EksklusifKomunitiSejarah

Afghanistan Selepas Pengunduran Tentera Amerika Syarikat : Sinar Di Hujung Terowong?

Kongsi di

Tahun 2001, dentuman meriam dan peluru berpandu dari pesawat tempur serta kapal perang menandakan bermulanya penaklukan tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap Afghanistan, sebuah negara yang terletak di utara Pakistan dan di timur Iran.

Serangan 11 September 2001 di New York dan Washington DC yang mensasarkan bangunan World Trade Center serta bangunan Pentagon telah mencetuskan api kemarahan rakyat AS dan masyarakat global.

Maka, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush telah memberi amaran akan mencari mereka yang bertanggungjawab. Serangan 11 September mengorbankan hampir 3,000 orang dan mencederakan puluhan ribu yang lain.

George W. Bush ketika itu memberi kata dua kepada Taliban di Afghanistan iaitu: 

  • Menyerahkan kepimpinan atasan Taliban kepada AS
  • Membebaskan wartawan asing yang berada dalam tahanan
  • Menutup kem-kem latihan pengganas
  • Menyerahkan pengganas dan penyokong mereka kepada pihak berkuasa
  • Memberi kebenaran kepada AS untuk membuat pemeriksaan terhadap kem Taliban. 

Serangan Bermula

Walaupun serangan rasmi bermula pada 7 Oktober 2001, namun dua minggu selepas serangan 9/11, anggota pasukan khas AS daripada Central Intelligence Agency (CIA) telah diatur gerak di utara Afghanistan dan bergabung bersama Northern Alliance, kumpulan penentang Taliban.

Bersama-sama dengan pasukan konvensional tentera bersekutu, serangan dilancarkan di bandar-bandar utama bagi melemahkan kekuatan tempur Taliban. Kabul, Kandahar, Jalalabad, Konduz dan Mazar-I-Sharif diserang bertubi-tubi oleh pesawat tempur dan pesawat pengebom tentera bersekutu yang diketuai oleh AS.

Serangan dilakukan dengan menggunakan bom berpandukan laser serta Global Position System (GPS)  khususnya bagi membedil kem Taliban di dalam gua yang berserakan di Afghanistan.

Sebulan kemudian, Taliban telah berundur dari Kabul dan ramai daripada mereka melarikan diri ke kawasan pedalaman dan ke Pakistan. Pada Disember 2001, Kandahar iaitu kubu terakhir Taliban telah jatuh ke tangan tentera bersekutu.

Ternyata kekuatan dan kuasa tembakan tentera bersekutu khususnya AS menjadikan penaklukan ke atas Afghanistan satu perkara yang mudah. Secara keseluruhannya, serangan udara terhadap Afghanistan telah memusnahkan 11 kem latihan dan 39 markas utama Taliban. 

Afghanistan dan Taliban 

Afghanistan ialah sebuah negara yang terletak di Asia Tengah dan dikelilingi oleh Pakistan, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, dan China. Ada 34 buah negeri di Afghanistan dengan keluasan 647,500 kilometer persegi (kecil sedikit daripada negeri Texas di AS).

Terdapat pelbagai etnik di dalam negara tersebut yang terdiri daripada Pashtun, Tajik, Hazara dan Uzbek. Sumber ekonomi Afganistan terdiri daripada sektor pertanian seperti buah-buahan dan perlombongan iaitu gas serta petroleum. 

Taliban ialah pergerakan politik yang mula diasaskan pada 1994 dan berjaya menjadi sebuah kerajaan pada tahun 1996. Kebanyakan anggota Taliban pada awal penubuhannya terdiri daripada pelajar sekolah madrasah.

Ditubuhkan ketika perang saudara Afghan sekitar 90-an, kini Taliban berjaya membentuk kerajaan kali kedua dengan jumlah anggota mereka seramai 75,000 orang. 

Pejuang Taliban duduk di atas kenderaan di jalan di wilayah Laghman pada 15 Ogos 2021. (Foto oleh – / AFP) (Foto oleh -/AFP melalui Getty Images)

Taliban Bangkit dan Mengikis Kekuatan Tentera Bersekutu

Pada tahun 2005, Taliban mula bangkit kembali menentang penaklukan AS dan kerajaan boneka Afghanistan.

Berbanding dengan penentangan melalui serangan senjata raifal dan pelancar roket, Taliban mula mengubah modus operandi dengan menggunakan alat letupan ubahsuai (IED) bagi menewaskan tentera AS dan sekutunya.

Antara tahun 2005 hingga 2010, sebanyak 16,000 IED di tanam oleh Taliban dalam konflik di Afghanistan. IED digunakan secara meluas kerana bahan untuk membuatnya mudah didapati.

Bahan yang digunakan terdiri daripada bahan letupan komersial, buatan sendiri sehinggalah kepada amunisi artileri. Walaupun bahannya asas tetapi kesan letupan IED  amat menggerunkan.

