EksklusifIndustriKomunitiSejarah

Ke Manakah Hala Tuju Industri Pertahanan Tempatan?

Kongsi di

Baru-baru ini masyarakat umum merasa mual dengan berita kontrak Kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang akan diteruskan dengan Boustead, iaitu limbungan kapal yang bertanggungjawab atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kesiapsiagaan operasi armada mereka.

Namun fakta-nya nyata, lebih daripada 80% kos pembinaan telah dibayar oleh kerajaan tetapi tidak ada satu kapal LCS pun ditauliahkan daripada enam yang dikontrak sejak 2014.

Apa yang lebih aneh adalah kos kapal kini dijangka naik kepada RM 11.45 Bilion (asal RM 9 bilion), hanya untuk lima kapal sahaja berbanding enam sebelumya.

Bencana LCS ini memberi rakyat jelata peluang melihat dari lebih dekat ketirisan di dalam perolehan peralatan kententeraan, serta hubung kait atau “nexus” diantara industri, agen-agen OEM (Original Equipment Manufacturer) dan proses pembelian yang kurang telus.

Di alam Industri Pertahanan ada perumpaan yang menyatakan “pembelian Alat Utama Sistem Senjata bukan sahaja perolehan peralatan semata-mata, tetapi pemerolehan keupayaan yang jitu”.

Oleh itu pembelian Kereta Kebal Utama (MBT) bukan hanya sebagai perolehan kereta perisai semata-mata, tetapi pemerolehan keupayaan untuk bergerak di dalam segala bentuk muka bumi bagi membawa kuasa tembakan yang berkesan ke atas pihak lawan.

Ianya sama dengan pembelian kapal LCS, secara tersiratnya memberi keupayaan untuk memancar kuasa di dalam tiga dimensi peperangan (Air, Surface dan Sub-surface) di perairan hadapan pertiwi bagi mencegah rintang sebarang kemungkinan yang boleh mencabar kedaultan negara.

Justeru itu perolehan alat ketenteraan tidak boleh dilihat sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi keupayaan untuk mencegah (deter), menggangu (disrupt), mengurang (degrade) serta memusnah (destroy) pihak yang ingin mengugat keselamatan tanah air kita.

Namun persoalanya, adakah Boustead bertanggungjawab sepenuhnya dengan episod LCS yang memeritkan ini? Untuk menjawab soalan tersebut adalah mustahak untuk kita menjenguk sebentar sejarah penubuhan industri pertahanan negara.

Perkembangan Istimewa Angkatan Tentera

Teori Domino serta keperluan untuk perubahan konvensi didalam ketumbuk ketenteraan secara drastik membawa kepada PERISTA (Perkembangan Istimewa Angkatan Tentera) pada tahun 70an serta awal 80an.

Di mana perolehan Kapal Penyerang Pantas – Peluru Berpandu (FAC-M) seperti Kelas PERDANA dan HANDALAN untuk TLDM, pembelian Kereta Perisai Radpanzer Condor (4×4) dan SIBMAS (6×6) untuk Tentera Darat selain kemasukan pesawat pemintas supersonik Northrop F-5E di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dilaksanakan secara segera.

Walaupun ia meningkatkan taring keberkesanaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun ia membawa kepada pengaliran keluar matawang negara yang amat besar di dalam lingkungan berbilion dollar, tanpa sebarang manfaat dari segi ekonomi kepada negara.

Berikutan keperluan ekonomi serta desakan politik dari pembelian Alat Utama Sistem Senjata ini, Dasar Penswastaan diwujudkan membabitkan Depot, Gudang dan Limbungan yang dahulunya dimiliki kerajaan mahupun ATM. 

Matlamat utama proses penswastaan ini adalah untuk mengekang pengaliran mata wang dan pada masa yang sama mengiringi pembentukan industri pertahanan negara.

Di mana disamping perolehan peralatan ketenteraan, pemindahan teknologi dan obligasi offset dari segi “localisation” dapat dipenuhi untuk manfaat industri pertahanan bagi mendokong visi “self reliance.”

Seperti biasa visi dan misi penswastaan ini dilancarkan dengan begitu optimistik serta slogan yang bombastik. Namun setelah hampir 40 tahun sejauh manakah industri pertahanan negara telah berkembang, adakah ia lebih baik daripada sebelumnya atau sebaliknya?

