BeritaEksklusifKomunitiOperasiSejarah

Waran Tangkap ke atas Putin. Mampukah ICC?

Kongsi di

Pada 17 Mac 2023, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, di atas tuduhan penglibatan beliau dalam jenayah perang dalam perang yang sedang berlangsung di Ukraine pada hari ini.

Persekutuan Rusia bukan sahaja tidak mengendahkan waran tangkap berkenaan, malah Jawatankuasa Siasatan Rusia telah membuka kertas siasatan ke atas hakim-hakim dan pendakwaraya ICC atas tuduhan membuat tudahan palsu terhadap seorang yang tidak bersalah. Langkah yang langsung tidak membantu mangsa-mangsa perang ini.

Tuduhan Jenayah Perang

Tuduhan berlakunya jenayah perang telahpun tersebar sebelum peperangan terbuka antara Moscow dan Kyiv tercetus pada Februari 2022. Tuduhan-tuduhan sedemikian telahpun berlegar-legar semenjak Rusia menyokong pergerakan pemisah di timur Ukraine.

Namun, adalah amat sukar untuk membuktikan sama bahawa jenayah-jenayah ini benar-benar berlaku dan siapa pelaku mereka. Ditambahkan dengan kesukaran untuk memasuki kawasan konflik dengan selamat, usaha untuk mendakwa mana-mana pihak masih lagi tergendala.

Bukti Jelas

Semua ini berubah pada 24 Februari 2023. Putin telah menghadiri satu perhimpunan besar-besaran bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan warga Rusia berserta sebagai tanda sokongan kepada Angkatan Tentera Rusia yang sedang terlibat dalam perang di Ukraine.

Antara hadirin khas dalam acara tersebut adalah kanak-kanak Ukraine yang telah dipindah keluar dari bandar Mariupol. Kehadiran kanak-kanak ini, atau lebih tepat, identiti mereka memberikan bukti yang dicari oleh Ukraine sebagai bukti jenayah perang dan memberi ruang kepada ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Perhatian diberikan khusus kepada dua kanak-kanak Ukraine yang berada dalam perhimpunan tersebut, iaitu adik-beradik, Anna Naumenko, 15 tahun, dan adiknya Karolina Naumenko, usia tidak diketahui.

Menurut Ukraine dan ICC, kehadiran kanak-kanak berkenaan serta beberapa orang lagi yang telah dikenalpasti, tindakan Rusia memindahkan mereka keluar daripada Ukraine adalah melanggar Artikel 49, Konvensyen Geneva Keempat.

Dalam artikel berkenaan, orang awam yang berada dalam kawasan yang ditawan oleh negara yang menyerang tidak boleh dipindahkan keluar daripada negara mereka walau dengan apa alasan pun.

Sekiranya keadaan keselamatan dalam kawasan yang ditawan  itu tidak mengizinkan, tentera penjajah hanya dibenarkan memindahkan orang awam ke kawasan yang telah ditawan lain.

Rancangan Lebensborn

Artikel 49, Konvensyen Geneva Keempat ini secara khusus adalah sebagai tindakbalas terhadap tindakan Rejim Third Reich Nazi Jerman dalam Rancangan Lebensborn yang dilaksanakan semasa Perang Dunia Kedua.

Rancangan yang dinaungi oleh Heinrich Himmler itu bermula pada tahun 1935 dan hanya berakhir pada 1945 dengan tewasnya Third Reich.

Rancangan tersebut menyaksikan kanak-kanak yang dilihat memiliki ciri-ciri Aryan di kalangan negara-negara jajahan seperti Yugoslavia, Belanda, Perancis, Belgium, Norway, Ukraine, dan Poland dipindahkan ke Jerman dan dijadikan anak angkat kepada pegawai dan anggota SS.

Tamat perang menyaksikan sekitar antara 8,000 sehingga 200,000 (bilangan bergantung kepada sumber) kanak-kanak dipercayai dilahirkan dan diculik melalui program tersebut. Dikatakan kurang daripada 15% berjaya dipulangkan kepada keluarga mereka. Kanak-kanak berkenaan dibesarkan sebagai orang Jerman dengan identiti asal mereka dihapuskan.

Ironi

Kanak-kanak Ukraine yang dibawa ke Rusia ini telah dijadikan anak angkat kepada keluarga berketurunan Rusia. Kanak-kanak ini dibesarkan dalam suasana Rusia, sekaligus me’Rusia’kan kanak-kanak tersebut serta memutuskan mereka daripada akar umbi mereka.

Ironinya perancangan ini sama seperti rancangan Lebensborn yang dibuat oleh Nazi. ‘Operasi ketenteraan khas’ yang dilancarkan oleh Rusia di Ukraine pula diwar-warkan sebagai keperluan untuk menghapuskan fahaman Nazi di Ukraine.

Hujah Berlawan

Di sebalik tuduhan pelanggaran Konvensyen Geneva ini, kita juga tidak boleh mengabaikan fakta bahawa kanak-kanak tersebut terperangkap di dalam kawasan peperangan. Tanahair mereka menjadi medan peperangan antara kuasa-kuasa dunia dan dilaksanakan oleh proksi-proksi mereka.

Kebanyakan kanak-kanak ini adalah anak yatim. Sekiranya Rusia tidak memindahkan mereka daripada kawasan pertempuran, ada kemungkinan kanak-kanak tersebut akan menjadi korban perang.

Namun begitu, terdapat juga ahli keluarga kanak-kanak ini yang telah menampilkan diri mereka menuntut anak-anak tersebut dipulangkan kepada keluarga mereka.

Manakala sebilangan warga Ukraine, khususnya mereka yang hidup di wilayah Ukraine yang telah dirampas kembali oleh Ukraine, mengatakan bahawa mereka telah ditipu untuk membenarkan anak-anak mereka menyertai kem-kem musim panas.

