EksklusifKomunitiSejarah

Jambatan Darat Segenting Kra – Antara Impian dan Realiti

Kongsi di

Di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Asia Pacific Economic Cooperation – APEC) baru-baru ini yang diadakan di San Franscisco, Amerika Syarikat, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah membentangkan perancangan beliau untuk membina jambatan darat[i] merentasi Segenting Kra. Sekiranya perancangan beliau ini berjaya, jambatan darat ini dijangkakan akan memendekkan tempoh perjalanan dari Lautan Hindi ke Laut China Selatan sebanyak empat hari.

Visi Thailand

Srettha bukanlah pemimpin Thailand pertama yang mendapat ilham untuk membina prasarana raksasa untuk menghubungkan kedua-dua laut. Pada tahun 1677, Raja Narai[ii] menggajikan de Lamar, seorang jurutera berbangsa Perancis dengan tujuan mengkaji kesesuaian untuk membina sebuah terusan dari Songkhla ke Burma. Sehingga ke hari ini, impian ini kekal dalam ingatan para pemimpin Thailand dan setiap generasi baru pemimpin Thailand akan cuba menghidupkan kembali impian ini. Namun begitu, ilham ini kekal ilham sahaja sehingga ke hari ini disebabkan oleh kos yang terlalu tinggi, kekurangan dari segi teknologi sedia ada, atau pandangan bahawa pembinaan prasarana yang memisahkan Selatan Thailand secara fizikal ini akan dieksploitasi oleh elemen pemisah di wilayah-wilayah Selatan Thailand yang majoriti Melayu untuk bertindak mengumumkan kemerdekaan mereka.

Pembiayaan

Cabaran terbesar dalam melaksanakan project mega sebesar ini sudah tentunya adalah pembiayaan. Perdana Menteri Srettha menjangkakan kos jambatan darat ini mencecah USD35.6 bilion[iii], manakala South China Morning Post (SCMP) yang berpusat di Hong Kong memberi anggaran bahawa projek ini memerlukan peruntukan yang lebih rendah pada USD27.7b[iv].

Sebelum persidangan APEC, China dilihat sebagai penaja utama kepada projek ini; pembinaan jambatan laut ini dilihat akan memberi manfaat besar kepada sektor perindustrian pembuatan China dengan penjimatan sebanyak empat hari, serta mengurangkan kebergantungan negara tersebut terhadap Selat Melaka. Namun begitu, SCMP membuat pemerhatian bahawa China seolah-olah kurang berminat dengan projek berkenaan kerana mereka telahpun melabur dalam landasan keretapi Kunming – Kuala Lumpur serta projek-projek lain yang memberi China laluan ke Lautan Hindi.

Pada masa sama, China juga telahpun menjadi rakan kerjasama utama dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (East Coast Railway Line – ECRL) di Malaysia.

Projek jambatan darat ini secara konsep mirip kepada ECRL yang akan bermula di Kuantan sehingga ke Pelabuhan Kelang. Oleh itu, tidak masuk akal untuk China untuk memberi sokongan kepada projek lain yang mempunyai keupayaan hampir sama.

Sokongan suam-suam kuku daripada China ini mungkin sebab kenapa Perdana Menteri Srettha cuba mendapatkan sokongan di persidangan APEC. Namun begitu, beliau dijangka berhadapan kesukaran untuk mendapatkan sokongan daripada kuasa-kuasa utama negara-negara Asia Pasifik, khususnya dengan dunia hari ini semakin berpecah kembali kepada garisan pemisah yang wujud ketika di era Perang Dingin.

Cabaran Geopolitik

Kerajaan Thailand bakal berhadapan landasan penuh ranjau sekiranya mereka meneruskan langkah membina prasarana ini.

Malaysia dan Singapura

Projek ECRL Malaysia dan pelabuhan-pelabuhan[v] sepanjang laluan di Selat Melaka berhadapan risiko kehilangan nilai strategik, dan Pelabuhan Singapura[vi] mungkin kehilangan kedudukan sebagai pelabuhan kedua[vii] paling sibuk di dunia.

Seperti diulas awal tadi, cadangan jambatan darat Thailand itu mirip dengan konsep ECRL. Memandangkan laluan perkapalan dari Barat akan sampai ke jambatan darat milik Thailand dahulu, laluan tersebut berkemungkinan akan menjadi pilihan kepada syarikat-syarikat perkapalan, sama seperti bagaimana peniaga-peniaga berebut untuk menyewa kedai-kedai di tingkat bawah sesebuah kompleks pasaraya biarpun berhadapan sewa premium kerana lebih mudah mendapatkan pelanggan.

