EksklusifKomunitiOperasiSejarah

Ken Rhee: Dari UDT/SEAL ke Ukraine

Kongsi di

‘Punishment cannot stand still in this situation without sympathy helping Ukraine with skill and knowledge who we have’ – Lieutenant (R) Lee Geun ‘Ken’ Rhee

Itulah kata-kata mendalam yang beliau cuba disampaikan kepada orang ramai bahawa undang-undang dan apa jua bentuk lain bukan batu penghalang niat seseorang untuk membantu orang atau negara dalam kesusahan, hanya berbekalkan usaha dan pengorbanan yang harus dipikul, demi sebuah keamanan perlu dibayar.

Ukraine dilanda peperangan selama sembilan tahun namun hanya meletus pada 24 Februari 2022 apabila tentera Rusia menceroboh negara itu.

Beberapa hari kemudian pada 27 Februari tahun sama Presiden Volodymyr Zelenskyy mengumumkan penubuhan International Legion of the Territorial Defense Ukraine (ILTDU) yang mempelawa seluruh dunia datang untuk membantu tentera Ukraine dan pasukan penentang awam dalam usaha mengusir tentera Rusia.

Bagaimanapun ILTDU hanya menerima bekas anggota keselamatan yang mempunyai kemahiran tertentu. Dan salah seorangnya ialah seorang bekas pegawai Tentera Laut Republik Korea Selatan (ROKN, Republic of Korea Navy) berusia 30an, antara insan terpilih yang menganggotai ILTDU bersama ribuan warga asing berkhidmat untuk kerajaan Ukraine.

Itulah Lee Geun ‘Ken’ Rhee atau dikenali sebagai Ken Rhee. Untuk mengetahui lebih lanjut, penulis akan menceritakan tentang serba sedikit latar belakang dari alam tentera hingga penglibatan di Ukraine.

Kehidupan

Ken Rhee telah dilahirkan pada 22 Mac 1984 (kini 39 tahun) di Seoul, Korea Selatan dan dibesarkan di Amerika Syarikat. Boleh dikatakan di sana beliau menghabiskan usianya dari kanak kanak sehingga remaja termasuk bersekolah di negara tersebut.

Ketika berusia 18 tahun Ken Rhee bercita-cita menjadi seorang anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) untuk bergelar anggota US Navy Seals atau menyertai Kor Marin (US Marines), tetapi nasib tidak menyebelahi apabila tidak dapat memasuki tentera laut Amerika Syarikat kerana tiada mempunyai kerakyatan sah dan harus pulang ke Korea Selatan atas saranan bapanya.

Namun Ken Rhee sempat menyambung pengajian di Virginia Military Institute (VMI) di Lexington, Virginia dan berjaya  tamat pengajian di insititut itu.

Kerjaya beliau dalam ROKN bermula apabila menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Naval Education Military Combat School (NEMCS) pada tahun 2007 iaitu selepas graduasi di VMI. Ken Rhee ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan menyertai kapal ROKS Mummu the Great selama setahun.

Pada 2008 Ken Rhee menyertai  Navy Special Warfare Floatila atau dikenali sebagai NSWF (juga digelar UDT/SEAL) dan berjaya menghabiskan kursus asas komando pada tahun yang sama.

Sepanjang lima tahun berkhidmat NSWF beliau banyak menyandang berbagai jawatan dan tugasan yang diberi oleh pihak atasan. Antara jawatan disandang termasuk Komander Kompeni Special Mission Battalion (SMB), Ketua Tim Operasi ‘Cheonghae Unit’: Special Sea Task Group dan Komander Latihan Khas yang kesemuanya adalah tugas-tugas dijalankan di dalam UDT/SEAL.

Atas kecemerlangan yang ditunjukkan dengan penuh dedikasi, Ken Rhee dinaikan pangkat sebagai Leftenan pada tahun 2011.

Bukan itu sahaja Ken Rhee telah berpeluang mengikuti latihan ketenteraan, contohnya dapat mengikuti latihan pertukaran pegawai tentera Korea Selatan-Amerika Syarikat dan beliau terpilih menyertai pasukan idamannya iaitu US Navy Seals pada 2013 kerana kefasihannya dalam Bahasa Inggeris dialek Amerika.

