KomunitiSejarah

ATM Kurang Aset Tempur Atau Logistik?

Kongsi di

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini pemerhati-pemerhati pertahanan telah meluahkan kebimbangan akan keadaan aset-aset tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin usang tanpa penggantian segera.

TLDM sedikit beruntung dengan tempahan “kapal tempur pesisir” (littoral combat ship – LCS) kelas “MAHARAJA LELA”, tetapi kelewatan pembinaannya telah memberi kesan kepada kekuatan tempur TLDM kerana kini aset tempur utama TLDM hanyalah bergantung  kepada 2 x friget LEKIU (tauliah 1999) dan 2 x korvet KASTURI (tauliah 1984).

Enam buah kapal-kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) kelas “KEDAH” yang sepatutnya dilengkapi dengan misil dan keupayaan pertahanan udara serta anti-kapal selam kekal sebagai kapal ronda bersenjatakan meriam, begitu juga 4 x kapal korvet kelas “LAKSAMANA” (tauliah 1997) yang dahulu pernah dilengkapi misil anti kapal Otomat SSM dan misil pertahanan udara Aspide SAM kini telah ditanggalkan dan tidak digantikan dengan persenjataan baru.

Dengan wujudnya pencerobohan dari kapal-kapal PLA-N (China) di Laut China Selatan, kekurangan aset TLDM ini menyulitkan TLDM melaksanakan rondaan dan menunjukkan kehadiran dalam tempoh yang panjang di kawasan yang menjadi pertikaian.

TLDM juga terpaksa menghantar KD LEKIR walaupun telah berusia 40 tahun untuk menyertai EKSESAIS RIMPAC (Rim Of The Pacific 2022) di Hawaii.

Dari segi keupayaan logistik pula, dua buah kapal lojistik KD SRI INDERA SAKTI (tauliah 1980) dan KD MAHAWANGSA (tauliah 1983) masih lagi digunakan.

Jika pembaca masih ingat filem “Darah Satria”, kapal KD SRI INDERA SAKTI telah digunakan dalam penggambaran filem tersebut. Begitulah lamanya kapal ini berkhidmat.

Malaysia sebagai negara yang mempunyai wilayah yang terpisah dengan lautan sama juga seperti Indonesia, Filipina dan Thailand memerlukan kapal peronda dan sokongan logistik yang banyak.

Tentera Udara Diraja Malaysia

TUDM pula tanpa jet latihan dan penggantian kepada jet pejuang MiG-29 telah menambah bebanan kepada jet-jet sedia ada iaitu 8 x F/A-18 Hornet (masuk perkhidmatan 1997) dan 18 x Sukhoi Su-30MKM (2007) dalam tugasan mengawal ruang udara negara.

Ketiadaan jet-jet latihan MB339C dan BAe Hawk 108/208 dalam perkhidmatan seharusnya mempercepatkan program perolehan Fighter Lead-In Trainer / Light Combat Aircraft (FLIT / LCA).

Pada suatu ketika dahulu kita mempunyai 18 x MIG-29N (1995), 7 x Aermacchi MB-339CM (2009) dan 18 x BAe Hawk 108/208 (1996).

Semasa insiden Lahad Datu 2013, 5 x Hawk 208 dan 3 x F/A-18 Hornet telah digunakan dalam serangan rapat ke atas kedudukan penceroboh.

Begitulah pentingnya jet latihan atau serangan ringan dalam membantu misi serangan rapat (close air support / ground attack).

Selain peranan tempur, TUDM juga bertanggungjawab dalam memberikan sokongan logistik kepada ATM. Beban ini dipikul oleh pesawat pengangkut C-130 dan A400M.

Keperluan utama pesawat-pesawat ini adalah antaranya untuk menghantar bekalan, ulang bekal dan juga pengangkutan untuk pasukan payung terjun.

Royal Air Force

Sejauh mana TUDM mampu memenuhi keperluan ini, kita lihat dari pengalaman Royal Air Force (RAF). Sungguhpun begitu, perbandingan apple to apple tidak boleh dibuat kerana doktrin peperangan yg berbeza.

Kali terakhir, 66 tahun dahulu, RAF telah menggugurkan pasukan payung terjun pada skala batalion adalah semasa tahun 1956 di Suez, Mesir.

Ketika itu 668 anggota payung terjun dari Batalion 3 Para digugurkan dengan 25 buah pesawat pengangkut Valetta dan Hasting, dengan tambahan tujuh lagi pesawat Hasting yang membawa kenderaan jeep, meriam anti-tank dan lain-lain peralatan berat.

Jumlah pesawat yang banyak diperlukan kerana Valetta hanya berupaya memuatkan 20 paratrooper setiap satu (34 anggota infantri mengikut kapasiti standard).

Selepas itu tentera British tiada lagi melakukan operasi penerjunan pasukan payung terjun dengan skala beasr.

Pesawat pengangkut C-130 Hercules yang telah menjadi tulang belakang RAF akan dibersarakan pada tahun hadapan, dan bakal digantikan dengan pesawat 24 x pesawat pengangkut Airbus A400M. 

Ini tidaklah termasuk pesawat 8 x C-17 Globemaster yang dimiliki oleh RAF.

Sungguhpun dengan jumlah yang besar, RAF masih terpaksa bergantung kepada sokongan pesawat pengangkut dari negara sahabat jika hendak menerjunkan 3,000 paratrooper seperti di Macedonia dalam EXERCISE SWIFT RESPONSE 2022.

Menurut pemerhati pertahanan, tanpa bantuan NATO, pasukan Parachute Regiment tidak mampu melaksanakan penerjunan pada skala besar seperti itu.

