EksklusifKomunitiOperasiSejarah

Logistik – Tulang Belakang Angkatan Tentera

Kongsi di

An army marches on its stomach”. Kata-kata keramat ini dikatakan telah diungkap oleh sama ada Napoleon Bonaparte atau Raja Prussia, Frederick the Great (1740 – 1786). 

Kata-kata keramat ini membayangkan bahawa sesebuah angkatan tentera hanya dapat mara ke hadapan sekiranya perutnya terisi.  Lebih tepat, sesebuah angkatan tentera hanya boleh mara dan terus berperang sekiranya bekalan-bekalan yang telah dihabiskan boleh digantikan dengan mudah. 

Dengan kata lain, ‘perut’ dalam konteks peperangan moden adalah termasuk bekalan peluru dan bahan letupan, makanan, perubatan, minyak, alat ganti, serta ganti kepada aset perang yang telah rosak serta musnah.

Dalam hal ini, untuk memastikan ‘perut’ sesebuah angkatan tentera sekurang-kurangnya terisi untuk meneruskan operasi, khususnya operasi yang jauh daripada pangkalan utama, peranan ini diuruskan oleh cabang logistik angkatan tentera tersebut.

Peranan Logistik

Sejarah telah berulang kali menyaksikan bagaimana logistik memainkan peranan yang teramat besar dalam memastikan keupayaan sesebuah angkatan tentera dapat meneruskan peperangan.  

Kegagalan dalam memastikan jaluran logistik yang mampan dan berterusan bukan sahaja melemahkan keupayaan angkatan tentera yang beroperasi, malahan boleh juga membawa kepada tumbangnya sesebuah pasukan tentera yang mempunyai aset yang berteknologi lebih moden.

Sekiranya memerlukan contoh kepentingan logistik sebagai tulang belakang kepada mana-mana angkatan tentera, kejayaan Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua merupakan contoh terbaik bagaimana keupayaan logistik telah berjaya memastikan kejayaan Tentera Bersekutu yang berperang serentak di lima medan kempen utama hampir serentak (Eropah Barat, barisan tempur Timur, Afrika, Burma – China, Pasifik).  

Lebih mengagumkan adalah kejayaan ini dapat dicapai biarpun Tentera Pakatan Axis menyasarkan jaluran logistik dengan menghantar kapal-kapal selam ke Lautan Atlantik dan Pasifik untuk menyekat Amerika Syarikat menghantar bekalan-bekalan logistik kepada bukan sahaja Britain, malahan kepada Soviet Rusia, Australia, New Zealand, China, India, dan pasukan-pasukan tentera negara bebas seperti Tentera Bebas Perancis di bawah Charles De Gaulle, Tentera Bebas Poland, dan Tentera Bebas Belgium.

Potret komander tentera Amerika Jeneral George C Marshall (1880 – 1959) (duduk, tengah) ketika dia melihat peta bersama anggota Staf Amnya di pejabatnya di Jabatan Perang, Washington DC, November 1941. Gambar adalah, dari kiri, Jeneral Leonard T. Gerow (1888 – 1972), R.A. Wheeler, Sherman Miles, Henry H. Arnold (1886 – 1950), George C. Marshall, Wade H. Haislip (1889 – 1971), Harry L. Twaddle, dan William Bryden. (Foto oleh PhotoQuest / Getty Images)

Jeneral George C Marshall

Di sebalik kejayaan Tentera Bersekutu ini adalah Jeneral George C Marshall, Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera Amerika Syarikat.  

Beliau menjadi perancang utama dalam membangunkan Angkatan Tentera Amerika Syarikat daripada sebuah angkatan tentera berkekuatan hanya 189 ribu askar dengan peralatan yang digunakan semenjak Perang Dunia Pertama pada tahun 1939, kepada sebuah pasukan tentera berkekuatan hampir 8 juta anggota berserta memiliki aset perang yang cukup canggih dan mudah digunakan pada penghujung Perang Dunia Kedua. 

