BeritaEksklusif

Pembunuhan Shinzo Abe dan Relevensi Undang-Undang Preventif

Kongsi di

Serangan ke atas bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada 8 Julai 2022 ketika beliau sedang memberi ucapan dan berkempen sememangnya mengejutkan dunia. Shinzo Abe kemudiannya maut akibat kesan daripada tembakan yang dilepaskan terhadap beliau.

Insiden ini akan menjadi satu lagi rakaman insiden pembunuhan tokoh politik yang akan mengubah lanskap politik dunia dan Jepun khususnya. Hakikatnya, insiden pembunuhan tokoh-tokoh politik bukanlah sesuatu yang baru, malahnya sejarahnya begitu panjang.

Dalam sejarah moden manusia, antara tokoh politik yang maut dibunuh temasuklah John F Kennedy,  Rajiv Gandhi, Benazir Bhutto dan banyak lagi. Bagi negara Jepun sendiri, sejarah pembunuhan politik pula bukanlah sesuatu yang jarang berlaku.

Dalam konteks keselamatan, pembunuhan secara serangan sebegini adalah suatu mimpi ngeri kepada pihak berkuasa dan keselamatan.

Setiap kali insiden serangan sebegini berlaku, lazimnya pihak keselamatan akan berada beberapa langkah di belakang dan hanya akan mampu bertindak untuk menangkap si pelaku setelah pelaku berjaya melakukan serangan yang dirancang.

Ibarat nasi sudah menjadi bubur, penangkapan si pelaku setelah misinya selesai tidak banyak akan dapat membantu memulihkan suasana.

Insiden sebegini akan menimbulkan titik hitam di dalam ingatan banyak pihak dan boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan pihak keselamatan.

Maka dalam insiden sebeginilah, golongan yang percaya kepada keperluan wujudnya undang-undang preventif akan berhujah bahawa insiden sebegini merupakan sebab mengapa undang-undang preventif akan kekal relevan sepanjang masa.

Apa Itu Undang-Undang Preventif?

Undang-undang preventif secara umumnya adalah undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menahan dan menangkap sesiapa yang disyaki terbabit di dalam kegiatan-kegiatan yang mengancam dan memudaratkan keselamatan untuk tempoh masa yang panjang.

Kuasa pihak keselamatan untuk berbuat demikian adalah berbeza dan bertentangan dengan doktrin innocent until proven guilty atau seseorang itu adalah dianggap tidak bersalah selagi belum dibuktikan kesalahannya di mahkamah.

Di Malaysia, undang-undang preventif bukanlah asing.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) (kini dimansuhkan), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) adalah sebahagian daripada undang-undang yang digunakan kerajaan bagi menghadapi ancaman-ancaman keselamatan yang subversif dan asimetri demi kemaslahatan awam.

Adakah undang-undang ini relevan dalam situasi semasa? Menjawabnya tidak boleh dilakukan secara simplistik dan akan menimbulkan perdebatan yang panjang.

Namun hakikatnya, pihak berkuasa dan keselamatan juga memerlukan ruang untuk bertindak bagi mencegah perlakuan jenayah daripada berlaku.

Sebagai contoh, di dalam situasi di mana pihak keselamatan  boleh bertindak hanya secara reaktif kepada perlakuan jenayah atau keganasan, lazimnya sudah pasti terdapat mangsa atau pun kemusnahan sampingan daripada insiden yang berlaku.

Pada masa penyiasatan dan tindak balas dilakukan untuk menangkap pelaku dan jaringannya, mereka mungkin sudah berjaya meloloskan diri.

Ini jauh berbeza dengan situasi di mana pihak berkuasa dapat menghalang penjenayah atau pengganas untuk bertindak dengan lebih awal, sekaligus dapat melumpuhkan gerak kerja atau perancangan mereka secara efektif dan menghalang insiden yang tidak diingini berlaku.

Kepada mana-mana kerajaan di dunia, mewujudkan kestabilan kepada politik dan keamanan adalah satu matlamat penting yang ingin dicapai. Ini kerana kedua-dua faktor ini akan membantu pembangunan negara dan membina keyakinan pelabur asing.

Harapan ini sukar dicapai sekiranya pihak berkuasa hanya memiliki kuasa yang sah untuk  bertindak selepas tercetusnya jenayah dan/atau keganasan.

Proses Semak dan Imbang Dalam Undang-Undang Preventif

Namun, pada masa yang sama, di dalam penggubalan mana-mana undang-undang preventif, perlu ada mekanisme khusus bagi membolehkan badan kehakiman secara bebas menyemak proses dan prosedur yang digunakan oleh pihak berkuasa di dalam menangkap dan menahan mana-mana individu.

Ini adalah satu proses semak dan imbang yang amat penting bagi memastikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dapat dipertahan, kedaulatan undang-undang terus terpelihara dan hak-hak individu dapat dilindungi.

Foto Utama: Shinzo Abe semasa dalam satu sidang akhbar di Malaysia pada tahun 2015. Sumber Foto: Mohd Samsul Mohd Said / Getty Images

Perdana Menteri Jepun Nobusuke Kishi (kedua dari kiri) memegang tangan cucunya Shinzo Abe (kiri) berjalan dengan isterinya Ryoko (ketiga dari kiri), menantu dan penggubal undang-undang Shintaro Abe (kanan), isterinya Yoko (kedua dari kanan) dan anak lelaki Hironobu pada 7 Julai 1957 di Hakone, Kanagawa, Jepun. (Foto oleh The Asahi Shimbun melalui Getty Images)

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.