EksesaisEksklusifKomunitiSejarah

Hubungan Ketenteraan Malaysia – Australia

Kongsi di

Hubungan Malaysia dan Australia sendiri khususnya kerjasama dalam bidang ketenteraan mempunyai sejarah yang cukup panjang, akrab dan unik.

Malah, hubungan terjalin kedua-dua negara sebenarnya adalah kesinambungan daripada hubungan yang terjalin sejak era kolonial lagi.

Ketika itu Tanah Melayu atau Malaya merupakan antara wilayah yang cukup penting dalam Empayar British.

Disebabkan mempunyai tanah jajahan yang luas, maka kerajaan British perlu bijak dalam mengatur penempatan tenteranya daripada setiap empayar.

Dalam konteks Tanah Melayu, kedudukan yang stabil tanpa ada penentangan daripada pribumi yang benar-benar mengancam keselamatan dan ekonomi meyakinkan penjajah British bahawa wilayah ini hanya memerlukan pengawasan sahaja dan bukan kawalan.

Maka pilihan terbaik untuk menempatkan anggota tentera di sini ialah dengan mengatur gerakkan khidmat sejumlah tentera dari Australia bagi melengkapi jumlah tentera British dan India.

Dengan menempatkan tentera dari negara kangaroo ini, maka secara tidak langsung kerajaan British boleh memberi perhatian kepada soal keselamatan di tanah jajahan lain yang lebih meruncing.

Bagaimanapun, hal ehwal pentadiran Malaya secara keseluruhannya masih lagi di bawah pegawai-pegawai British.

Bermula Daripada Perang Dunia Kedua

Bermula daripada Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi, penglibatan tentera Australia memang tidak boleh dinafikan terpahat kukuh dalam se|arah Malaysia. 

Malah menjelang bulan-bulan terakhir serangan Jepun ke atas Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, kerajaan British mengerahkan Divisyen ke-8 Australia untuk menguatkan pertahanan Malaya. 

Sebelum serangan tentera Jepun pada pagi 7 Disember 1941, pasukan No. 1 Skuadron Tentera Udara DiRaja Australia (RAAF) yang menerbangkan pesawat Hudson telah mempamerkan aksi apabila menyerang konvoi armada pasukan serangan Jepun yang dalam pelayaran mendarat di perairan Kota Bharu.

Serangan amfibia Jepun ini dilancarkan dua jam lebih awal mendahului serangan ke atas Pearl Harbour di Hawaii.

Pesawat Hudson ini telah mengebom  konvoi armada tersebut menyebabkan kemalangan jiwa dan kemusnahan apabila kapal Awagisan Maru seberat 9,700 tan berjaya ditenggelamkan.

Ini juga merupakan kapal kargo pertama Jepun yang karam dalam Perang Pasifik.  

Walaupun kehadiran tentera Australia ke Tanah Melayu terus bertapak semasa negara mencapai kemerdekaan atas ikatan sesama Negara Komanwel, namun sumbangan besar tentera kangaro ini wajar dihargai kerana bukan sedikit daripada mereka yang terkorban dan tercedera semasa mempertahankan negara ini khususnya pada era awal kemerdekaan. 

Jeneral Tunku Tan Sri Osman Tunku Mohammad Jewa, Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia semasa membuat pemeriksaan detasmen Tentera Darat Australia suatu masa dahulu.

Penubuhan Kem Terendak

Penubuhan Kem Terendak di Melaka misalnya adalah sebagai penempatan tentera Australia bersama-sama Britain dan New Zealand di Malaysia.

Kem yang menempatkan Briged Infantri Komanwel ke-28 ini mula dibina pada tahun 1957 menerusi pembiayaan kerajaan ketiga-tiga negara dan siap tujuh tahun kemudian di kawasan seluas 1,500 ekar manakala kawasan latihan sahaja seluas 3,500 ekar.

Sebelum ini, briged berkenaan berada di utara tanah air sebelum dipindahkan ke sini. Kem Terendak mula diduduki briged ini secara berperingkat-peringkat bermula tahun 1959 hingga pertengahan 1960an.

