BeritaEksesaisEksklusif

TLDM Perkukuh Kerjasama Dalam Peperangan Konvensional dan Asimetrik

Kongsi di

Eksesais bersepadu antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama tentera Laut Negara Asing dan Agensi Penguatkuasaan dalam negara mutakhir ini adalah bertujuan untuk menguji dan memperkasakan keupayaan bersama antara tentera laut serta agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan peperangan konvensional dan asimetrik.

Sedang berlangsung ialah EKSESAIS SAMUDERA PERKASA BARAT Siri 5/22 yang bermula pada 7 Ogos 2022 sehingga 12 Ogos 2022 ini antara TLDM dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bertemakan Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim, Carilamat dan Pengenalan Peperangan Di Laut.

Objektif utama eksesais pada kali ini adalah bagi meningkatkan kebolehoperasian di antara TLDM dan Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keselamatan maritim negara ketika waktu aman maupun ketika menghadapi menghadapi sesuatu konflik.

Timbalan Panglima Armada Barat dalam satu kenyataan berkata, “Tema eksesais pada kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat elemen kepada peperangan  asimetrik dan konvensional selain aspek navigasi dan ilmu kelautan serta carilamat yang masih dikekalkan.

Inisiatif ini diyakini akan memperkukuhkan kesefahaman dan ketersediaan kedua-dua agensi melalui usahasama bersepadu bagi mematahkan sebarang niat jahat unsur-unsur yang melanggar undang-undang atau menceroboh perairan negara”.

TLDM dan Maritim Malaysia terus komited untuk melindungi perairan negara.

Kombinasi Aset

Aset-aset terlibat dalam Eksesais ini ialah KD SRI INDERA SAKTI, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH dan pesawat Fennec TLDM manakala KM BAGAN DATUK, KM NYALAU serta pesawat AW139 dari Maritim Malaysia turut dibantu elemen sokongan daripada kedua-dua agensi seperti Fast Combat Boat dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM serta Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (PTK atau Tim STAR) Maritim Malaysia.

Majlis Pembukaan Eksesais telah dirasmikan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Pertama Farizal Myeor di KD SRI INDERA SAKTI, Pangkalan TLDM Lumut.

Turut hadir semasa majlis upacara pembukaan adalah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, YBhg Laksamana Pertama (M) V. PannirSelvan a/l Veloo.

Aset TLDM dan Maritim Malaysia yang terlibat.
STAR dan PASKAL dalam latihan bersama.
Kebolehoperasian bersama. Pegawai KD JEBAT dan PNS TAIMUR on duty OOW.

EKSESAIS MALPAK

Sebelum itu, TLDM telah mengukuhkan kerjasama pertahanan  dengan negara sahabat  melalui EKSESAIS MALAYSIA-PAKISTAN (MALPAK) siri 4/2022 bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) di sekitar perairan Selat Melaka pada 6 Ogos lalu.

Eksesais ini bertujuan meningkatkan kesefahaman serta kebolehoperasian bersama kedua-dua angkatan laut yang melibatkan KD JEBAT dan PNS TAIMUR.

Aset terbaharu dalam armada TLP ini telah tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 2 Ogos 2022 yang lalu adalah dalam siri Lawatan Operasi. Kapal frigate kelas TUGHRIL ini merupakan kapal kedua selepas PNS TUGHRIL.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, semua objektif eksesais telah direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional.

Selain itu, perkongsian kepakaran dan ilmu kelautan turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD JEBAT dan PNS TAIMUR. Turut menjayakan eksesais ini adalah aset sokongan TLDM iaitu Fast Combat Boat dan pesawat Fennec TLDM.

“Kelancaran pelaksanaan eksesais ini jelas mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut dalam melaksanakan operasi bersama,” kata pegawai itu lagi.

Latihan menangkis serangan asimetrik. Serangan bot laju.
Semoga kerjasama antara TLDM dan Tentera Laut Pakistan dapat diteruskan di masa hadapan. Eksesais MALPAK 2022 merupakan eksesais ketiga dalam siri EKS MALPAK yang diadakan setiap dua tahun sekali bermula tahun 2017.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.