Berita

PLB: APMM Saran Penggunaan Personal Locator Beacon Ketika Di Perairan

Kongsi di

Sebagai salah satu langkah perlindungan diri ketika berada di perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara serius menyarankan agar mana-mana pihak yang akan berada di perairan, sama ada nelayan, penguasaha bot memancing, pengusaha bot pelancongan mahupun individu persendirian  untuk membeli dan menggunakan  Personal Locator Beacon atau PLB.

Alat tersebut merupakan alat yang boleh menghantar isyarat kecemasan yang boleh dikesan dan dikenalpasti melalui sistem rangkaian satelit COSPAS-SARSAT.

Menerusi penggunaan alat tersebut, sesiapa yang memilikinya dan berada di dalam situasi kecemasan sama ada ketika berada di lautan mahupun daratan boleh menghantar isyarat kecemasan yang boleh digunakan untuk membantu operasi search and rescue (SAR) yang akan dijalankan oleh agensi-agensi penyelamat .

Penggunaan PLB ini amat penting bagi kedua-dua pihak berkepentingan, iaitu pihak yang belayar di perairan dan juga pihak APMM yang bertanggung jawab untuk menjalankan operasi penyelamat.

Kepada pihak yang belayar di perairan, penggunaan PLB ini adalah satu sifat bertanggungjawab bagi membolehkan kedudukan mereka dikenalpasti dengan segera apabila berada di lautan sekiranya berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.

Bagi pihak APMM pula, penggunaan alat ini pula akan membantu APMM menjalankan operasi menyelamat dengan lebih efektif.

Apabila alat ini dihidupkan, APMM dapat mengerahkan aset-aset yang berkaitan untuk terus menuju ke lokasi penyelamatan dengan tepat dan segera.

PLB Mengelakkan Pembaziran Sumber Kerajaan

PLB akan mengelakkan pembaziran sumber APMM yang begitu berharga ketika berlakunya insiden-insiden seperti kapal karam, ombak besar mahupun ancaman penjenayah ketika di lautan.

Berbanding dengan melakukan operasi pencarian dan penyelamatan di kawasan yang luas, terbuka mahupun tidak menentu, PLB akan membolehkan APMM mengerahkan aset-asetnya untuk terus ke lokasi yang tepat.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som juga telah memaklumkan bahawa pihak APMM sedang mengambil inisiatif dengan agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan, khususnya yang terlibat dalam pengeluaran permit atau pelesenan menangkap ikan atau pengusaha bot pelancongan dan pancing untuk orang awam untuk mewajibkan pengusaha untuk memiliki PLB bagi bot atau kapal yang terlibat.

Beliau juga menyarankan kepada mana-mana pihak yang telahpun memiliki PLB untuk mendaftarkan PLB mereka dengan pihak APMM. Ini bagi membolehkan APMM terus mengenalpasti pemilik isyarat yang dipancarkan oleh PLB yang dihidupkan.

Pendaftaran PLB boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan https://bim.mmea.gov.my/.

Orang ramai boleh mendapatkan PLB dengan mudah di pasaran termasuklah melalui laman jualan atas talian seperti Shopee dan Lazada.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.