EksklusifIndustriKomuniti

Tara TM-9 Dan CZ P-10C : Pistol Terbaharu PDRM

Kongsi di

Pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 (DSA), pengarah Aliran Nova Sdn Bhd, Mohd Husaini Arifin menyatakan bahawa syarikat tersebut berminat untuk memasarkan pistol Tara TM-9 di negara ini. 

Menurut beliau lagi, kerajaan perlu menukar senjata api yang digunakan oleh pasukan keselamatan ketika ini kerana pistol Tara ini lebih ringan dan tahan lasak. Selain itu, pistol tersebut mudah digunakan, berupaya menembak lebih tepat ke sasaran dan sudah tentu harga yang lebih murah. 

Pistol itu juga lulus ujian lapangan yang dikendalikan oleh anggota 69 Komando serta masih boleh digunakan walaupun direndam dalam air masin, pasir dan lumpur. 

Husaini Arifin menyatakan lagi bahawa pistol Tara TM-9 ini digunakan oleh anggota polis di Filipina, Timur Leste, Montenegro dan Amerika Syarikat. 

Tara TM-9 – Pistol Keluaran Dari Rantau Balkan 

Montenegro ialah sebuah negara kecil yang terletak di tenggara benua Eropah dan dikelilingi oleh Bosnia Herzegovina di utara, Serbia serta Kosovo di bahagian timur dan Albania di selatan. 

Negara ini berkeluasan 13,812 kilometer persegi (menyamai keluasan negeri Terengganu) dan ibu negaranya, Podgorica merupakan pusat pentadbiran, ekonomi dan kewangan. 

Syarikat Tara Aerospace AD ditubuhkan pada 1984. Penghasilan pada awal penubuhannya merangkumi pembuatan produk fius mortar, roket artileri, dan produk piroteknik. Produk pistol Tara TM-9 mula diperkenalkan pada tahun 2013 di pameran Milipol di Paris, Perancis. 

Sekali imbas, reka bentuk pistol Tara TM-9 ini seakan-akan sama dengan pistol Glock dari Austria tapi dengan harga yang lebih murah. Selain daripada Tara TM-9, syarikat Tara turut mengeluarkan senjata ringan yang lain seperti submesingun TM-9, raifal tempur TM-M4A1 dan TM-10. 

Pistol Tara ialah jenis semi automatik dengan mekanisma tunggal / berganda (single / double action). Picu menggunakan ciri-ciri keselamatan iaitu Double Action Rapid Engagement (DARE). DARE berfungsi dengan pin pencetus akan ditetapkan semula jika picu dilepaskan sebanyak 3mm. 

Dalam keadaan tertentu, jika peluru gagal untuk ditembak, pengguna pistol tidak perlu menarik gelongsor (slide) ke belakang, sebaliknya hanya perlu menekan picu untuk memastikan peluru berjaya ditembak keluar. 

Badan pistol TM-9 diperbuat daripada keluli tahan karat dan permukaan pistol telah dirawat bagi menjadikannya tahan lama . 

Rekabentuk pistol Tara ini juga low bore axis iaitu ketinggian gelongsor pistol yang kecil (22mm) menjadikan tendangan pistol lebih rendah serta peluru tepat ke sasaran. Pejera pistol terdiri daripada tiga titik, sepertimana pistol jenama lain yang berada di pasaran. 

Magazin mampu memuatkan 17 butir peluru serta dilengkapi juga dengan Picatinny rail untuk pemasangan aksesori seperti laser atau lampu suluh. 

Prestasi Pistol Tara TM-9 

Berdasarkan ulasan dan penilaian beberapa laman Youtube dari luar negara, rata-rata pengguna pistol ini menyatakan bahawa tendangan pistol sangat minimum menjadikannya selesa untuk menembak ke sasaran. 

Walaubagaimanapun, memandangkan pistol ini harganya murah, isu kualiti sememangnya tidak dapat lari daripada dibincangkan. 

