EksesaisEksklusifOperasiSejarah

Meningkatkan Keupayaan Peperangan Asimetrik di Laut China Selatan: Bahagian 1 – Membina Keupayaaan Pasukan Khusus

Kongsi di

Kepentingan negara (national interest) pada masa kini, terutama di Laut China Selatan, dan masa hadapan amat dipengaruhi oleh keadaan persekitaran keselamatan (security environment) yang tidak menentu dan bersifat Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity atau VUCA.

Disebabkan VUCA yang kian meruncing, mengikut penilaian pihak berwajib, ancaman berbentuk tradisional mahupun bukan tradisional ini tidak mungkin dapat diatasi di dalam masa yang terdekat.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan pergeseran kuasa-kuasa besar di mana Laut China Selatan bakal menjadi gelanggang perbalahan dan secara tidak langsung Malaysian akan menerima padahnya.

Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Menteri Pertahanan terdahulu, menggunakan peribahasa “Gajah lawan Gajah, Kancil mati di tengah-tengah”.

Justeru, dalam menangani pelbagai ancaman yang bakal muncul, kesiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu berada di tahap yang tertinggi pada sebilang masa. Pembangunan kuasa ketenteraan yang mampan amat diperlukan walaupun akan mengambil masa yang lama (perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang) di samping pelaburan yang signifikan.

Perolehan Ampuh Perlu Direalisasikan

Oleh yang demikian, perancangan perolehan yang ampuh perlu direalisasikan sepenuhnya mulai sekarang bagi membolehkan keupayaan cegah rintang ATM mampu memelihara kedaulatan negara.

Peruntukan untuk pertahanan negara perlu dikaji semula agar selaras dengan landskap keselamatan negara. Aspek ini perlu diberi penekanan yang khusus bagi mendepani cabaran semasa dan yang akan datang

Dalam masa yang sama, segala situasi yang berkemungkinan akan memberi ancaman terhadap kedaulatan negara memerlukan tindakan secara ‘Whole of Government, Whole of Society’ (WoGoS).

Konsep WoGoS ini penting bagi memantapkan lagi aspek pemeliharaan kedaulatan melalui pendekatan “Keselamatan Menyeluruh” (ComSec) seperti yang dinyatakan di dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025.

Konsep WoGoS ini haruslah diadaptasi dengan lebih holistik bagi memantapkan lagi kerjasama di antara semua pihak. Tidak guna jika konsep ini hanya cantik di atas kertas tetapi tidak diterjemahkan kepada tindakan dengan sempurna.

Mengimbangi Kuasa Diplomatik

Dengan penekanan yang khusus kepada aspek peruntukan dan WoGoS, ATM bukan sahaja akan berkeupayaan untuk melunjurkan kuasa ketenteraannya, malah turut dapat mengimbangi kuasa diplomatik yang dihasratkan oleh negara.

Ini sesuai dengan polisi yang pernah dipopularkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt suatu ketika dahulu, “speak softly but carry a big stick“, yang bermaksud untuk bersedia menghadapi apa-apa konfrontasi, tunjukkan kekuatan terlebih dahulu.

Ideologi Kayu Yang Besar (Big Stick Ideology) Roosevelt ini mempunyai lima komponen. Pertama, adalah penting untuk memiliki keupayaan ketenteraan yang serius yang akan memaksa musuh untuk memberi perhatian yang teliti.

Komponen-komponen lain ialah bertindak adil terhadap negara lain, tidak pernah menipu, menyerang hanya apabila bersedia untuk menyerang dengan kuat, dan bersedia untuk membenarkan musuh menyelamatkan muka dalam kekalahan.

Belanjawan 2023

Dalam Bajet 2023 Malaysia Madani, Kementerian Pertahanan memperolehi bajet RM10 juta untuk perolehan peralatan dan aset di bawah Kementerian Pertahanan untuk mendepani musibah bencana. Selalunya aset untuk mendepani musibah bencana seperti banjir boleh juga digunakan semasa operasi ketenteraan, contohnya bot tempur dan enjin sangkut untuk bot tempur.

Manakala untuk menjamin keharmonian dan perpaduan, Kementerian Pertahanan memperolehi bajet RM17.7 billion.

Dari jumlah ini, bagi meningkatkan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara, Kerajaan bersetuju meluluskan perolehan 3 kapal Littoral Mission Ship (LMS) dengan kos RM2.4 billion.

RM4.1 billion ialah untuk penyelenggaraan dan pembelian aset ATM dan RM1.1 billion untuk pembangunan Kawalan Sempadan Sabah, Sarawak & Semenanjung.

Terdapat satu item yang menarik dalam Belanjawan 2023 iaitu RM20 juta untuk pemerkasaan Komuniti Tempatan bagi kawalan sempadan.

