EksklusifKomunitiSejarah

Retak menanti belah? Percaturan kuasa-kuasa besar di lautan serantau

Kongsi di

Nazery Khalid berkongsi naratif peribadi beliau tentang percaturan kuasa-kuasa besar di perairan rantau ini dan menilai kesannya kepada keselamatan maritim serantau

Lautan serantau bergelora

Kebelakangan ini, beberapa perkembangan melibatkan dua kuasa besar dunia semakin meningkatkan ‘suhu’ geo-politik dan geo-strategik di lautan rantau Asia Pasifik yang menjadi pentas percaturan mereka.  Perhatian masyarakat antarabangsa tertumpu khususnya ke Laut China Selatan yang merupakan laluan maritim penting bagi kapal-kapal dagangan, perikanan dan tentera.  Lautan ini menjadi gelanggang di mana kuasa-kuasa besar ini menunjukkan ‘belang’ menegakkan kepentingan masing-masing dan mempamerkan kehebatan tentera mereka.

Tiada rahsia yang kuasa-kuasa besar yang dimaksudkan ialah Amerika Syarikat (AS) dan China.  Hubungan antara mereka yang sudah sedia renggang, semakin merosot akhir-akhir ini.  Lautan serantau menjadi ‘papan catur’ tempat mereka menunjukkan kekuatan masing-masing.

China menganggap hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya.  Ini berdasarkan tuntutannya yang disebut sebagai nine dotted lines atau sembilan garisan terputus yang mana ia berdasarkan rekod silam China. Beijing percaya hujah berlandaskan fakta masa lampau memberikan hak kepadanya untuk menuntut keseluruhan lautan yang kaya dengan sumber perikanan dan tenaga ini sebagai wilayah kedaulatannya.  Namun, tuntutan berdasarkan sejarah ini tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan dianggap tidak sah dari segi perundangan kelautan antarabangsa.

China tidak segan-segan dalam mempertahankan tuntutannya secara agresif.  Dalam tempoh sedekad ini, People’s Liberation Army (PLA) atau Tentera Pembebasan Rakyat China telah mengambil beberapa langkah khusus seperti membina pulau-pulau artificial dan melengkapkan beberapa pulau dengan beberapa infrastruktur dan peralatan ketenteraan.  Ini termasuklah senjata anti-kapal dan anti-pesawat serta landasan untuk pesawat-pesawat tenteranya mendarat agar dapat melancarkan latihan operasi ketenteraan dan simulasi penaklukan pulau.  Ini mengundang spekulasi yang pameran kekuatan atau show of force ini ditujukan kepada Taiwan ROC yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya.

Kapal-kapal PLA seringkali dilihat menjalankan rondaan secara agresif di perairan antarabangsa dan high seas di Laut China Selatan dengan cara yang boleh menggugat kebebasan navigasi negara-negara lain. Hak ini diperuntukkan oleh United Nations Convention on the Law of the Seas (UNCLOS) yang menjadi teras perundangan maritim antarabangsa dan perlembagaan penggunaan samudera.  Kapal-kapal tentera dan agensi maritim China malah dilaporkan sering memasuki perairan Zon Eksklusif Ekonomi negara-negara pesisir di Laut China Selatan termasuklah Malaysia sendiri.  Terkini, pada bulan Jun 2023, sebuah kapal penyelidikan China diberitakan memasuki perairan dalam Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia di Laut China Selatan yang mendorong Tentera Laut DiRaja Malaysia menghantar kapal sokongannya Bunga Mas Lima sebagai tindakbalas kepada pencerobohan ini.

Namun Beijing tidak mengendahkan keluhan dan bantahan diplomatik negara-negara lain terhadap aksi agresifnya.  China malah tidak takut untuk bersemuka dengan tentera laut AS di Laut China Selatan.  Terbaru, satu insiden pada awal Jun 2023 melibatkan sebuah kapal perang China dan AS telah dikhabarkan sebagai satu aksi provokasi oleh Washington.  AS menyatakan yang kapal perang China telah melakukakan ‘interaksi maritim yang berbahaya’ apabila ia melintas pada jarak yang sangat dekat di hadapan kapal pemusnah Tentera Laut AS USS Chong-Hoon yang sedang belayar di perairan antarabangsa di Selat Taiwan yang memisahkan tanah besar China dengan Taiwan ROC.