Berdasarkan pengalaman RAF pada tahun-tahun 1980an sebanyak 15 x C-130 Hercules diperlukan hanya untuk menggugurkan dua batalion Parachute Regiment dalam satu misi penerjunan.

Sokongan Helikopter

Maka pada tahun-tahun mendatang, Parachute Regiment akan disokong oleh helikopter-helikopter berkapasiti besar seperti CH-47 Chinook yang dimiliki oleh mereka.

Helikopter-helikopter ini boleh mengangkut kenderaan ringan dan juga meriam. 

Penerjunan dari pesawat hanya untuk pasukan tinjau, pathfinder dan pasukan hadapan (advance party) yang kecil, dan pasukan utama akan dimasukkan ke kawasan operasi dengan penggunaan helikopter.

Pengoperasian seperti yang disebutkan di atas sesuai dengan pasukan 10 Briged Para kita untuk menghadapi ancaman skala kecil atau pertahanan musuh yang tidak dilengkapi banyak senjata berat dan senjata pertahanan udara yang berkeupayaan.

Sungguhpun begitu, ia adalah satu beban kepada TUDM kerana jumlah pesawat pengangkut yang jauh lebih kecil iaitu  15 x C-130 Hercules dan 4 x A400M dengan mengambilkira jarak antara Semenanjung dan Malaysia Timur yang mana cara pengangkutan terpantas adalah dengan pesawat udara.

Tambah lagi jumlah 15 pesawat C-130 itu adalah yang diperolehi semenjak tahun 1976, tentunya jumlah semakin berkurangan pada tahun 2023 ini.

Tambah memeritkan lagi, jumlah helikopter pengangkut utama TUDM hanyalah 12 x EC725 Caracal yang mana helikopter ini jugalah akan digunakan untuk tujuan bekalan, ulang bekal, infiltrasi dan penarikan keluar pasukan khas serta evakuasi anggota tentera yang cedera atau terkorban.

Bukan semua pesawat udara akan berada dalam keadaan siap siaga kerana sebahagiannya perlu diselenggara.

Suatu ketika dahulu hampir 40 x helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri telah operasikan oleh TUDM sejak tahun 1961 sehingga tamatnya Perang Melawan Insurgensi (1968-1989).

Rata-rata bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maklum walaupun dengan jumlah 40 buah helikopter Nuri digunakan, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak operasi dalam koflik “intensiti rendah” tersebut.

Maka sungguh aneh jika kerajaan hanya membuat perolehan 12 x helikopter EC725 Caracal bagi menggantikan helikopter Nuri yang telah diberhentikan perkhidmatannya.

Keperluan TUDM

Untuk menghadapi ancaman yang lebih besar, berbanding pengalaman dengan “low intensity conflict” seperti Insurgensi, TUDM memerlukan lebih banyak jet-jet tempur dan pesawat-pesawat pengangkut.

Jumlah yang kecil tidak mampu melaksanakan “sorties” yang berulang-ulang dalam peperangan konvensional.

Berhadapan dengan musuh yang mempunyai kekuatan atau pertahanan udara yang ampuh juga akan memberi risiko tinggi kepada jet-jet untuk ditembak jatuh.

Oleh kerana kita tidak mempunya sistem misil pertahanan udara berlapis untuk jarak sederhana dan jauh, maka jet-jet pejuang TUDM sekali lagi diperlukan untuk misi memintas jet-jet penceroboh dan ini tidak termasuk misi mengiring pesawat pengangkut yang hendak menggugurkan pasukan payung terjun sebagai contoh.

Kelihatannya, jumlah yang kecil ini perlu diagih-agihkan untuk pelbagai tugasan yang mana sebagaimana penulis sebutkan tadi, ia memberikan kesan kepada jumlah “sorties” yang boleh dilaksanakan.

Sebagai perbandingan, semasa Perang Enam Hari (1967) Israeli Air Force (IAF) dengan jumlah 250 jet telah melakukan 352 “sorties” dalam masa enam hari dengan kejayaan memusnahkan 452 jet tempur musuh.

Seandainya IAF memiliki hanya 50 buah jet tempur, maka setiap jet terpaksa memikul beban melaksanakan lebih banyak “sorties”. Kadar kemusnahan jet tempur Israel dalam tempoh yang sama adalah 46 buah.

Dalam peperangan alaf ini mungkin lebih banyak jet akan musnah dengan misil pertahanan udara berbanding “dog-fight” (air combat).

Kesimpulannya, ATM bukan sahaja berhadapan dengan kuasa tempur udara dan laut yang kritikal, tetapi juga perlukan lonjakan dalam pemilikan aset lojistik.

Apa yang harus dipuji adalah disiplin selenggara yg baik, semangat juang dan latihan berterusan oleh ATM utk menyeimbangi kekurangan yg ada.

Rujukan

https://www.army.mod.uk/news-and-events/news/2022/05/paratroopers-build-alliances-on-swift-response/

https://www.forces.net/analysis/lima-charlie-does-britain-still-need-parachute-regiment

https://www.c-130.net/aircraft-database/C-130/serials-and-inventory/airforce/TUDM/

https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/09/04/kd-lekir039s-rimpac-participation-proves-resilience-of-navy-assets-says-admiral

Rafe Rahmat

Penulis adalah blogger sejarah peperangan dan juga koresponden tamu Majalah Perajurit sejak 2016. Beliau berkhidmat dalam bidang logistik dengan sebuah syarikat antarabangsa beribu pejabat di Singapura.

Rafe Rahmat

Penulis adalah blogger sejarah peperangan dan juga koresponden tamu Majalah Perajurit sejak 2016. Beliau berkhidmat dalam bidang logistik dengan sebuah syarikat antarabangsa beribu pejabat di Singapura.