EksklusifIndustriKomuniti

Bajet 2023: Perolehan Pertahanan – Antara Cadangan dan Muktamad

Kongsi di

Bajet 2023, Besar Tapi Sedikit

Bajet 2023 dibentangkan pada Jumaat menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM17.4 bilion kepada Kementerian Pertahanan (Mindef).

Ia merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu RM4 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.

Angka tersebut, jika ditukar dengan matawang dolar Amerika Syarikat (AS) sekitar AS$830 juta, bagaimana pun nilainya akan lebih mengecil sekiranya nilai tukaran semasa berubah.

Tidak banyak pembelian baharu boleh dilakukan oleh ATM dengan belanjawan sedemikian.

Angka ini juga jauh daripada apa yang disuarakan oleh kepimpinan kanan ATM yang meletakkan jumlah lebih relevan iaitu antara RM24 bilion hingga RM25 bilion.

Bukan meminta jumlah yang besar tetapi sewajarnya bajet pertahanan hendaklah selari dengan cabaran dan ancaman keselamatan baharu yang dihadapi dunia hari ini.

Ketika ditemui media selepas pembentangan Bajet 2023, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menegaskan, pihaknya akan memanfaatkan peruntukkan yang diberikan dalam belanjawan tersebut.

Beliau juga menyifatkan peruntukkan untuk Mindef ini merupakan peningkatan besar.

“Peruntukkan yang telah diumumkan untuk Mindef menampakkan peningkatan agak besar,

“Jadi, saya bersyukur jumlah peruntukkan kepada Mindef bertambah,” katanya di Lobi Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sejauhmana bajet yang diterima ini bakal diterjemahkan dalam bentuk perolehan atau pembelian aset baharu, biarlah perkara tersebut diputuskan oleh pihak atasan Mindef.

Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2023 yang memperuntukkan RM17.4 bilion untuk Mindef.

Rancangan Lima Tahun Lalu

Bagaimana pun, jika diimbas kembali dalam tempoh lima tahun lepas terdapat beberapa rancangan perolehan yang diumumkan kepada masih belum menjelma.

Kita akui, proses mendapat peruntukan khususnya restu Kementerian Kewangan (MOF) bagi sesuatu perolehan tidak mudah selain ia turut melibatkan kementerian-kementerian lain.

Pada tahun 2017 sebaik Bajet 2018 diumum, ATM disebut bakal menerima perolehan lebih 20 aset baharu menerusi peruntukan sebanyak RM14 bilion.

Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan masa itu telah menyebut senarai panjang perolehan yang dibayangkan melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan.

Tentera Darat (TD) disebut bakal menerima enam buah helikopter, meriam dan peralatan Gerup Gerak Khas (GGK).

“TD bakal menerima perolehan aset baharu merangkumi enam Light Attack Helicopter (MD 530G), artileri mudah gerak 155mm (Self Propelled Howitzer – SPH), meriam 105mm Pack Howitzer dan peralatan khas bagi GGK.

“Perolehan aset dan kelengkapan latihan GGK ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman keselamatan semasa terutamanya ancaman militan Daesh,” kata beliau.

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), aset kapal yang akan diterima ialah kapal tempur pesisir (LCS) dan empat kapal misi pesisir (LMS) yang masing-masing masih dalam proses pembinaan.

Selain itu TLDM merancang memperoleh kapal kelas kelima Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah Program Transformasi 15-to-5.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula kata Hishamuddin, kerajaan meluluskan perolehan empat pesawat rondaan maritim (MPA) yang akan digunakan untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Peruntukan Bajet 2018 juga akan digunakan untuk memperkukuh tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak dengan menaik taraf pos kawalan sedia ada serta membina pos kawalan baru di sempadan Kalimantan.

Pesawat KA-50 Korea Selatan yang disebut antara calon program perolehan LCA yang mula diumumkan sejak 2017.

Perolehan Tahun 2021

Tiga tahun kemudian, soal cadangan perolehan baharu ditekankan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa sebanyak 15 perolehan aset baharu yang dirancang untuk ATM.

Katanya semasa menyampaikan Amanat Menteri Kanan Pertahanan Bagi Tahun 2021 pada Januari, kesemua aset ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan kesiagaan ATM.

