EksklusifKomuniti

Retak Menanti Belah? Percaturan Kuasa-Kuasa Besar di Lautan Serantau

Kongsi di

Lautan Serantau Bergelora

Kebelakangan ini, beberapa perkembangan melibatkan dua kuasa besar dunia semakin meningkatkan ‘suhu’ geo-politik dan geo-strategik di lautan di rantau Asia Pasifik yang menjadi pentas percaturan mereka.  Perhatian masyarakat antarabangsa tertumpu khususnya ke Laut China Selatan yang merupakan laluan maritim yang penting kepada kapal-kapal dagangan, perikanan dan tentera.  Lautan ini menjadi gelanggang di mana kuasa-kuasa besar ini menunjukkan ‘belang’ menegakkan kepentingan masing-masing dan mempamerkan kehebatan tentera mereka.

Tiada rahsia yang kuasa-kuasa besar yang dimaksudkan ialah China dan Amerika Syarikat (AS).  Hubungan antara mereka yang sudah sedia renggang semakin merosot  kebelakangan ini.  Lautan serantau menjadi ‘papan catur’ tempat mereka menunjukkan kekuatan masing-masing.

China menganggap hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya.  Ini berdasarkan tuntutannya yang disebutt sebagai nine-dash line atau sembilan garisan terputus yang berdasarkan rekod silam China. Beijing percaya hujah berlandaskan fakta masa lampau memberi hak kepadanya untuk menuntut keseluruhan lautan yang kaya dengan sumber perikanan dan tenaga ini sebagai wilayah kedaulatannya.  Namun tuntutan berdasarkan sejarah ini tidak diikitiraf oleh masyarakat antarabangsa dan dianggap sebagai tidak sah dari segi perundangan kelautan antarabangsa.

Rondaan Agresif

China tidak berselindung dalam mempertahankan tuntutannya di laut ini secara agresif.  Dalam sedekad kebelakangan ini, People’s Liberation Army (PLA) atau Tentera Pembebasan Rakyat China telah mengambil beberapa langkah seperti membina pulau-pulau buatan (artificial) dan melengkapkan beberapa pulau dengan infrastruktur dan peralatan ketenteraan.  Ini termasuklah senjata anti-kapal dan anti-pesawat serta landasan untuk pesawat-pesawat tenteranya mendarat, malah untuk melancarkan latihan operasi ketenteraan dan simulasi penaklukan pulau.  Ini mengundang spekulasi yang pameran kekuatan atau show of force ini diujukan kepada Taiwan ROC yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya.

Kapal-kapal PLA sering menjalankan rondaan secara agresif di perairan antarabangsa dan high seas di Laut China Selatan dengan cara yang boleh menggugat kebebasan navigasi negara-negara lain. Hak ini diperuntukkan oleh United Nations Convention on the Law of the Seas (UNCLOS) yang menjadi teras perundangan maritim antarabangsa dan perlembagaan penggunaan samudera.  Kapal-kapal tentera dan agensi maritim China malah dilaporkan sering memasuki perairan Zon Eksklusif Ekonomi negara-negara pesisir di Laut China Selatan termasuk Malaysia sendiri.  Terkini pada bulan Jun 2023, sebuah kapal penyelidikan China diberitakan memasuki perairan dalam Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia di Laut China Selatan yang mendorong Tentera Laut DiRaja Malaysia menghantar kapal sokongannya Bunga Mas Lima sebagai tindakbalas kepada pencerobohan ini.

Beijing Beraksi Agresif

Namun Beijing tidak mengendahkan keluhan dan bantahan diplomatik negara-negara lain terhadap aksi agresifnya.  China malah tidak takut untuk bersemuka dengan tentera laut AS di Laut China Selatan.  Terbaru, satu insiden pada awal Jun 2023 melibatkan sebuah kapal perang China dan AS diberitakan sebagai aksi provokasi oleh Washington.  AS menyatakan yang kapal perang China melakukakan ‘interaksi maritim yang merbahaya’ bila ia melintas pada jarak yang sangat dekat di hadapan kapal pemusnah Tentera Laut AS USS Chong-Hoon yang sedang belayar di perairan antarabangsa di Selat Taiwan yang memisahkan tanah besar China dengan Taiwan ROC.