Sebuah batalion infantri dan satu bateri artileri Australia ditempatkan bersama briged ini secara penggiliran sehinggalah briged berkenaan dibubarkan.

Kehadiran mereka terus relevan semasa konflik Perang Dingin melalui hubungan dalam Persetujuan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence ArrangementsFPDA) yang turut melibatkan Britain dan New Zealand dalam pelan mempertahankan Malaysia dan Singapura daripada ancaman luar.

Memperkukuhkan kehadiran tentera kangaroo di negara ini ialah penempatan dua skuadron pesawat pejuang Mirage RAAF di Pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Butterworth sehingga penghujung tahun 1986.

Walaupun Malaysia kini bebas daripada penempatan tentera asing, tetapi atas semangat kerjasama dan persefahaman maka satu kumpulan kecil Tentera Darat Australia dibenarkan ditempatkan di Butterworth berkekuatan satu kompeni bermula 1970.

Ini bukan bermakna negara tunduk kepada kuasa asing, sebaliknya kehadiran tentera kangaroo ini lebih bersifat mengeratkan hubungan dua negara yang mempunyai banyak persamaan.

Pangkalan Udara Butterworth dibina kerajaan British pada tahun 1939 dan digunakan semasa Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1958, ia dikendalikan oleh RAAF sebelum diserahkan kepada TUDM pada tahun 1970.

Penempatan kompeni raifal Australia di Butterworth merupakan kerjasama pertahanan unik antara Malaysia – Australia yang kekal hingga hari ini.

Rifle Company Butterworth

Penempatan mereka juga ada hubung kait dengan FPDA kerana di TUDM Butterworth juga merupakan Markas Pemerintahan Udara Gabungan (HQ IADS) yang ditubuhkan pada tahun 1971.

Tugas pengawasan udara ini juga menyaksikan Australia kerap menghantar pesawat-pesawat tempur untuk terbabit dalam latihan seperti F-111, F/A-18 Hornet dan P-3 Orion.

Rifle Company Butterworth (RCB) atau sebelum tahun 1987 dikenali sebagai Australian Army Rifle Company Butterworth berperanan sebagai sebuah pasukan aturgerak cepat bagi melindungi aset-aset RAAF di pangkalan tersebut semasa era Insurgensi.

Kehadiran RCB sebenarnya turut mengimbangi keselamatan di utara Semenanjung tanah air.

Ini berikutan pengunduran tentera Britain dari Malaysia dan Singapura antara tahun 1968 hingga 1971 serta penyusunan semula tentera Australia dan New Zealand dari Kem Terendak, Melaka ke Singapura, maka Canberra berpandangan perlu sebuah pasukan kecil kekal di Butterworth.

Pada masa yang sama, situasi keselamatan di utara Semenanjung susulan ancaman pengganas komunis membimbangkan Australia terhadap keselamatan pangkalannya di Pulau Pinang kerana kebarangkalian pengganas komunis melancarkan serangan atau sabotaj ke atas pangkalan tersebut tidak boleh disangkal.

Perang Vietnam dan geopolitik semasa turut menggusarkan, tambahan pula dengan kedudukan pangkalan berkenaan letaknya kira-kira 120 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Rifle Company Butterworth juga menjalani latihan dengan pasukan VAT 69 (kini unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM)) dalam seni peperangan hutan dan jerangkap samar

Penggiliran

Pada mulanya penggiliran tugasan selama satu bulan itu dilakukan oleh pasukan tentera Australia yang berada di Singapura sebelum Canberra pada September 1973 memutuskan satu kompeni infantri dihantar terus dari negara itu dengan tempoh giliran bertugas selama tiga bulan.

Apabila skuadron terakhir RAAF meninggalkan Butterworth pada tahun 1988 dan setelah tamatnya pemberontakan pengganas komunis, kehadiran RCB terus dikekalkan atas persefahaman kedua-dua negara.

Apabila Konfrontasi tamat pada Ogos 1966, Malaysia tidak pernah memohon bantuan ketenteraan daripada negara asing termasuklah Australia. Justeru, sepanjang tempoh penugasan di Malaysia, RBC tidak terbabit dalam mana-mana pertempuran.