Antara perolehan yang dirancang adalah radar, persenjataan, pesawat tempur ringan (LCA),  peralatan pasukan khas dan perubatan.

Selain itu, ATM dijangka akan menerima beberapa aset tempur iaitu 37 unit kenderaan pengangkut berperisai (APC) AV8 Gempita, satu unit meriam howitzer 105mm, tiga buah kapal LMS dan enam buah helikopter MD530G.

Pada masa yang sama, sejumlah aset akan diterima oleh ATM bagi memperkasakan kawalan sempadan di bawah OP BENTENG.

“Kita juga akan menerima tambahan aset-aset seperti enam Fast Interceptor Craft (FIC), 63 trak 1 tan GS Cargo dan 27 unit All Terrain Vehicle  (ATV),” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa ATM telah menerima 25 buah AV8 Gempita, 17 unit meriam howitzer 105mm dan dua buah set lengkap hospital medan pada tahun lalu.

“Pada tahun 2020, MINDEF  telah berjaya menyelenggara dua buah kapal selam dalam usaha meningkatkan keupayaan aset TLDM.

“Kita juga berjaya memperolehi 11 unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan sebuah bot serbaguna untuk membantu tugas-tugas kawalan sempadan negara dengan lebih berkesan di bawah Op Benteng,” katanya.

Menyentuh Belanjawan 2021, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak RM1.63 bilion diperuntukkan bagi memperoleh kelengkapan dan aset baharu.

Selain itu, sebanyak RM2.3 bilion digunakan bagi penyenggaraan aset-aset sedia ada.

Program 15 to 5 bagi pemodenan aset-aset TLDM berjalan perlahan manakala kelewatan pembinaan LCS memburukkan lagi keadaan.

DSA/NATSEC 2022: Pengumuman Hanya Cadangan?

Setelah dua edisi tertunda, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia dianjurkan pada Mac lalu.

DSA/NATSEC 2022 yang mendapat liputan meluas media pula diakhiri dengan pengumuman

MINDEF menandatangani 54 memorandum persefahaman (MoU), surat setuju terima (SST), surat niat (LOI) dan kontrak yang keseluruhannya bernilai RM4.6 bilion.

Pada sesi sidang media, kata Menteri Kanan Pertahanan, ia melibatkan perolehan aset baharu ATM.

“Saya baru sahaja menyaksikan majlis tandangan dokumen kontrak, MoU, SST dan LOI sempena DSA dan NATSEC Asia 2022.

“Saya ingin maklumkan bahawa nilai kontrak dan perjanjian berkenaan berjumlah RM4.6 bilion. Ini amat membanggakan. Ia melibatkan 20 SST, 24 dokumen kontrak, tujuh tujuh LOI dan tiga MoU,” jelasnya.

Mengulas lanjut jelas Hishammuddin, bagi TD, ia melibatkan pembelian kenderaan perisai yang akan digunakan MALBATT 850 di Lubnan selain artileri mudah gerak 155mm (SPH), Logistic Support Bridges (LSB), trak kargo muatan tiga tan dan senjata antikereta kebal (LAW).

Bagi TLDM, ia melibatkan perolehan tiga buah helikopter utiliti AW139 buatan Itali, tiga buah kapal LMS dilengkapi sistem persenjataan terbaharu dan 13 bot pemintas (FIC).

TUDM pula katanya, melibatkan 36 pesawat tempur ringan/latihan lanjutan (LCA / FLIT).

“Ia bagi menggantikan pesawat tempur MiG-29N yang tamat perkhidmatan tahun 2017, pesawat Hawk (2026) dan pesawat Aermacchi MB-339CM (2030),” katanya.

Bagi menggantikan pesawat Nuri yang bakal ditamatkan tugas pada tahun 2026, sebanyak 24 buah helikopter baharu juga terkandung dalam Pelan Perolehan Kementerian Pertahanan.

Jelas Hishammuddin, bagi pelan perolehan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebanyak 12 buah helikopter akan diterima antara tahun 2026 hingga 2030, manakala 12 unit lagi di bawah RMK-14 antara tahun 2031 hingga 2035

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan ruang udara negara terus terpelihara tambahnya lagi, Mindef  turut merancang pembelian radar dan beberapa aset lain.