Dunia sediamaklum yang AS tidak selesa dengan kebangkitan China sebagai kuasa baru yang semakin tampak keupayaannya dalam mencabar dominasi AS di rantau ini dan juga di pentas global.  AS sentiasa mengingatkan China yang kebebasan pelayaran di lautan ini dan perairan serantau merupakan hak antarabangsa yang harus dipelihara. 

Kapal-kapal AS sentiasa menjalankan rondaan dan operasi di lautan ini dan kehadiran mereka sangat tidak disenangi oleh China.  Beijing menuduh Washington sengaja mencetuskan provokasi di rantau ini dengan menjalankan naval operations di perairan yang dituntutnya.  AS menegaskan yang ia dan negara-negara lain berhak untuk menjalankan rondaan Freedom of Navigation Operations (FONOP) secara routine di Laut China Selatan dan ini konsisten dengan perundangan antarabangsa.

Taiwan ROC – Api dalam sekam

Kita sedia tahu yang Taiwan ROC menjadi antara sore points utama dalam hubungan diplomatik China dengan Amerika Syarikat.  Beijing melihat Taiwan ROC yang mentadbir dirinya sendiri sebagai sebuah wilayah breakaway daripada menjadi sebahagian dari China.

Taiwan ROC menjadi sumbu yang berkemungkinan menyalakan konflik besar-besaran antara dua kuasa besar dunia ini.  Kedua-dua pihak sedang ‘sibuk’ dengan pelbagai langkah untuk mengukuhkan kehadiran masing-masing di Selat Taiwan dan perairan lain di sekeliling Taiwan ROC serta memberikan hint yang masing-masing tidak akan duduk diam apabila dicabar. 

Di samping rondaan FONOP oleh tentera laut AS di Laut China Selatan, Washington juga ‘meningkatkan suhu’ di perairan ini dan dalam hubungannya dengan Beijing melalui aksi-aksi bukan ketenteraan. Pada bulan Januari 2022, Naib Presiden AS Kamala Harris bertemu dengan Timbalan Presiden Taiwan ROC William Lai di Honduras yang mencetuskan kemarahan Beijing. China bertindak keras apabila Speaker Dewan Perwakilan atau House of Representatives AS, Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke Taiwan ROC dalam siri lawatan beliau ke rantau Asia Pasifik pada awal bulan Ogos 2022.  Pelosi merupakan pengkritik lantang China sepanjang karier beliau dalam kongres AS, terutamanya dalam rekod hak kemanusiaan Beijing. 

Langkah Pelosi melawat Taiwan ROC ini terus menaikkan amarah Beijing terhadap AS sementelah enam orang penggubal undang-undang AS melawat Taipei empat bulan sebelum itu.  Susulan lawatan Pelosi, Presiden AS Joe Biden juga dipetik sebagai berkata yang Washington akan ‘campur tangan’ sekiranya Beijing melancarkan operasi ketenteraan untuk menakluk Taiwan ROC.  Ini merupakan pengumuman yang sensasi kerana AS mengamalkan dasar One China yang mana ia mengakui Taiwan ROC sebagai sebahagian daripada wilayah China dan tidak menyokong sebarang langkah memerdekakannya dari Beijing. Tidak hairanlah yang beliau dilihat oleh Beijing sebagai seorang pemimpin AS yang hostile terhadap kebangkitan China. 

Beijing tidak berselindung disebalik bahasa diplomatik dengan menyatakan yang AS akan dipertanggungjawabkan terhadap apa jua kesan serius hasil pendirian Washington terhadap Taiwan ROC.  Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan China malah menekankan yang PLA tidak akan duduk diam dan akan mengambil ‘langkah tegas’ untuk menghalang campur tangan luar dan percubaan untuk memerdekakan Taiwan ROC. China telah melancarkan apa yang disebutnya sebagai ‘latihan ketenteraan’ dengan mengerahkan kapal-kapal perang serta pesawat-pesawat tenteranya mengepung perairan dan ruang udara Taiwan ROC sejurus selepas Pelosi ke sana.   Ini tentunya menggusarkan kita di Malaysia kerana sekiranya tercetus konflik di rantau Asia Pasifik ini, kestabilan, keamanan dan kelancaran perdagangan di wilayah ini akan sama tergugat seterusnya mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan strategik negara. 

