EksklusifIndustri

MILDEF MENYUMBANG NILAI  STRATEGIK KEPADA INDUSTRI PERTAHANAN NEGARA

Kongsi di

Masa hadapan pembangunan industry pertahanan negara terus berkembang dengan kemampuan Mildef International Technologies, sebuah syarikat tempatan yang semakin berjaya membangunkan produk kenderaan-kenderaan bagi kegunaan pertahanan dan keselamatan negara.

Sehingga kini, MILDEF telahpun berjaya menghasilkan dua  kenderaan yang mampu berperanan mengurangkan pergantungan negara terhadap pembelian produk-produk daripada luar negara, sebaliknya mengetengahkan produk-produk tempatan.

Dengan pengalaman lebih daripada 15 tahun, MILDEF  yang berperanan sebagai salah satu tulang belakang kepada kesiapsiagaan pasukan tentera negara dengan kontrak-kontrak maintenance, repair and operations (MRO) kini tampil membuktikan kemampuan anak tempatan dengan menampilkan dua buah produk utama – Tarantula dan Rentaka.

Kedua-duanya adalah hasil proses penyelidikan dan pembangunan yang diterajui oleh anak-anak tempatan.

Tarantula

TARANTULA

Tarantula  merupakan kenderaan 4×4 High Mobility Armoured Vehicle (Kereta Berperisai Mobiliti Tinggi) adalah sebuah kenderaan yang mampu melengkapi keperluan angkatan tentera tempatan yang boleh memainkan peranan penting termasuklah untuk membawa anggota menerobos dan melepasi kawasan pertempuran dengan selamat.

Kualiti dan kemampuan Tarantula juga menepati standard dan kualiti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kenderaan berperisai. Sehingga kini, Tarantula telahpun melepasi ujian ketahanan yang dijalankan oleh pihak Tentera Darat.

Rentaka

RENTAKA

Pada masa yang sama, MILDEF juga turut membangunkan sebuah lagi kenderaan taktikal yang dinamakan Rentaka yang dihasratkan dapat menjadi sebuah kenderaan Armoured Personnel Carrier bagi pasukan khas seperti Unit Tindakhas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan ciri-ciri kenderaan ini yang lebih sesuai digunakan untuk tugas-tugas mengawal ketenteraman dan keselamatan awam.

Kenderaan yang mempunyai rekabentuk moden dan terkini ini adalah satu pilihan yang mampu memenuhi keperluan taktikal unit-unit pasukan khas dalam menjalankan operasi di kawasan terbina.

Adnan Gen-2

MRV DAN ADNAN GEN-2

Selain daripada Tarantula dan Rentaka, MILDEF turut menawarkan kenderaan 6×6 Medium Recovery Vehicle (MRV) yang dikhaskan untuk misi penyelamatan di dalam senario perang berkenderaan (mechanised warfare).

Selain daripada memperkenalkan kenderaan-kenderaan baharu yang wajar dipertimbangkan secara serius untuk memperkukuh dimensi pertahanan dan keselamatan negara, MILDEF juga sedang merancang program-program khusus bagi memastikan aset-aset sedia ada masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berusia.

MILDEF menerisi program Adnan Gen-2 sedang cuba untuk memberi nilai tambah bagi kenderaan berperisai Adnan yang telahpun berada di dalam inventori ATM melebihi 10 tahun.

Dengan menjalankan program lanjutan hayat (life extension programme) bagi kenderaan Adnan, MILDEF sedang merancang untuk menghasilkan kenderaan bukti konsep (proof of concept) dengan menggunakan Adnan yang telah diubahsuai dan dimuatkan dengan sistem baharu.

Inisiatif ini bertujuan untuk memanjangkan lagi hayat perkhidmatan kenderaan tersebut  di dalam ATM dan memastikan perbelanjaan membeli kenderaan-kenderaan ini dapat dioptimumkan sebaik mungkin. 

KEPERLUAN MENYOKONG INDUSTRI TEMPATAN

Kerajaan sewajarnya memberi peluang dan ruang kepada pemain-pemain industri pertahanan tempatan termasuk MILDEF untuk mengetengahkan produk-produk pertahanan mereka.

Hal ini amat penting dan strategik, demi memastikan angkatan keselamatan negara tidak bergantung secara keterlaluan kepada produk-produk luar negara.

Dalam situasi-situasi tertentu seperti inflasi dan sekatan ekonomi atarabangsa, kita mungkin mengalami kesukaran apabila negara pembekal tidak mampu membekalkan alat ganti.

Selain itu, pemain-pemain industri tempatan juga boleh melakukan inovasi dan penambahbaikan terhadap produk-produk keluaran mereka demi memastikan produk mereka terus kompetetif dengan produk antarabangsa. Walau bagaimanapun, pada setiap masa, kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap kualiti dan keupayaan sebenar kenderaan-kenderaan pertahanan keluaran tempatan. 

Pandangan sisi Rentaka
Ruangan dalam Adnan Gen-2
Tarantula di LATIHAN KUASA TEMBAKAN 2022 baru-baru ini bersama delegasi dari Tentera Udara DiRaja Malaysia

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.

M J Husainy

M J Husainy ialah seorang penulis pertahanan.