Komuniti

PROFESIONALISME ASKAR WATANIAH

Kongsi di

Pada 1 Jun lalu, pasukan simpanan Tentera Darat (TD) iaitu Rejimen Askar Wataniah (AW) memasuki usia penubuhannya yang ke-64. Angka ini sudah cukup membayangkan tempoh masa yang dilalui oleh pasukan kerdil dalam TD ini tetapi dengan jumlah keanggotaan kira-kira 60,000 orang.

Sejajar dengan tonggak kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28, iaitu ‘Keutuhan Organisasi’, maka ia terus diperkasakan dengan berlangsungnya Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah bertempat di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), Ipoh, Perak pada 10 Jun lalu.

Perbarisan ini telah disempurnakan oleh Pemangku Panglima Pasukan Simpanan, Brigedier Jeneral Padman a/l K.P. Bhaskaran yang daripada 21 orang pegawai dan 261 anggota melibatkan enam detasmen yang mewakili ketumbukan AW mengikut Divisyen, Kor TD AW / Rejimen Pakar AW termasuk kontinjen wanita.

Pelaksanaan perbarisan ini setelah dua tahun negara melalui fasa pandemik mempunyai signifikan tersendiri.

Dengan kekuatan sebanyak 16 buah rejimen infantri, tidak termasuk lain-lain unit simpanan di dalam kor dan rejimen TD, jumlah keanggotaan ini sudah cukup untuk meletakkan sejauhmana pentingnya AW dalam komponen pertahanan negara.

Tiada kor atau rejimen lain dalam TD yang mempunyai jumlah keanggotaan seramai ini selain dibarisi pegawai dan anggota daripada semua lapisan daripada peringkat bawahan sehinggalah profesional.

Kesemua 16 buah rejimen dengan designasi sebagai Siri 500 AW (Infantri) ini memiliki tiga buah batalion infantri bagi setiap rejimen di bawah pemerintahan pegawai kanan sukarela berpangkat Brigadier Jeneral.

Kekuatan setiap buah rejimen infantri AW ini menyamai briged infantri pasukan tetap, kecuali ia tidak mempunyai unit-unit organik bantuan tempur dan bantuan khidmat untuk menjadi sebuah rejimen tempur yang lengkap.

Keanggotaan besar AW

Ini kerana, setiap rejimen AW secara tidak langsung masih berada di bawah pemerintahan briged infantri pasukan tetap di negeri di mana rejimen berkenaan ditempatkan.

Strukur organisasi batalion AW juga sama tetapi masih mengekalkan konsep Batalion Infantri Biasa.

Bagi unit-unit AW di pasukan bantuan tempur dan bantuan khidmat pula, pasukan ini secara terus berada di bawah pemerintahan rejimen atau skuadron pasukan tetap yang merupakan pasukan induknya.

Jabatanarah masing-masing turut mengambil tahu tentang perjalanan unit-unit AW ini. Sebagai contoh, terdapat sebuah bateri AW bagi setiap rejimen artileri terpilih yang menjadikan ia sebagai bateri keempat dalam rejimen berkenan.

Sebagai bateri keempat, ia harus mempunyai pegangan aset-aset persenjataan yang ada bagi sesebuah bateri samada bagi AW artileri medan atau pertahanan udara.

Ini kerana struktur organisasi pasukan ini telah menyediakan perjawatan-perjawatan khusus bagi pegawai dan anggota sukarela dengan dibantu oleh pegawai dan anggota tetap, oleh itu secara dasarnya perjawatan ini harus diisi dan dilengkapkan agar pasukan boleh berfungsi sepertimana yang dikehendaki. 

Jumlah keanggotaan AW yang besar ini termasuk unit-unit organik disertai pelajar-pelajar di pusat pengajian dan kemahiran antaranya Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) TD yang terdapat di 20 buah universiti awam.

Program latihan Palapes selama tiga tahun mengikut modul pegawai kadet pasukan tetap bagi menyediakan bakal pegawai yang terlatih dalam pasukan AW.

Palapes misalnya telah melahirkan lebih 20,000 siswa siswi yang terlatih dalam bidang ketenteraan sejak 41 tahun lalu.

Ramai dalam kalangan graduan Palapes ini menampilkan kualiti diri yang tinggi khususnya dalam aspek kepimpinan dan disiplin dalam bidang kerjaya masing-masing di sektor awam atau swasta hasil latihan ketenteraan yang mereka ikuti.

Memperkasakan lagi keanggotaan AW ialah unit-unit AW yang disertai pelajar-pelajar di pusat pengajian dan kolej kemahiran. Politeknik Malaysia misalnya mempunyai 20 buah Pasukan AW Politenik (AWPoliteknik) di 20 buah kampusnya di seluruh negara dengan anggaran kira-kia 2,600 anggota.

Malah AWPoliteknik diperkemas serta dimantapkan lagi dengan tertubuhnya Sekretarian AW Politenik Malaysia pada 2016. Penubuhan sekretariat ini bertujuan mengkoordinasikan lagi daripada aspek latihan, kursus serta kesepaduan AWPoliteknik di 20 kampus yang terlibat agar lebih terkoordinasi dan terancang.

