Demonstrasi Keupayaan Anti Keganasan Dari Unit-Unit Elit Polis Hong Kong.
Umum mengetahui Hong Kong diserah kembali ke China pada tahun 1997. Namun Hong Kong kekal sebagai sebuah Kawasan Pentadbiran Khas di bawah China.
Walaupun Hong Kong telah kembali ke pangkuan China pada tahun 1997, namun Hong Kong masih mengekalkan sistem kepolisan yang tersendiri dan mempunyai tahap serta imej profesionalisme yang tinggi. Pasukan polis Hong Kong (Hong Kong Police Force atau HKPF) yang terkenal menjadikan polis Hong Kong bagai sekeping kad nama yang mewakili keseluruhan imej Hong Kong.
Setiap 15hb April merupakan Hari Pendidikan Keselamatan Negara China. Bersempena dengan sambutan hari Pendidikan Keselamatan Negara, semua pasukan beruniform di Hong Kong akan menganjurkan Hari Terbuka masing-masing. Ianya bertujuan untuk mendidik warganya mengenai peranan orang awam untuk menjaga keselamatan.
HKPF juga mengadakan Hari Terbuka di Kolej Polis mereka pada 15hb April yang lalu.
Antara segmen yang menjadi tarikan umum sudah tentu ialah Demonstrasi Keupayaan Anti Keganasan dari unit-unit elit polis Hong Kong.


CTRU dan SDU
Dua unit elit polis Hong Kong yang mempamerkan operasi anti keganasan bersama iaitu Unit Tindak Balas Keganasan atau Counter Terrorism Response Unit (CTRU) serta Unit Tugasan Khas ataupun Special Duties Unit (SDU).
CTRU merupakan unit rondaan anti keganasan yang ditubuhkan pada 2009. Fungsi CTRU bagai sebuah pasukan peronda yang ditugaskan untuk melaksanakan High profile deterrence patrol ataupun rondaan cegah rintang berprofil tinggi ke atas lokasi dan bangunan sasaran penting sekitar Hong Kong setiap hari.
Mereka memainkan peranan sebagai responden pertama sekiranya berlaku serangan keganasan sebelum kehadiran pasukan SDU.
Majoriti anggota dan pegawai CTRU boleh dilihat dilengkapi dengan senjata senjata ringan import yang dilengkapi aksesori-aksesori seperti pejera optik, magnifier, pembidik laser. Antara senjata yang kerap digunakan termasuk submesingan (SMG) HK MP5A5 (9mm) dari Jerman, SMG SIG MPX (9mm) serta karbin SIG Sauer 516 (5.56mm) buatan Switzerland dan pistol Glock 17 dari Austria.
Manakala SDU adalah pasukan operasi khusus yang sangat terkenal. Pasukan khas ini juga dikenali sebagai Flying Tiger. Nama Flying Tiger ini berasal daripada lencana harimau yang bersayap.
Bukan selalu ada peluang untuk menyaksikan demonstrasi pasukan ini selain daripada Hari Terbuka, dengan penyertaan dan kehadiran SDU yang amat terhad.


GFS
Dalam demonstrasi anti keganasan kali ini, SDU terlibat dalam segmen fast roping yang menggunakan helikopter Airbus H175 daripada Pasukan Penerbangan Kerajaan atau Government Flying Service (GFS). Sepasukan enam ‘Harimau’ yang turun daripada helikopter lengkap dengan uniform tempur bersama kelengkapan celoreng Multicam Tropic dan karbin SIG 516 bergerak untuk menyokong elemen CTRU dan menyerang hendap kenderaan ’pengganas’.
Sejurus ancaman dineutralisasikan dan elemen CTRU mengambil alih, pasukan SDU meninggalkan lokasi dengan serta merta. Tiada anggota SDU dibenarkan bergambar dengan orang awam atau berinteraksi dengan orang awam.
Ini jelas menunjukkan pihak polis Hong Kong masih mengekalkan dasar kawalan ketat ke atas penglibatan SDU di acara terbuka supaya identiti serta imej pasukan khas ini sentiasa terjaga.
Selain itu, pasukan Kumpulan Pengiring Pasukan, ataupun Force Escort Group (FEG) turut mengambil bahagian dengan mempamerkan aksi-aksi dengan aset berkuasa tinggi mereka, misalnya motosikal pengiring BMW 1200RT yang lincah dan juga kenderan-kenderaan pengiring yang memerlukan pemanduan ketepatan (precision driving) oleh anggota berkemahiran tinggi. Tugas-tugas FEG merangkumi tugasan pengiringan trafik untuk individu-individu kenamaan, kargo penting dan lain-lain dalam Hong Kong.


PDU
Turut mempamerkan kebolehan mereka adalah Police Dog Unit (PDU) yang diketuai oleh Chief Inspector of Police Erica Fan. Anjing-anjing PDU yang mengikut perintah pengendali masing-masing menghabiskan rentas halangan yang disediakan dan juga menerkam saspek bersenjata yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.
Untuk segmen demonstrasi ini,sebuah kereta perisai baru buatan China jenis “Sabre-toothed tiger”. Kereta perisai 4X4 ini adalah aset terbaru yang dimiliki oleh pasukan polis Hong Kong.
Sebanyak enam buah “Sabre-toothed tiger”diperolehi oleh Kerajaan Hong Kong untuk pasukan polisnya. Kereta perisai ini akan digunakan untuk operasi anti rusuhan, operasi anti keganasan serta lain-lain penugasan operasi ketenteraman awam. Kenderaan “Sabre-toothed tiger” ini akan menyokong dan menggantikan kenderaan berperisai Mecedes UNIMOG U5000 yang telah berkhidmat lama.


SBD dan ASU
Bagi segmen pameran statik, polis Hong Kong telah mempamerkan Small Boat Division (SBD). Small Boat Division merupakan cabang operasi untuk pasukan polis marin Hong Kong.
Di bawah Small Boat Division terdapat sebuah unit khas yang dikenali sebagai Pasukan Small Boat. Pasukan ini merupakan unit khas yang menyediakan keupayaan tindak balas pantas awal taktikal ke atas semua kejadian kecemasan atau serangan keganasan di atas laut.
Unit SBD ini memakai uniform celoreng Multicam dan telah menggantikan SMG HK MP5 mereka dengan karbin SIG 516 untuk kesemua operasi mereka, termasuk ship-boarding yang mungkin melibatkan pertempuran jarak dekat atas kapal.
Unit Keselamatan Lapangan Terbang atau Airport Security Unit (ASU) merupakan sebuah unit khas polis Hong Kong yang bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong serta kawasan disekelilingnya.
Unit khas ini perlu melaksanakan rondaan cegah rintang berprofil tinggi setiap hari bagi memastikan tahap keselamatan lapangan terbang sentiasa pada tahap optimum. Persenjataan ASU biasanya terdiri daripada SMG HK MP5 dan juga raifal SR-16 (5.56mm) Knights Armament Company buatan Amerika Syarikat.
Dasar kepolisan Hong Kong mempunyai keunikan yang tersendiri. Pengkhususan tugas dan membina sistem rondaan berlapis adalah cirinya yang paling utama. Setiap unit khas diberi pengkhususan tugas operasi yang jelas malah mempunyai sistem rondaan berlapis yang lengkap iaitu mempunyai operasi sistem rondaan anti jenayah dan anti keganasan serentak dijalankan setiap hari.


Sumber: Artikel ini diterbitkan dengan kerjasama ASEAN Security Observer.