Somalia (2009-10)

Ken Rhee diberi kepercayaan untuk mengetuai tim operasi di perairan Somalia bersama anggota kapal ROKN dan bekerjasama dengan pasukan komando laut dari banyak negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Malaysia.

Untuk makluman Cheonghae Unit adalah sebuah pasukan petugas khas (task force) di bawah pertadbiran ROKN dan Combined Task Force 151 dalam usaha memerangi lanun Somalia dan menjaga keselamatan kapal awam yang kerap melalui perairan itu bagi memasuki Terusan Suez, Laut Merah dan Selat Hormuz.

Jadi tidak banyak info pembabitan dirinya dalam tugasan dalam Cheonghae Unit termasuk sebarang operasi buat tatapan umum kerana terikat rahsia sebagai pegawai ROKN.

Persaraan dan Kerjaya Baru

Setelah 12 tahun berkhidmat sebagai pegawai ROKN dan UDT/SEAL akhirnya pada tahun 2014 Ken Rhee menamatkan perkhidmatan tentera (military discharge) dengan pangkat sama.

Selepas persaraan, kecintaan dunia ketenteraan masih menebal dalam jiwanya maka Ken Rhee beralih dalam bidang keselamatan dengan bekerja di sebuah syarikat keselamatan yang beroperasi di London, United Kingdom dan dalam masa sama Ken Rhee menjadi jurulatih latihan dan penasihat keselamatan untuk institusi kepolisian, tentera dan lain-lain berkaitan di beberapa buah negara termasuk Brazil, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun Ken Rhee berpeluang mengajar kepada pelatih PSG (Presidental Secret Guard) dan Kor Marin Korea Selatan, namun selepas beberapa tahun menjadi konsultan orang lain akhirnya  Ken Rhee menubuhkan sebuah firma konsultan keselamatan teknikal sendiri yang merangkumi kursus asas senjata api, latihan ala tentera dan sebagainya.

Akhirnya pada 27 Julai 2020 tertubuhkan ROKSEAL bersama beberapa rakan kongsi. Selain itu Ken Rhee juga menjadi Youtuber untuk akaun Youtube ROKSEAL.

Nama ROKSEAL diambil dari perkataan Republic of Korea Sea Air Land dan pernah memberi khidmat teknikal untuk beberapa drama / filem aksi terutama bertaraf ‘Blockbuster’ serta membuat tutorial teknik CQB (Close Quarter Battle) dan panduan pengunaan senjata api.

Ukraine: Antara Hidup dan Mati

Di saat hidup mengejar kekayaan sambil berkongsi ilmu dimilikinya kepada orang lain, tetapi keinginan menabur bakti di negara bergolak tetap ada, namun pada 2022 menjadi kenyataan apabila Presiden Zelenskyy menyeru masyarakat antarabangsa datang ke Ukraine bagi membantu tenteranya yang sedang berusaha mengusir tentera Rusia (rujuk pengenalan artikel).

Sebaik sahaja pengumuman itu Ken Rhee bersama seorang rakan bernama Kim Jun Young (Logan) yang juga bekas Sarjan dalam UDT/SEAL mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri sebagai anggota legion Ukraine melalui emel kedutaan Ukraine dan setelah selesai proses dokumentasi akhirnya pada Mac 2022 Ken Rhee bersama dua rakan  telah terbang ke Ukraine melalui Poland.

Apabila tiba di Warsaw dia bersama Logan bergerak ke Medyka iaitu pintu sempadan Poland-Ukraine. Mereka berdua bergegas  menyusup masuk ke Ukraine bersama pejuang asing lain.

Terlebih dahulu tujuh orang rakyat Korea Selatan berada di Poland dan Ukraine lebih awal sebelum kehadiran Ken Rhee dan Logan.