Tidak hairanlah, kepimpinan AS membelanjakan wang yang begitu banyak untuk menghadapi ancaman IED dengan menggunakan kenderaan Mine Resistant Ambush Protected (MRAP).

Dengan kesungguhan penentangan Taliban, satu demi satu bandar di Afghanistan jatuh ke tangan Taliban. Pada tahun 2018, Taliban berjaya menguasai ibu negeri Farah dan Ghazni selama seminggu sebelum tentera kerajaan Afghanistan dan AS berjaya merampasnya kembali. 

AS Akur dan Kalah Dengan Kesungguhan Penentangan Taliban

Pada April 2021, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan bahawa AS akan melakukan pengunduran tentera dari negara tersebut menjelang bulan September 2021. Pada hujung bulan Julai 2021, sebanyak 95% tentera AS dikeluarkan daripada bumi Afghanistan.

Operasi ALLIES REFUGE dilaksanakan secara dua fasa dari bulan Julai hingga Ogos 2021. Hal ini bagi mengeluarkan rakyat Afghanistan dari negara tersebut. Kebanyakan pelarian rakyat Afghanistan  sebelum ini bekerja dengan kerajaan AS sebagai penterjemah.

Operasi ini memindahkan seramai 123,000 rakyat Afghanistan dan merupakan operasi pemindahan terbesar sejak Perang Vietnam pada 1975. 

Pada awal Ogos 2021, Taliban mula menyerang kawasan bandar seperti Herat dan Kandahar. Nimruz, Jalalabad, dan Mazar-i-Sharif mula jatuh ke tangan Taliban. Hanya Kabul yang masih belum ditawan.

Pada pertengaham bulan Ogos 2021, Taliban berjaya menawan ibu negara dan memasuki istana presiden. Seterusnya Taliban mula mengukuhkan kawalan keselamatan di sekitar ibu negara. 

Peperangan selama 20 tahun di Afghanistan menyebabkan kerajaan AS berbelanja sebanyak 145 bilion Dollar AS. Satu angka yang tidak berbaloi kerana usaha yang sia-sia.

Manakala, Jabatan Pertahanan AS pula membelanjakan sebanyak 837 bilion Dollar AS bagi membiayai operasi peperangan di Afghanistan dari 2001 hingga 2021.

Jumlah korban dalam konflik Afghanistan iaitu tentera AS seramai 2,443, tentera sekutu terdiri daripada negara NATO pula seramai 1,144 orang. Tentera Afghanistan yang terkorban seramai 66,000 orang.

Orang awam Afghanistan yang terkorban iaitu 48,000 orang dan yang tercedera seramai 75,000 orang. Di pihak Taliban, seramai 52,000 anggota mereka telah terkorban dalam perjuangan menentang penjajahan AS.

Faktor Kekalahan AS Di Afghanistan

Terdapat beberapa faktor mengapa AS gagal dalam perang selama 20 tahun di Afghanistan. Pertama, AS gagal mengekalkan hubungan dengan Afghanistan selepas penjajahan Soviet Union (sekarang  Russia).

Sekitar 80an, AS telah membekalkan senjata kepada mujahidin Afghanistan bagi menentang pendudukan Soviet. Bantuan ketenteraan disalurkan melalui Inter Services Intelligence (ISI) iaitu agensi perisikan Pakistan.

Selepas pengunduran Soviet Union dari Afghanistan, AS telah memutuskan hubungan dengan Afghanistan dan juga Pakistan, perkara yang membawa kepada sukarnya untuk memahami budaya rakyatnya pada pendudukan AS dari 2001 hingga 2021. 

Kedua, pengunduran Soviet Union di Afghanistan membawa kepada pertelingkahan dalaman antara kumpulan mujahidin. Apatah lagi dengan kepelbagaian etnik menyukarkan lagi keadaan. Hal ini demikian kerana berlaku ketidaksefahaman antara pihak yang terlibat.

Ketiga, AS gagal untuk membangunkan Afghanistan dengan berkesan. Masalah pertanian, penanaman opium dan kemiskinan menjadi halangan untuk kemajuan berjalan dengan lancar.

Keempat, tentera AS dan sekutunya tidak dihantar secara menyeluruh untuk mengawal Afghanistan. Jumlah tentera tidak mencukupi di pos kawalan di pedalaman. Hal ini menyebabkan Taliban bebas bergerak ke sana sini.

Tambahan pula, tentera AS dan sekutunya banyak menghabiskan masa mengawal keselamatan dari dalam kubu mereka yang tersusun rapi. Hal ini menyebabkan jangkauan rondaan mereka tidak begitu jauh sekaligus memberi ruang kepada Taliban untuk melancarkan serangan. 

Kelima, penyusupan Taliban di Pakistan. Sejak penaklukan Soviet Union di negara tersebut pada 80an, Pakistan menjadi tempat untuk berlindung, mendapatkan bekalan, dan merawat anggota yang tercedera.