“Ia termasuk tiga radar pertahanan udara jarak jauh (LORAD), sistem misil pertahanan udara jarak sederhana (MERAD), sistem udara tanpa pemandu (UAS), sistem udara tanpa pemandu aras sederhana ketahanan tinggi (MALE-UAS) and pesawat rondaan maritim (MPA).

“Di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI), tiga pesawat CN235-220M ketika ini dalam proses naik taraf dalam memastikan peranan Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) dapat menjalankan tugas dengan baik,” jelasnya lagi.

Sistem SPH Yavuz

LMS – Terdesak Tapi Belum Perlu

Kegusaran tentang aset pertahanan telah disuarakan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany apabila membuat kenyataan terbuka kepada umum seminggu sebelum Bajet 2023.

Ini juga bukan kali pertama beliau menyuarakan kebimbangannya.

Dengan bajet selenggaraan aset sedia ada terhad, beliau risau tentang kemampuan yang boleh dilakukan TLDM sekiranya berlaku ancaman.

Sebagai orang nombor satu TLDM,  pandangan Mohd. Reza wajar diterima kerana beliau melihat keperluan angkatan itu pada masa ini dan masa hadapan.

Justeru, kerajaan perlu merancang perolehan kapal perang baharu TLDM yang boleh beroperasi di Laut China Selatan adalah mendesak.

Perolehan ini perlu dilaksanakan oleh Mindef tanpa mengambil kira progam kapal tempur pesisir (LCS) yang kini dalam fasa mobilisasi dalam tempoh enam bulan.

Program LCS yang berdepan dengan masalah menyebabkan enam kapal tersebut yang sepatutnya diterima TLDM sejak 2019 gagal disempurnakan.

Jika program pemulihan LCS ini berjalan seperti dirancang, berkemungkinan satu atau dua kapal ini perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Disebabkan itu perancangan TLDM untuk melaksanakan perolehan kapal LMS bac kedua dengan persenjataan yang lebih lengkap dan berkemampuan tinggi adalah tepat.

LMS itu akan mempunyai keupayaan tempur yang lebih baik berbanding kapal LMS kelas KERIS, malah Mohd. Reza berharap agar ia dilaksanakan secepat mungkin.

Kapal-kapal LMS bac kedua yang bersaiz seperti korvet ini dengan panjang antara 80 hingga 100 meter dan berat 2,500 tan adalah perlu bagi pertahanan pesisir.

Pembinaan LMS bac kedua melibatkan dua fasa iaitu tiga buah (fasa pertama) dan lima (fasa kedua) dengan anggaran kos RM6 bilion.

Hanya Empat Kapal Perang Dengan Peluru Berpandu

TLDM ketika ini hanya mempunyai empat buah kapal perang yang mempunyai sistem persenjataan peluru berpandu antikapal.

Aset paling kuat TLDM ialah dua buah frigat kelas LEKIU buatan United Kingdom yang dibeli pada tahun 1994 iaitu KD JEBAT dan KD LEKIU.

Seterusnya ialah dua buah korvet kelas Kasturi buatan Jerman yang dibeli pada tahun 1981 iaitu KD KASTURI dan KD LEKIR. Kedua-duanya telah menjalani naik taraf pada tahun 2009 dan 2011.

Selebihnya, aset-aset TLDM hanyalah kapal korvet dan kapal peronda yang bersenjatakan meriam tanpa mempunyai peluru berpandu anti kapal.

ATM masih boleh berbelanja dengan peruntukan sebanyak RM14 bilion bagi membeli kelengkapan kecil.

Muktamad atau Tidak

Mindef pada Ogos lalu dikatakan bakal memuktamadkan keputusan perolehan sistem artileri mudah gerak (SPH) bagi meningkatkan kuasa tempur Tentera Darat.

Difahamkan, sistem artileri MKE Yavuz 155mm 52 kaliber buatan Turkiye sebagai pilihan persenjataan tersebut setelah penilaian dilakukan termasuk teknologi semasa yang canggih.

Kontrak ini termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur serta kelengkapan-kelengkapan lain dengan anggaran 18 unit meriam.

Perolehan ini menamatkan penantian lebih 25 tahun TD khususnya Rejimen Artileri Diraja (RAD) untuk mengoperasikan sistem artileri mudah gerak dalam mempelbagaikan inventorinya.

