AcaraBeritaEksklusifKomunitiSejarah

Sambutan Hari Pahlawan – Pengiktirafan Jasa Wira-Wira Negara

Kongsi di

Pengorbanan Besar Pahlawan Negara

Tanggal 31 Julai setiap tahun diingati sebagai Hari Pahlawan bagi mengenang pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan tarikh ini dipilih Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sempena tamatnya Darurat.

Semasa pemerintahan British, hari tersebut dikenali sebagai Hari Peringatan atau Poppy Day‘ sempena nama bunga popi yang mengambil semangat daripada pengiktirafan selepas tamatnya Perang Dunia Pertama.

Bagaimanapun bunga popi yang menjadi simbolik masyarakat antarabangsa bagi mengenang pengorbanan anggota tentera ini kemudian digantikan dengan bunga raya yang juga merupakan bunga kebangsaan.

Pahlawan melambangkan kegagahan, keberanian atau ringkasnya pejuang yang gagah dengan semangat keperwiraan. Atas sikap keberanian, para pahlawan ini sanggup menghadapi musuh dengan membelakangkan keselamatan diri walaupun sedar dirinya berhadapan dengan musibah.

Justeru itu, erti Hari Pahlawan ialah hari memperingati perwira yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Pengorbanan para pahlawan ini telah melahirkan keamanan seterusnya menterjemahkan kemajuan dan pembangunan negara yang berjalan lancar tanpa sebarang ancaman daripada anasir luar.

Walaupun zaman berubah, namun pengorbanan para pahlawan sama ada pada era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam catatan sejarah negara.

Justeru, bagi sambutan tersebut kita bukan sahaja menghargai pengorbanan para perwira dan perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masa kini, malah lebih signifikan kita meraikan dan mengenang semangat keberanian pahlawan terdahulu seperti bekas askar British Malaya, Sarawak Ranger, Pasukan Polis Hutan, Pasukan Home Guard dan lain-lain.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

Anjuran Secara Bergilir

Sejak 1968, acara sambutan Hari Pahlawan ini dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM, di mana pada tahun ini ATM menjadi penganjur.

Kemuncak sambutan ini adalah Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Julai lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke istiadat perbarisan sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan perarakan masuk Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) .

Deklamasi sajak semasa persembahan pantomin ini pula telah disertai anak Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang, Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan.

Pertempuran Bakara 19 RAMD Mekanise

Menjadi kelaziman, setiap kali pada istiadat ini akan disajikan dengan persembahan pantomim mengenai pengorbanan pejuang negara, dan bagi sambutan kali ini peristiwa pertempuran yang berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993 dipertontonkan.

Pertempuran tersebut membabitkan 19 RAMD (Mekanise) yang terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mogadishu di bawah Kontinjen MALBATT 1 UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia).

Dalam peristiwa tersebut, ibu pejabat UNOSOM II meminta bantuan pengaman Malaysia selaku pasukan aturgerak cepat (rapid deployment force) dikerah ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit 75th Ranger Regiment dan kru helikopter Black Hawk Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di pasar berkenaan.

Pasukan AS ini terperangkap semasa menjalankan misi untuk menangkap pemimpin pemberontak, Mohamed Farrah Aidid sebelum diserang militia tempatan.

Dalam usaha menyelamatkan pada waktu malam itu, kenderaan armoured personnel carrier (APC) RPZ Condor 4×4 yang dipandu Prebet Mat Aznan Awang terkena tembakan rocket propelled grenade (RPG) menembusi cermin hadapan kenderaan perisai.

Tembakan menyebabkan berlaku letupan serta kebakaran dan mengorbankan wira negara, Mat Aznan.

Gambar kenangan Allahyarham Mat Aznan bersama keluarga sebelum berangkat menyertai misi PBB di Somalia.

Dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa

Atas keberaniannya, Allahyarham telah dinaikkan ke pangkat koperal dan dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Dalam pertempuran itu juga, enam yang lain pula dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Mereka ialah Mejar Abd Aziz Abd Latiff; Kapten Mohd Halim Khalid; Leftenan Muda Khairul Anuar Abd Aziz; Leftenan Muda Muhammad Aripin; Lans Koperal Mohd Sabr Ahmad dan Lans Koperal Rizal Ismail.

Beberapa orang pegawai dan anggota yang lain pula ada menerima keberanian yang dikurniakan oleh negeri kelahiran masing-masing.

Deklamasi sajak semasa persembahan pantomim ini pula telah disertai anak Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang, Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan bersama Koperal Siti Nur Aini Jasmi yang menyentuh jiwa para tetamu.

Semasa peristiwa yang menggemparkan negara itu berlaku, Noor Azlinda berusia tujuh tahun manakala adiknya, Nur Hashimah, lima.

Dalam usia kanak-kanak yang masih kecil, tidak banyak yang diingati beliau. Hanya 20 pucuk surat kiriman Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang kini menjadi kenangan buat keluarganya yang tinggal di Kampung Sungai Limau di Baling, Kedah.