Tanpa Seliaan

Kita tidak boleh menuding jari hanya pada industri pertahanan sahaja, tetapi kepada struktur serta rekabentuk industri-industri yang diswastakan ini. Syarikat-syarikat teras di dalam industri pertahanan ini diberi kebebasan untuk mengawal selia tanpa sebarang pantauan dari Jawantankuasa Parliament (Parliamentary Select Committee) mahupun kerajaan.

Jika dibanding dengan negara seperti Korea Selatan yang mempunyai Defence Acquisition & Program Administration (DAPA) dan Turkiye dengan Defence Industry Agency (SSB).

Kedua-dua badan ini mempunyai fungsi yang sama, iaitu membimbing, merancang, memupuk dan menyelia pembangunan industri pertahanan secara holistik berpaksikan objektif yang jelas.

Dewasa ini banyak negara-negara Barat, membeli sistem persenjataan buatan Korea and Turkiye yang membuktikan keberkesanan campur-tangan kerajaan di dalam industri pertahanan negara.

“Chaotic, Piecemeal, Ad-Hoc”

Selain daripada itu dengan ketiadaan badan penyeliaan, malahan ditambah teruk dengan dasar pembangunan industri yang kurang jelas, lanskap industri pertahanan boleh dirumuskan sebagai “huru-hara”(chaotic), “sedikit demi sedikit”(piecemeal) dan “bersifat sementara”(ad-hoc).

Ia dikatakan “huru-hara” kerana mana-mana syarikat boleh mengguna pakai terma industri pertahanan tanpa sebarang piawaian, namun pada hakikinya mereka ini adalah hanya agen-agen kepada syarikat OEM luar negara.

Agen-agen OEM ini, kebanyakannya merupakan (one man company), dan sering memanipulasi kerajaan, yang mereka boleh melaksanakan projek-projek gergasi keupayaan ketenteraan.

Malangnya apa yang berlaku adalah agen-agen ini mendapat komisen yang tinggi tanpa memberi sebarang manafaat dari segi tambah nilai kepada negara. Syarikat-syarikat agen ini bertanding dengan industri pertahanan negara tulen, yang telah membuat pelaburan yang ketara dari segi infrastruktur, pekerja (kebanyakannya pesara tentera) dan teknologi.

“Sedikit demi sedikit” atau berasingan dengan matlamat merupakan ciri-ciri kedua landskap khusus ini. Laungan slogan seperti  WoGoS (Whole of Government & Whole of Society), tanpa memahami intipati sebenar adalah norma ketika ini.

Bagi memastikan perolehan ketenteraan secara berhemah seluruh lapisan masyarakat mesti terlibat bersama. Merujuk kepada kes LCS, syarikat-syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri kelulian dan besi harus terlibat sejak awal projek ini.

Ianya bagi memastikan pakar metalurgi syarikat tempatan ini boleh duduk bersama semasa proses rundingan dengan pihak OEM demi kepentingan kerajaan.

Dalam masa yang sama, syarikat ini juga boleh mencadangkan agar keluli / besi yang tidak kritikal boleh diperolehi dari dalam negara untuk menghalang pengaliran matawang yang besar.

Selain daripada industri keluli, industri elektronik dan industri kejuruteraan, industri tempatan yang lain juga boleh membantu didalam usaha WoGoS ini.

Bersifat sementara adalah ciri yang berikutnya, di mana visi serta misi akan di war-warkan semasa pelancaran sesuatu program perolehan peralatan yang berkos tinggi, hanya untuk ianya mati sebegitu sahaja, sehingga program perolehan yang seterusnya.

Kaedah Perolehan Sedia Ada Harus Dirombak

Perolehan peralatan ketenteraan merupakan proses yang berterusan dan tidak harus terbantut sama sekali.

Kaedah perolehan ketenteraan yang sedia ada harus dirombak dan digantikan dengan satu rejim pembelian yang boleh menjadi pemangkin kepada industri pertahanan negara serta keperluan ketenteraan secara simbiotik.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan pelopor di dalam usaha ini, di mana pemodenan peralatan serta pembangunan industri dipacu bersama di dalam pelan Pembangunan Keupayaan 55 (CAP 55) TUDM.

Di antara pembaharuan yang dibuat oleh TUDM ialah untuk berunding berterusan dengan pihak OEM tanpa penglibatan agen-agen kecuali untuk tujuan koordinasi.

Pada masa yang sama menjadikan Program Kerjasama Industri (ICP) yang merupakan Jilid III dokumen tender sebagai mandatori bagi penglibatan industri tempatan. Ianya bagi memastikan pihak OEM luar negara telus dalam pemindahan teknologi, penyetempatan (localisation) dan obligasi offset secara bersasar.