Bagaimana pun, tender perolehan sistem SPH ini kemudiannya disahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Hishamuddin sebagai belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat.

Katanya pada minggu lalu, proses perbincangan  perolehan melibatkan peruntukan RM854 juta itu masih berjalan antara Mindef dan MOF.

Hishammuddin berkata, proses perolehan untuk memberi penganugerah itu melibatkan banyak agensi dan bukan sahaja Mindef dan seperti biasa mereka akan berbincang dengan MOF terlebih dahulu.

Meriam-meriam ini bagi kegunaan RAD yang ketika ini mengoperasikan meriam jarak dekat Nexter LG1 105mm, Oto Melara Pack Howitzer 105mm dan meriam sederhana G5 155mm.

Pada tahun 2016, TD hampir memiliki kira-kira 20 unit meriam terpakai M109A5 155mm SPH yang ditawarkan Amerika Syarikat sebelum perolehan tersebut kemudian dibatalkan.

Pemilikan sistem persenjataan ini dirancang apabila Tentera Darat mempunyai pasukan kereta kebal dan mekanise yang bergantung pada mobiliti serta perlu diatur gerak dengan cepat.

Sejak tahun 1998, beberapa sistem artileri SPH telah diuji Tentera Darat bagi melihat kesesuaian termasuk pengoperasian di kawasan mencabar.

Antaranya ialah sistem Caesar 155mm buatan Perancis, Denel G6 155mm (Afrika Selatan), K9 Thunder (Korea Selatan) dan Nexter Caesar (Perancis).

Kriteria yang ditetapkan pula hendaklah mempunyai berat antara 17 tan hingga 25 tan selain boleh dimuatkan ke dalam pesawat pengangkut.

MoU Dengan Syarikat Turkiye

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan ke Turkiye pada Julai lalu telah menyaksikan majlis tandatangan tujuh MoU bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara.

Salah satunya adalah antara syarikat MA Analytics Sdn. Bhd. (MA Analytics) dengan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) bagi perolehan meriam tersebut.

MA Analytics merupakan syarikat tempatan yang terlibat dalam bidang pertahanan, tenaga dan telekomunikasi.

MKE pula merupakan syarikat milik penuh kerajaan Turkiye dimana 100 peratus pemegang sahamnya adalah Kementerian Pertahanan Turkiye manakala pengerusinya adalah Timbalan Menteri Pertahanan.

MKE turut memegang 50 peratus saham dalam syarikat Roketsan.

Yavuz 155mm 52 kaliber merupakan sistem artileri moden yang dikilangkan di Turkiye dengan teknologi canggih yang dipertingkatkan daripada meriam Panther 155mm yang digunakan Tentera Turkiye.

Sebuah unit lengkap meriam dan kenderaan mempunyai berat kira-kira 32 tan dan mampu bergerak selaju 90 kilometer (km) sejam di atas jalan dengan jarak operasi sehingga 600km.

Sistem Yavuz mampu melepaskan tembakan pada kadar empat hingga enam butir seminit dan menyimpan 18 butir peluru yang diisi secara semi automatik dan manual.

Harus diambil kira banyak aset TLDM telah usang selain dioperasikan pada tahap maksimum.

Penting Insuran Pertahanan

ATM perlu diberikan bajet pertahanan yang membolehkan ia membina keupayaan cegah rintang dan pertahanan hadapan yang berkesan.

Memandangkan cabaran semasa misalnya membabitkan kepentingan maritim semakin nyata, maka peruntukan untuk membangunkan keupayaan kapal peronda perlu diberi perhatian

Malaysia se­perti juga negara berdaulat lain perlu mempunyai keupayaan berdikari dalam aspek pertaha­nan dengan tidak bergantung pada pihak luar.

Jika pun negara mempunyai kemampuan kewangan yang terhad, namun belanjawan pertahanan hendaklah seimbang dan tidak boleh berkurangan.

Dalam konteks keselamatan secara umum, tiada siapa yang boleh mengandaikan keamanan yang dikecapi hari ini berpanjangan kerana konflik bersenjata sama ada menerusi ancaman dalam negara atau dari luar boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sesebuah negara akan mempunyai imbangan dalam melaksanakan diplomasi ketenteraan termasuk dengan negara berjiran sekiranya mempunyai keupayaan pertahanan yang mampu menggerunkan lawan.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.