EksklusifKomunitiSejarah

Lapangan Terbang Tekah, Warisan Penerbangan Negara

Kongsi di

Semasa aktif digunakan, Lapangan Terbang Tekah di Taiping, Perak merupakan sebuah kawasan tentera yang sibuk dengan pesawat turun naik mengisi bekalan untuk dihantar kepada unit-unit tentera di perbatasan. 

Selain tentera, landasan terbang ini turut digunakan oleh pihak-pihak lain termasuk pesawat awam bagi urusan tertentu.

Kawasan landasan terbang tersebut masih dimiliki Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah ada papan tanda melarang ia diceroboh walaupun tidak berjaga. 

Sebahagian besar sejarah landasan terbang ini ada kaitan dengan ketenteraan sejak Perang Dunia Kedua hinggalah operasi menentang pengganas komunis.

Tinggalan yang menjadi ikon pada lapangan terbang ini adalah bangunan bekas menara tinjau dan sebatang tiang penunjuk arah angin.

Lapangan Terbang Sempang di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang kemudiannya dikenali sebagai Lapangan Terbang Sungai Besi menjadi pangkalan utama tentera udara British (Royal Air ForceRAF) dan kemudian Royal Malaya Federation Air Force selepas merdeka.

Lapangan Terbang Sempang dibina pada 1930 bagi kegunaan perhubungan dan komersial sebelum dijadikan Pangkalan Udara Tentera British pada 1 Jun 1941 dan dikenali secara rasmi sebagai Stesen RAF (Royal Air Force Station).

Ini bermakna Lapangan Terbang Tekah dibina setahun lebih awal.

Dibina pada tahun 1929 dan siap setahun kemudian, Tekah merupakan sebuah lapangan terbang kecil atau aerodrome dengan bangunan kayu sekali gus menjadi lapangan terbang pertama di Tanah Melayu. 

Melengkapi fungsinya ialah sebuah menara tinjau dan tiang penunjuk arah angin.

Landasan terbang ini dibina oleh LJB Madden selaku kontraktor yang dilantik sepertimana dicatatkan dalam Taiping Weekly Record, 1935. Fungsi asas lapangan terbang ini adalah untuk penggunaan pegawai British dan para pedagang dari Eropah.

Sisa tinggalan yang masih ada di Lapangan Terbang Tekah di Taiping menunjukkan fungsinya sebagai sebuah lapangan terbang.

Taiping Aerodrome

Tanah lapangan terbang ini seluas kira-kira 63.921 hektar di Mukim Assam Kumbang, Taiping juga dikenali sebagai Taiping Aerodrome

Fungsi asas lapangan terbang Taiping adalah digunakan untuk sebuah lapangan terbang komersil untuk penggunaan pegawai British dan para pedagang dari Eropah.

Pada tahun 1938, kerja-kerja memanjangkan landasan dilakukan bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat dengan panjang landasan kira-kira 1,300 meter. 

Setiausaha Udara Britain, Sir Philip Sasson yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan stesen-stesen udara British di luar negara menyifatkan landasan terbang Tekah sebagai antara yang terbaik di Timur Suez pada masa itu.

Antara laluan-laluan utama landasan terbang itu adalah dengan menyediakan kemudahan perjalanan ke lokasi berjarak pendek seperti ke Alor Star, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Ini kerana laluan penerbangan Pulau Pinang ke Singapura juga akan menjadikan landasan terbang Taiping sebagai lokasi hentian untuk mengisi minyak. 

Semasa Perang Dunia Kedua, landasan ini digunakan oleh tentera Jepun memandangkan Taiping ketika itu merupakan pusat pentadbiran pihak Jepun di Tanah Melayu dan Sumatera.

Semasa Perang Dunia Kedua, pihak RAF mengambil alih lapangan terbang ini dan meletakkan satu pasukan untuk mempertahankannya.

Lapangan terbang ini tidak terlepas daripada serangan udara pesawat Jepun menyebabkan ia ditinggalkan selepas tentera British berundur. Lapangan ini telah digunakan oleh tentera Jepun bagi membantu operasi kemaraan hingga ke Singapura.

Lapangan Terbang Tekah kekal digunakan tentera Jepun sepanjang menduduki Tanah Melayu.

