EksklusifIndustriWawancara

WAWANCARA BERSAMA PENGURUS BESAR (KOMERSIAL), GADING MARINE INDUSTRY (M) SDN BHD, KEPTEN KAMARUL AZLAN TLDM (BERSARA)

Kongsi di

Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd, nama yang tidak asing lagi di dalam industri perkapalan negara. Dengan tadbir urus korporat yang baik dan profesional, GMI dilihat terus mengorak langkah kehadapan dengan kejayaan demi kejayaan.

Selain pembinaan bot dan kapal, GMI turut menawarkan khidmat pakar runding dan nasihat sektor maritim, membangunkan spesifikasi dan rekebentuk produk perkapalan serta membaik pulih dan penyelenggaraan aset-aset maritim dalam dan luar negara.

Perajurit berkesempatan mewawancara Pengurus Besar (Komersial), Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd, Kepten Kamarul Azlan TLDM (Bersara) untuk mengetahui perkembangan terkini Gading Marine.

Sejarah, Visi dan Misi

Perajurit: Pertama sekali, terima kasih kerana sudi untuk ditemuramah. Sudikah tuan berkongsi sedikit tentang Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd; sejarah, visi dan misi syarikat?

Kepten Kamarul Azlan TLDM (Bersara): GMI ditadbir dan dioperasikan oleh tim pengurusan yang berpengalaman lebih 30 tahun di dalam industri ini, bukan sahaja di peringkat domestik malah antarabangsa.

Kecekapan, dedikasi dan kegigihan anak-anak tempatan inilah yang telah membawa GMI ke persada dunia selaku salah satu pemain industri perkapalan yang dipercayai dan disegani sehingga ke hari ini sesuai dengan Visi dan Misi Syarikat.

VISI – “To be recognised as a provider of quality services in the marine industry”. Visi Syarikat adalah agar Syarikat diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan industri marin yang berkualiti.

MISI – “To provide quality services to clients in the marine industry locally and abroad”. Misi Syarikat adalah menyediakan perkhidmatan marin yang berkualiti kepada industri marin di dalam dan luar negara.

Fast Assault Craft (FAC) 18 meter
Fast Interceptor Craft (FIC) 18 meter

Kejayaan Syarikat

Perajurit: Sudikah tuan berkongsi sedikit tentang kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh syarikat sejak ia ditubuhkan?

Kamarul Azlan: Syukur alhamdulillah, pelbagai kejayaan telah dikecapi GMI melalui projek-projek dalam dan luar negara, yang turut melibatkan khidmat pakar runding, projek usahasama dan lain-lain lagi.

Akan tetapi, pada hemat saya, kejayaan yang menjadi kebanggaan kepada seluruh warga GMI adalah penghasilan produk ‘signature’ kami iaitu Fast Assault Craft (FAC) G2000 dan Fast Interceptor Craft (FIC) G2000.

Kedua-dua produk ini telah dibangunkan GMI bersama pihak kerajaan melalui agensi berkaitan.

Sehingga kini dua buah FAC G2000 telah diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala enam buah lagi telah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

InsyaAllah, kami kini diperingkat akhir perbincangan bagi projek perolehan varian terkini FIC G2000 iaitu FIC G2000 MK-II bersama TLDM.

Kedua-dua produk ini dilengkapi dengan pelbagai sistem dan peralatan yang dapat membantu kru bot mengendalikan bot dengan efisien seperti berikut:

  1. Sistem propulsi waterjet yang memudahkan manuver bot dan respon kawalan walaupun pada kelajuan tinggi.
  2. Sistem kawalan ‘trim’ yang membolehkan bot dioperasikan dengan lebih stabil pada kelajuan tinggi.
  3. Sistem pemantauan paras permukaan yang dilengkapi peralatan seperti radar, sistem pemantauan infra merah, kamera yang memudahkan tugas pemantauan di kawasan operasi pada sebilang masa dan keadaan cuaca.
  4. Sistem komunikasi yang lengkap yang memudahkan komunikasi bersama aset-aset lain yang memudahkan tugas pemantauan dan pemintasan dengan lebih terkoordinasi.
  5. Sistem kawalan bot secara berpusat melalui konsol jurumudi, konsol komunikasi dan navigasi dan konsol kawalan jentera yang membolehkan bot dikawal dan kesiagaan bot dipantau secara berpusat.
  6. Kemudahan penginapan dan pantri yang membolehkan bot beroperasi untuk tempoh melebihi tiga hari di laut.