Strategi China di perairan serantau

Jelas yang China yang semakin meningkat kuasa ekonomi, politik dan ketenteraannya tidak berkompromi dalam menegakkan tuntutan maritimnya.  Dengan berani ia menunjukkan kekuatan ketenteraannya dalam mempertahankan apa yang disebut sebagai sovereign territory atau wilayah kedaulatannya di Laut China Selatan yang juga dituntut oleh beberapa pihak lain.  Beijing malah mengambil pendirian tidak acuh akan perundangan kelautan antarabangsa yang tidak mengiktiraf tuntutannya yang tidak selari dengan rule of law atau norma tuntutan wilayah maritim amalan masyarakat antarabangsa.

Ia juga menggunakan kekuatan politiknya untuk menekan negara-negara yang mempunyai tuntutan dalam lingkungan perairan ini untuk tidak bersekongkol dan menggunakan pelantar multilateral dalam menegakkan tuntutan mereka.  Beijing berkeras yang perbalahan kewilayahan dan tuntutan di Laut China Selatan perlu diselesaikan melalui rundingan bilateral dan ia bukanlah isu antarabangsa.  Strategi ini tentunya memberikan kelebihan buat China yang merupakan rakan dagangan dan pelaburan penting bagi negara-negara yang mempunyai tuntutan di wilayah perairan ini. Dengan menggunakan kuasa ekonomi sebagai senjata, China boleh mengenakan tekanan ke atas negara-negara tersebut dalam isu tuntutan ini. Strategi divide and conquer yang diamalkannya juga bertujuan melemahkan negara-negara yang mempunyai tuntutan dan mengasingkan mereka daripada platform multilateral supaya tidak membincangkan isu itu di peringkat antarabangsa.

Aksi China mempertahankan tuntutan maritimnya dan reaksi negara-negara lain terutamanya AS terhadapnya dikhuatiri bakal mencetuskan konflik maritim besar-besaran di perairan rantau ini.  Insiden seperti persemukaan kapal-kapal perang China dan AS secara hostile serta aksi-aksi provokatif kedua-dua belah pihak dikhuatiri akan menyalakan api kemarahan masing-masing yang bakal meledak seterusnya menjadi pertentangan ketenteraan.  Ini tentunya akan membawa padah terhadap kepentingan dagangan, ekonomi dan strategik negara-negara serantau dan ekonomi dunia amnya yang bergantung kepada laluan terbuka di lautan sebelah sini dalam memudahcara dagangan global.

Sejak sedekad lalu, tindakan China seperti membina infrastruktur dan keupayaan ketenteraan serta reaksinya terhadap lawatan Pelosi ke Taiwan ROC menyerlahkan lagi sikap tidak bertolak ansurnya dalam memelihara kepentingan dan mempertahankan tuntutan kewilayahannya.  Pesawat-pesawat tentera dan drones China diberitakan pernah memasuki Air Defense Identification Zone (ADIZ) atau Zon Pengenalan Pertahanan Udara Taiwan ROC.  Tindakan mengepung Taiwan ROC dan mengadakan military drills sebagai reaksi lawatan Pelosi merupakan satu amaran lantang yang ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ketenteraan sekiranya Taiwan ROC berhasrat untuk berpisah dari China. 

Nampak gayanya, kita di wilayah ini terpaksa menghadapi kesan kuasa besar yang juga jiran kita, yang sudah tercabar ego dan terguris perasaannya.  Ini terhasil akibat sikap AS yang terus menganggap kerangka kuasa di dunia kini masih harus berkiblatkan ke arah Washington sebagai kuasa unipolar yang tiada tandingannya.  AS juga terus berada dalam situasi in denial yang China semakin berkembang kuasa dan pengaruhnya yang mana, sepatutnya diakui sebagai kuasa baru dunia.  Kebangkitan China menuntut akan kepentingan dan pandangannya diambilkira dan tidak ditolak tepi sahaja, sementelah di rantau ini, China adalah kuasa tempatan yang besar pengaruhnya.