Apakah ICC?

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berpusat di The Hague, Belgium dan dimodelkan berdasarkan Mahkamah Nuremburg yang mana pemimpin-pemimpin Nazi Jerman diadili di atas jenayah perang mereka selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Terbaru, antara pemimpin dunia yang diadili di ICC adalah Radovan Karadzic, pemimpin Serbia semasa Perang Balkan. Menariknya, Radovan Karadzic adalah sekutu kepada Rusia.

Penubuhan ICC pula berdasarkan Statut Rom yang mana mengenakan tanggungjawab jenayah perang ke atas pemimpin-pemimpin negara yang terlibat.

Penerimaan Ratifikasi Statut Rom

Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah cuba meratifikasikan Rom Statut tetapi mengundurkan langkah apabila berhadapan dengan protes besar-besaran.

Ratifikasi ini dilihat tidak adil kerana akan memberikan beban tanggungjawab kesalahan jenayah perang ke atas Yang DiPertuan Agong, atas kapasiti Baginda sebagai Fil Marsyal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya pegawai-peagawai dan anggota-anggota ATM melakukan perkara yang dianggap sebagai jenayah perang.

Hakikatnya ratifikasi Statut Rom tidak diperlukan untuk mendakwa mana-mana individu sebagai penjenayah perang. Radovan Karadzic tetap ditahan pada Julai 2008 sebagai penjenayah perang walaupun Serbia tidak meratifikasikan Statut berkenaan. Mereka hanya meratifikasi statut berkenaan pada September 2008.

Ratifikasi statut berkenaan juga tidak menjamin sesebuah negara melaksanakan waran berkenaan. Terbaru, Hungary telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menahan Vladimir Putin sekiranya beliau membuat lawatan rasmi ke Budapest. Hungary telah meratifikasikan Statut Rom pada 29 November 2001.

Kelemahan ICC

Kelemahan utama ICC adalah bukan semua kuasa besar sedunia menerimapakai ICC. Amerika Syarikat, Rusia, China, Iran, Israel, India, dan Korea Utara adalah antara negara yang tidak mengiktiraf ICC.

Satu lagi perkara yang melemahkan kedudukan ICC adalah sikap berat sebelah mereka. Sehingga ke hari ini, ICC tidak mengeluarkan sebarang waran terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dan Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair yang melancarkan perang ke atas Iraq pada tahun 2002 atas tuduhan palsu bahawa negara berkenaan telah meneruskan program senjata pemusnah besar-besaran.

Malah, permintaan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Hans Blix untuk menangguhkan perang untuk pasukannya menyiasat tuduhan tersebut diabaikan semata-mata bagi memenuhi dendam kesumat Presiden George W. Bush atas ugutan Saddam Hussein terhadap ayahnya, George Bush Senior.

Kegagalan mengambil tindakan terhadap kuasa-kuasa besar, khususnya dari Barat ini bukan sahaja menjadi alasan kepada kuasa blok Timur seperti Rusia, India, dan China untuk memandang enteng kedudukan ICC, malah menyaksikan negara jiran tetangga kita, Filipina, pada 28 Mac 2023, membuat keputusan untuk menarik balik pengiktirafan terhadap ICC di atas tindakan badan antarabangsa tersebut membuka kertas siasatan ke atas mantan Presiden Filipina Rodrigo Duterte atas tuduhan merencanakan keganasan dan pembunuhan ke atas pengedar-pengedar dadah dalam kempen anti-dadahnya.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh kebanyakan anggota kumpulan pengedar dadah ini telah dihukum bunuh tanpa melalui proses pengadilan, dan bukannya semasa tembak-menembak.

Keputusan yang dibuat oleh Presiden Ferdinand Marcos Junior itu adalah amat menarik kerana ICC hendak membuka kertas siasatan tersebut terhadap Durtete ketika beliau cuba memilih jalan tengah untuk berunding dengan China mengenai isu di Laut China Selatan serta lebih merapati Rusia berbanding mana-mana presiden Filipina sebelum ini.

Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (Photo oleh NOEL CELIS / AFP) (Kredit foto dibaca NOEL CELIS / AFP via Getty Images)

Langkah PR Semata-Mata

Dengan kata lain, pengeluaran waran tangkap ICC terhadap Vladimir Putin tidak mempunyai sebarang nilai dan sekadar langkah PR semata-mata.

Sumber:

  1. Geneva Convention Relative to the Protection of Civilian Persons in Time of War 12 August 1949.
  2. https://www.radionetherlandsarchives.org/children-of-the-hated-the-lebensborn-program-of-racial-breeding/
  3. https://amp.theguardian.com/world/2023/feb/25/thats-my-neighbour-mariupol-residents-shock-at-putins-parade-line-up
  4. International Criminal Code.
  5. https://www.google.com/amp/s/amp.cnn.com/cnn/2023/03/23/europe/hungary-icc-warrant-putin-intl/index.html
  6. https://www.google.com/amp/s/amp.theguardian.com/world/2008/jul/22/warcrimes.internationalcrime
  7. https://encyclopedia.ushmm.org/content/en/article/lebensborn-program
  8. https://www.nbcnews.com/id/wbna15548608
  9. https://warfarehistorynetwork.com/article/hitlers-lebensborn-children-kidnappings-in-german-occupied-poland/
  10. https://youtu.be/4B3UmwZKQ58
  11. https://web.archive.org/web/20130218025750/http://colanmc.siu.edu/clockwork/papers/p13.htm
  12. https://www.reuters.com/world/asia-pacific/philippines-marcos-shut-out-icc-after-losing-drugs-war-appeal-2023-03-28/

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.