Mengundang Ancaman

Meskipun pemergian mereka berdua ke Ukraine mendapat sokongan daripada sahabat dan keluarga tetapi di mata kerajaan Korea Selatan pula menganggap penglibatan rakyat negara republik itu dalam Perang Ukraine-Rusia boleh mengundang ancaman keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Apatah lagi Korea Selatan mengharamkan sesiapa cuba mengembara ke Ukraine dan menyarankan orang yang berminat untuk membantu dari segi kemanusiaan sahaja.

Bagi Ken Rhee berpendapat apa jua segala hukuman atau halangan dikenakan kepada dirinya, ia tidak mampu mematahkan semangat juang demi sebuah kebebasan walaupun nyawa jadi taruhan dan berdepan risiko.

Menurut Ken Rhee dalam satu temubual oleh Family of Christ berkata ‘I came in March so I violated the law but what’s the bigger picture is to the help defend a sovereign nation against the Russian invaders, that’s big, that’s huge, I think the trumps the law and the law is not that important this time’.

Ken Rhee diserap masuk ke dalam Ukrainian Special Operation Forces (USOF). Meskipun kini berkhidmat untuk ILTDU dan berjuang untuk bumi Ukraine, sepanjang berada di negara itu Ken Rhee dapat berkawan dari pelbagai negara.

Tempoh misi daripada Mac hingga 24 Mei 2022, Ken Rhee kembali ke Seoul untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di lutut setelah terkena tembakan semasa bertempur.

Disoal Siasat

Ken Rhee tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (IIA) pada 27 Mei 2022 dan disambut oleh sahabat handai dan ahli keluarga, malah para pemberita tempatan dan asing turut menunggu untuk temubual Ken Rhee.

Turut hadir ialah tetamu tidak diundang iaitu sekumpulan pegawai polis yang bersedia membawa Ken Rhee untuk tujuan disoal siasat atas pembabitan dalam Perang Ukraine-Rusia. Kemudian Ken Rhee dibawa oleh pegawai tersebut bagi disoal siasat tetapi terlebih dahulu dibawa ke sebuah hospital di tengah bandar Seoul untuk ujian swab COVID-19 sebelum dikuarantin dan disambung soal siasat.

Menurut sumber media tempatan melaporkan Ken Rhee berdepan satu pertuduhan iaitu salah guna passport dan boleh dikenakan penjara setahun serta denda 10 juta Won (RM 35,000) di bawah Akta Passport malah Ken Rhee sampai sekarang masih turun naik mahkamah untuk perbicaraan kes itu.

Meskipun niat dia ialah menentang kezaliman tentera Rusia, bukannya menentang kerajaan Korea Selatan, namun niat tidak menghalalkan cara dan kerajaan Korea Selatan serta rakyat menganggap tindakan Ken Rhee adalah satu perbuatan sia-sia.

Pun begitu Ken Rhee melakukan kehidupan seperti dilalui dahulu dengan menghabiskan konten-konten di ROKSEAL dan perkara lain termasuk melakukan rawatan fisioterapi seperti dirancang.

Berbalik kepada tadi, nama Ken Rhee menjadi sebutan di kalangan anggota Ukraine Legion dan peminatnya yang membuatkan ramai ingin mendapat nasihat daripada beliau tentang bagaimana menyertai ILTDU atau pasukan bersenjata pro-Ukraine serta cara menyalurkan sumbangan kepada rakyat Ukraine dan lain-lain lagi secara bersemuka, Youtube dan DM Instagram miliknya.

Bukan itu sahaja ramai wartawan sama ada media elektronik dan media cetak berebut-rebut ingin menemubual Ken Rhee bagi mendapatkan gambaran dirinya semasa berada di Ukraine selama tiga bulan.

You’re walking down the beach and you see a sign by the water “no swimming”, but you see someone drowning, it’s crime not to help. That’s how I see it’

Penutup

Sesungguhnya kesungguhan ditunjukan oleh Leftenan (B) Lee Geun ‘Ken’ Rhee telah membuktikan kepada semua orang bahawa kepakaran dan ilmu yang dipelajari tidak perlu disimpan kerana ia menurunkan ilmu kepada sesiapa tanpa batas kecuali beberapa perkara penting harus disimpan demi menjaga nama baik sesebuah organisasi ketenteraan atau apa jua sekalipun.