Malahan, beliau bertanggungjawab mengatur gerak keperluan Angkatan Tentera Amerika Syarikat berserta sekutu-sekutunya melalui progam Sewa Beli (Lend Lease) yang digunakan untuk mempersenjatakan sekutu-sekutu Amerika Syarikat seperti Britain, Perancis, Rusia, berserta China. 

Beliau telah diiktirafkan sebagai Individu untuk Tahun 1943 dan 1947 oleh Majalah Times. 

Biarpun peranan Jeneral George C. Marshall teramat besar, namun tugas beliau sebagai pengatur gerak, dan bukannya panglima perang di medan tempur, sedikit sebanyak membuatkan nama beliau dilihat tenggelam dari segi sumbangan ketenteraan kerana ketiadaan elemen ‘seksi’ seperti mengaturkan operasi ketenteraan besar-besaran seperti OP OVERLORD (Lt Jen Dwight Eisenhower), OP MARKET GARDEN (Field Marshall Lord Archibald Montgomery – Britain), atau operasi penawanan Sicily (Jeneral George S. Patton).

Selepas Perang Dunia Kedua, beliau dilantik menjadi Setiausaha Negara Amerika Syarikat dan menjadi individu yang merencanakan program Marshall untuk membantu negara-negara di seluruh dunia.

26 Jan 1941 – London, England- Harry Hopkins, wakil peribadi Presiden Roosevelt di England digambarkan (kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri British Winston Churchill, selepas lawatan Hopkin ke 10 Downing Street. Encik Hopkins akan melaporkan kepada Presiden penemuannya mengenai keperluan Britain dan kedudukan perang.

Harry Lloyd Hopkins

Selain Jeneral George C Marshall, seorang lagi individu yang teramat penting dalam merencanakan keperluan logistik Tentera Bersekutu adalah Harry Lloyd Hopkins, Setiausaha Negara untuk Perdagangan kepada Presiden Franklin D Roosevelt. 

Beliau menjadi orang tengah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Akta Sewa Beli (Lend Lease Act) yang menjadi asas kepada Program Sewa Beli yang disebut awal tadi.

Namun, nama beliau kurang disebut berbanding Jeneral George C. Marshall kerana beliau dilihat sesetengah pihak sebagai berpotensi merupakan seorang komunis dan dikatakan telah membocorkan banyak rahsia keupayaan Amerika Syarikat kepada Soviet Rusia semasa mengatur keperluan logistik untuk Soviet Rusia.

Beliau juga tidak berpeluang menjawab tohmahan yang dilemparkan itu kerana telah meninggal dunia pada Januari 1946, tidak sampai setahun selepas tamatnya Perang Dunia Kedua akibat keracunan kandungan besi dalam darah yang berhasil daripada menerima suntikan darah dan pemakanan zat besi tambahan untuk merawat penyakit kanser perut.

Sekitar 1944: Menyelesaikan masalah pengangkutan mereka di Tanah Melayu, Jepun telah menukar trak supaya mereka boleh berjalan di landasan kereta api. (Foto oleh Keystone / Getty Images)

Kempen Jepun di Tanah Melayu

Dalam membincangkan kepentingan logistik, kita juga boleh melihat bagaimana kempen perang di Tanah Melayu dan rantau Asia Tenggara hampir gagal akibat kekurangan bekalan dan askar. 

Berkekuatan 70 ribu askar, Tentera Jepun yang mendarat di Tanah Melayu berjaya menawan keseluruhan Tanah Melayu dan Singapura daripada British walaupun kekuatan Tentera Bersekutu yang terdiri daripada British, Australia, India, dan anak tempatan ketika itu hampir dua kali ganda kekuatan tentera Jepun, iaitu pada jumlah 138 ribu anggota.

Malah, Lt Jen Tomoyuki Yamashita ketika itu berasa amat risau bahawa kelemahan logistik Tentera Jepun hampir pasti membawa padah kerana bekalan peluru untuk meneruskan perang sudah hampir habis dan dijangka hanya cukup untuk sehari atau dua sahaja lagi. 

Lt Jen Sir Arthur Percival hanya menyerah kalah kerana bandar Singapura telah kehilangan bekalan air apabila kedudukan di Reservoir telah berjaya ditawan oleh Jepun.