Tidak terhad kepada keupayaan di atas, produk ini boleh direkabentuk mengikut kehendak pelanggan. Sebagai contoh, produk ini boleh dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station 12.7mm sebagaimana produk keluaran baharu Syarikat iaitu di FIC G2000 Mk-II.

Berdasarkan keupayaan seperti dinyatakan di atas, bot ini mampu mengurangkan ‘reaction time’ bagi menangani sebarang insiden di laut. Di samping itu, bot ini berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi sama ada sebagai peronda, pemantau, pemintas dan juga penyusupan pasukan khas.

Setelah beroperasi selama beberapa tahun bersama PPM dan TLDM, pelbagai misi telah dijalankan dengan jayanya oleh PPM dan TLDM. Statistik yang dikeluarkan PPM dan TLDM dari semasa ke semasa menunjukkan puluhan juta hasil negara telah berjaya diselamatkan melalui perolehan aset ini.

Tidak dapat dinafikan perolehan bot ini telah meningkatkan kesiagaan pemantau di kawasan operasi maritim negara di mana ia telah diiktiraf sebagai salah satu aset keselamatan negara melalui keupayaannya dari segenap aspek termasuk spesifikasi, peralatan, kos perolehan, kos operasi dan kos selenggaraan.

Di atas kejayaan yang ditunjukkan, beberapa Agensi Kerajaan yang lain telah menunjukkan minat dengan keupayaan FIC G2000 ini susulan ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan sesuai dengan operasi dan misi mereka tersendiri.

Alhamdulillah, kesemua 6 unit berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan sahaja di mana kesemua FIC diserahkan kepada TLDM pada 18 Mac 2021.

FIC G2000

Perajurit: Sudikah tuan berkongsi sedikit tentang kejayaan terbaru syarikat iaitu membekalkan enam unit Fast Interceptor Craft G2000 FIC 18m kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)?

Kamarul Azlan: Projek ini merupakan satu projek yang sangat mencabar kerana ia dilaksanakan di dalam suasana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 di mana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

Di samping itu, projek ini perlu disiapkan di dalam tempoh yang singkat yang menyaksikan Syarikat perlu melipatgandakan usaha di dalam semua aspek. Alhamdulillah, kesemua enam unit berjaya disiapkan dan diserahkan kepada TLDM dalam tempoh enam bulan sahaja.

Ini merupakan satu pencapaian yang dibanggakan kerana ianya telah membuka mata bukan sahaja industri maritim tempatan tetapi juga industri maritim luar negara.

Apa yang lebih membanggakan lagi adalah FIC G2000 ini berjaya membantu TLDM di dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya di dalam OP BENTENG.

Di samping itu, Syarikat juga berjaya membuktikan keupayaan kepakaran warga tempatan sepenuhnya di dalam menghasilkan produk yang setaraf atau lebih baik daripada produk-produk luar negara yang dihasilkan limbungan-limbungan yang lebih berpengalaman.

FIC G2000 boleh memainkan peranan sebagaimana bot-bot pemintas atau bot-bot tempur keluaran limbungan luar negara yang ada di dalam inventori TLDM

Tawaran Kepada TLDM

Perajurit: Apakah tawaran Gading Marine Industry kepada TLDM untuk memenuhi keperluan yang digariskan melalui pelan pembangunan #15to5? Adakah TLDM berminat untuk menambah FIC dalam pegangannya?

Kamarul Azlan: Dengan adanya GMI, TLDM mempunyai satu lagi limbungan alternatif tempatan yang mampu memenuhi aspirasi Pelan Pembangunan #15to5 TLDM iaitu limbungan tempatan yang berkeupayaan menghasilkan produk-produk untuk kegunaan TLDM.

