben Barlow yang menubuhkan syarikat Executive Outcome, sebuah kontraktor tentera swasta yang berpusat di Pretoria, Afrika Selatan pada tahun 1989[xlix].
Kejatuhan kerajaan apartheid Afrika Selatan menyaksikan ramai veteran tentera dan polis berketurunan Afrikaan meninggalkan perkhidmatan masing-masing dan menyertai Executive Outcome. Biarpun mereka merupakan anggota polis dan tentera dari era apartheid Afrika Selatan, ini tidak menghalang mereka daripada merekrut bekas militan daripada Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress – ANC) yang pernah menjadi musuh mereka suatu ketika dahulu.
Kewujudan syarikat berkenaan secara amnya telah membawa manfaat kepada kerajaan-kerajaan di benua Afrika.
Berlian Berdarah Sebagai Upah
Namun begitu, kehadiran mereka itu tidak menghalang kepada kemunculan kontroversi kepada syarikat berkenaan. Untuk membayar perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat berkenaan, Presiden Sierra Leone, Ahmad Tehjan Kabbah telah memberi konsesi lombong berlian. Setelah ditumbangkan dalam sebuah rampasan kuasa kemudian, beliau telah mengupah sebuah lagi kontraktor tentera swasta dari Nigeria dengan janji untuk menggunakan kaedah bayaran yang sama. Akibat daripada tindakan ini, muncullah berlian berdarah[l].
Pada tahun 1998, syarikat berkenaan telah memutuskan untuk menghentikan operasi. Namun begitu, kontroversi berkaitan dengan syarikat berkenaan tidak tamat di situ. Pada tahun 2004, pihak berkuasa Zimbabwe telah menahan seramai 70 orang anggota tentera upahan termasuk bekas anggota Executive Outcome yang sedang dalam perjalanan ke Equatorial Guinea[li] untuk merampas kuasa. Antara tentera upahan yang ditahan tersebut adalah Sir Mark Thatcher[lii], anak kepada mantan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, sekaligus mencetuskan isu diplomatik antara negara Zimbabwe, Equatorial Guinea, dan Britain.
Kesimpulan
Seperti disimpulkan di awal rencana ini, penggunaan tentera upahan adalah suatu risiko yang amat tinggi kepada negara yang menggunakan mereka untuk berperang. Biarpun sifat tidak telus dalam kontrak pasukan tentera upahan ini memberi kelebihan untuk mana-mana negara untuk melaksanakan perang secara tersembunyi, risiko yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tentera upahan ini amatlah besar dan jauh melampau kelebihan yang diwar-warkan, dengan kesan sampingan yang boleh jadi perlu ditanggung oleh generasi yang akan datang.
Foto: Getty Images
Foto utama: (Kapsyen Asal) 23/1/1963-Kolwezi, Katanga- Seorang askar upahan wanita berambut perang yang kelihatan tegar berdiri dalam sekumpulan askar upahan Katanga yang berkumpul di jalan raya dari Kolwezi 20 Januari selepas berundur daripada tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang sedang maju. Presiden Katanga Moishe Tshombe meninggalkan Kolwezi ke Elisabethville di bawah kawalan PBB pada 23 Januari, berkata beliau akan mengikut rancangan PBB untuk menyatukan semula Katanga dengan seluruh Congo walaupun kerajaan pusat tidak menjamin keselamatannya.
Rujukan
[i] https://bootcampmilitaryfitnessinstitute.com/2023/04/09/an-overview-of-the-un-mercenary-convention/
[ii] https://watson.brown.edu/costsofwar/costs/human/military/killed
[iii] https://jamestown.org/program/an-anatomy-of-the-chinese-private-security-contracting-industry/
[iv] https://www.historynet.com/world-war-ii-a-tale-of-the-french-foreign-legion/
[v] https://perajurit.com/2022/06/tawanan-perang-konflik-ukraine-rusia-bidak-yang-tertawan/
[vi] https://www.ohchr.org/en/node/3383/international-standards
[vii] https://www.bbc.com/news/world-europe-64329371
[viii] https://www.aljazeera.com/news/2022/4/1/in-syria-moscow-leads-effort-to-recruit-fighters-for-ukraine
[ix] https://economictimes.indiatimes.com/news/international/world-news/nepali-gurkhas-are-joining-wagner-the-lure-of-the-private-military-companies/articleshow/101276410.cms?from=mdr
[x] https://www.newsweek.com/russian-deserter-wagner-group-ukraine-prigozhin-1765275
[xi] https://www.wired.com/2012/08/blackwater-prosecution/
