Sistem Pertahanan Udara Untuk Kapal Perang – Malaysia Semakin Ketinggalan
Selain angkatan laut Republik Singapura yang dilengkapi sistem pertahanan udara yang ampuh sejak tahun 1990an, kebanyakan kapal perang angkatan laut di Asia Tenggara boleh dikatakan mempunyai sistem pertahanan udara berkeupayaan rendah yang dilihat tidak mampu untuk menangkis ancaman udara dan ancaman peluru berpandu anti kapal moden.
Namun dengan perolehan aset-aset baru oleh angkatan laut Indonesia, Filipina dan Singapura telah merancakkan semula persaingan untuk melengkapi kapal-kapal perang dengan sistem pertahanan udara yang lebih baik (sama ada sistem pertahanan aktif atau pasif) untuk menghadapi sistem peluru berpandu anti kapal moden seperti Naval Strike Missile (NSM), Blue Spear dan BRAHMOS.
Antara sistem pertahanan udara terampuh di Asia Tenggara ialah:
MBDA Aster 15 / 30 yang dioperasikan oleh Tentera Laut Republik Singapura,
MBDA VL MICA-M yang dioperasikan oleh TNI-AL, dan
RIM-162 ESSM Block II yang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Thai.


Tentera Laut Diraja Malaysia
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula mengoperasikan sistem pertahanan udara Sea Wolf sejak pertengahan tahun 1999 di atas kapal frigat kelas LEKIU. Sistem ini telah lama tidak beraksi secara hakiki dalam sebarang eksesais penembakan. Dikatakan penembakan terakhir sistem Sea Wolf ialah semasa EKS ANGSA 9/2014.

TLDM juga pernah mengoperasikan sistem pertahanan udara Aspide di kapal korvet kelas LAKSAMANA suatu ketika dahulu. Kapal kelas ini telah diturun taraf kepada kapal serang laju – meriam (FAC G).
Kini kru kapal TLDM juga bergantung kepada senjata ringan seperti dalam gambar (di bawah) dan meriam pertahanan udara.
Adakah TLDM akan diberi peluang oleh Kerajaan untuk mempunyai sistem pertahanan udara yang lebih ampuh di masa hadapan? Adakah LCS yang masih tertangguh pembinaannya akan dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu pertahanan udara?




Foto utama: Weapon Control Systems Department di atas kapal RSS INTREPID Tentera Laut Republik Singapura. Sumber: RSN
Foto: Internet, TLDM, RSN #MajalahPerajurit