Eksklusif

Kerahan Tenaga Ketenteraan Wajib Di Malaysia; Sudah Tiba Masanya!

Kongsi di

Malaysia perlu mula memikirkan dan bekerja untuk merealisasikan keperluan mewajibkan kerahan tenaga kententeraan di Malaysia. Terdapat banyak faktor sosioekonomi dan sosio-politik yang melibatkan kepentingan jangka masa panjang negara sekiranya kerahan tenaga dilaksanakan.

Jika ada yang bertanya, adakah Malaysia benar-benar perlu mengerahkan rakyatnya untuk menjalani tempoh latihan ketenteraan wajib? Maka sudah pasti jawapannya adalah perlu.

Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk semua rakyat bersedia untuk mempertahankan negara sekiranya berlaku apa-apa situasi yang tidak diundang.

Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menjadi dasar utama pertahanan negara buat sekian lama hanya boleh diisi pengertiannya menerusi elemen kerahan tenaga.

Memberikan latihan ketenteraan dengan cara memberikan ilmu ketenteraan, disiplin, kemahiran mengendalikan senjata dan banyak lagi survival skill asas untuk rakyat mampu menghadapi ancaman musuh luar adalah suatu usaha terpuji, dan demi memastikan rakyat kita bersedia menghadapi ancaman musuh luar dan tidak mati katak serta menyerah nasib bulat-bulat kepada musuh seandainya sempadan negara dicerobohi suatu hari nanti.

Cuma barangkali isunya adalah adakah kerajaan mampu melaksanakannya secara menyeluruh. Jika ini persoalannya, maka jawapannya adalah laksanakanlah secara berperingkat-peringkat dengan perancangan yang teliti.

Janganlah hanya kerana banyak cabaran dan masalah yang mengekang, seperti kos, maka cadangan ini dibiarkan terkubur sahaja.

Askar muda Israel melawat Memorial Holocaust di Yad Vashem di Baitulmaqdis sebagai sebahagian daripada perkhidmatan wajib mereka. (Foto oleh: Arkib Sejarah Universal/Kumpulan Imej Universal melalui Getty Images)

Mengimbangi Pemodenan ATM

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa kerahan tenaga wajib ini juga dapat sekurang-kurangnya mengimbangi situasi proses pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga kelancarannya terganggu akibat pelbagai faktor dalaman dan luaran.

Walaupun kita masih jauh ketinggalan dalam aspek pemodenan angkatan tentera berbanding dengan banyak negara jiran serantau, mewajibkan kerahan tenaga dapat mengimbangi situasi ini dengan membina sumber manusia yang berkualiti dan mempunyai faham pertahanan yang juga sama penting kalaupun tidak lebih penting daripada memiliki aset ketenteraan yang canggih.

Di samping itu, kerahan tenaga juga akan membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang jelas semakin terpecah dan mengalami polarisasi yang ketara.

Dengan adanya faktor pemersatu, iaitu semua orang perlu bersama-sama menjalani khidmat ketenteraan wajib untuk mempertahankan negara, maka apa-apa bentuk perpecahan yang semakin membarah dan menular di luar sana akan dapat dikurangkan.

Di samping itu, melaksanakan kerahan tenaga wajib juga boleh membantu mencorakkan masa hadapan generasi muda negara yang tidak menentu.

Saban hari kita mendengar dan melihat pelbagai berita negatif tentang anak-anak muda seperti terlibat dalam gejala buli, lumba motosikal haram dan banyak lagi.

Dengan melaksanakan kerahan tenaga, maka kerajaan boleh menutup pintu-pintu kerosakan sosial yang sedang memusnahkan masyarakat yang boleh diibaratkan seperti api dalam sekam.

Lelaki muda dari Pennsylvania barat mengangkat sumpah menjadi Tentera selepas dikerah untuk Perang Vietnam pada tahun 1967.

Disokong Dana Awam dan Swasta

Daripada segi kos, antara perkara yang boleh dilaksanakan adalah dengan mewujudkan dana awam di mana sektor korporat dan orang awam boleh menyumbang secara sukarela.

Sektor dan syarikat korporat yang menyumbang wajar diberikan kelepasan cukai dan insentif-insentif lain untuk menggalakkan mereka menyumbang.

Kita dapat melihat bagaimana pemurahnya rakyat Malaysia bersatu untuk menyumbang kepada Tabung Pakatan Harapan yang dibuat untuk membantu kerajaan melunaskan hutang-hutang negara.

Sudah pasti, dana awam seperti ini perlulah diuruskan dengan cermat, berhemah dan diaudit dengan begitu ketat.

Daripada suatu segi, walaupun negara sudahpun memiliki Rejimen Askar Wataniah yang ditubuhkan untuk menyediakan pasukan tentera simpanan, namun mewujudkan kerahan tenaga ketenteraan adalah satu langkah kehadapan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang celik pertahanan dan memiliki minda pertahanan.

Sekiranya kemasukan ke Askar Wataniah dibuat secara sukarela, maka kerahan tenaga ketenteraan ini pula dibuat secara kerahan dan paksa.

Rakyat yang mungkin sebelum ini tidak pernah ambil peduli, tidak kisah dan pemikiranya mereka lebih banyak dipengaruhi oleh perkara-perkara yang tidak benar tentang aspek pertahanan akhirnya akan terus dibabitkan secara langsung dan terus ke dalam sektor pertahanan negara.

Jika kerahan secara besar-besaran tidak realistik untuk dilakukan, boleh sahaja dilaksanakan secara kecil-kecilan dan berperingkat.

Untuk memastikan masa yang digunakan oleh individu untuk menjalani kerahan tenaga ini juga menghasilkan nilai tambah (added value) dan keboleh pasaran apabila tamat tempoh kerahan tenaga, pastinya kurikulum dan silibus yang digubal juga perlu mengambil kira bidang-bidang yang boleh digunakan untuk tujuan mencari pekerjaan.

Selain daripada ilmu-ilmu yang berkaitan dengan dunia ketenteraan dan pertahanan, boleh juga diterapkan ilmu-ilmu pengurusan organisasi, undang-undang, ekonomi dan sebagainya yang boleh disesuaikan bagi memastikan bahawa apabila seseorang itu tamat menjalani kerahan tenaga, individu tersebut juga masih kompetetif di pasaran.

Seorang lelaki muda Thai berteriak gembira selepas memilih kertas loteri hitam, yang mengecualikannya daripada perkhidmatan tentera, semasa kerahan tentera tahunan di Bangkok pada 5 April 2017. GAMBAR AFP / LILLIAN SUWANRUMPHA (melalui Getty Images)

Perlu Akta Khusus

Untuk memastikan langkah kerahan tenaga dapat dilaksanakan dengan lancar, kerajaan terlebih dahulu perlulah mewujudkan sebuah akta khusus yang dapat merealisasikan cadangan ini.

Dengan adanya akta yang khusus, maka setiap aspek perundangan berkaitan mewajibkan kerahan tenaga dapat diperkemas bagi memastikan  pelaksanaannya dapat dilakukan dengan lancar.

Paling penting,  politikus-politus daripada setiap parti dan kem politik yang berbeza perlulah membuang perseteruan sempit, kepentingan politik peribadi dan bekerja bersama-sama bagi memastikan negara kita mampu melahirkan warganegara yang sanggup menggadai nyawa demi memastikan kedaulatan negara terjaga pada setiap masa.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.