  • Picu pistol  yang berat untuk ditekan menjadikannya tidak begitu sesuai untuk penugasan di barisan hadapan. 
  • Sesetengah magazin pistol tidak dapat dikunci dengan baik 
  • Gelongsor pistol terkebelakang walaupun masih ada baki satu peluru dalam magazin
  • Kegagalan penetapan semula picu 
  • Ada pengguna yang menyarankan bahawa pistol perlu diuji dengan 200 butir peluru di lapang sasar, barulah operasi mekanikal pistol ini berjalan dengan lancar

Pistol CZ P-10C

Firma Ceska zbrojovka a.s. Uhersky Brod (CZUB) ialah sebuah firma persenjataan yang berasal dari Republik Czech. Diasaskan pada 1919, CZUB telah berkecimpung dalam pembuatan senjata ringan yang merangkumi pistol, senapang patah, submesingun serta raifal. 

Pistol CZ P-10C mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 2017 di pameran International Weapon Exhibition (IWA) yang diadakan di Nuremberg, Jerman. CZ P-10C ialah pistol semi auto dengan mekanisma striker-fired. 

Mekanisma ini hanya membenarkan pistol ditembak apabila picu ditekan secara tekanan penuh.Pistol ini mempunyai beberapa jenis saiz iaitu supercompact (CZ P-10M), subcompact (CZ P-10S), compact (CZ P-10C), semi-compact (CZ P-10SC) dan full-size (CZ P-10F). 

Kesemua jenis pistol CZ P-10 mempunyai ciri-ciri kebolehpercayaan, ketepatan tinggi, jangka hayat yang lama, dan keselesaan semasa menembak. 

Prestasi Pistol CZ P-10C 

Menurut pengguna di luar negara yang pernah menggunakan pistol ini, prestasinya hebat sepertimana jenamanya. Tembakan yang dibuat terasa lancar. Anjalan ketika menembak juga minima dan dapat dikendalikan dengan baik. Kebolehpercayaan bukan satu isu untuk pistol jenama CZ ini. 

Pistol ini juga telah diuji dengan tembakan lebih 1,000 butir peluru di lapang sasar tanpa sebarang masalah yang timbul. Pistol CZ P-10C juga mudah untuk dibawa memandangkan saiznya yang kecil. Oleh itu, pistol ini sangat selesa untuk dibawa untuk penugasan harian. 

Walaupun pistol CZ ini tidak dapat menandingi kualiti pistol jenama lain yang lebih gah seperti Glock atau Heckler & Koch, namun ia juga boleh dikategorikan sebagai pistol yang terbaik dengan harga yang bajet. Walaubagaimanapun, terdapat juga kekurangan dalam pistol ini iaitu beratnya. 

Pistol CZ P-10C agak berat dan besar sedikit daripada Glock 19. Magazin pengganti juga lebih mahal daripada jenama Glock. Butang pelepas magazin pula agak cerewet dan bersaiz kecil.  

Pistol Tara TM-9 dalam perkhidmatan PDRM

Tara TM-9 dan CZ P-10C Dalam Inventori PDRM 

Berdasarkan carian penulis di internet, sebarang maklumat pemilikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dua jenis pistol ini hampir tiada. Bahkan, maklumat di Wikipedia juga tidak memasukkan kedua jenis pistol ini dalam inventori PDRM. 

Maklumat yang ada hanyalah ujian dan latihan dalam perkhidmatan (LDP) anggota PDRM menembak senjata ini di lapang sasar di medial sosial Facebook. Kedua-dua senjata ini dipercayai memasuki perkhidmatan PDRM pada tahun lepas. 

Tidak diketahui juga berapa jumlah senjata ini yang diperoleh dan cawangan mana yang menggunakannya.

Pistol CZ P-10C dalam perkhidmatan PDRM

Penggunaan Pistol oleh PDRM dan Agensi Keselamatan Yang Lain di Malaysia 

Pistol merupakan sepucuk senjata api kecil yang mampu dikendalikan dalam keadaan tertentu dengan sebelah tangan sahaja dan kebiasaan kaliber yang digunakan ialah 9mm (milimeter). 

