BeritaEksesaisEksklusifKomuniti

69 Komando Pamer Aksi Tangkas Tumpaskan Pengganas

Kongsi di

Tebusan Orang Kenamaan

Batu Gajah, sebuah bandar kecil yang letaknya kira-kira 24 kilometer dari bandaraya Ipoh iaitu kawasan yang menyaksikan kemajuan industri bijih timah suatu ketika dahulu.

Berada dalam Daerah Kinta, kehidupan masyarakatnya pula sederhana kerana tidak seperti bandar besar, suasana di Batu Gajah lebih tenteram selain terhindar daripada hiruk pikuk kota.

Bagaimana pun, ketenangan bekas bandar perlombongan bijih timah ini pada 17 Julai lalu berbeza daripada biasa apabila pihak berkuasa telah mengambil langkah berjaga-jaga ekoran satu kejadian jenayah yang telah dilaporkan.

Pada tarikh tersebut, sekitar pukul 8 pagi arahan diterima daripada Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan tugas yang akan dilaksanakan susulan satu insiden di Malaysian Railway Academy (MyRA).

Berdasarkan maklumat risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, sehari sebelumnya iaitu pada 16 Julai, sekumpulan pengganas telah menculik seorang kenamaan dan pemandunya di Stesen Petronas Batu Gajah serta melarikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki.

Pada 17 Julai, lebih kurang pukul 10.50 pagi, kumpulan ini meninggalkan kenderaan pacuan empat roda dirampas di Stesen ETS Batu Gajah menuju ke Depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana ETS mengalami kerosakan teknikal.

Turut dijadikan tebusan beberapa orang awam dengan petugas KTMB yang berada di dalam tren tersebut termasuk tiga anggota polis bantuan.

Kumpulan ini menuntut ketua mereka yang dipenjarakan di Penjara Tapah dibebaskan serta meminta wang tebusan USD$1.5 juta. Berdasarkan tinjauan risikan, kumpulan ini dikenal pasti berada di Depoh MyRA Batu Gajah.

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff memberikan input kepada pasukan bertindak semasa membincangkan pelan serangan untuk menumpaskan musuh pada latihan tersebut.

Skuadron Bravo Bertindak

Rentetan daripada insiden tersebut, Komander 69 Komando telah mengarahkan Skuadron Bravo iaitu salah satu Skuadron di bawah 69 Komando untuk melaksanakan gerakan menyelamat tebusan dan meneutralkan pengganas di kawasan tanggungjawab.

Musuh yang bakal mereka hadapi juga bukan calang-calang kerana mereka adalah askar upahan yang didalangi bekas komando sebuah negara.

Tiga daripada anggotanya juga merupakan bekas tentera serta memiliki kemahiran tinggi termasuk boleh melakukan tindakan sabotaj.

Situasi gempar berlaku di pekan Batu Gajah yang mendapat perhatian ini adalah senario yang disimulasikan pada Latihan Akhir Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Counter Terrorist Team (CTT) Skuadron Bravo Siri 1/2022 pasukan 69 Komando PGK.

Latihan ini turut dijalankan dengan kerjasama IPD Batu Gajah dan MyRA Batu Gajah.

Ketangkasan gerak menyelamat yang dipamerkan oleh 69 Komando itu jelas menonjolkan kebolehan pasukan khusus ini dalam menghadapi ancaman.

69 Komando merupakan sebuah unit yang mempunyai kualiti dan standard tersendiri serta memiliki keupayaan untuk diatur gerak melalui darat, laut dan udara, membolehkan ia berkeupayaan melaksanakan penugasan yang melibatkan isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih versatil.

Unit itu yang dahulunya ditubuhkan untuk memerangi pengganas komunis di hutan belantara semasa insurgensi, mempunyai kemahiran yang sangat tinggi dalam peperangan di hutan, dengan kemahiran menjejak dan mengesan yang terbukti melalui operasi-operasi yang berjaya dilaksanakan.

Dalam LDP itu, Pegawai Medan 69 Komando, Deputi Superintendan Hamzah Abdul Rani telah memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab merancang segala pelan tindakan simulasi di lapangan.

LDP ini melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota 69 Komando serta tujuh buah aset darat dan udara.

Anggota 69 Komando membuat pemeriksaan akhir sebelum menaiki kenderaan Jaws.

Simulasi Perang

Kemunculan beberapa aset darat milik pasukan elit tersebut dan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara seperti dron jenis DJI Matrice 300 RTK dengan disusuli bunyi letupan tembakan untuk menumpaskan pengganas, nyata memberi satu gambaran ancaman sebenar yang dihadapi oleh warga PDRM.

Turut hadir menyaksikan LDP tersebut ialah Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif dan Ketua MyRA, James Warren.

Terdahulu, latihan dimulakan dengan sesi ‘war game’ atau simulasi perang oleh pegawai dan anggota 69 Komando untuk mengatur kedudukan serta merancang pilihan-pilihan untuk melancarkan serangan sebelum satu pilihan terbaik diputuskan.

Pada papan di atas meja dalam dewan operasi, semua anggota Skuadron Bravo teliti mendengar rancangan yang dilontarkan oleh ketua-ketua terlibat sebelum diputuskan oleh komander skuadron sebagai pilihan yang sesuai.

Manakala pada sudut lain berdekatan, Komander 69 Komando mendengar dengan teliti perbincangan tersebut sambil matanya tajam melihat model di atas meja serta sesekali menjeling pada butiran-butiran yang tertulis pada papan kenyataan di atas pentas.

Hasilnya, Skuadron Bravo memutuskan untuk melancarkan serangan ke atas keretapi ETS yang membawa pengganas dengan menghentikan kenderaan tersebut sebelum melakukan serbuan.

