EksklusifSejarah

Ancaman Kapal Selam di Laut China Selatan. Adakah Malaysia Bersedia?

Kongsi di

Kapal selam merupakan antara sistem persenjataan dengan nilai cegahrintang (deterrence) yang tinggi.

Ini kerana sebuah kapal selam sukar dikesan ketika beroperasi dan sukar ditangani walaupun semasa ia sudah berjaya dikesan.

Rekod Perang Kapal Selam

Semasa Perang Dunia Kedua, kapal selam angkatan laut Amerika Syarikat menenggelamkan 1,314 kapal musuh (sekitar 5.3 juta tan), atau sekitar 55% dari jumlah keseluruhan kapal musuh yang berjaya ditenggelamkan semasa perang tersebut.

Selebihnya ditenggelamkan oleh senjata lain seperti kapal permukaan, kapal terbang, periuk api dan lain-lain.

Pada 26 Mac 2010, sebuah kapal korvet angkatan laut Korea Selatan, ROKS CHEONAN tenggelam. Korea Selatan mendakwa ia ditenggelamkan oleh torpedo yang ditembak oleh sebuah kapal selam kerdil angkatan laut Korea Utara.

Sebanyak 46 orang anakapal hilang nyawa dalam insiden ini.

Seorang anggota UDT/SEAL yang terlibat dalam operasi carilamat turut terkorban.

ROKS CHEONAN

Pada 2 Mei 1982, sebuah kapal kruiser ringan angkatan laut Argentina, ARA GENERAL BELGRANO, tenggelam terkena torpedo yang dilepaskan oleh kapal selam angkatan laut British, HMS CONQUEROR.

Sebanyak 323 orang terkorban bersama kapal.

Insiden ini berlaku dalam Perang Falklands iaitu kempen angkatan tentera British untuk merebut semula kepulauan Falklands, South Georgia dan South Sandwich.

Penenggelaman ini memberi kesan buruk kepada moral angkatan laut Argentina semasa konflik.

ARA GENERAL BELGRANO

Pada 9 Disember 1971, sebuah kapal frigat angkatan laut India, INS KHUKRI telah berjaya ditenggelamkan oleh sebuah kapal selam angkatan laut Pakistan, PNS HANGOR.

Sebanyak 18 pegawai dan 176 anggota terkorban bersama kapal.

Insiden ini berlaku semasa Perang India-Pakistan 1971.

Ini ialah insiden pertama dimana sebuah kapal ditenggelamkan sebuah kapal selam selepas Perang Dunia Kedua.

Kapal Selam di ASEAN

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengoperasikan dua kapal selam dari jenis Scorpene buatan Perancis.

Kapal selam Scorpene pertama negara, KD TUNKU ABDUL RAHMAN memasuki perkhidmatan pada Januari 2009 dan kini telah berusia 14 tahun.

Jumlah kapal selam dalam perkhidmatan sekarang iaitu hanya dua buah bukanlah jumlah yang ideal.

Ini kerana kitaran biasa ialah satu beroperasi, satu berlatih dan satu sedang rehat & rawat.

Perancangan TLDM melalui #15to5 ialah menambah dua lagi kapal selam namun memandangkan begitu banyak program perolehan aset pertahanan tertunggak dan menjadi projek sakit, mungkin harapan rakyat untuk melihat negara mengoperasikan sekurang-kurangnya empat kapal selam pada setiap masa hanya tinggal harapan.

Dua kapal selam yang sedia ada mungkin akan dibersarakan sekitar 15 tahun lagi.

Manakala perolehan satu kapal selam pula memerlukan sekitar 7 hingga 8 tahun dari tarikh pesanan ke tarikh tauliah ke dalam perkhidmatan.

Ini bermakna adalah hampir mustahil TLDM akan mengoperasikan empat kapal selam pada suatu masa dalam tempoh lama kecuali TLDM memperolehi kapal selam terpakai dalam masa terdekat.

Negara-negara ASEAN lain sedang berlumba-lumba untuk menambah kapal selam dalam pegangan mereka untuk menghadapi kemungkinan konflik maritim di masa hadapan termasuk konflik di Laut China Selatan.

Antara negara yang telah lama mengoperasikan kapal selam ialah Indonesia dan Singapura.

Malaysia berada di tengah dengan sekitar 15 tahun pengalaman. Vietnam pula tidak jauh dari Malaysia dari segi pengalaman.

Negara seperti Myanmar baru mengoperasikan kapal selam terpakai manakala negara seperti Filipina dan Thailand masih dalam perancangan untuk memperolehi kapal selam moden (Thailand pernah mengoperasikan kapal selam suatu ketika dahulu).

Nilai Cegahrintang

Kapal selam mempunyai nilai cegahrintang yang lebih tinggi berbanding kapal permukaan seperti frigat atau korvet, apatah lagi kapal ronda seperti Next Generation Patrol Vessel (NGPV) dan Littoral Mission Ship (LMS).

Kemungkinan kehadiran kapal selam dalam suatu konflik mampu mendatangkan kegentaran kepada pihak musuh terutamanya kepada angkatan laut yang tidak mempunyai keupayaan peperangan bawah laut / peperangan anti kapal selam yang tinggi (hampir kesemua angkatan laut ASEAN).

Malah angkatan laut yang boleh dikatakan paling berupaya di dunia dalam peperangan anti kapal selam iaitu Tentera Laut Amerika Syarikat pernah “dimalukan” dalam beberapa eksesais dan insiden melibatkan kapal selam nuklear dan diesel.

Pendek kata, pelaburan dalam keupayaan kapal selam adalah satu pelaburan yang memberi pulangan berganda dari segi nilai cegahrintang, keupayaan peperangan asimetrik semasa Period of Tension dan keupayaan dalam konflik sebenar.

Persoalannya ialah adakah kerajaan Malaysia mempunyai political will untuk memperkuatkan keupayaan kapal selam TLDM pada kadar yang segera?

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.