Tetapi pada masa yang sama, potensi untuk jambatan darat ini adalah amat besar; yakni kapal-kapal yang melalui Selat Melaka. Selat Melaka pada hari ini adalah laluan perkapalan kedua paling sibuk di dunia dengan anggaran 70,000 kapal melalui Selat Melaka setiap tahun[viii]. Biarpun laluan jambatan darat menawarkan laluan yang lebih pendek, syarikat perkapalan mungkin masih lagi memilih Malaysia dan Singapura untuk mengelakkan kesesakan di jambatan laut berkenaan.  

Kapal-kapal tangki yang membawa minyak mentah hampir pasti akan meneruskan perjalanan mereka di Selat Melaka kerana loji penapisan minyak di Sembawang, Singapura dan di Pengerang, Johor.

Awal tadi, kita juga telah mengulas bahawa di Bangkok, terdapat kerisauan bahawa sesebuah prasarana besar-besaran yang memisahkan Selatan Thailand secara fizikal boleh membuka ruang kepada golongan pemisah di Selatan Thailand untuk berpisah daripada negara Gajah Putih berkenaan. Sebilangan kumpulan insurgen ini sebelum ini pernah mengibarkan bendera Malaysia untuk cuba menarik sokongan Malaysia. Sudah tentu, Bangkok terpaksa mengambil kira hal ini dalam keputusan mereka untuk prasarana ini; pemilihan jambatan darat dan bukannnya terusan jelas menunjukkan bahawa mereka menyedari risiko ini.

China

Awal tadi, kita melihat sambutan suam-suam kuku China terhadap projek ini biarpun mereka penerima manfaat utama daripada projek ini dari segi ekonomi dan kewangan. Namun begitu, kita juga perlu mengambil kira bebanan geopolitik.

Visi One Belt, One Road China ilham Presiden Xi Jinping adalah percubaan China untuk memecahkan pengepungan Barat terhadap China. Visi ini biarpun terdapat sebilangan halangan sudah hampir tercapai dengan laluan ke Lautan Hindi boleh dicapai melalui Myanmar dan Pakistan.

Projek ECRL apabila siap nanti juga mengurangkan risiko gangguan terhadap China akibat berlaku sekatan di Selat Melaka. Projek ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif One Belt, One Road[ix].

Di Laut China Selatan, cara kasar China memaksa jiran-jiran tetangga menerima agenda Sembilan-Garisan-Sengkang (Nine Dash Line), yang pada hari ini telah meningkat kepada Sebelas-Garisan-Sengkang sudahpun meningkatkan kerisauan sebilangan rakyat Malaysia. Sekiranya China menyokong projek Thailand ini, boleh jadi akan menolak Malaysia untuk condong ke arah Barat untuk jangka masa panjang, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun memberi jaminan bahawa projek ini memberi manfaat kepada Malaysia[x].

Hubungan Sino – Thai

Tetapi pada masa sama, China juga amat memerlukan sokongan Thailand. Hubungan Sino – Thai menjadi kuat selepas China menyokong tindakan Bangkok dan junta tentera negara berkenaan berhadapan Revolusi Warna yang mana mereka percaya didalangi oleh Barat[xi]. Hubungan rapat ini berhasil dengan Tentera Laut Diraja Thailand membuat perolehan tiga buah kapal selam kelas Yuan[xii] dari China. Namun begitu, perolehan yang penuh masalah kapal-kapal selam ini menjadi simbolik kepada hubungan yang mulai dingin ini.

Biarpun China sudah mempunyai dua laluan lain ke Lautan Hindi, keselamatan kedua-dua laluan tersebut kini terancam. Kumpulan militan Pakistan telah menjadikan warga China dan pekerja China[xiii] sebagai sasaran bagi membalas tindakan China terhadap warga Uyghur manakala Myanmar hari ini sedang melalui kancah perang saudara yang memasuki tahun kedua. Kerajaan Junta yang pro-China telah mengalami beberapa kekalahan besar. Pada masa sama, pasukan penentang yang dikatakan pro-demokrasi telah melebarkan kempen mereka ke seluruh negara selepas berjaya menawan enam buah bandar, termasuk dua bandar yang amat penting untuk China[xiv].

Rompakan Laut dan Pelanunan

Rantau ini adalah antara lokasi panas untuk rompakan laut dan pelanunan. Sebagai konteks, rompakan laut berlaku di dalam lingkungan perairan sesebuah negara manakala pelanunan berlaku di kawasan perairan antarabangsa.