Barisan kedua pertahanan negara

Sebagai pasukan sukarelawan bersenjata yang berada dalam organisasi TD iaitu di bawah Kementerian Pertahanan, maka AW berbeza berbanding pasukan sukarelawan lain kerana fungsinya sebagai barisan kedua pertahanan negara selepas pasukan tentera tetap.

Sebagai perbandingan, walaupun pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga merupakan bersenjata tetapi fungsi dan peranan pasukan ini adalah sebagai penguatkuasa undang-undang serta ketenteraman dalam negara. Sebab itu PDRM terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Pada asasnya, seseorang pegawai dan anggota AW akan menjalani latihan ketenteraan selama 53 hari dalam setahun yang dijalankan secara berfasa.

Jumlah masa ini sekiranya dilaksanakan mengikut seperti yang ditetapkan oleh pihak pemerintah pasukan adalah mencukupi untuk memantapkan kualiti latihan ketenteraan agar matlamat menjadikan warga AW yang berwibawa benar-benar tercapai.

Sepanjang penubuhannya, pegawai dan anggota AW telah membuktikan diri mereka tidak mahu ketinggalan menyahut panggilan tanah air apabila turut terlibat dalam semua insiden membabitkan keselamatan negara.

Bermula dengan ancaman pengganas komunis, konfrontasi Malaysia-Indonesia dan insurgensi, ribuan tenaga muda AW telah dikerah berkhidmat sepenuh masa ketika itu. Peristiwa banjir besar di Pantai Timur pada 2014 turut menyaksikan AW dimobilisasikan membantu kerajaan melaksanakan misi kemanusiaan.

Tidak terkecuali semasa pandemik COVID-19 apabila TD turut sama mengerahkan semua unit-unit AW melaksanakan mobilisasi masing-masing membantu pihak berkuasa dalam OP PENAWAR sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri yang terlibat. 

Penugasan mereka ini merupakan kesinambungan arahan yang telah diputuskan oleh kerajaan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan bantuan dan kerjasama kepada pihak polis bagi menguatkuasakan pelaksanaan PKP.

Pasukan AW tersebut ditugaskan untuk membantu pihak polis dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan. 

Penugasan anggota sukarela ini di lokasi SJR yang secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan penugasan di lapangan bersama anggota tentera tetap.

Penugasan anggota sukarela ini merupakan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) apabila mereka dipanggil bertugas sepenuh masa mengikut tempoh yang ditetapkan. Justeru penugasan SJR di barisan hadapan negara juga merupakan salah satu tugasan yang disebut sebagai operasi ketenteraan selain daripada peperangan.

Fungsi askar simpanan kekal penting

Semua pegawai dan anggota AW tertakluk kepada Seksyen 201 Akta Angkatan Tentera (AT) 1972 yang mewajibkan mereka mengikuti latihan atau penugasan yang telah ditetapkan di bawah peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Angkatan Tentera.

Seksyen 201B AT 1972 pula menjelaskan bahawa majikan hendaklah memberi cuti kepada pekerjanya yang dipanggil untuk latihan atau penugasan di bawah akta ini.

Keengganan majikan melepaskan pekerjanya boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM6,000, penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika majikan memberhentikan pekerjanya tanpa keizinan, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 201C akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika didapati bersalah.

Malangnya, masih ada majikan termasuk ketua-ketua di jabatan kerajaan yang sukar meluluskan permohonan pelepasan pekerja yang dipanggil mengikuti latihan AW termasuklah untuk menghadiri kursus.

Ramai daripada mereka (majikan) tidak menyedari adanya peruntukan hukuman tersebut, sebaliknya berpendapat kakitangan yang menyertai AW sebagai beban apabila dianggap kerap bercuti. 

Kepentingan AW turut diperjelaskan dalam Dasar Pertahanan Negara (DPN). Ia menyebut bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan angkatan terlatih, berdedikasi dan profesional terdiri daripada angkatan tetap dan simpanan.

Sesungguhnya, pasukan simpanan merupakan komponen penting dalam ATM. Ini kerana pasukan simpanan adalah sebahagian daripada pasukan tetap.

Pasukan simpanan boleh dimobilisasi serta memberi sokongan menjamin keselamatan negara semasa operasi selain bekerjasama dengan pihak berkuasa awam apabila diperlukan.

AW yang bermula dengan beberapa buah rejimen hari ini turut melalui transformasi menerusi penubuhan rejimen-rejimen baharu AW selain pelbagai penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pihak Mindef menerusi Bahagian Pasukan Simpanan (BPS).

Aspek keperluan dan kebajikan warga AW juga tidak pernah dipinggirkan dan fakta ini boleh dilihat menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh setiap Menteri Pertahanan yang menerajui Mindef, sehinggalah pada era kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika ini.

AW juga adalah sebahagian daripada TD selain menjadikan kematangan usia penubuhan pasukan ini agar boleh meletakkan AW sebagai pasukan simpanan TD yang kredibel.

Cogan kata ‘Berkhidmat Untuk Negara’ menjadi aspirasi warga AW terhadap kecintaan mereka pada agama, bangsa dan tanah air.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.