Pasukan serangan tangkas turun daripada kenderaan untuk melancarkan serangan setelah koc keretapi dihentikan.

Contact!

Selesai taklimat operasi, kesemua anggota Skuadron Bravo membuat persiapan tempur.

Anggota yang berseragam hijau masing-masing mula mengenakan jaket kalis peluru, memasukkan kelopak peluru ke dalam sarung vest selain mengetatkan tali pada pakaian dan senjata.

Perkakasan dan senjata sebenarnya telah pun disiapkan lebih awal sebagai persediaan sekiranya gerakan perlu dilakukan pada sebarang masa.

Melihat pada keadaan tersebut menggambarkan betapa anggota 69 Komando ini sememangnya berada dalam keadaan telah bersedia untuk digerakkan berdepan musuh.

Setelah semua kelengkapan dan persediaan siap dibuat, ketua serangan memberikan isyarat tangan sebagai tanda anggota untuk sedia bergerak manakala pada masa sama pemandu kenderaan berperisai IAG Jaws mula menghidupkan enjin kereta perisai tersebut.

Sepantas kilat, lapan anggota mula memanjat untuk berdiri sambil bergayut memegang sisi kenderaan Jaws iaitu masing-masing empat pada kiri dan kanan kenderaan tersebut, manakala dua berdiri di belakang kenderaan dengan ketua serangan di tempat duduk penumpang hadapan.

Sebaik isyarat ‘Go’ diberikan komander, kenderaan Jaws terus meluncur lalu meninggalkan kawasan dewan gerakan menuju ke sasaran iaitu keretapi ETS yang ditawan pengganas.

Sementara itu, di landasan beberapa letupan kuat kedengaran sekaligus menghentikan keretapi ETS yang sedang bergerak. Musuh yang dalam keadaan terpinga-pinga cuba berbuat sesuatu dan sesekali dilihat menjengah keluar tingkap dengan pelbagai persoalan.

Pada jarak 100 meter dari landasan, kenderaan Jaws yang membawa anggota serangan berhenti sebelum kesemua 11 anggota turun dan dalam keadaan taktikal satu barisan berlari pantas menuju ke arah keretapi tersebut.

Tembak menembak kedengaran.

Tanpa menghiraukan risiko, kumpulan serangan yang didahului anggota pembawa tangga bergerak pantas tetapi berhati-hati pada pintu keretapi untuk meletakkan tangga, seterusnya bagi membolehkan anggota serangan menyerbu ke dalam koc.

Salah seorang pengganas yang ditumpaskan dibawa keluar seterusnya diserahkan kepada anggota yang menunggu di kenderaan.

Memahirkan Operator Berdepan Ancaman

Latihan yang dijalankan ini adalah untuk memahirkan skuadron dalam bagaimana membuat keputusan ketika berlakunya operasi.

Sebagai ‘command and control’ dalam sesuatu gerakan, ia mempunyai prosedur dan dengan latihan ini, ia dapat menyegarkan ingatan ketua-ketua skuadron tentang prosedur membuat keputusan dalam gerakan.

Justeru, ketua-ketua skuadron perlu membuat analisis misi serta merancang beberapa tindakan yang akan diambil berdasarkan kekuatan pasukan dan juga kekuatan musuh, termasuk aspek-aspek lain sebelum beberapa pelan tindakan diputuskan.

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, berdasarkan keputusan ini seterusnya pelan tindakan tersebut akan dibuat perbandingan dan dibincangkan untuk dibuat pilihan oleh komander medan termasuk menambah baik perancangan tersebut.

Katanya, ‘course of action’ yang terbaik itu kemudian akan disampaikan kepada operator atau pasukan bertindak bagi melaksanakan pilihan pelan tindakan tersebut.

“Misalnya menilai kemampuan kita serta kemampuan musuh, kita analisa serta membuat perbandingan bagi mendapat apa tindakan yang terbaik seterusnya merancang serangan secara teratur.

“Kita kena sentiasa bersedia dalam apa jua pilihan dan sebab itu kita mengadakan latihan di sini agar terdedah pada pelbagai kemahiran,” ujarnya.

Anggota 69 Komando menyerahkan salah seorang pengganas untuk dibawa kenderaan MPV polis beredar dari kawasan operasi.

69 Komando Wajib Mahir Dalam Apa Juga Situasi dan Kawasan

SAC Datuk Abdul Razak juga memberitahu, sebagai pasukan khusus adalah wajib bagi 69 Komando untuk memahirkan anggotanya beroperasi dalam apa juga situasi dan kawasan termasuk tempat tumpuan awam.

Ini kerana katanya, seringkali ancaman akan berpusat di tempat-tempat orang ramai kerana pihak musuh atau pengganas memilih tindakan untuk mendapatkan perhatian umum.

“Dalam latihan ini misalnya, kita memilih lokasi Depoh KTMB kerana sistem pengangkutan awam juga adalah antara sasaran merbahaya yang boleh dipilih musuh kerana melibatkan orang ramai.

“Jadi, kita kena membiasakan diri dan bersedia.

“Sebenarnya ancaman akan akan sentiasa berubah, begitu juga keadaan serta cara kita melihat keadaan.

“Dalam menetapkan sama ada operasi itu berjaya atau tidak adalah meletakkan perancangan yang seberapa praktikal yang boleh dalam setiap perancangan yang dibuat.

“Bermaksud, secara asasnya operasi yang paling praktikal ialah berdasarkan operasi yang paling ringkas dan mudah tetapi optimum, praktikal dan mempunyai titik temu yang baik,” ujarnya.

Tiga anggota polis bantuan KTMB yang berjaya diselamatkan setelah musuh dapat ditumpaskan.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.