[xii] https://www.jurist.org/news/2023/05/us-russias-wagner-group-suspected-of-smuggling-arms-to-ukraine-via-mali/
[xiii] https://jp.reuters.com/article/us-libya-security-un-idUSKBN2AL0GW
[xiv] https://www.taiwannews.com.tw/en/news/4917874
[xv] https://www.reuters.com/article/us-ukraine-crisis-crimea-idUSBREA2E09R20140315
[xvi] https://www.cbsnews.com/news/russia-wagner-group-central-african-republic-bambari-massacre-rape-mass-murder/
[xvii] https://www.csis.org/analysis/massacres-executions-and-falsified-graves-wagner-groups-mounting-humanitarian-cost-mali
[xviii] https://www.dw.com/en/why-hitler-adored-richard-wagner/video-62643226
[xix] https://www.nationalworld.com/news/world/wagner-group-russian-mercenaries-ukraine-kyiv-zelensky-3589837
Rujukan-2
[xx] https://www.bbc.com/news/world-europe-64976080
[xxi] https://www.reuters.com/world/us/russias-prigozhin-admits-interfering-us-elections-2022-11-07/
[xxii] https://home.treasury.gov/news/press-releases/jy1220
[xxiii] https://www.aljazeera.com/news/2023/3/17/wagners-convicts-tell-of-horrors-of-ukraine-war
[xxiv] https://www.aljazeera.com/news/2023/5/25/wagner-chief-says-20000-of-its-troops-killed-in-bakhmut-battle
[xxv] https://www.aljazeera.com/news/liveblog/2023/6/23/russia-ukraine-war-live-kyiv-deflects-missile-attack-on-airfield
[xxvi] https://apnews.com/article/russia-wagner-yevgeny-prigozhin-putin-580f5401a0e9c1ed744ce4645ce4d03f
[xxvii] https://www.theguardian.com/world/2023/jun/24/wagner-chief-claims-to-have-seized-military-sites-in-rostov-as-moscow-implements-anti-terror-measures#:~:text=Authorities%20in%20Moscow%20have%20clamped,them%20of%20killing%20his%20forces.
[xxviii] https://www.cnbc.com/2023/06/23/russia-ukraine-live-updates.html
[xxix] https://time.com/6254708/gazprom-private-military-wagner-group-russia/
[xxx] https://www.aljazeera.com/news/2023/6/11/wagner-mercenary-boss-brushes-off-russian-order-to-sign-contracts
[xxxi] https://archive.is/G9wEx
[xxxii] https://www.newsweek.com/russia-ukraine-death-mysterious-bartenev-1805318
[xxxiii] https://www.theguardian.com/world/2018/mar/06/poisoned-umbrellas-and-polonium-russian-linked-uk-deaths
[xxxiv] https://www.spymuseum.org/exhibition-experiences/about-the-collection/collection-highlights/trotsky-ice-axe/
[xxxv] https://www.mirror.co.uk/news/world-news/wagner-chief-prigozhin-holed-up-30341052
[xxxvi] https://www.govinfo.gov/content/pkg/CHRG-110hhrg45219/html/CHRG-110hhrg45219.htm
[xxxvii] https://www.business-humanrights.org/en/latest-news/abu-ghraib-lawsuits-against-caci-titan-now-l-3/
[xxxviii] http://www.corpwatch.org/article/intelligence-iraq-l-3-supplies-spy-support
Rujukan-3
[xxxix] https://www.dw.com/en/who-was-the-islamic-state-leader-abu-bakr-al-baghdadi/a-39281068
[xl] https://www.democracynow.org/2007/10/3/mr_prince_goes_to_washington_blackwater
[xli] http://news.bbc.co.uk/2/hi/middle_east/7024370.stm
[xlii] https://edition.cnn.com/2015/04/15/opinions/blackwater-abu-ghraib-isis/index.html
[xliii] https://www.wilsoncenter.org/article/timeline-the-rise-spread-and-fall-the-islamic-state
[xliv] https://www.dw.com/en/who-was-the-islamic-state-leader-abu-bakr-al-baghdadi/a-39281068
[xlv] https://foreignpolicy.com/2014/07/01/blackwaters-descendants-are-doing-just-fine/
[xlvi] https://web.archive.org/web/20140707032259/http://www.prnewswire.com/news-releases/constellis-holdings-inc-acquires-constellis-group-inc-262388561.html
[xlvii] https://theintercept.com/2016/03/24/blackwater-founder-erik-prince-under-federal-investigation/
[xlviii] https://www.reuters.com/world/asia-pacific/ex-us-marines-pilot-arrested-australia-was-singled-out-lawyer-2023-01-10/#:~:text=Duggan%20was%20arrested%20in%20rural,later%20renounced%20his%20U.S.%20citizenship.
[xlix] https://www.globalsecurity.org/military/world/para/executive-outcomes.htm
[l] https://www.washingtonpost.com/wp-srv/inatl/daily/oct99/sierra16.htm
[li] https://www.sahistory.org.za/dated-event/attempted-coup-equatorial-guinea-sees-fifteen-arrested
[lii] https://www.theguardian.com/world/2008/jun/19/equatorialguinea.southafrica

Danny Liew
Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.