Bot tempur dalam EKSESAIS BELANGKAS

Tingkatkan Keupayaan Peperangan Asimetrik

Malaysia mungkin tidak mampu berbelanja seperti negara kuasa dunia dalam meningkatkan keupayaan peperangan konvensionalnya, sama ada dalam perolehan aset kapital seperti kapal korvet, frigat, kapal selam dan lain-lain.

Bajet yang diperuntukkan untuk Kementerian Pertahanan agak rendah iaitu sekitar 1% dari Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Malaysia berada di kedudukan no. 132 dalam ranking bajet untuk pertahanan mengikut peratusan KDNK, iaitu di bawah negara seperti Kazakhstan, Guyana, Cameroon dan Tanzania (Sumber: CIA The World Factbook).

Namun, dengan bajet yang sedia ada, Malaysia mungkin mampu membangunkan keupayaan peperangan asimetrik untuk menghadapi ancaman kuasa dunia.

Antara keupayaan peperangan asimetrik yang boleh dibangunkan ialah keupayaan melaksanakan operasi khusus jarak jauh dalam persekitaran maritim. Ini adalah untuk menghadapi ancaman kepada kepentingan Malaysia di Laut China Selatan.

Stesen Luar Pantai TLDM

Terdapat sekurang-kurangnya lima terumbu di gugusan Spratly yang sekarang diduduki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu STESEN LIMA, STESEN MIKE, STESEN PAPA, STESEN SIERRA dan STESEN UNIFORM.

Terumbu Layang-Layang (STESEN LIMA TLDM) terletak kira-kira 1,471km dari Kota Kinabalu, Sabah. Jarak ini boleh diambil sebagai rujukan untuk general staff requirement (GSR) sebarang aset yang perlu diperolehi.

Contoh ialah helikopter Sikorsky S-70 Black Hawk mempunyai jarak asas (baseline) 520km dan jarak maksimum (ferry) 1,528km. Manakala jarak maksimum untuk helikopter Airbus Helicopters H225M pula ialah 1,253km. Kedua-dua helikopter ini boleh membawa tangki tambahan dan dipasang prob pengisian bahan api udara-ke-udara.

Contoh bot tempur ialah CB90 dari Dockstavarvet Sweden dengan jarak 440km, manakala Watercat M18 AMC dari Marine Alutech Finland pula mempunyai jarak sekitar 370km (200 batu nautika). Bot FIC / FAC dari syarikat Gading Marine mempunyai jarak sekitar 560km (300 batu nautika).

Berdasarkan keupayaan diatas, mungkin boleh disimpulkan untuk melaksanakan operasi khusus ke STESEN LIMA dan stesen luar pantai TLDM lain secara selesa, perlu sekurang-kurangnya sebuah lagi stesen pangkalan hadapan seperti BUNGA MAS LIMA / KAPAL AUKSILIARI TUN AZIZAN / Pangkalan Laut TUN SHARIFAH RODZIAH dibina / diperolehi.

Terumbu Layang-Layang atau STESEN LIMA TLDM
Helikopter EC725 AP / H225M di Terumbu Layang-Layang
Watercat M18 AMC
FIC dari Gading Marine

Stesen Pangkalan Hadapan

Stesen pangkalan hadapan untuk pasukan aturgerak cepat pertahanan stesen-stesen luar pantai TLDM ini perlu diletakkan di lokasi yang membolehkan aset seperti helikopter dan bot tempur membawa pasukan aturgerak cepat dengan selesa ke kawasan operasi. Dengan kata lain ia perlu berada di antara Kota Kinabalu dan stesen-stesen luar pantai TLDM. Ia perlu boleh menempatkan sekurang-kurangnya satu helikopter dan tambatan untuk beberapa buah bot tempur dengan jarak operasi yang sesuai.

Satu stesen pangkalan hadapan ini boleh menempatkan sekitar satu hingga dua platun pasukan aturgerak cepat yang boleh diaturgerak sama ada melalui udara (menggunakan helikopter) atau laut (menggunakan bot tempur) ke stesen-stesen luar TLDM.

Mengikuti trend masa kini, stesen pangkalan hadapan ini juga patut mengoperasikan sistem dron yang sesuai untuk tujuan pemantauan dan bantuan tembakan. Sistem CAMCOPTER S-100 dari Schiebel mempunyai jarak 200km manakala sistem ScanEagle dari Boeing Insitu mempunyai jarak 100km. Kedua-dua jenis dron ini boleh dioperasikan dari bot tempur dengan saiz dan kelengkapan yang sesuai. Sistem CAMCOPTER S-100 boleh dilengkapi dengan senjata.

