BeritaEksklusifSejarah

Wajarkah Malaysia Berbincang Dengan China?

Kongsi di

PETRONAS diletakkan sebagai jenama paling berharga di dalam ASEAN mengikut satu sumber.

Walaupun fungsi angkatan tentera Malaysia adalah untuk mempertahankan wilayah dan kepentingan Malaysia, tidak dipastikan jika “kepentingan” Malaysia yang dimaksudkan termasuk kepentingan PETRONAS di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan di luar negara.

Contoh ialah kepentingan PETRONAS di luar pantai Bintulu. Adakah ianya satu kepentingan negara yang perlu dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir?Atau adakah kerajaan tidak menganggap ia sebagai salah satu “kepentingan” negara?

Wajarkah Malaysia “berbincang” jika sesuatu kepentingan itu jelas dan terang milik Malaysia berdasarkan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan sejak 1979 (Peta Baru Malaysia 1979) dan mengikut undang-undang antarangsa (United Nations Convention on the Law of the Sea atau UNCLOS 1982 yang menggantikan Convention on the Continental Shelf 1958 antara lain)?

Clear and Present Danger

Bekas Panglima Tentera Laut pernah menyebut isu pertindihan wilayah maritim di Laut China Selatan sebagai satu “Clear and Present Danger” dalam satu persidangan yang turut dihadiri pucuk pimpinan entiti keselamatan negara termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Mengikut beliau, sebagai sebuah kuasa rantau dan dunia, tindakan-tindakan tegas (assertive) dan Grey Zone Activities oleh China seperti penambakan (Fiery Cross Reef, Paracel Reef), pengaturgerakkan aset-aset maritim dan militia di wilayah yang dituntut serta tindakan provokasi oleh aset-aset mereka meningkatkan lagi pergeseran di kalangan negara-negara yang menuntut.

Tindakan China menolak keputusan Permanent Court of Arbitration pada tahun 2016 yang memutuskan bahawa tuntutan 9 Dash Line adalah tidak sah, telah mengeruhkan lagi keadaan isu pertindihan wilayah tersebut.

Mengikut beliau lagi, pencerobohan ke atas wilayah ZEE Malaysia oleh China tertumpu di sekitar perairan Sabah dan Sarawak. Ini termasuk kehadiran secara tetap (continuous presence) aset penguatkuasaan Pengawal Pantai China (CCG), pencerobohan oleh nelayan-nelayan (maritime militia) dan kehadiran kapal-kapal penerokaan (exploration vessels) China.

Pencerobohan

Kapal CCG yang menceroboh juga sering melaksanakan gangguan ke atas aktiviti penerokaan dan cari gali yang dilaksanakan oleh PETRONAS di dalam perairan negara. Selain itu, tindakan ketara yang belum pernah berlaku sebelum ini (unprecedented) adalah pencerobohan 16 buah pesawat PLA Air Force (Pesawat Y-8) sehingga 60 batu nautika dari pantai Sarawak pada 1 Jun 2021, iaitu hari ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tentera Udara Diraja Malaysia selalunya akan menggerakkan sejumlah aset untuk melaksanakan lintas hormat sebagai sebahagian acara sambutan hari tersebut).

Tindakan oleh pihak China ini juga secara tidak langsung telah mengundang kehadiran kapal-kapal perang dari negara luar rantau seperti dari Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan lain-lain bagi mencabar legitimasi China (contoh ialah insiden yang berlaku dalam bulan Mei 2020). Kehadiran kapal-kapal luar rantau tersebut khususnya dari negara kuasa besar telah meningkatkan kemungkinan pertembungan yang tidak diingini (unintended encounters).

Selain dari itu, pembentukan pakatan seperti AUKUS, Quadrilateral Security Dialogue (QUAD) dan Five Eyes Intelligence Alliance telah meningkatkan lagi ketegangan sekaligus mewujudkan kebarangkalian berlakunya pertempuran fizikal (kinetic military action) di Laut China Selatan.

Adakah Malaysia Bersedia Untuk Bertegas?

Tidak dapat dinafikan, hanya dengan pembangunan aset pertahanan yang mampan, barulah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dapat bersaing dan meningkatkan keupayaan cegah rintang yang menjadi faktor kritikal dalam menjamin kedaulatan negara. Apa yang nyata kini, keupayaan pertahanan negara menunjukkan trend yang merosot dan tidak lagi setanding dengan pembangunan aset pertahanan negara jiran.

Kepentingan negara (national interest) pada masa kini dan masa hadapan amat dipengaruhi oleh keadaan persekitaran keselamatan (security environment) yang tidak menentu dan bersifat Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity atau VUCA. Keadaan yang tidak menentu ini bukan sahaja berlaku di rantau Eropah yang menyaksikan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine memasuki tahun kedua, tetapi juga boleh berlaku di rantau Asia terutamanya di Laut China Selatan.

Disebabkan VUCA yang kian meruncing, adalah dinilai bahawa ancaman berbentuk tradisional mahupun bukan tradisional ini tidak mungkin dapat diatasi di dalam masa yang terdekat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pergeseran kuasa-kuasa besar di mana Laut China Selatan bakal menjadi gelanggang perbalahan dan secara tidak langsung kita akan menerima padahnya.

Justeru, dalam menangani pelbagai ancaman yang bakal muncul, kesiagaan dan keupayaan ATM perlu berada di tahap yang tertinggi pada sebilang masa. Pembangunan kuasa ketenteraan yang mampan amat diperlukan walaupun akan mengambil masa yang lama di samping pelaburan yang signifikan. Oleh yang demikian, perancangan perolehan yang ampuh perlu direalisasikan sepenuhnya mulai sekarang bagi membolehkan keupayaan cegah rintang ATM mampu memelihara kedaulatan negara.

Whole of Government, Whole of Society

Dalam masa yang sama, segala situasi yang berkemungkinan akan memberi ancaman terhadap kedaulatan negara memerlukan tindakan secara ‘Whole of Government, Whole of Society’ (WoGoS). Konsep WoGoS ini penting bagi memantapkan lagi aspek pemeliharaan kedaulatan melalui pendekatan “Keselamatan Menyeluruh” (ComSec) seperti yang dinyatakan di dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025. Segala aset, polisi dan kenyataan dari semua pihak berwajib perlu selari untuk memastikan konsep WoGoS ini dapat dilaksanakan secara efektif.

Akhir kalam, memetik sekali lagi kata-kata bekas Panglima Tentera Laut, “Deterrence cost money, fighting a war cost more money, losing a war cost even more money”.

Foto: ASEAN Skyline, Utusan Borneo, AMTI / CSIS #MajalahPerajurit

PETRONAS – jenama paling bernilai di ASEAN.
Lokasi medan gas Kasawari yang tidak jauh dari Bintulu.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.