Sebaliknya penugasan pasukan itu hanya terhad dalam perimeter RAAF dan terarah kepada tugasan pertahanan.

Sekiranya berlaku situasi kecemasan sekalipun, RCB akan bertindak melindungi pangkalan tersebut di bawah arahan pemerintah Pangkalan Udara Butterworth.

Justeru, RCB menjadi satu platform persefahaman pertahanan antara Malaysia-Australia kerana dari masa ke masa pasukan itu turut terbabit dalam latihan ketenteraan antara kedua-dua negara seperti EKSESAIS HARINGAROO dan BERSAMA LIMA.

Hubungan akrab tentera darat Malaysia dan Australia diterjemahkan dalam pelaksanaan latihan Haringaroo yang dilakukan secara berkala.

EKS HARINGAROO

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khasnya Tentera Darat (TD) mempunyai banyak kesamaan dengan Tentera Darat Australia, malah boleh dikatakan kedua-dua pasukan mengguna pakai doktrin pertahanan darat yang serupa tetapi mengikut konsep perlaksanaan masing-masing.

Dalam beberapa aspek, Tentera Darat Australia boleh dikatakan termaju dan mendahului TD, misalnya dalam konsep pasukan mekanis dan armor yang disifatkan sebagai yang terbaik di rantau Asia Pasifik.

EKSESAIS (EKS) HARINGAROO mengeratkan kerjasama dan persefahaman kedua-dua angkatan darat termasuk pelaksanaan arahan dari lokasi.

Walaupun pelaksanaannya sama seperti mana lain-lain Iatihan tempur konvensional TD lain, namun EKS HARINGAROO penting kerana menggabungkan dua tentera yang berlainan latar belakang tetapi mempunyai beberapa persamaan.

Ia merupakan siri latihan peperangan darat khusus untuk tentera kedua-dua negara mengikut konsep timbal balas yang diadakan setiap tahun.

Gabungan nama dua bintang ikon kedua-dua negara iaitu Harimau dan Kangaroo mewuiudkan akronim unik ini sebagai bukti kerjasama erat kedua-dua negara.

Nama HARINGAROO bagaimanapun hanya digunakan pada latihan kedua-dua negara yang berlangsung di Malaysia sahaja. Ini kerana sebaliknya jika Iatihan serupa diadakan di Australia, ia dikenal sebagai EKS SOUTHERN TIGER.

EKS HARINGAROO telah pun wujud sejak era 1970-an dan ketika itu ia memberi penekanan terhadap konsep Peperangan Konvensional (CW) sejajar dengan peraIihan TD ketika itu daripada konsep Perang Melawan Insurgensi (CIW).

Doktrin CW kita ketika itu ialah tentang kemungkinan untuk menghadapi ancaman tentera musuh yang dipercayai datang dari arah utara tanah air.

Mengikut strategi, konsep EKS HARINGAROO melibatkan perlaksanaan atur gerak peringkat briged atau divisyen, bagaimana pun perlaksanaan semasa latihan sebenar kerap melibatkan peringkat kompeni dan batalion.

Latihan bersama dua negara ini membolehkan anggotanya bertukar-tukar pandangan dan berkongsi kemahiran.

MAJDP

Siri latihan tahunan ini dilaksanakan sepertimana termaktub di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia – Australia (MAJDP).

Sepertimana dijelaskan, ia bertujuan merapatkan hubungan dan kerjasama pertahanan serta keselamatan antara Malaysia-Australia.

Selain itu, EKS HARINGAROO juga bertujuan menguji kemampuan serta pelaksanaan operasi antara kedua-dua pasukan darat serta keupayaan komunikasi antara pihak pemerintahan kecil masing-masing terutama bagi menilai tahap kemampuan para pegawai dan pelaksana.

Kali terakhir dilaksanakan ialah EKSESAIS HARINGAROO Siri 71/2021 di Kelantan

melibatkan Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5 RRD) daripada Briged ke-8 Infantri (8 Briged).

Pelaksanaan eksesais ini berteraskan kerjasama dan sesi latihan pembelajaran silang atau Cross Training Exercise (CTX) antara pasukan kedua-dua negara bagi merancang dan membuat persiapan dalam CIW.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.