Pistol hanya boleh digunakan untuk jarak dekat sahaja, oleh itu ia sangat sesuai digunakan oleh anggota keselamatan, penguatkuasa dan pasukan khas. Peluru pistol yang berkaliber kecil juga bermaksud pistol boleh digunakan di tempat awam tanpa perlu bimbang penembusan di luar kawasan / sasaran. 

Di Malaysia, agensi seperti PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ),  Polis Bantuan, pengawal keselamatan swasta dan lain-lain agensi keselamatan menggunakan pistol dalam penugasan harian. 

Pistol yang digunakan pula merangkumi pelbagai jenis seperti Walther P99, Glock 17/19, Beretta 92, dan lain-lain lagi. 

Penggunaan pistol di Malaysia sejak sekian lama menyaksikan pelbagai jenama yang telah dibekalkan kepada agensi keselamatan negara bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dikekalkan sedia ada. 

Namun begitu, isu yang penting dalam hal ini adalah penggantian senjata api untuk pasukan keselamatan. Penulis selalu memerhatikan senjata api yang dibawa oleh anggota polis tugasan am yang kadang kala membawa sepucuk revolver di pinggang dengan lilitan peluru. 

Sekali tengok, seakan-akan sama seperti zaman wild west di benua Amerika Utara sekitar abad ke-15. Keadaan ini sungguh menyedihkan dengan negara sudah mencapai kemerdekaan yang berumur 65 tahun. 

Seharusnya, semua anggota polis di barisan hadapan dilengkapi dengan pistol semi automatik dan bukannya revolver. Revolver tersebut yang sudah berusia boleh dipindahkan kepada Sukarelawan Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhilitan dan lain-lain agensi yang memerlukan. 

Singapura Memilih Glock 19

Penggunaan pistol yang berkualiti bukan sahaja mampu menjamin keselamatan anggota polis ketika bertugas malah meningkatkan keyakinan serta moral anggota organisasi tersebut. 

Pada Jun tahun lepas, pasukan polis Singapura (SPF) telah menukar revolver kepada pistol semi automatik. Pistol yang digunakan ialah Glock 19 Gen 5 menggantikan revolver Taurus M85. 

Terdapat beberapa sebab mengapa revolver ditukar kepada pistol semi auto. Pistol semi auto mempunyai lebih banyak peluru, meningkatkan kuasa tembakan dan mengurangkan masa untuk mengisi peluru. Glock 19 Gen 5 mempunyai kapasiti 15 butir peluru. 

Sebanyak 6,000 unit Glock Gen 5 akan dibekalkan kepada anggota polis di negara pulau tersebut. Diharapkan agar pihak kerajaan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk anggota PDRM dalam bajet 2023 yang berkemungkinan akan dibentangkan pada Oktober ini. 

CZ P-10C Lebih Baik Daripada Tara TM-9?

Berdasarkan ulasan dan penilaian oleh pengguna pistol di luar negara, kebanyakannya memuji prestasi pistol keluaran firma CZ iaitu pistol tersebut tidak mempunyai begitu banyak kelemahan. 

Jika dibandingkan dengan Tara TM-9, prestasinya hanya berada pada tahap yang sederhana dan agak sukar untuk bersaing dengan pistol berjenama yang mempunyai reputasi tinggi. 

Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana firma CZ telah 100 tahun berkecimpung dalam industri senjata api berbanding dengan Firma Tara yang baru ditubuhkan sekitar 80-an. Sudah tentu, pengalaman dalam bidang pembuatan yang menjadi faktor penentu kualiti sesuatu produk itu. 

Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memastikan produk pistol yang diperoleh untuk PDRM selepas ini berkualiti dan mampu digunakan untuk jangka masa yang lama. Hal ini sudah pasti mampu menjimatkan kewangan negara tatkala negara baru pulih daripada pandemik COVID-19. 

Dan yang lebih penting lagi, keselamatan anggota polis di lapangan lebih terjamin. 

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.