AcaraBeritaIndustri

Airbus Melihat Potensi Pasaran Bagi H175 di Malaysia

Kongsi di

LANGKAWI – Airbus melihat potensi pasaran bagi perniagaan helikopternya di Malaysia, terutama bagi helikopter utiliti super sederhana H175, menurut Naib Presiden/Ketua Pemasaran dan Jualan, Asia Pasifik, Fabrice Rochereau.

Berucap di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) baru-baru ini, Rochereau berkata bahawa rantau Asia Tenggara membentuk satu pertiga dari jumlah pesanan helikopter yang diterima oleh syarikat pada tahun lepas, di mana Malaysia merupakan pasaran utama bagi Airbus. Pengeluar pesawat ini menerajui segmen rotorkraf negara dengan penguasaan pasaran sebanyak 46%, mengikut siaran media Airbus bertarikh 24 Mei.

“Airbus secara aktif menyokong operasi helikopter di Malaysia selama lebih 50 tahun. Hari ini, hampir 100 buah helikopter Airbus melakukan penerbangan di dalam negara merangkumi pelbagai misi awam, parapublic serta misi ketenteraan,” ujar beliau.

H225M

Antara helikopter yang berada dalam perkhidmatan adalah armada ikonik 12 buah helikopter H225M yang telah berkhidmat dan memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semenjak 2012.

Direka untuk menangani misi yang paling mencabar, helikopter H225M pelbagai fungsi ini telah terlibat secara aktif dalam sebahagian besar aktiviti latihan ketenteraan dan misi kemanusiaan sejak sepuluh tahun yang lalu, termasuk misi menyelamat mangsa banjir, bantuan ketika pandemik dan operasi menyelamatkan nyawa.

Fleet H225M tentera udara ini telah diiktiraf sebagai helikopter tentera dalam jenisnya yang mencatatkan jumlah jam penerbangan paling tinggi di dunia, mencapai sehingga melebihi 26,000 jam penerbangan setakat ini.

H225M TUDM

H175

Rochereau juga menekankan akan kejayaan terkini Airbus H175 yang telah memasuki pasaran perkhidmatan dalam sektor tenaga di Malaysia yang semakin berkembang, bersama dengan pengendali tempatan iaitu Hornbill Skyways dan HAS International.

“Pada masa ini terdapat terdapat tiga buah H175 yang beroperasi di Miri, membekalkan perkhidmatan penerbangan luar pesisir bagi pelanggan sektor gas dan minyak. Secara keseluruhan, kesemua H175 ini telah melaksanakan sejumlah 370 jam penerbangan dalam tempoh hanya tujuh minggu. Kami terima maklumbalas positif daripada pelanggan yang memperakui akan prestasi penerbangan helikopter ini yang cemerlang, keupayaan beban muatan yang hebat dan ruang kabin yang selesa. Kami menjangkakan lebih banyak lagi helikopter jenis ini akan menyertai sektor pasaran tenaga di seluruh negara dalam beberapa bulan yang akan datang.”

Selain dari sokongan luar pesisir, H175 juga terkenal dengan keupayaan untuk melaksanakan pelbagai misi lain. Ia telah di gunakan diseluruh dunia untuk menyokong aktiviti penguatkuasaan undang-undang, misi mencari dan menyelamat, membekalkan perkhidmatan rawatan kecemasan, pengangkutan bagi VIP kerajaan, serta perkhidmatan penerbangan peribadi mahupun perniagaan.

“Terdapat peluang yang besar bagi H175 di Malaysia merangkumi sektor awam, parapublic serta ketenteraan. Airbus berasa yakin bahawa helikopter ini akan menjadi aset yang kritikal bagi negara ini, sama ada untuk tujuan pengangkutan udara bagi tenaga kerja ke luar pesisir, sebagai penggerak balas pertama dalam misi mencari dan menyelamat, pengangkutan rotorkraf mewah untuk perniagaan, pengangkutan tentera, serta misi keselamatan maritim mahupun misi pertempuran.”

Pemintaan Dijangka Meningkat

Menyentuh mengenai potensi pertumbuhan pasaran rotorkraf di Malaysia, Rochereau menjangkakan permintaan yang meningkat untuk jangka masa sederhana dan panjang didorong oleh proses pembaharuan armada, modenisasi, maritim dan pengunaan ketenteraan.

“Pertumbuhan dalam segmen ketenteraan akan dipenuhi keperluannya melalui gabungan pembelian baru dan proses penggantian yang melangkaui bidang keselamatan maritim, latihan ketenteraan, misi mencari dan menyelamat, dan pengangkutan taktikal. Ini merupakan pasaran yang paling sesuai untuk H175 bagi melaksanakan operasi maritim dan menyelamat, manakala H135 yang versatil pula untuk tujuan latihan, dan H225M yang serba boleh pula berupaya memenuhi keperluan pelbagai jenis misi yang berlainan.”

Mengulas mengenai kehadiran Airbus di Malaysia, Axel de Pascal, Pengarah Urusan perniagaan ini, mengatakan bahawa operasi pelanggan kami mendapat sokongan sepenuhnya melalui kehadiran kami yang kukuh di Subang. Ia menempatkan hab MRO helikopter Airbus serantau, pusat penyiapan dan penghantaran, dan juga sebagai pusat latihan simulasi helikopter. Ini adalah tambahan kepada kerja sokongan teknikal setempat bagi armada H225M TUDM di Kuantan, dan kini pula penubuhan pasukan sokongan khas bagi pengendali H175 di Miri.

Sokongan Tempatan Yang Mantap

Airbus menjangka untuk mengekalkan pegangan pasarannya melalui kehadiran pasukan sokongan tempatan yang mantap dan produk terbaik demi memenuhi keperluan negara.

“Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Airbus Helicopters di mana kami memiliki asas yang kukuh. Kami juga melihat potensi hebat merentasi pelbagai segmen dan yakin bahawa produk kami mewakili kombinasi terunggul keupayaan dan nilai,” ujar Rochereau. –airbus/adj/mhi (Foto: Airbus)

Gambar Utama: Penghantaran helikopter H175 ke Malaysia

Naib Presiden/Ketua Pemasaran dan Jualan, Asia Pasifik, Fabrice Rochereau

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.