AcaraBeritaIndustri

Sistem Radar Bernilai RM4 Juta Bantu Kesan Aktiviti Di Laut Dengan Lebih Cekap

Kongsi di

LANGKAWI – Bagi mempertingkatkan pengesanan aktiviti di perairan negara melalui sistem radar, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima sebuah Mobile Surveillance Unit (MSU) yang bernilai RM4 juta di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini pada 25 Mei yang lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, MSU merupakan aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang sedia ada kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Bakal memberikan liputan sensor yang maksimum, MSU turut dapat meluaskan liputan maritim dengan memaparkan kawasan yang dicerap dengan lebih tepat dan secara ‘real time’ seperti surface picture yang memudah penguat kuasa melaksanakan rondaan serta operasi mencari dan menyelamat yang lebih cekap.

Saifuddin berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan unit berkenaan oleh Ketua Pengawai Eksekutif, AMP Corporation (M) Sdn Bhd Dato’ Sri Mustaffa Hj Abd. Rahman kepada Ketua Setiausaha KDN Datuk Haji Ruji Haji Ubi.

Turut hadir pada sesi berkenaan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Haji Nasarah, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA) Dr Sharoul Jambari.

Mobile Surveillance Unit

Saifuddin memaklumkan MSU merupakan sistem yang dapat mengesan aktiviti yang mencurigakan di ‘laluan tikus’ yang tidak mampu dicapai oleh SWASLA sebelum ini. Oleh yang demikian ia telah disuai padankan pada kenderaan pacuan 4 roda agar dapat digunakan di semua bentuk muka bumi dan semua keadaan cuaca.

Selain itu, MSU merupakan sistem radar bergerak yang mampu bertindak mengesan sebarang objek atau imej dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT). Melaluinya Maritim Malaysia berharap ia dapat mempercepatkan pengesanan mangsa yang berada di laut sekaligus dapat mengurangkan peratus kehilangan nyawa.

Untuk rekod MSU adalah projek pembangunan syarikat tempatan hasil kerjasama Maritim Malaysia. Mengambil masa pembinaan selama 12 bulan, ia diharapkan dapat membantu Maritim Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada aset udara dan laut dalam mencegah jenayah seperti perdagangan haram,
penyeludupan dadah, perikanan haram, dan pencemaran maritim.

Sebagai permulaan MSU pertama ini akan digunapakai Maritim Malaysia sebelum pihak Kerajaan mempertimbangkan untuk unit-unit berikutnya. — apmm/perajurit/mhi (Foto: Maritim Malaysia)

MSU di LIMA ’23
MSU dengan radar dinaikkan

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.