BeritaEksklusifIndustri

Howitzer MKE Yavuz 155mm Untuk Keperluan SPH Tentera Darat Malaysia?

Kongsi di

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu rangka lawatan ke Turkiye baru-baru ini telah meyaksikan majlis tandatangan tujuh memorandum persefahaman bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara. Salah satu memorandum persefahaman yang ditandatangani ialah antara syarikat MA Analytics Sdn Bhd dengan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE). Antara produk MKE ialah howitzer Yavuz 155mm.

Sistem howitzer bergerak sendiri Yavuz 155mm 52 kaliber ialah sistem artileri moden yang dikilangkan di Turkiye dengan teknologi canggih terkini yang diimprovisasi daripada howitzer bergerak sendiri Panther 155 mm (ditunda) yang kini digunakan oleh Tentera Turkiye.

Sistem artileri ini mempunyai mobiliti yang sangat tinggi dalam apa jua keadaan dengan kadar tembakan yang tinggi untuk mencapai autonomi maksimum apabila beroperasi.

Howitzer Yavuz 155mm ini adalah howitzer bergerak sendiri beroda (howitzer di atas trak) yang mempunyai berat kira-kira 32 tan. Ia mampu bergerak selaju 90 km / sejam di atas jalan dengan jarak operasi 600 km.

Sistem Yavuz ini mampu melepaskan tembakan pada kadar 4 hingga 6 butir / seminit dan menyimpan 18 butir peluru yang diisi secara semi automatik dan manual.

Jarak tembakan ialah sehingga 40 km dengan menggunakan amunisi MOD 274.

Yavuz Untuk Malaysia?

Dilaporkan sistem Yavuz 155mm bakal diperolehi oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum ia memasuki perkhidmatan Angkatan Darat Turkiye. Selain sistem Yavuz 155mm sendiri, dilaporkan yang program pemerolehan ini termasuk mewujudkan kilang amunisi 155mm di Malaysia.

Antara amunisi 155mm keluaran MKE termasuk:

  • 155mm H MKE MOD 274 TP ER
  • 155mm H MKE MOD 274 HE ER TNT BB
  • 155mm TNT PROJ-M107 SUPPLY CHG1

Sistem Yavuz 155mm dilihat mampu memberi kelebihan kepada daya tembak Tentera Darat Malaysia selain mempunyai mobiliti strategik, operasional dan taktikal yang baik.

Ia dijangka mampu dimuatkan ke dalam pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta mempunyai keupayaan bergerak merentas desa (cross country) yang baik dan bergerak di atas jalan dengan pantas.    

Pertemuan Rasmi antara YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob , Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Turkiye TYT Recep Tayyip Erdoğan di Ankara pada 7 Julai 2022. Sebanyak tujuh MoU ditandatangani antara kedua-dua pihak;  membuka jalan bagi kerjasama yang lebih bermakna dalam bidang industri pertahanan, teknologi, kesihatan, pelancongan kesihatan, serta komunikasi. Foto: Wisma Putra

Howitzer 155mm di Malaysia

Antara pengguna howizer 155mm di Malaysia ialah Rejimen Ke-21 Artileri Diraja (21 RAD) yang mengoperasikan howitzer G5 Mk III 155mm dari Denel Land Systems, Afrika Selatan.

Rejimen Ke-21 Artileri Diraja (21 RAD) pernah mengoperasikan howitzer FH70 dari konsortium antarabangsa British, Itali dan Jerman. Satu lagi Rejimen yang pernah mengoperasikan howitzer 155mm ialah Rejimen Ke-22 Artileri Diraja (22 RAD).

Kini howitzer 155mm dioperasikan di bawah Artileri Divisyen 2 Divisyen (utara Semenanjung) dan Artileri Divisyen 3 Divisyen (selatan Semenanjung).  

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.