Bermula tahun 1965, Taiping menjadi markas bagi pasukan logistik dan bekalan hantaran udara tentera di wilayah utara apabila HQ FSTS AFMC (Headquarters Federation Supply and Transport Service Armed Forces Maintenance Corps) ditubuhkan.

Kawasan landasan terbang yang pernah menjadi saksi pembangunan pengangkutan udara di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Pusat Penghantaran Bekalan

Sebagai pangkalan udara hadapan, Tekah menjadi pusat penghantaran bekalan pada pasukan tentera dan pasukan polis hutan (PPH) Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa era Insurgensi.

Malah, Kor Perkhidmatan Diraja yang berada di Taiping mempunyai platun hantaran udara khusus bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut.

Pada hujung landasan ini masih terdapat beberapa blok bangunan papan yang kelihatan tidak berjaga dipercayai bekas kem landasan terbang Tekah di dalam kawasan pagar dan berkunci selain sebuah bangunan bekas gudang.

Jarak landasan yang pendek membolehkan pesawat pengangkut milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika itu, de Havilland Canada DHC-4A Caribou berlepas dan mendarat selain digunakan oleh helikopter Nuri.

Walaupun Lapangan Terbang Tekah atau Taiping Aerodrome tidak lagi aktif, tetapi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) masih mengekalkan kosain lapangan terbang ini dengan nama kod TPG yang merujuk kepada Taiping.

Kawasan Aerodrome Taiping itu juga adalah zon pengangkutan berdasarkan pengezonan Rancangan Tempatan Larut Matang 2035 (RTLM). 

Tapak Aerodrome Taiping juga disenaraikan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sebagai antara 33 Perkara Pertama Taiping.

Hari ini, lapangan terbang yang hilang fungsi sebenarnya itu masih lagi digunakan sebagai lokasi latihan payung terjun sama ada oleh pihak 69 Komando PDRM, tentera dan bomba selain kelab penerbangan swasta.

Rombongan Soekarno dikatakan pernah singgah di Tekah berjumpa kepimpinan Tanah Melayu untuk membincangkan tentang kemerdekaan.

Persinggahan Soekarno

Pengisytiharan Perjanjian Taiping merupakan satu perjanjian yang telah diisytiharkan di Taiping, Perak antara bakal Presiden pertama Indonesia, Soekarno bersama pejuang nasionalis, Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ibrahim Yaakob.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy pernah digelar ‘Bapa Kebangsaan Melayu’ oleh penulis Ahmad Boestamam.

Malah, sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa perjuangan golongan kiri yang di luar aliran utama sejarah kemerdekaan tanah air.

Walaupun tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod rasmi kemerdekaan negara ini, tetapi beliau dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan negara yang bersatu.

Pada 8 Ogos 1945, delegasi Indonesia yang terdiri daripada Soekarno, Mohammad Hatta dan Radjiman Wedyodiningrat telah berlepas ke Markas Tentera Jepun Asia Tenggara di Saigon,Vietnam untuk bertemu Fil Marsyal Terauchi Hisaichi bagi membincangkan kemerdekaan Indonesia.

Dalam perjalanan pulang ke Indonesia pada 13 Ogos, delegasi itu singgah di Lapangan Terbang Tekah bertemu dengan Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ibrahim Yaakub yang memberitahukan kepada Soekarno dan Hatta bahwa orang-orang Melayu ingin mencapai kemerdekaan bagi Malaya (tidak termasuk Singapura) di dalam rangka Indonesia Raya.

Pengisytiharan Perjanjian Taiping itu adalah antara Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ibrahim Yaakub sebagai pemimpin-pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dengan pemimpin-pemimpin Kebangsaan Indonesia (Soekarno dan Mohamad Hatta).

Sehubungan itu, satu persetujuan telah dicapai bahawa Tanah Melayu akan bersama-sama dengan Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Bagaimana pun cita-cita ini gagal apabila pemerintah tentera Jepun di Tokyo mengisytiharkan bahawa mereka menyerah kalah pada tarikh tersebut, namun Indonesia tetap mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945 tanpa melibatkan Tanah Melayu sekali gus gagal mencapai impian membentuk ‘Melayu Raya’.

Peta penerbangan Amelia Earhart menunjukkan dia tidak singgah di Taiping sebaliknya dari Bangkok terus ke Singapura.

