BeritaEksklusif

Perang Amerika – China Pada Tahun 2025, Adakah Malaysia Bersedia?

Kongsi di

Seorang jeneral empat bintang Tentera Udara Amerika Syarikat telah menghantar memo dalaman yang antara lain meramalkan yang Amerika Syarikat akan berperang dengan China pada tahun 2025 dan meminta penerima memo untuk bersedia.

Memo itu meramal yang China akan mengambil kesempatan sempena pilihanraya di Taiwan dan Amerika Syarikat pada tahun 2024 untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Taiwan.

Memo juga menggariskan yang Tentera Udara AS perlu bersedia untuk berperang dan menang dalam “rantaian kepulauan pertama”, merujuk kepada kepulauan di hadapan negara China.

Latihan perlu ditingkatkan, dan Tentera Udara AS perlu bersedia dari segi risiko yang perlu dihadapi dalam sebarang latihan tahap tinggi.

Memo yang dimaksudkan. Sumber: Internet.

Malaysia dan Risiko Perang

Kertas Putih Pertahanan dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun 2019.

Senario geopolitik yang tidak menentu di seluruh dunia selepas Kertas Putih Pertahanan dibentangkan oleh Menteri Pertahanan Mat Sabu boleh dijadikan sebagai panduan sama ada Kertas Putih Pertahanan ini perlu dilihat semula untuk memastikan ia kekal relevan.

Antara perkara yang patut ditekankan oleh Kertas Putih Pertahanan ialah pelan perbelanjaan yang lebih teratur dan mungkin mengikat perbelanjaan pertahanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sama ada 1.5% atau 2.0%. mengikut negara-negara NATO.

Suka atau tidak, Malaysia sudah pasti akan menerima tempias sebarang konflik terbuka di antara Amerika Syarikat dan China, dan kedua-dua negara mempunyai leverage ke atas Malaysia dari segi ekonomi dan kuasa ketenteraan.

Malaysia juga mempunyai populasi penduduk berbangsa Cina yang ramai (sekitar 22% dari keseluruhan penduduk). Kebanyakannya sudah beberapa generasi tinggal di Malaysia dan mempunyai kesetiaan kepada negara.

Namun terdapat juga sebilangan yang baru tiba di Malaysia sama ada sebagai pelancong atau melalui pelbagai projek usahasama di seluruh negara. Mereka boleh dianggap sebagai risiko keselamatan dalam sebarang konflik Amerika Syarikat dengan China.

Selain itu Malaysia mempunyai beberapa kepentingan yang turut dituntut oleh China. Ini termasuk beberapa terumbu di kepulauan Spratly, Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai.

Jika Malaysia tidak mempunyai kekuatan dari segi diplomatik atau ketenteraan sudah pasti kedaulatan Malaysia ke atas kepentingan-kepentingan ini akan tergugat.

Apa yang sudah berlaku dan akan terus berlaku ialah tanpa kekuatan diplomasi, ketenteraan atau keduanya, suatu negara akan terus dibuli walaupun berada di pihak yang betul.

Malaysia haruslah mengambil pengajaran kerana apabila perang berlaku sudah agak terlambat jika kita baru mahu bersedia.

Janganlah sudah terantuk baru tengadah.

Foto utama: Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat USS MAKIN ISLAND, USS NIMITZ dan USS CHUNG HOON di Laut China Selatan. Sumber: US Navy / JMSDF #MajalahPerajurit

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.