Berita

TLDM Iktiraf Peranan Wanita

Kongsi di

Peranan warga wanita dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak pernah dikesampingkan dan ternyata kini semakin diketengahkan dan penyertaan wanita dalam TLDM juga telah meliputi semua kepakaran utama yang ada dalam TLDM iaitu Eksekutif, Bekalan dan Kejuruteraan.

Ruang dan peluang sentiasa diberikan kepada warga wanita TLDM untuk memegang jawatan-jawatan utama, sama pentingnya dengan warga TLDM yang lain.

Ini terbukti dengan kenaikan pangkat seorang pegawai wanita yang pertama  menyandang pangkat tertinggi dalam kalangan wanita TLDM. 

Pemakaian pangkat ini sekali lagi menjadikan Laksda Rohana binti Jupri sebagai pegawai wanita TLDM pertama yang dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda berkuatkuasa 1 Julai 2022.

Sebelum ini beliau merupakan pegawai wanita pertama TLDM yang dinaikkan ke pangkat Kepten TLDM (27 September 2017) dan Laksamana Pertama (18 Disember 2020). Kenaikan pangkat ini membuktikan kemampuan dan kredibiliti warga wanita TLDM diiktiraf oleh pengurusan tertinggi.

Ianya juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan oleh beliau dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Laksda Rohana yang kini memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Materiel di Markas Tentera Laut telah meletakkan beliau di barisan hadapan dalam kepimpinan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang telah dianggotainya sejak 18 Disember 2020.

Majlis pemakaian pangkat ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Yang Berbahagia Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.