Di samping itu, FIC G2000 MK-II keluaran Syarikat boleh memainkan peranan sebagaimana bot-bot pemintas atau bot-bot tempur keluaran limbungan luar negara yang ada di dalam inventori TLDM.

Sebagaimana dibuktikan, penggunaan FIC di dalam operasi TLDM berjaya meningkatkan keupayaan TLDM di dalam melaksanakan peranannya di dalam OP BENTENG sebagaimana dilaporkan kepada media.

FIC yang bertindak sebagai “Force Multiplier” menjadikan ianya sebagai sebahagian daripada aset-aset yang mendokong Pelan Pembangunan #15to5 TLDM.

Syarikat percaya, dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan FIC G2000 MK-II, TLDM bakal menimbangkan penggantian bot-bot pemintas atau bot-bot tempur sedia ada yang telah berusia kepada FIC G2000 MK-II keluaran GMI.

SIGMA 9113 Littoral Mission Ship (LMS) 92m Class

Perancangan Masa Hadapan Gading Marine

Perajurit: Selain kejayaan di atas, sudikah tuan berkongsi perancangan masa depan syarikat untuk masa 5 tahun akan datang?

Kamarul Azlan: Sehingga kini, tidak dinafikan bahawa GMI fokus kepada projek-projek pengeluaran bot-bot di bawah 50 tan. Walau bagaimanapun, GMI beriltizam untuk mengembangkan sayap ke arah projek-projek pembinaan kapal-kapal yang bersaiz lebih besar.

Bagi mencapai tujuan tersebut, Syarikat telah menyediakan pelan pembangunan keupayaan Syarikat bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada bagi membolehkan Syarikat berdaya saing dengan limbungan-limbungan besar sedia ada.

Perkara ini sememangnya di dalam perancangan Syarikat dan merupakan salah satu agenda utama Syarikat untuk mara lebih jauh lagi di dalam industri marin tempatan.

Gading Marine buat pertama kalinya telah menyertai Pameran Pertahanan Asia (Defence Services Asia) 2022 yang diadakan di MITEC KL pada Mac 2022

Pasaran Luar

Perajurit: Selain pasaran tempatan, adakah syarikat mempunyai perancangan untuk menembusi pasaran luar?

Kamarul Azlan: GMI telah pun menempa nama diperingkat antarabangsa. Kami telah ditawarkan untuk menjadi perunding dengan memberi khidmat nasihat dan menjalinkan usahasama dengan beberapa buah negara ASEAN dan Eropah.

Justeru, GMI akan sentiasa melibatkan diri dengan pameran pertahanan dan maritim bertaraf antarabangsa bagi menonjolkan keupayaan dan produk Syarikat kepada wakil-wakil Kerajaan mahupun industri luar negara sebagaimana penglibatan syarikat di dalam Pameran Pertahanan Asia (DSA 2022) yang diadakan di MITEC Kuala Lumpur pada bulan Mac 2022 yang lalu.

Melalui penglibatan ini, Syarikat dapat memperkenalkan keupayaan terkini GMI kepada pelanggan-pelanggan sedia ada mahupun pelanggan-pelanggan yang berpotensi.

Susulan DSA 2022, GMI juga telah mula mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan, yang turut melibatkan GMI di dalam projek-projek baharu di luar negara.

3D FIC G2000 Mk II

Harapan

Perajurit: Akhir kalam, apakah harapan tuan untuk masa depan syarikat?

Kamarul Azlan: GMI akan terus mengorak langkah untuk kekal relevan didalam industri ini.

Dengan penghasilan produk yang berkualiti, praktikal dan mesra pengguna, GMI berharap akan terus meraih keyakinan pelanggan yang sedia ada mahupun pelanggan yang berpotensi.

Saya juga berharap keupayaan GMI akan mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkaitan melalui penganugerahan projek-projek pembinaan bot dan kapal sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

G500 Fast Assault Craft (FAC) 10m Class
G3000 Fast Interceptor Craft (FIC) 35m Class
Unmanned Surface Vessel (USV) 6m Class

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.