Dunia maklum yang AS tidak selesa dengan kebangkitan China sebagai kuasa baru yang semakin tampak berupaya mencabar dominasinya di lautan rantau ini dan juga di pentas global.  AS sentiasa mengingatkan China yang kebebasan pelayaran di lautan ini dan perairan serantau merupakan hak antarabangsa yang harus dipelihara. 

Kapal-kapal AS sentiasa menjalankan rondaan dan operasi di lautan ini dan kehadiran mereka sangat tidak disenangi oleh China.  Beijing menuduh Washington sengaja mencetuskan provokasi di rantau ini dengan menjalankan naval operations di lautan yang dituntutnya.  AS menegaskan yang ia dan negara-negara lain berhak untuk menjalankan rondaan Freedom of Navigation Operations (FONOP) secara rutin di Laut China Selatan yang konsisten dengan perundangan antarabangsa.

Taiwan ROC – Api Dalam Sekam

Kita maklum yang Taiwan ROC menjadi antara sore points utama dalam hubungan diplomatik China dengan Amerika Syarikat.  Beijing melihat Taiwan ROC yang mentadbir dirinya sendiri sebagai sebuah wilayah breakaway yang menjadi sebahagian dari China.

Taiwan ROC menjadi sumbu yang berkemungkinan menyalakan konflik besar-besaran antara dua kuasa besar dunia ini.  Kedua-dua pihak sedang ‘sibuk’ dengan pelbagai langkah untuk mengukuhkan kehadiran masing-masing di Selat Taiwan dan perairan lain di sekeliling Taiwan ROC serta memberikan hint yang masing-masing tidak akan duduk diam bila dicabar. 

Di samping rondaan FONOP oleh tentera laut AS di Laut China Selatan, Washington juga ‘menaikkan suhu’ di perairan ini dan dalam hubungannya dengan Beijing melalui aksi-aksi bukan ketenteraan. Pada bulan Januari 2022, Naib Presiden AS Kamala Harris bertemu dengan Timbalan Presiden Taiwan ROC William Lai di Honduras yang mencetuskan kemarahan Beijing. China bertindak keras bila Speaker Dewan Perwakilan atau House of Representatives AS, Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke Taiwan ROC dalam siri lawatan beliau ke rantau Asia Pasifik pada awal bulan Ogos 2022.  Pelosi merupakan pengkritik lantang China sepanjang karier beliau dalam kongres AS, terutamanya rekod hak kemanusiaan Beijing. 

Lagi Lawatan ke Taiwan

Langkah Pelosi melawat Taiwan ROC ini tambah meningkatkan amarah Beijing terhadap AS setelah enam orang penggubal undang-undang AS melawat Taipei pada bulan April 2022.  Susulan lawatan itu, Presiden AS Joe Biden juga dipetik sebagai berkata yang Washington akan ‘campurtangan’ sekiranya Beijing melancarkan operasi ketenteraan untuk menakluk Taiwan ROC.  Ini merupakan pengumuman yang sensasi kerana AS mengamalkan dasar One China yang mengakui Taiwan ROC sebagai sebahagian dari wilayah China dan tidak menyokong sebarang langkah memerdekakannya dari Beijing. Tidak hairanlah yang beliau dilihat oleh Beijing sebagai seorang pemimpin AS yang hostile terhadap kebangkitan Cina. 

Beijing tidak berselindung disebalik bahasa diplomatik dengan menyatakan yang AS akan dipertanggungjawabkan terhadap apa jua kesan serius hasil pendirian Washington terhadap Taiwan ROC.  Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan China malah menekankan yang PLA tidak akan duduk diam dan mengambil ‘langkah tegas’ untuk menghalang campurtangan luar dan percubaan untuk memerdekakan Taiwan ROC.  Susulan lawatan Pelosi yang penuh kontroversi itu, China telah melancarkan apa yang disebutnya sebagai ‘latihan ketenteraan’ dengan mengerahkan kapal-kapal perang serta pesawat-pesawat tenteranya mengepung perairan dan ruang udara Taiwan ROC.   Ini tentunya menggusarkan kita kerana sekiramya tercetus konflik di rantau Asia Pasifik ini, kestabilan, keamanan dan kelancaran perdagangan di wilayah ini akan tergugat seterusnya mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan strategik negara. 