KA TUN AZIZAN
Pangkalan Laut TUN SHARIFAH RODZIAH
Sistem dron ScanEagle yang dilancarkan dari bot tempur Mark V Special Operations Craft yang pernah ditawarkan kepada Malaysia

Kepentingan Malaysia di Luar Pantai Bintulu

Pangkalan TLDM Bintulu pula boleh digunakan untuk menempatkan satu lagi pasukan aturgerak cepat untuk mempertahankan kepentingan Malaysia di luar pantai Bintulu seperti Bating Patinggi Ali, Beting Serupai dan Beting Raja Jarum yang sering menyaksikan kehadiran kapal asing secara berterusan walaupun ianya berada kurang 200km dari pantai Sarawak.

Konsep Operasi Pasukan Aturgerak Cepat Operasi Luar Pantai

Pasukan aturgerak cepat ini boleh datang dari 10 Briged Para, 21 GGK, PASKAL dan PASKAU. Ini sama seperti konsep operasi pasukan pertahanan kapal (shipborne protection team) yang diaturgerakkan dalam OP FAJAR di Teluk Aden suatu ketika dahulu untuk mempertahankan kepentingan Malaysia di sana, iaitu kapal-kapal dagang yang mengibarkan bendara Malaysia.

Kejayaan shipborne protection team yang terdiri dari anggota pasukan khusus ATM mematahkan serangan lanun ke atas kapal MT BUNGA LAUREL semasa OP FAJAR 8 membuktikan konsep operasi ini. Shipborne protection team ini diaturgerakkan dari dari kapal BUNGA MAS LIMA menggunakan helikopter dan dua bot tempur.

Fungsi pasukan aturgerak cepat operasi luar pantai adalah sebagai pasukan respon krisis pertama ATM dalam sebarang krisis yang melibatkan stesen luar TLDM, sebelum bantuan seterusnya sampai sama ada dari Semenanjung atau dari Malaysia Timur.

Pasukan Bantuan

Sebagai pasukan bantuan gelombang kedua, boleh dipertimbangkan untuk satu batalion lintas udara diletakkan di Pangkalan Udara Labuan. Pangkalan Udara Labuan ini menempatkan satu skuadron pesawat pengangkut Lockheed Martin C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu No. 14 Skuadron TUDM.

Kombinasi pasukan lintas udara dan skuadron pesawat pengangkut dalam satu pangkalan meningkatkan kesiapsiagaan pasukan sokongan ini untuk melaksanakan operasi lintas udara (airborne) atau Tactical Air Landing Operation (TALO) ke Terumbu Layang-Layang.

Batalion lintas udara ini boleh datang dari batalion lintas udara sedia ada di bawah 10 Briged Para atau satu batalion lintas udara baru, dan boleh diletakkan di bawah pemerintahan 10 Briged Para, atau sebagai batalion berdiri sendiri (independent).

Satu lagi aset yang boleh dipertimbangkan ialah pesawat amfibi yang boleh membuat intervensi secara terus ke kawasan perairan seperti pesawat Bombardier CL-415 atau pesawat ShinMaywa US-2 yang lebih besar dan berupaya. Pesawat amfibi seperti ini berupaya terbang dari satu pangkalan udara dengan membawa anggota pasukan khusus dan peralatan dan terus mendarat di atas kawasan perairan untuk menurunkan pasukan khusus dan peralatan tersebut.

Tactical Air Landing Operation
Pesawat Bombardier CL-415

Pasukan Operasi Amfibi

Pasukan sokongan lain yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan satu pasukan (bersaiz batalion, beberapa batalion atau briged) operasi amfibi, sama ada di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu atau di Pangkalan TLDM Bintulu.

Disebabkan kekangan bajet, mungkin perolehan kapal sokongan pelbagai peranan (multi role support ship atau MRSS) untuk menyokong operasi pasukan operasi amfibi akan mengambil masa (10 tahun atau lebih dari sekarang).

Oleh itu, untuk melaksanakan konsep peperangan asimetrik ini, mungkin TLDM patut melihat kepada kapal yang lebih kecil dan murah dengan konsep operasi shore-to-shore (berbanding ship-to-shore dengan menggunakan kapal MRSS). Kapal ini berkeupayaan untuk diaturgerak dari Pangkalan TLDM Bintulu (contoh) terus ke kawasan operasi di stesen luar TLDM.

Contoh kapal untuk operasi shore-to-shore ialah L-CAT dari CNIM yang boleh membawa 54 orang. Ia mempunyai jarak 1,900km (1,000 batu nautika) kosong dengan kelajuan 22 knot, atau 1,500km (800 batu nautika) dengan beban 100 tan pada kelajuan 15 knot. Ia boleh dilengkapkan dengan senjata 20mm.

L-CAT dari CNIM

Bahagian 2

Artikel seterusnya akan melihat pendekatan lain untuk membina keupayaan peperangan asimetrik ATM di Laut China Selatan termasuk peluru berpandu anti kapal dari pantai dan lain-lain.

Rujukan

Pelbagai. Sumber foto: Pelbagai, Internet

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.