Ternyata, hal ini amat menyusahkan AS. Untuk melakukan operasi ketenteraan merentasi sempadan Pakistan amatlah mustahil.

Walaupun Pakistan ialah sekutu AS namun operasi menghapuskan Taliban di Pakistan oleh AS bermakna tindakan tersebut bakal mengundang tindak balas ketenteraan, seperti operasi menghapuskan Osama Bin Laden di Abbottabad pada tahun 2011. 

Afghanistan Selepas Pengunduran Tentera AS 

Pengunduran tentera AS yang dilakukan secara tergesa-gesa menyaksikan pelbagai kelengkapan yang ditinggalkan di Pangkalan Udara Bagram.

Sebanyak 3.5 juta barangan yang ditinggalkan oleh AS dan NATO seperti makanan sedia untuk dimakan (MRE), botol minuman, minuman tenaga, barangan peribadi, ribuan kenderaan, kenderaan perisai, MRAP, pesawat ringan dan helikopter.

Terdapat video yang tular di media sosial menyaksikan anggota Taliban membawa helikopter Sikorsky Black Hawk namun tidak berjaya menerbangkannya.

Penganalisis keselamatan dari luar negara menyatakan bahawa Taliban berkemungkinan menghadapi masalah untuk menyelenggara pesawat disebabkan kekurangan alat ganti dan tenaga manusia yang profesional.

Dianggarkan nilai senjata AS yang berada di tangan Taliban sebanyak 7 bilion Dollar AS. Anggota Taliban yang memperoleh bekalan peralatan dan senjata AS mula mengenakan pakaian seragam ala komando AS dengan uniform celoreng, ves taktikal, kasut taktikal, helmet dan raifal Colt M4.

Mereka dilihat berlegar-legar di dalam Pangkalan Udara Bagram sambil memeriksa setiap ceruk kawasan tersebut. 

Pada bulan November 2021, Taliban mengadakan perarakan kemenangan di Kabul dengan berpuluh-puluh kenderaan perisai M117 di jalan raya serta helikopter Mi-17 dan Black Hawk berada di udara.

Kebanyakan anggota Taliban memakai uniform tentera dan menggunakan raifal M4, peralihan daripada pejuang di tengah gurun kepada angkatan tentera yang profesional dan konvensional. 

Pada bulan Januari 2022, Mullah Hasan Akhund menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Islam supaya mengiktiraf kerajaan Taliban. Negara barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah membekukan aset kerajaan Afghanistan yang bernilai berbilion Dollar.

Hal ini menyebabkan kerajaan Afghanistan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Baradar pula menekankan kepentingan sektor swasta bagi membangunkan Afghanistan.

Ujar beliau lagi, masalah ekonomi di Afghanistan dapat diselesaikan dengan pembabitan sektor swasta. 

Sinar Di Hujung Terowong? 

Konflik peperangan yang berlarutan di Afghanistan setelah sekian lama akhirnya mula menampakkan hasilnya.

Walaupun terdapat beberapa siri serangan bom di Afghanistan, penduduk dan orang awam Afghanistan sudah boleh menarik nafas lega bahawa igauan ngeri  penaklukan tentera AS selama ini sudah berakhir.

Kini, terpulang kepada Taliban dan rakyat Afghanistan bagaimana cara untuk membangunkan negara mereka. Walaupun beribu-ribu rakyat Afghanistan yang terkorban akibat penaklukan AS, namun semangat dan kegigihan mereka melawan penceroboh dari luar perlu dikagumi.

Secara peribadi, penulis berasa kesal dengan sikap angkuh AS dan sesetengah rakyatnya yang bersikap patriotik membabi buta dengan menghalakan muncung senjata kepada orang awam Afghanistan.

Sikap tersebut perlu dikeji kerana mereka bangga dengan tindakan menceroboh dan membunuh rakyat negara lain sesuka hati.

Apabila berlaku kesilapan semasa operasi tentera yakni berlakunya kematian orang awam yang tidak bersalah maka perasaan benci dan dendam terhadap tentera asing mula membuak di dalam hati oleh rakyat Afghanistan.

Keamanan yang mula menampakkan sinar diharapkan mampu membawa rantau tersebut ke era kemakmuran serta kesejahteraan. Biarlah dentuman raifal, darah, dan air mata tangisan menjadi sejarah buat penduduk Afghanistan. 

Foto utama: LEMBAH KORENGAL, AFGHANISTAN – 27 OKTOBER 2008: Askar AS menaiki helikopter pengangkut Boeing Chinook selepas ia membawa askar baru dan bekalan ke Pos Luar Korengal pada 27 Oktober 2008 di Lembah Korengal, Afghanistan. Lembah Korengal merupakan tapak beberapa pertempuran paling sengit dalam perang Afghanistan. (Foto oleh John Moore/Getty Images)

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.