Strategi China di Perairan Serantau

Jelas yang China yang semakin meningkat kuasa ekonomi, politik dan ketenteraannya tidak berkompromi dalam menegakkan tuntutan maritimnya.  Ia tidak segan-segan menunjukkan kekuatan ketenteraannya dalam mempertahankan apa yang disebut sebagai sovereign territory atau wilayah kedaulatannya di Laut China Selatan yang juga dituntut oleh bebertapa pihak lain.  Beijing malah mengambil pendirian tidak endah kepada perundangan kelautan antarabangsa yang tidak mengikitiraf tuntutannya yang tidak berdasarkan rule of law atau norma tuntutan wilayah maritim yang menjadi amalan masyarakat antarabangsa.

Ia juga menggunakan kekuatan politiknya untuk menekan negara-negara yang mempunyai tuntutan di laut ini untuk tidak bersekongkol dan menggunakan pelantar multilateral dalam menegakkan tuntutan mereka.  Beijing bekeras yang perbalahan kewilayahan dan tuntutan di Laut China Selatan perlu diselesaikan melalui rundingan bilateral bukan isu antarabangsa.  Strategi ini tentunya memberikan kelebihan kepada China yang merupakan rakan dagangan dan pelaburan penting bagi negara-negara yang mempunyai tuntutan di laut ini.  Ia boleh menggunakan kuasa ekonomi sebagai senjata bagi mengenakan tekanan ke atas negara-negara tersebut dalam isu tuntutan wilayah maritim.  Strategi divide and conquer yang diamalkannya juga bertujuan melemahkan negara-negara yang mempunyai tuntutan dan mengasingkan mereka dari platform multilateral supaya tidak membincangkan isu itu di peringkat antarabangsa.

Aksi China mempertahankan tuntutan maritimya dan reaksi negara-negara lain terutamanya AS terhadapnya dikhuatiri bakal mencetuskan konflik maritim besar-besaran di perairan rantau ini.  Insiden seperti persemukaan kapal-kapal perang China dan AS secara hostile serta aksi-aksi provokatif kedua-dua belah pihak dikhuatiri akan menyalakan sumbu kemarahan masing-masing yang bakal meledak menjadi pertentangan ketenteraan.  Ini tentunya akan mendatangkan kesan buruk kepada kepentingan dagangan, ekonomi dan srategik negara-negara serantau dan ekonomi dunia amnya yang bergantung kepada laluan terbuka di lautan sebelah sini bagi memudahcarakan dagangan.

Amaran Lantang

Tindakan China dalam sedekad kebelakangan ini membina infrastruktur dan kepupayaan ketenteraan serta reaksinya terhadap lawatan Pelosi ke Taiwan ROC menunjukkan sikap tidak bertolak ansurnya dalam memelihara kepentingan dan mempertahankan tuntutan kewilayahnnya.  Pesawat-pesawat tentera dan drones China diberitakan pernah memasuki Air Defence Identification Zone (ADIZ) atau Zon Pengenalan Pertahanan Udara Taiwan ROC.  Tindakan mengepung Taiwan ROC dan mengadakan military drills sebagai reaksi lawatan Pelosi merupakan satu amaran lantang yang ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ketenteraan sekiranya Taiwan ROC berhasrat untuk berpisah dari China. 

Nampak gayanya kita di wilayah ini terpaksa menghadapi kesan kuasa besa yang juga jiran kita yang sudah tercabar egonya dan terguris perasaannya.  In terhasil akibat sikap AS yang terus menganggap kerangka kuasa di dunia kini harus berkiblatkan ke arah Washington sebagai kuasa unipolar yang tiada tandingannya.  AS juga terus berada dalam situasi in denial yang China semakin berkembang kuasa dan pengaruhnya dan sepatutnya diakui sebagai kuasa baru dunia.  Kebangkitan China menuntut yang kepentingan dan pandangannya diambilkira dan tidak ditolak tepi sahaja, apatah lagi di rantau ini di mana ia merupakan kuasa tempatan yang besar pengaruhnya.