Malah, sekeping foto gambar empat beranak itu yang menunjukkan Noor Azlinda dan adiknya, Nur Hashimah memakai beret dan cap PBB bapanya merupakan rakaman terakhir sebelum perpisahan di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.

Jenazah Koperal Mat Aznan yang juga anak bongsu dari lima beradik itu disemadikan dengan penuh istiadat sebagai seorang wira di Tanah Perkuburan Kampung Parit Panjang, Baling.

Pada tahun berikutnya, Allahyarham dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perbarisan sambutan Hari Pahlawan turut disertai veteran Polis DiRaja Malaysia.

Hari Pahlawan Kenang Pengorbanan Wira

Di beberapa negara luar misalnya di Barat, mereka menyambut Hari Pahlawan masing-masing dengan cuti umum, perarakan kebangsaan dan pelbagai majlis khusus untuk meraikan para veteran.

Semua yang terlibat akan menyumbang kepada tabung rayuan dan memakai lencana termasuk pelajar sekolah atau universiti. Jadi, amatlah wajar sekiranya kita dapat mewujudkan suasana sama di tanah air apabila umum memahami tujuan Hari Pahlawan diraikan.

Ancaman pengganas komunis atau Insurgensi yang bermula pada 1968 dan berakhir pada 1989 dengan peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan tempoh sukar negara, namun era berkenaan tidak dirasai oleh generasi hari ini khususnya yang lahir pada dekad 1990an.

Insiden Lahad Datu, Sabah pada 2013 pula adalah yang terakhir negara diancam anasir luar dan peristiwa ini juga telah berlaku sembilan tahun lalu.

Justeru, kita tidak boleh mengandaikan tiada lagi ancaman yang akan mengganggu gugat negara pada masa hadapan, dan di sinilah perajurit-perajurit iaitu anggota pasukan keselamatan memainkan peranan mereka sebagai benteng kedaulatan tanah air.

Jadi, adalah bertepatan untuk Hari Pahlawan ini dijadikan satu sambutan pada peringkat Kebangsaan agar membolehkan seluruh rakyat Malaysia mengenang dan menghargai  serta memberikan penghormatan kepada semua pahlawan negara.

Sekiranya ia tidak diraikan, kita bimbang, generasi kini akan terhakis rasa penghargaan mereka kepada para pahlawan negara yang banyak berkorban demi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara terpelihara.

Apabila Hari Pahlawan dijadikan sebagai hari istimewa negara, ia memberi peluang kepada orang awam untuk menghargai dan memberi penghormatan pada para veteran.

Mereka juga dapat memahami bahawa kehidupan yang dinikmati tidak mungkin tercapai tanpa pahlawan-pahlawan ini.

Buku 19 RAMD Mekanis di Somalia yang diterbitkan pada 1995 iaitu lebih awal sebelum buku Black Hawk Down.

Kebajikan Veteran ATM Diambil Berat

Menyentuh tentang para veteran, ATM merupakan institusi yang sangat lengkap apabila menjadi satu-satunya entiti yang mempunyai bahagian khusus untuk mengambil berat kebajikan warganya setelah mereka menamatkan perkhidmatan iaitu menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

JHEV membantu dan berusaha memenuhi keperluan para veteran dan tanggungan meliputi setiap aspek seperti kebajikan, bantuan pendidikan pada anak veteran, meneroka peluang pekerjaan termasuklah menceburi bidang keusahawanan.

Sebagai mengenang jasa sebagai pahlawan negara, aspek kebajikan mereka sangat diambil berat termasuklah pada veteran ATM tidak berpencen.

Yayasan Veteran ATM misalnya menyediakan bantuan kewangan kepada waris yang layak bagi mengurangkan beban kewangan menguruskan jenazah veteran yang meninggal dunia.

Dalam pada itu, sewajarnya juga lebih banyak kisah perjuangan anggota pasukan keselamatan pahlawan-pahlawan negara ini ditonjolkan menerusi media perdana dan media sosial termasuklah dalam bentuk dokumentari, filem atau drama yang berkualiti dan menarik.

Banyak kisah-kisah keberanian pahlawan-pahlawan negara ini boleh diketengahkan termasuk wira-wira tidak didendang. Ia juga menepati dengan trend khalayak pada masa ini khususnya generasi muda yang cenderung pada pelbagai platform media sosial.

Pihak swasta misalnya termasuk badan korporat dialu-alukan bekerjasama dengan media popular untuk meneroka kerjasama tersebut.

Sebab itu tanggal 31 Julai begitu besar ertinya dan setiap warganegara wajar mengingati tarikh tersebut sebagai satu cara mengenang budi dan mengingati pengorbanan para pahlawan tanah air.

Jujurnya, jasa para veteran ATM, PDRM dan ribuan anggota pasukan keselamatan yang setiap detik menjaga keamanan negara terlalu besar untuk dibalas. Detik yang sedang kita nikmati ketika ini adalah hasil pengorbanan mereka.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.