Namun iniatif ini adalah dari pihak perkhidmatan, justeru itu banyak yang perlu  dilakukan di tahap strategik yang melibatkan pemerintahan negara.

Sebagai permulaan Jawatankuasa Parlimen untuk Pertahanan (Parliamentary Select Committee on Defence), membabitkan ahli parlimen dari blok kerajaan dan juga pembangkang kerana pertahanan melangkaui batasan politik, harus ditubuhkan.

Jawatankuasa ini berperanan untuk menghalusi keputusan pihak Kementerian bagi memastikan proses perolehan dilakukan secara telus dan berhemah.

Di mana ia dapat memenuhi objektif operasi ketenteraan pengguna dan pada masa yang sama memgambil kira daya tuil seperti imbangan dagangan, kepentingan negara dan implikasi kewangan.

Faktor yang agak ketara ialah, meksipun kita membeli peralatan ketenteraan berbillion dollar dari negara sebuah Europah Barat ini, ia terus menjadi pemboikot terbesar minyak kelapa sawit Malaysia di Eropah.

Oleh itu adakah ia wajar bagi pihak Kementerian sebagai contoh untuk menjustifikasi pembelian meriam buatan negara ini kerana ia mampu menjangkaui sasaran 5km lebih jauh dari OEM lain.

Justifikasi Pembelian

Persoalannya, di mana pertimbangan harus dibuat, adakah ia tertakluk pada matriks keupayaan sahaja atau melibatkan daya tuil seperti tertera di atas?

Sekiranya kita boleh memboikot Alat Utama Sistem Senjata buatan Israel, walaupun negara ini mempunyai antara teknologi yang terkini, kerana solidariti kita dengan perjuangan Palestin.

Nescaya kita juga harus melaksanakan mekanisme yang sama bagi menunjukan solidariti dengan peladang-peladang sawit negara ini, yang berdepan dengan boikot negara Eropah Barat.

Negara-negara jiran sedang bergerak pantas di dalam ketrampilan industri pertahanan mereka, di antaranya Indonesia yang semenjak 10 tahun yang lalu meningkat keupayaan tempur seiring dengan pelan Tentara Nasional Indonesia (TNI) iaitu Minimum Essential Force (MEF).

PT PAL, limbungan kapal terkemuka Indonesia berjaya merangkul kontrak pembinaan kapal di beberapa negara bersandarkan Kelas MAKASSAR buatan mereka.

Singapura membuat pelaburan yang tinggi dan membangunkan peluru berpandu Permukaan ke Permukaan (SSM) Blue-Spear buatan teknologi industry pertahanan tempatan. Manakala Thailand dan juga Myanmar jauh meninggalkan kita di semua aspek pertahananan dari segi bajet dan juga kehendak politik.

Dasar Industri Pertahanan & Keselamatan Negara (DIPKN) yang ditunggu sekian lama saban hari semakin pudar. DIPKN ini serba sedikit dapat membantu dengan memberi “re-set”kepada industri pertahanan negara bagi mengorak langkah maju ke hadapan.

Kebanyakan usul-usul di dalam DIPKN adalah ekoran daripada saranan-saranan di dalam Kertas Putih Pertahanan yang dilancarkan pada 2019. Tetapi perlu diingat DIPKN tidak boleh wujud dalam vakum, tetapi harus dijadikan sebagai Akta Parlimen bagi ia mempunyai taring sebenar.

Blue Spear

Industri Pertahanan Mampu Menjadi Penjana Ekonomi Negara

Industri Pertahanan wajib dilihat dari kanta mata Keselamatan Negara dan bukannya untuk peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan naungan politik, membina kekayaan.

Sekiranya acuan untuk industri pertahanan diadun dengan betul, ia berpotensi menjadi di antara sektor utama penjana ekonomi bagi negara. Malah ia juga mampu memberi peluang pekerjaan kepada ribuan jurutera dan saintis tempatan di dalam bidang yang mencabar tetapi mengujakan ini.

Sekiranya tiada polisi ataupun undang-undang untuk mengawal-selia industri pertahanan negara, maka pembaziran dan kealpaan seperti LCS akan kekal berleluasa.

Ketirisan dalam pertahanan negara bukan sahaja satu jenayah berat, tetapi penderhakaan kepada Yang Di Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Jeyaganesh Gopalsamy