Susulan reaksi China dalam ‘menghukum’ Taiwan ROC kerana menjadi tuan rumah lawatan kontroversi Pelosi, kita boleh mengunjurkan yang China akan mengambil sikap yang lebih keras dalam perlakuan dan strateginya di Laut China Selatan. China dilihat akan terus mengenepikan kaedah rundingan damai dalam tuntutan kewilayahan dan akan menggunakan provokasi AS sebagai alasan untuk mengamalkan pendekatan belligerent atau berdegil dalam perilakunya di lautan serantau.  Walaupun Presiden Biden dan Presiden Xi Xinping berjabat tangan dan bersetuju menggalas ‘tanggungjawab bersama’ untuk memperbaiki hubungan di antara AS dan China sewaktu Mesyuarat G20 di Bali pada November 2022, adalah terlalu optimistik untuk membayangkan hubungan antara kuasa-kuasa besar ini akan harmoni 100 peratus.  Mereka dilihat akan terus cabar-mencabar dalam menunjukkan kekuatan masing-masing sebagai kuasa besar.

Ini tentunya menzahirkan senario yang amat tidak ideal bagi negara-negara yang mempunyai tuntutan wilayah di perairan ini yang juga bergantung harap terhadapnya demi kesejahteraan sosio-ekonomi dan kepentingan strategik mereka. Keselamatan maritim merupakan antara tunjang kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik amnya dan di Asia Tenggara khususnya.  Oleh itu, adalah penting untuk perbezaan pendapat antara kuasa-kuasa besar di lautan ini diuruskan dengan efektif dan penyelesaian isu-isu antara mereka segera dicapai sebelum ia menjadi lebih serius. 

Langkah kehadapan

Lautan tidak mengenal sempadan.  Ancaman keselamatan maritim di mana jua dalam wilayah ini akan lambat laun dirasakan dan ‘berjangkit’ ke negara-negara pesisir seterusnya ke masyarakat antarabangsa kerana kebergantungan mereka pada kebebasan pelayaran di lautan.  Jadi amatlah penting yang pihak-pihak berkepentingan termasuk kuasa-kuasa besar mengamalkan sikap toleransi dan meletakkan kepentingan umum mengatasi kepentingan peribadi dalam menegakkan kepentingan maritim mereka. 

Berdasarkan hal ini, adalah penting yang hak pelayaran melalui perairan antarabangsa di rantau ini terjamin seperti yang termaktub dalam perundangan antarabangsa.  Dalam situasi runcing yang terhasil daripada percaturan antara China dengan AS sekarang, amatlah penting bagi kedua-dua pihak berhenti mengambil langkah-langkah yang boleh dianggap sebagai provokatif dan mengancam keselamatan serantau.  Mereka harus segera bertemu di meja rundingan dan menyelesaikan perbalahan antara mereka secara diplomatik berdasarkan penyelesaian rules-based atau perundangan antarabangsa. 

AS harus mengekang kecenderungannya untuk campur tangan dalam isu-isu di luar sempadannya serta mengamalkan sikap exceptionalism dalam menegakkan kepentingannya di rantau ini.  Ia harus berhenti mencucuk sarang tebuan dan menaikkan amarah China.  Negara Tembok Besar itu sendiri harus meningkatkan diplomatic engagement dengan AS dan negara-negara lain di rantau ini, bukan sekadar mengambil sikap self-righteous dan tidak mahu berkompromi dalam mempertahankan tuntutannya dan kedaulatan wilayahnya.  Kedua-dua kuasa besar ini harus menarik nafas sedalam-dalamnya dan segera mencari jalan penyelesaian pertelingkahan antara mereka melalui rundingan dan usaha diplomatik.  Berdasarkan kekuatan tentera masing-masing, pertembungan antara mereka akan menghasilkan akibat buruk yang tidak dapat kita bayangkan kepada keselamatan serantau dan global.    

Kita ‘pemain-pemain kecil’ di rantau ini amat berharap yang kuasa-kuasa besar berkerjasama mengekalkan keselamatan di rantau ini terutamanya di wilayah lautan.  Dalam hal ini, kita berharap pelantar multilateral seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ASEAN Regional Forum dan Shangri-La Dialogue boleh memainkan peranan aktif untuk menjadi pengantara untuk ‘menyejukkan suhu’ percaturan kuasa-kuasa besar di rantau ini.  Juga, adalah wajar negara-negara yang mempunyai tuntutan di Laut China Selatan segera mencapai persetujuan untuk melancarkan Code of Conduct in South China Sea bagi menguruskan perbalahan antara mereka dan mematuhi kod ini bagi mengelakkan konflik di perairan yang penting ini.