Pendekatan Berdegil

Susulan reaksi China dalam ‘menghukum’ Taiwan ROC kerana menjadi tuan rumah lawatan kontroversi Pelosi, kita boleh mengunjurkan yang China akan mengambil sikap yang lebih keras dalam perlakuan dan strateginya di Laut China Selatan.   China dilihat akan terus mengenepikan kaedah rundingan dalam tuntutan kewilayahan dan akan menggunakan provokasi AS sebagai alasan untuk mengamalkan pendekatan belligerent atau berdegil dalam perilakunya di lautan serantau.  Walaupun Presiden Biden dan Presiden Xi Xinping berjabat tangan dan bersetuju menggalas ‘tanggungjawab bersama’ untuk memperbaiki hubungan di antara AS dan China sewaktu Mesyuarat G20 di Bali pada bulan November 2022, adalah terlalu optimistik untuk membayangkan hubungan antara kuasa-kuasa besar ini akan harmoni 100 peratus.  Mereka dilihat akan terus cabar mencabar dalam menunjukkan kekuatan masing-masing sebagai kuasa besar.

Ini tentunya menzahirkan senario yang amat tidak ideal bagi negara-negara yang mempunyai tuntutan wilayah di lautan ini yang juga mempunyai kebergantungan tinggi terhadapnya bagi kesejahteraan sosio-ekonomi dan kepentingan strategik mereka.   Keselamatan maritim merupakan antara tunjang kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik amnya dan Asia Tenggara.  Oleh itu, adalah penting yang perbezaan pendapat di antara kuasa-kuasa besar di lautan ini diuruskan dengan efektif dan penyelesaian isu-isu antara mereka segera dicari sebelum ia menjadi semakin parah. 

Langkah Kehadapan

Lautan tidak mengenal sempadan.  Ancaman keselamatan maritim di mana jua di wilayah ini akan lambat laun dirasakan oleh atau ‘berjangkit’ ke negara -negara pesisir seterusnya ke masyarakat antarabangsa kerana kebergantungan mereka kepada kebebasan pelayaran di lautan.  Jadi amatlah penting yang pihak-pihak berkepentingan termasuk kuasa-kuasa besar mengamalkan sikap toleransi dan meletakkan kepentingan umum mengatasi kepentingan peribadi dalam menegakkan kepentingan maritim mereka. 

Berdasarkan hal ini, adalah penting yang hak pelayaran melalui perairan antarabangsa di rantau ini terjamin seperti yang termaktub dalam perundangan antarabangsa.  Dalam situasi runcing yang terhasil dari percaturan antara China dengan AS sekarang, amatlah penting yang kedua-dua pihak berhenti dari mengambil langkah-langkah yang boleh dikira sebagai provokatif dan mengancam keselamatan serantau.  Mereka harus segera bertemu di meja rundingan dan menyelesaikan perbalahan di antara mereka secara diplomatik berdasarkan penyelesaian rules-based atau perundangan antarabangsa. 

AS harus mengekang kecenderungannya untuk campur tangan dalam isu-isu di luar sempadannya serta mengamalkan sikap exceptionalism dan dalam menegakkan kepentingannya di rantau ini.  Ia harus berhenti dari mencucuk sarang tebuan dan menaikkan amarah China.  Negara Tembok Besar itu sendiri harus meningkatkan diplomatic engagement dengan AS dan negara-negara lain di rantau ini, bukan mengambil sikap self-righteous dan tidak berkompromi dalam mempertahankan tuntutannya dan kedaulatan wilayahnya.  Kedua-dua kuasa besar ini harus menarik nafas sedalam-dalamnya dan segera mencari jalan penyelesaian pertelingkahan antara mereka melalui rundingan dan usaha diplomatik.  Berdasarkan kekuatan tentera masing-masing, pertembungan antara mereka akan menghasilkan akibat buruk yang tidak dapat kita bayangkan kepada keselamatan serantau dan global.    

Teladan Dari Konflik Rusia-Ukraine

Kita ‘pemain-pemain kecil’ di rantau ini amat berharap yang kuasa-kuasa besar berkerjasama mengekalkan keselamatan di rantau ini terutamanya di lautan.  Dalam hal ini, kita berharap pelantar multilateral seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ASEAN Regional Forum dan Shangri-La Dialogue boleh memainkan peranan aktif untuk menjadi pengantara untuk ‘menyejukkan suhu’ percaturan kuasa-kuasa besar di rantau ini.  Juga, adalah wajar negara-negara yang mempunyai tuntutan di Laut China Selatan segera mencapai persetujuan untuk melancarkan Code of Conduct in South China Sea bagi menguruskan perbalahan antara mereka dan mematuhi kod ini bagi mengelakkan konflik di perairan yang penting ini.

Konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine harus dijadikan teladan dan contoh pepatah ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.  Para pemimpin negara-negara serantau perlu menunjukkan statecraft dan skil diplomatik mereka untuk meyakinkan kuasa-kuasa besar yang bertelagah untuk mencari penyelesaian secara damai dan tidak mencetuskan konflik di rantau ini.  Persekitaran dinamik dan kompleks serta pelbagai perkembangan yang sukar diramalkan menuntut pihak-pihak berkepentingan untuk segera mengambil langkah bersama bagi memastikan lautan di rantau ini terbuka, selamat dan terpelihara untuk kegunaan dan manfaat semua. 

Tanpa perairan yang selamat, bersih, bebas dan terkawal, aktiviti-aktiviti ‘ekonomi biru’ di lautan sekeliling tidak dapat dijalankan.  Ini bakal membawa kesan buruk kepada negara kita dan rantau ini yang tinggi kebergantungannya terhadap dagangan maritim, sumber minyak dan gas pesisir, pelabuhan, perikanan, pembinaan / pembaikan kapal dan pelbagai kegiatan lain dalam industri maritim. Apatah lagi dalam situasi sekarang di mana ekonomi dunia diramalkan akan mengalami kegawatan tahun depan.

Rakan Dagang

Adalah penting yang semua pihak mengamalkan sikap restraint dan toleransi dalam menghadapi situasi yang semakin genting ini. Seandainya konflik tercetus di Laut China Selatan, adalah dikhuatirkan yang ekonomi serantau yang masih struggling untuk pulih susulan redanya pandemik COVID-19 akan menerima kesan buruk.  Sekarang ini pun pelbagai industri masih merasakan kesan kekurangan semikonduktor dan cip mikro keluaran Taiwan ROC yang merupakan negara pengeluar cip mikro terbesar di dunia dengan 50% syer pasaran global akibat kekangan supply chain dan kelembapan pengeluaran yang masih terasa akibat pandemik.  Sekiranya situasi antara hubungan China dan AS semakin buruk dan Beijing mengenakan sekatan ekonomi ke atas Taiwan atau menaklukinya, ekonomi dunia yang tinggi kebergantungannya terhadap cip mikro akan merana. 

Ekonomi Malaysia juga tentunya akan turut terpalit kerana Taiwan ROC merupakan rakan dagangan kita yang kelima terbesar dan Malaysia ialah rakan dagangan Taiwan ROC ketujuh terbesar.  Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk menyumbang kepada dan terlibat dalam inisiatif yang membawa kepada keamanan serantau supaya kepentingan sosio-ekonomi dan strategik kita terjamin.

Cabaran memelihara kebebasan dan keselamatan perairan serantau amatlah besar dalam keadaan yang sangat rumit dan getir kini.  Menanganinya secara berkesan memerlukan komitmen tinggi, pendekatan menyeluruh serta kerjasama rapat antara kuasa-kuasa besar serta pihak-pihak yang relevan untuk meletakkan kepentingan bersama mengatasi kepentingan nasional masing-masing. 

Confidence Building Measures

Usaha berterusan harus diambil untuk memastikan yang konflik di antara kuasa-kuasa besar di lautan rantau ini ditangani dan diselesaikan melalui pendekatan berdasarkan rundingan diplomatik dan perundangan. Langkah-langkah confidence building dan preventive diplomacy harus digerakkan segera bagi membolehkan dialog dan kerjasama serantau di pelantar multilateral diadakan bagi meredakan ketegangan di perairan rantau ini. Tanpa lautan dan laluan perkapalan yang selamat dan terpelihara dari pelbagai ancaman maritim yang dibincangkan, dagangan maritim dan aktiviti-aktiviti ‘ekonomi biru’ yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi dunia akan terganggu dan kepentingan semua pihak akan terancam. –nk/perajurit/mhi (Foto: Tentera Laut AS, AMTI)

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian.

Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]

Nazery Khalid

Penulis merupakan penganalisa maritim yang telah menerbitkan lebih 350 artikel mengenai pelbagai topik dalam bidang ini di majalah, akhbar serta atas talian. Beliau mengalu-alukan maklumbalas pembaca budiman dan boleh dihubungi di [email protected]