EksklusifIndustri

Kenderaan Berperisai Menyelamat Nyawa

Kongsi di

Bahagian 1: International Armored Group (IAG)

Dalam gambar ialah kenderaan berperisai Guardian Xtreme dari firma IAG yang telah diserang menggunakan senjata ringan baru-baru ini.

Serangan telah berjaya dipatahkan tanpa sebarang kecederaan kepada pengguna, kehilangan nyawa atau kenderaan.
Kenderaan Guardian Xtreme mempunyai perlindungan balistik tahap CEN B7 atau STANAG III.

Standard NATO AEP-55 STANAG 4569 Level III merangkumi perlindungan dari:
peluru kaliber 7.62×51mm AP (teras tungsten carbide atau WC) pada jarak 30 meter dengan halaju 930 m/s,
ancaman bom tangan dan periuk api:
periuk api anti kereta kebal dengan 8 kg (jisim letupan) ,
kategori 3a – letupan periuk api di bawah tayar / runut kenderaan,
kategori 3b – letupan periuk api di bawah lokasi tengah kenderaan.
ancaman artileri:
155 mm High Explosive pada jarak 60 meter.

Antara pengguna kenderaan berperisai Guardian Xtreme ialah pasukan pengaman Malaysia di Lubnan (MALBATT 850) yang beroperasi di bawah payung UNIFIL Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Semasa konflik, apa-apa perlindungan balistik akan dihargai oleh kru kenderaan kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.

Pengajaran dari konflik masa kini ialah lebih baik menyimpan sebarang kenderaan berperisai lama sebagai simpanan perang (war reserve) untuk digunakan semasa konflik daripada melupuskannya sebagai besi buruk atau disia-siakan.

Namun sebarang pembelian kenderaan berperisai baru perlulah mengikut penilaian ancaman semasa termasuk ancaman improvised explosive device dan periuk api anti kereta kebal.

Foto: IAG

Bahagian 2: INKAS Armored

Dalam gambar ialah kenderaan berperisai dari syarikat INKAS Armored yang digunakan oleh polis Haiti.

Kenderaan ini telah diserang menggunakan senjata ringan (lebih 1,000 tembakan) namun serangan tidak menyebabkan sebarang kerosakan yang serius kepada kenderaan berkenaan.

Polis Diraja Malaysia dilaporkan pernah menguji nilai beberapa kenderaan berperisai untuk menggantikan kenderaan berperisai sedia ada yang sudah sangat sangat uzur dalam pegangan skuadron-skuadron kereta perisai Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia.

Antara kenderaan berperisai yang pernah diuji nilai termasuk kenderaan Sentry dari INKAS Armored dan Rentaka dari Mildef Technologies.

Semoga dipermudahkan urusan Polis Diraja Malaysia dalam menggantikan kenderaan berperisai dalam pegangan skuadron-skuadron kereta perisai seluruh negara kepada kenderaan berperisai yang lebih berupaya dan mempunyai tahap perlindungan yang lebih baik.

Senarai Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia:
Skuadron Perisai 1 Briged Utara di Kulim,
Skuadron Perisai 3 Briged Utara di Ulu Kinta,
Skuadron Perisai 5 Briged Tengah di Cheras
Skuadron Perisai 7 di Muar,
Skuadron Perisai 9 di Kuantan,
Skuadron Perisai 11 di Kuching, dan
Skuadron Perisai 15 di Lahad Datu (?).

Mungkin boleh juga diwujudkan satu jawatankuasa bersama Polis Diraja Malaysia – Angkatan Tentera Malaysia untuk mengkaji sama ada keperluan kenderaan berperisai kedua-dua organisasi boleh dipenuhi model yang sama (tapi variant berbeza untuk memenuhi keperluan operasi berlainan) untuk mewujudkankan skala ekonomi (economies of scale) dalam kos pembelian dan penyelenggaraan.

Foto: INKAS Armored

#MajalahPerajurit

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.