AcaraBeritaIndustri

Kontrak dan MOU Bernilai RM10.1 Billion Dimeterai di LIMA ’23

Kongsi di

LANGKAWI – Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hassan hadir menyaksikan majlis menandatangani dokumen Kontrak, Memorandum Persefahaman (MOU), Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Niat oleh Kementerian Pertahanan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) pada 25 Mei lalu.

Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM. Manakala Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Muez bin Abd Aziz mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian tersebut.

Sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 billion telah dimuktamadkan semasa majlis ini dengan perincian seperti berikut:

  1. 20 Dokumen Kontrak;
  2. 21 Surat Setuju Terima;
  3. 2 Surat Niat.

Kementerian Pertahanan juga telah mengumumkan beberapa perolehan aset pertahanan baharu yang sedang dilaksanakan untuk memperkukuhkan lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perolehan Baru

Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima empat buah Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi melalui sewaan daripada Aerotree Defence & Services Sdn Bhd.

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), perolehan yang sedang berlangsung adalah melibatkan 18 unit FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer / Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) yang akan diperolehi daripada Korea Aerospace Industries, Ltd. (KAI).

Selain itu, TUDM juga akan memperolehi tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) and Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 daripada Turkish Aerospace Industries dan dua unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 dan Associated Equipments dari Leonardo S.P.A.

Sebagai tambahan, Kementerian Pertahanan kini dalam perancangan untuk memperolehi lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya.

Komitmen Mindef dan ATM

Sungguhpun negara masih berdepan dengan impak ekonomi ekoran pandemik serta perlu berhadapan dengan bajet yang telah diperuntukkan oleh kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ATM tetap komited untuk saling bekerjasama demi memastikan pertahanan dan kesiapsiagaan berada di tahap optimum.

Penganjuran LIMA 2023 merupakan satu kerjasama utuh yang wujud antara Kementerian Pertahanan, ATM dan pemain industri pertahanan yang berjaya ditonjolkan melalui Majlis Menandatangani Kontrak dan Memorandum Persefahaman hari ini. Ia juga melambangkan kerjasama global yang berterusan dengan Kerajaan Malaysia walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi ketidaktentuan ekonomi, isu geopolitik yang kompleks dan kemunculan ancaman baharu luar jangka.

Sementara itu, majlis menandatangani lapan memorandum persefahaman di antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama pemegang taruh turut diadakan. Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah telah mewakili UPNM bagi upacara tersebut dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar. –mindef/perajurit/mhi (Foto: Mindef)

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.