EksklusifIndustriKomuniti

War Thunder – Lubuk OSINT?

Kongsi di

Permainan komputer merupakan aktiviti riadah masa lapang yang cukup diminati generasi hari ini. Daripada permainan komputer semudah dua baris putih memukul sebiji bebola putih, permainan komputer telah berkembang kepada permainan bersifat simulasi yang adakalanya sukar dibezakan daripada realiti. 

Malahan, rakaman permainan video hari ini amat realistik sehinggakan rakaman daripada permainan simulasi penerbangan DCS: World dan permainan penembak ketenteraan Arma 3 telah disebarkan sebagai rakaman pertempuran konflik Ukraine – Rusia.

Sifat realistik dalam permainan komputer ini menjadikan dunia permainan ini sebagai dunia fantasi di mana para pemain permainan ini sebagai satu jenis aktiviti yang dilihatkan sebagai cara melepaskan diri daripada dunia hari ini yang penuh dengan cabaran pancaroba.

Namun, dalam keinginan mengejar sifat realistik dalam permainan komputer ini, wujudnya ego dalam diri pemain yang menyaksikan satu lagi jenis permainan komputer yang bersifat ketenteraan hari ini menjadi medan kutipan maklumat ketenteraan.  

Permainan komputer yang dimaksudkan adalah permainan simulasi perang War Thunder keluaran syarikat Gaijin Entertainment yang berpusat di Hungary, dengan versi telefon pintar turut dikeluarkan oleh Tencent Games.

War Thunder

Dalam  permainan ini, para pemain bermain sebagai komander kenderaan perang, sama ada sebagai komander kereta kebal, helikopter tempur, mahupun kapal perang dan bertempur dalam simulasi medan perang.

Mungkin ada yang fikir bahawa agak lawak bagaimana sebuah permainan komputer boleh menjadi medan mengutip maklumat ketenteraan, apatah lagi para pemainnya hampir pasti bukanlah individu yang berpotensi menjadi panglima perang terhebat. Namun realitinya agak pelik.

Sehingga ke hari ini, sudah berlaku tiga kebocoran maklumat keupayaan aset ketenteraan telah dibocorkan melalui platform permainan komputer ini. 

Lebih tepat, kebocoran maklumat sulit ini telah berlaku di platform forum yang membincangkan keupayaan aset-aset dalam permainan komputer tersebut.  

Ketiga-tiga insiden ini telah melibatkan kebocoran maklumat keupayaan kereta kebal utama tiga buah negara; kereta kebal Challenger 2 keluaran United Kingdom pada bulan Julai 2021, kereta kebal Leclerc keluaran Perancis pada Oktober 2021 dan terbaru, kereta kebal Type 96 China pada bulan Jun 2022.

Pendedahan dalam kes-kes ini melibatkan imej dokumen bertahap sulit yang dikeluarkan oleh negara-negara tersebut.

Kita tidak tahu apa yang mendorong sikap ini, sama ada keinginan untuk melihat dan menerima satu permainan komputer yang paling realistik, atau ego tak bertempat individu-individu yang telah mendedahkan maklumat ini, atau keinginan membuktikan bahawa mereka mengetahui apa yang mereka bincangkan.

Adakah Berlaku Kebocoran Lain?

Tapi yang pasti, pengeluar permainan komputer berkenaan, Gajjin Entertainment telahpun beberapa kali mengumumkan bahawa mereka berkeras hanya akan menggunakan maklumat bertaraf maklumat terbuka sahaja, iaitu maklumat yang didedahkan secara rasmi.

Malah, mereka turut bertindak memadamkan hantaran-hantaran serta profil individu-individu yang telah membocorkan maklumat-maklumat berkenaan.  Status ketiga-tiga individu (atau lebih) ini masih menjadi spekulasi hari ini.

Yang menarik, permainan komputer  War Thunder ini telah wujud semenjak tahun 2012 lagi. Ini membawa persoalan sama ada apakah terdapat maklumat yang pernah dibocorkan sebelum ini, atau insiden-insiden ini hanya berlaku semenjak tahun 2021? 

Dan apakah kehadiran para pemain baru, khususnya selepas pandemik COVID-19 menyebabkan kehadiran golongan yang terlalu bergantung kepada ‘kehebatan’ mereka di dunia siber menjadi pemangkin kepada kebocoran rahsia sulit tersebut?

Atau kita sebenarnya sedang melihat operasi Mincemeat era moden dimainkan? 

Dengan kita para pemerhati yang bersifat naif membuat spekulasi bahawa permainan komputer ini telah menjadi medan kebocoran maklumat, tanpa menyedari bahawa kita hanya disajikan dengan maklumat teknikal palsu yang hanya digunakan untuk menanam pandangan palsu di kalangan masyarakat? 

Seperti mana kata-kata Sun Tzu, apabila kita kuat, kita menunjukkan bahawa kita lemah, dan apabila kita lemah, kita menunjukkan bahawa kita adalah kuat.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.