Konflik berterusan antara Russia dan Ukraine harus dijadikan teladan dan contoh pepatah ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.  Para pemimpin negara-negara serantau perlu menunjukkan statecraft dan kemahiran diplomatik mereka meyakinkan kuasa-kuasa besar yang bertelagah untuk mencari penyelesaian secara damai dan tidak mencetuskan konflik di rantau ini.  Persekitaran dinamik dan kompleks serta pelbagai perkembangan yang sukar diramalkan menuntut pihak-pihak berkepentingan untuk segera mengambil langkah bersama bagi memastikan lautan di rantau ini terbuka, selamat dan terpelihara untuk kegunaan dan manfaat semua. 

Tanpa perairan yang selamat, bersih, bebas dan terkawal, aktiviti-aktiviti ‘ekonomi biru’ di lautan sekeliling tidak dapat dijalankan.  Ini bakal membawa kesan buruk kepada negara kita dan rantau ini yang tinggi kebergantungannya terhadap dagangan maritim, sumber minyak dan gas pesisir, pelabuhan, perikanan, pembinaan / pembaikan kapal dan pelbagai kegiatan lain dalam industri maritim.   Apatah lagi, dalam situasi sekarang di mana ekonomi dunia diramalkan akan mengalami kegawatan tahun depan.

Adalah penting yang semua pihak mengamalkan sikap restraint dan toleransi dalam menghadapi situasi yang semakin genting ini.  Seandainya konflik tercetus di Laut China Selatan, adalah dikhuatirkan yang ekonomi serantau yang masih struggling untuk pulih susulan redanya pandemik COVID-19 akan menerima kesan buruk.  Sekarang ini pun pelbagai industri masih merasakan kesan kekurangan semikonduktor dan cip mikro keluaran Taiwan ROC yang merupakan negara pengeluar cip mikro terbesar di dunia dengan 50 peratus syer pasaran global akibat kekangan supply chain dan kelembapan pengeluaran yang masih terasa akibat pandemik.  Sekiranya situasi antara hubungan China dan AS semakin buruk dan Beijing mengenakan sekatan ekonomi ke atas Taiwan atau menaklukinya, deritalah ekonomi dunia sandaran cip mikro.

Ekonomi Malaysia juga tentunya akan turut terpalit sama kerana Taiwan ROC merupakan rakan dagangan kita yang kelima terbesar dan Malaysia ialah rakan dagangan Taiwan ROC ketujuh terbesar.  Oleh itu, penting bagi Malaysia untuk menyumbang dan terlibat secara terus dalam inisiatif yang membawa kepada keamanan serantau supaya kepentingan sosio-ekonomi dan strategik kita terjamin.

Cabaran memelihara kebebasan dan keselamatan perairan serantau amatlah besar dalam keadaan yang sangat rumit dan getir kini.  Menanganinya secara berkesan memerlukan komitmen tinggi, pendekatan menyeluruh dan kerjasama rapat antara kuasa-kuasa besar serta pihak-pihak yang relevan untuk meletakkan kepentingan bersama mengatasi kepentingan nasional masing-masing. 

Usaha berterusan harus diambil untuk memastikan yang pertentangan antara kuasa-kuasa besar di lautan rantau ini ditangani dan diselesaikan melalui pendekatan berdasarkan rundingan diplomatik dan perundangan. Langkah-langkah confidence building dan preventive diplomacy harus digerakkan segera bagi membolehkan dialog dan kerjasama serantau di pelantar multilateral diadakan bagi meredakan ketegangan di perairan rantau ini. Tanpa lautan dan laluan perkapalan yang selamat dan terpelihara dari pelbagai ancaman maritim yang dibincangkan, dagangan maritim dan aktiviti-aktiviti ‘ekonomi biru’ yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi dunia akan terganggu dan kepentingan semua pihak akan terancam.

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian.

Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian. Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]