FELDA SAHABAT, SABAH, MALAYSIA – 8 MAC: Dalam imej edaran yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia ini, askar Malaysia melepaskan tembakan mortar ke arah lelaki bersenjata Filipina semasa kebuntuan pada 8 Mac 2013 di kampung sekitar Felda Sahabat, Sabah, Malaysia. (Foto oleh Kementerian Pertahanan Malaysia melalui Getty Images)

Pengalaman Malaysia dalam Keperluan Logistik

Pengalaman Malaysia dalam memenuhi keperluan logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula lebih menumpu kepada keperluan ATM dalam peperangan menentang gerakan insurgensi. 

Malahan, ancaman Indonesia terhadap kedaulatan Malaysia semasa Konfrontasi Indonesia – Malaysia antara tahun 1963 sehingga 1965 pun lebih merupakan peperangan bersifat asimetrik antara kedua-dua pihak, dengan satu-satunya percubaan bersifat konvensional adalah pendaratan pasukan payung terjun Angkatan Darat Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (kini TNI – AD) di Labis, Johor.

Sekiranya operasi menentang gerakan insurgensi diambil kira sebagai ujian kepada keupayaan logistik ATM diambilkira, OP DAULAT merupakan satu-satu operasi keupayaan logistik ATM diuji di dalam operasi ketenteraan. 

Dengan kebanyakan aset medan ATM berpusat di Semenanjung Malaysia, cabaran untuk menggerakkan keupayaan ATM ke Sabah boleh jadi sebagai ukuran. 

Dalam hal ini, cabaran terbesar untuk ATM adalah untuk menggerakan aset berat serta bekalan peluru tambahan ke Sabah. 

Penamatan perkhidmatan kapal LST KD SRI INDERAPURA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 2010 akibat kemusnahan yang dialami dalam kebakaran pada tahun 2009 menyebabkan ATM kehilangan keupayaan penghantaran logistik menggunakan kapal sendiri, sehingga memaksa ATM mendapatkan perkhidmatan kapal berkeupayaan RO-RO untuk menghantar kenderaan berperisai Adnan ke Sabah. 

Biarpun keperluan untuk menggantikan kapal KD SRI INDERAPURA telahpun dikenalpasti semenjak 2010, tiada pengganti kepada kapal kelas INDERAPURA itu telah dibuat sehingga ke hari ini. 

Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menghantar aset melalui udara pada hari ini juga adalah amat terhad. 

Biarpun TUDM memiliki empat buah pesawat Airbus A400M sebagai penghantar strategik dan dibantu oleh sebilangan pesawat Lockheed Martin C-130H bagi keperluan penghantaran taktikal, bilangan rendah ini bukan sahaja menjadi kekangan kepada keperluan logistik ATM malah memberi kesan kepada keupayaan lain ATM, iaitu pemantauan laut serta operasi pengguguran udara. 

Keupayaan Logistik ATM Amat Terhad

Dengan kata lain, keupayaan logistik ATM pada hari ini adalah amat terhad. 

Biarpun ATM memegang postur bersifat pertahanan dan boleh membuat pertahanan setempat, kelemahan keupayaan logistik ATM ini boleh mengganggu keupayaan ATM mempertahankan wilayah-wilayah yang berjauhan daripada Kuala Lumpur menghadapi ancaman luaran. 

Dalam hal ini, ATM perlu memperkukuhkan keupayaan penghantaran logistik udara dan laut ATM.  Apatah lagi Malaysia secara geografi terpisah kepada Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. 

Malahan, logistik antara Sabah dan Sarawak juga bukanlah perkara mudah melalui darat kerana jarak jauh daripada satu hujung ke hujung lain, ditambahkan dengan laluan antara kedua-dua wilayah tersebut hanya siap dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Seperti disebut awal tadi, cabang logistik dalam ketenteraan adalah tidak se-seksi cabang-cabang lain seperti keupayaan tempur ATM. Tetapi tanpa keupayaan logistik ATM, aset-aset tempur ATM hanyalah aset tanpa gigi.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.