AcaraBeritaIndustri

Global Turbine Asia (GTA) Tandatangani LOA dengan Europrop International (EPI) Untuk Menyokong Enjin TP400-D6 Pesawat A400M TUDM

Kongsi di

Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) melangkah ke hadapan dalam usaha mereka untuk menjadi pemangkin industri negara dalam aeroangkasa global dengan termeterainya Perjanjian Rasmi (LOA) bersama Europrop International (EPI) pada 24 Mei di acara LIMA ’23 yang berlangsung baru-baru ini.

Perjanjian yang ditandatangani di LIMA ’23 ini bakal mengukuhkan GTA dalam memperkembangkan lagi keupayaan mereka dalam segmen pesawat kepak kaku tentera udara Malaysia (fixed wing military aircraft space) dengan memberikan sokongan padu pada 19 unit enjin TP400-D6 yang digunakan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

GTA akan berfungsi sebagai syarikat yang diberi kuasa rasmi dalam mengendalikan penyelenggaraan untuk Europrop International (EPI) selaku pengeluar peralatan asal enjin TP400-D6 yang digunakan dalam pesawat angkut A400M Atlas. Kontrak bertempoh 3 tahun ini adalah bukti aspirasi dan potensi Malaysia dalam industri aeroangkasa, kerana ini adalah perjanjian yang pertama sepertinya bagi enjin TP400-D6 di luar Eropah.

Perjanjian ini melakarkan peristiwa penting dalam industri ini kerana kerjasama ini merupakan kali pertama EPI memberi kepercayaan kepada pihak ketiga dari luar negara untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan enjin mereka. Ia juga membolehkan GTA menjalankan penyelenggaraan Tahap 1 dan Tahap 2 (di pangkalan) pada enjin TP400-D6, iaitu tahap tertinggi yang boleh dicapai di luar bengkel OEM.

GTA Melangkah Lebih Jauh

Dengan termeterainya perjanjian ini, GTA melangkah lebih jauh lagi sebagai sebuah pusat kecemerlangan serantau untuk penyelenggaraan, pembaikan, dan pemulihan (MRO), serta mempercepatkan lagi pertumbuhan industri ini dalam negara. Ini secara asas menyokong dan mengukuhkan lagi keyakinan terhadap Malaysia sebagai pemain utama dalam industri aeroangkasa di mata dunia.

Wakil jurucakap dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Tuan Eduardo Jimenez berkata, “Setelah sekian lama, akhirnya LIMA kembali ke pentas antarabangsa, dan kami amat teruja kerana dapat memperhebatkan lagi salah satu pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di dunia dengan pengumuman yang bersejarah ini. Usahasama dengan EPI akan mengukuhkan lagi asas yang telah dibina oleh GTA sebagai pusat solusi tempatan dalam penyelenggaraan enjin turboprop terkini, dengan aspirasi untuk menjadi pemain utama di rantau ini. Ini juga adalah tanda sokongan kepada Pelan Pembangunan Aeroangkasa Malaysia 2030 (Malaysian Aerospace Blueprint 2030), yang mengandungi hasrat pemain-pemain industri aeroangkasa Malaysia berperanan tinggi dalam memastikan pertumbuhan berterusan dalam industri ini.”

Lebih Banyak Inovasi di Masa Hadapan

Melangkah dan terus maju ke hadapan, GTA berhasrat untuk membawa lebih banyak lagi inovasi dan keupayaan terkini yang membawa manfaat yang besar kepada pelanggan dan pihak berkepentingan dalam industri.

Sebagai sebuah syarikat yang dipimpin oleh barisan pihak pengurusan yang sentiasa berusaha untuk memajukan pertumbuhan industri ini, GTA juga berhasrat untuk membantu merancakkan lagi pertumbuhan MRO dan industri aeroangkasa secara keseluruhan dengan mencipta lebih banyak peluang yang memberikan impak positif kepada ekonomi negara melalui penjanaan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, hasil daripada kerjasama dan perkongsian strategik. –gta/perajurit/mhi (Foto: GTA)

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.