Amelia Earhart Tidak Mendarat Di Tekah

Juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart dikatakan ada mendarat di Lapangan Terbang Tekah pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik.

Bersama jurumalim, Fred Noonan, misi penerbangan dunia itu berakhir dengan kehilangannya yang kekal misteri.

Dia terhempas dalam perjalanan dari New Guinea ke Pulau Howland di Lautan Pasifik. Pesawat itu, Lockheed Electra 10E, tidak pernah dijumpai. Selama bertahun-tahun hilangnya Earhart melahirkan banyak teori.

Amelia Earhart terbang antara Thailand dan Singapura dan diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Taiping pada 7 Jun 1937. Bagaimana pun, Amelia tidak mendarat di sini.

Ini kerana merujuk pada dokumen sejarah penerbangan beliau, ada dua laluan penerbangan dicadangkan iaitu dari Rangoon, Burma terbang ke Bangkok untuk mengisi minyak dan singgah di Alor Setar sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.

Atau dari Rangoon ke Alor Setar seterusnya ke Singapura.

Sebaliknya, Amelia memilih terbang dari Rangoon dan berhenti mengisi minyak di Bangkok sebelum terbang terus untuk mendarat di Lapangan Terbang Kallang, Singapura tanpa singgah di Tanah Melayu untuk menjimatkan masa.

Pesawat Amelia semasa berhenti singgah di Lapangan Terbang Kallang, Singapura.

Kebenaran Mendarat

Mengikut laporan penerbangan pula, sebenarnya pada hari tersebut beliau telah diberi kebenaran untuk mendarat di tiga lokasi berbeza iaitu Lapangan Terbang Alor Setar (Kedah), Lapangan Terbang Tekah (Perak) dan landasan terbang Batu Pahat (Johor).

Kemungkinan kebenaran ini diminta sebagai persediaan sekiranya dia perlu mendarat disebabkan cuaca buruk atau faktor-faktor lain.

Malah, tiada foto yang menunjukkan Amelia mendarat atau berada di Lapangan Terbang Tekah.

Ini kerana jika benar dia mendarat di sini, sudah pasti ada rakaman foto kerana misi penerbangan beliau diikuti pihak akhbar pada masa itu dan mendapat liputan.

Sebaliknya, dalam catatannya, Amelia menyebut dia memutuskan untuk terbang terus ke Singapura sejauh 875 batu dan tiba di sana pada pukul 5.25 petang.

Dia juga menyifatkan Lapangan Terbang Kallang sebagai antara lapangan terbang tercantik dan moden pernah disinggahi.

Sisa tinggalan yang masih ada di Lapangan Terbang Tekah di Taiping menunjukkan fungsinya sebagai sebuah lapangan terbang.

Kontroversi Dijual

Pada Jun 2019, Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Taiping meminta kerajaan negeri supaya tidak menjual tanah Lapangan Terbang Tekah.

Dikatakan ketika itu, maklumat daripada Pejabat Daerah Larut, Matang dan Selama bahawa sebahagian daripada tanah seluas 16.18 hektar milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) itu telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju perumahan swasta.

Pihak kerajaan negeri Perak dikatakan telah meluluskan pemilikan tanah kerajaan iaitu sebahagian daripada Aerodrome Taiping seluas 15.916 hektar untuk skim perumahan pada Januari 2019.

Selain itu, MPT juga telah menerima permohonan menukar zon guna tanah pengangkutan kepada zon guna tanah perumahan untuk sebahagian tanah Aerodrome Taiping berkenaan namun MPT telah menolak permohonan berkenaan melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tujuan Am MPT yang bersidang pada Februari lepas.

Isu ini bagaimana pun dinafikan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila bertegas kerajaan Perak tidak pernah meluluskan tapak landasan Lapangan Terbang Tekah di Taiping kepada mana-mana pihak bagi tujuan pembangunan seperti mana didakwa sesetengah pihak.

Menurutnya, hanya sebahagian tanah di kawasan itu iaitu di luar kawasan landasan pernah diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), namun ia telah dibatalkan dan diserah kembali kepada kerajaan negeri.

Perbincangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan beliau kemudian turut mencadangkan agar kawasan berkenaan diwartakan sebagai tapak warisan negeri sekali gus dapat menyelesaikan kemelut yang timbul.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.