Malah penglibatan tiga bulan bersama pasukan ILTDU di Ukraine pula harus diberi pujian. Meskipun berhadapan pelbagai risiko namun Ken Rhee tenang tangani cabaran bahkan Ken Rhee bukan sekadar menjadi sebahagian barisan hadapan sahaja tetapi dialah guru, sahabat untuk semua orang tanpa mengenal kulit, warna mahupun negara tetapi mereka adalah berpaksi kepada satu iaitu membebaskan bumi Ukraine daripada cengkaman si pencabul (Rusia).

Teringat seakan kisah veteran Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel (B) Abdul Manaf Kasmuri yang pernah bertugas di Bosnia Herzegovina pada 1993 hingga 1994 di bawah panji UNPROFOR (United Nations Protection Forces), kemudian bersara dan kembali semula ke negara itu untuk berjuang dengan tentera kerajaan Bosnia (Armija) untuk menentang kezaliman tentera Serbia dan etnik Bosnian Serb, kemudian aktif kerja kemanusiaan sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia kerana dakwaan terlibat militan jihad pada 2003 sedangkan beliau tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana kumpulan militan radikal.

Matlamatnya sama seperti Ken Rhee iaitu menentang kezaliman dan tidak akan menentang negara sendiri, itu hanya perumpaan sahaja namun tanggapan terhadap penglibatan di dalam sesebuah konflik / peperangan terutamanya undang undang dan kerajaan tetap mengandaikan salah besar kerana ingin calarkan maruah negara, kedaulatan walaupun niat amat benar.

Penulis amat percaya masih ramai lagi orang seperti Ken Rhee melakukan perkara sama meskipun berdepan ancaman undang-undang, itu cuma terpulang kepada kemampuan dan niat murni.

Galeri

Pemandangan Virginia Military Institute, Virginia Amerika Syarikat
Ken Rhee (berdiri no. 2) bersama rakan setugas semasa di dalam ROKN
Bersama operatif Navy SEAL
Ken Rhee (bag hitam tengah) bersama dua rakannya
Ken Rhee bersama anggota ILDU ketika berada atas bumbung bangunan di Bucha, Ukraine
Bersama operatif USOF (Ukrainian Special Operations Force), turut kelihatan raifal tempur CZ Bren buatan Czech Republik
Sedang bercakap dengan media tempatan sekembali dari Ukraine melalui Poland di ICN
Ken Rhee  bersama Logan, rakan Ken Rhee dalam temubual di channel YouTube
Antara ribbon, pangkat dan lambang milik Ken Rhee didalam ROKN dan UDT/SEAL

Kanim Fadzli

Fakarul Naim atau nama penanya KANIM FADZLI sering mengikuti perkembangan konflik antarabangsa dan meminati ketenteraan luar negara selain persenjataan. Beliau adalah orang autisme pertama menyertai Program Khidmat Negara 2.0 pada tahun 2017. Kanim juga merupakan pembaca setia Majalah Perajurit dari 2006 sehingga 2021 malah pernah menyumbang empat artikel antara tahun 2020 hingga 2021.

Kini beliau bekerja sendiri (freelance) demi kelangsungan hidup namun meneruskan impian sebagai wartawan / pemberita. Beliau juga aktif menjadi aktivis Ukraine.

Kanim Fadzli

Fakarul Naim atau nama penanya KANIM FADZLI sering mengikuti perkembangan konflik antarabangsa dan meminati ketenteraan luar negara selain persenjataan. Beliau adalah orang autisme pertama menyertai Program Khidmat Negara 2.0 pada tahun 2017. Kanim juga merupakan pembaca setia Majalah Perajurit dari 2006 sehingga 2021 malah pernah menyumbang empat artikel antara tahun 2020 hingga 2021. Kini beliau bekerja sendiri (freelance) demi kelangsungan hidup namun meneruskan impian sebagai wartawan / pemberita. Beliau juga aktif menjadi aktivis Ukraine.