BeritaEksklusif

CAESAR DAN FH70 DI MEDAN UKRAINE

Kongsi di

Peperangan di antara Ukraine dan Rusia berterusan tanpa sebarang tanda ia akan berakhir dalam masa yang terdekat. Pihak Rusia masih berusaha untuk mencapai satu keadaan di mana ia boleh menamatkan operasi tanpa kehilangan air mukanya di mata dunia, walaupun gagal mencapai objektif awal untuk menawan Kyiv dan meletakkan pemimpin yang lebih mesra-Rusia.

Pihak Ukraine pula terus menerus mendapat sokongan dari segi aset dari negara-negara jiran dan negara di bawah payung NATO yang melihat “operasi khas membasmi Nazi” oleh pihak Rusia ini sebagai satu tindakan luar batasan norma hubungan antara negara.

Antara aset yang dihantar ke Ukraine termasuk howitzer ditarik berkaliber 155mm FH70 dari Itali dan howitzer bergerak sendiri berkaliber 155mm CAESAR dari Perancis.

FH70 dilaporkan telah digunakan di medan Ukraine melalui laporan bertarikh 26 Mei manakala CAESAR juga dilaporkan telah digunakan dengan jayanya di medan Ukraine dalam satu laporan bertarikh 25 Mei.

FH70 di medan Ukraine (sumber Internet)

FH70

Sistem FH70 yang mula memasuki perkhidmatan negara pengeluar (United Kingdom, Jerman dan Itali) pada tahun 1978 dilaporkan mampu menembak pada kadar 6 tembakan seminit dengan kru yg terlatih, dan ia dilengkapi dengan enjin Volkswagen 1,700 cc yang membolehkan ia bergerak sendiri dengan perlahan sehingga jarak maksimum 20km.

Ia boleh memembak semua peluru 155mm standard NATO dan masih berada dalam perkhidmatan beberapa negara seperti Estonia, Jepun, Lubnan, Maghribi, Belanda, Oman dan Arab Saudi. Sebelum ini FH70 pernah digunakan di dalam konflik perang saudara di Lubnan yang berlangsung dari tahun 1975 ke 1990.

Malaysia pernah mengoperasikan kira-kira 15 unit sistem ini namun telah ia telah dipencenkan dari perkhidmatan dan kini hanya menjadi tarikan di muzium.

CAESAR di medan Ukraine (sumber Internet)

CAESAR

CAESAR pula dibangunkan oleh Nexter Systems dari Perancis dan mula memasuki perkhidmatan Tentera Darat Perancis pada tahun 2003. Ia merupakan sistem howitzer yang dipasang di trak lasak yang membolehkan howitzer ini bergerak sendiri. Sistem CAESAR direka supaya muat diangkut dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules, memberikannya keupayaan mobiliti strategik, operasional dan taktikal yang baik.

Sistem ini telah berjaya dieksport ke beberapa negara termasuk Thailand (6 unit) dan Indonesia (lebih 50 unit). Sistem CAESAR pernah digunakan dalam pelbagai operasi di seluruh dunia termasuk di Afghanistan, OP SERVAL di Mali, semasa pergeseran Thai-Kemboja pada tahun 2011, dan Pertempuran Mosul 2016 – 2017 dalam operasi menentang ISIS.

Malaysia pernah menguji nilai sistem ini pada penghujung tahun 1995 dan pada tahun 2018 (versi terbaru) namun pembeliannya masih dalam peringkat kajian.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.