Tiga kawasan utama berlaku rompakan laut dan pelanunan adalah sepanjang Selat Melaka, selepas Selat Singapura, dan di Selat Sulu. Bulan Mei tahun ini, the Diplomat[xv], sebuah media antarabangsa yang melaporkan hal ehwal antarabangsa membicarakan laporan yang diterbitkan oleh ReCAAP (Regional Cooperation Agreement on Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia Pacific) untuk suku pertama tahun 2023. Sembilan belas rompakan berlaku di sepanjang Selat Melaka dan lapan belas rompakan di Selat Singapura dilaporkan dalam suku tersebut.

Sekiranya Jambatan Darat Segenting Kra ini berhasil mengurangkan bilangan kapal melalui Selat Melaka, bilangan pelanunan dan rompakan laut di Selat Melaka boleh jadi berkurangan.

Tetapi lain cerita di sektor Selat Singapura. Kegiatan pelanunan dan rompakan laut di utara dan timur kepada Selat Singapura tidak dijangkakan untuk berkurangan. Kumpulan perompak dan lanun ini boleh beroperasi sama ada dari kepulauan Natuna mahupun di kawasan pesisiran pantai di sepanjang Teluk Siam. Dengan penambahan kapal-kapal dagang dari laluan jambatan darat ini, boleh jadi menyaksikan bilangan penyangak ini bertambah sekiranya negara-negara di kawasan pesisiran laluan laut ini tidak mengambil tindakan membanteras penyangak laut ini.

Risiko Tinggi Pulangan Tinggi?

Projek ini akan menjadi projek yang amat besar untuk Thailand dengan nilai dijangkakan antara USD27.7b sehingga USD35.6b. Projek ini sekiranya disiapkan akan mencapai impian tiga abad ini. Tetapi, apakah projek ini mampan atau tidak masih terlalu awal untuk kita nilai. Apatah lagi, istilah Gajah Putih itu datang daripada negara yang sama.

SINGAPURA – 30 JANUARI: Menteri Tenaga Thailand, Prommin Lertsuridej bercakap kepada Televisyen Bloomberg di Singapura, Jumaat, 30 Januari, 2004. Lertsuridej berkata Thailand mungkin membina saluran paip bernilai $719 juta merentasi Isthmus of Kra dan utara pulau Phuket untuk memindahkan minyak dari Laut Andaman ke Teluk Thailand, yang kemudiannya boleh diangkut ke China dan Jepun, dua pengguna minyak terbesar di Asia, dan kerajaan kini sedang mengkaji kesan alam sekitar projek itu. (Foto oleh Jonathan Drake/Bloomberg melalui Getty Images)

[i] https://time.com/6334807/srettha-thailand-landbridge-investors-apec/

[ii] https://www.bangkokpost.com/opinion/opinion/1325803/kra-me-a-river

[iii] https://www.channelnewsasia.com/asia/thailand-srettha-thavisin-land-bridge-project-port-malacca-strait-canal-3860941

[iv] https://www.scmp.com/economy/global-economy/article/3242721/thailand-wants-build-brand-new-shipping-route-why-isnt-china-buying

[v] https://www.nst.com.my/business/economy/2023/11/981115/thai-landbridge-plan-poses-critical-challenge-malaysian-ports

[vi] https://www.channelnewsasia.com/asia/thailand-srettha-thavisin-land-bridge-project-port-malacca-strait-canal-3860941

[vii] https://www.seatrade-maritime.com/ports-logistics/singapore-ranked-top-maritime-city-2nd-busiest-container-port

[viii] https://seawaylogistics.co.uk/which-are-the-5-busiest-shipping-routes/

[ix] https://www.brimonitor.org/case-studies/east-coast-railway-link-ecrl/

[x] https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2023/11/27/thailands-land-bridge-project-will-benefit-malaysia-says-anwar/

[xi] https://www.reuters.com/article/us-thailand-politics-idUSKBN0EF0SA20140604/

[xii] https://www.navalnews.com/naval-news/2023/10/thailand-shelves-attack-submarine-purchase-plans/

[xiii] https://edition.cnn.com/2023/08/13/asia/militant-attack-chinese-engineers-pakistan-intl/index.html

[xiv] https://edition.cnn.com/2023/11/28/asia/myanmar-nationwide-offensive-junta-intl-hnk/index.html

[xv] https://thediplomat.com/2023/05/piracy-and-armed-robbery-in-southeast-asia-the-need-for-a-fresh-approach/

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.