EksklusifIndustriKomuniti

Leonardo Helicopters Di Malaysia : Pilihan Utama Aset Helikopter Negara?

Kongsi di

Pada Februari 2022, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima tiga buah helikopter Leonardo Helicopters AW139 secara sewaan. Perolehan helikopter tersebut bagi meningkatkan keupayaan TUDM berikutan helikopter Nuri yang telah dihentikan penggunaannya pada 2020.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Hishamuddin Tun Hussein, TUDM sudah menerima tiga buah helikopter tersebut dan baki sebuah lagi akan diterima pada bulan Mei.

Helikopter tersebut akan dioperasikan oleh TUDM manakala syarikat yang terbabit iaitu Weststar Aviation Services Sdn Bhd memiliki serta akan menyelenggara helikopter tersebut. Sewaan helikopter ialah satu langkah alternatif sementara menunggu perolehan helikopter utiliti yang terbaharu.

Agustawestland – Syarikat Helikopter Terkemuka Dari Itali

Giovanni Agusta ialah pengasas syarikat Agustawestland (sekarang dikenali sebagai firma Leonardo Helicopters) yang ditubuhkan pada 1907. Nama Agustawestland diambil daripada penggabungan syarikat antara Agusta (Itali) dan Westland (United Kingdom) pada 1965.

Pada tahun 2016, nama syarikat telah ditukar kepada Leonardo, sempena nama artis terkemuka Itali pada abad ke-15 dan 16 iaitu Leonardo Da Vinci. Leonardo Da Vinci juga pada zaman tersebut yang mula-mula memperkenalkan konsep helikopter.

Menurut Ketua Eksekutif Syarikat (CEO) Finmeccanica, Mauro Moretti, penukaran nama syarikat helikopter Itali tersebut bagi menggambarkan sejarah Itali yang berkecimpung dalam bidang aeroangkasa dan keselamatan sejak sekian lama.

Leonardo Helicopters ialah anak syarikat kepada firma Finmeccanica. Walaupun nama syarikat telah ditukar, namun designasi AW kepada produk pesawat helikopter masih dikekalkan.

Agustawestland di Malaysia – Prospek Pertumbuhan Yang Positif

Prospek pertumbuhan perniagaan Agustawestland di Malaysia berada pada laluan yang betul. Perkara ini diakui oleh naib presiden Leonardo Helicopters Asia Pasifik, Vincenzo Alaimo.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan syarikat swasta seperti Weststar Aviation Services Sdn Bhd merupakan pengguna produk Leonardo Helicopters.

Menurut beliau lagi, perkhidmatan syarikat Leonardo di Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada penjualan produk malah perkhidmatan pelanggan selepas jualan seperti pembaikan dan penyelenggaraan.

Pelbagai model pesawat dari Leonardo Helicopters yang digunakan di Malaysia seperti A109, A119, AW139 dan AW189. Malaysia merupakan hub serantau Asia Tenggara bagi firma Leonardo iaitu penyelenggaraan dan logistik.

Pelanggan Leonardo Malaysia terdiri daripada pengguna pihak tentera, penguatkuasa undang-undang serta syarikat swasta. Leonardo juga telah melabur sebanyak RM50 juta di Malaysia.

Pengguna Leonardo Helicopters di Malaysia

A109LOH milik PUTD

Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)

Pada tahun 2003, kerajaan Malaysia telah memesan 11 buah helikopter A109 LOH (Light Observation Helicopter). Peranan helikopter ini dalam PUTD bagi tujuan peninjauan, pemerhatian, dan pengangkutan taktikal. Penghantaran helikopter ini diterima pada tahun 2006.

Penerimaan helikopter A109 bagi menggantikan helikopter SA 316 Alouette III yang dipindahkan dari TUDM sejak 1997. Sebelum itu, helikopter Alouette III digunakan oleh TUDM bagi memerangi pengganas komunis sekitar 80an.

A109 LOH boleh dilengkapkan dengan senjata seperti pod roket dan meriam Gatling. Pada Latihan Kuasa Tembakan 2018, helikopter AW109 menunjukkan keupayaannya dengan membedil sasaran di lapang sasar menggunakan meriam Gatling M134D.

Meriam ini mampu menembak sejauh 1,800 meter dengan kadar tembakan 4,000 butir peluru seminit.

AW139HOM milik TLDM

Cabang Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Pada tahun 2016, TLDM telah ditawarkan helikopter jenis AW159. AW159 merupakan helikopter untuk kegunaan maritim yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan untuk menjalankan tugasnya di perairan.

Peranan yang boleh dilakukannya seperti melakukan aktiviti perisikan, peninjauan, pengenalpastian sasaran, pemintasan,  peperangan anti permukaaan, peperangan anti kapal selam serta mencari dan menyelamat.

Manakala di daratan, AW159 boleh digunakan untuk tujuan serangan darat, sokongan udara, pemindahan perubatan, dan pengangkutan.

Walau bagaimanapun, kontrak telah ditandatangani pada 20 September 2020 bagi perolehan tiga buah AW139 untuk TLDM. Helikopter ini hanya akan digunakan untuk tujuan utiliti sahaja.

Perolehan helikopter ini yang pertama akan dihantar pada Oktober 2022, Mei 2023 untuk helikopter kedua dan Februari 2024 untuk helikopter ketiga.

AW139 aset sewaan terbaru TUDM

TUDM

TUDM menerima 4 buah helikopter AW139 secara sewaan. Hal ini merupakan langkah sementara untuk menunggu perolehan helikopter baharu memandangkan helikopter Nuri sudah ditamatkan perkhidmatannya manakala jumlah helikopter EC725 tidak akan ditambah lagi dalam inventori TUDM.

Penggunaan AW139 secara sewaan juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada helikopter EC725. Perkara ini amat kritikal terutamanya semasa hujung tahun apabila helikopter TUDM dikerahkan untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir.

AW139 milik PGU PDRM

Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM

Kerajaan telah meluluskan pembelian enam buah helikopter AW139 untuk PDRM di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-9 dan Ke-10. Oleh itu, PDRM  telah menerima kumpulan pertama dua buah helikopter AW139 pada tahun 2016.

Helikopter ini berfungsi untuk pemantauan trafik, ketenteraman awam, pengangkutan taktikal, operasi menyelamat dan lain-lain operasi penguatkuasaan. AW139 PDRM mampu memuatkan 15 penumpang pada satu-satu masa.

Dengan kemasukan helikopter AW139 dalam inventori PGU PDRM, tugas penguatkuasaan dan keselamatan dapat dimantapkan lagi seperti rondaan di Sabah serta tugas menyelamat mangsa banjir khususnya.

AW139 milik APMM

APMM

Helikopter AW139 mula digunakan oleh APMM pada 2010. Pada 2008, kontrak telah ditandatangani antara APMM dengan Leonardo Helicopters untuk tiga buah helikopter.

AW139 milik APMM dilengkapi dengan pelbagai peralatan untuk misi menyelamat, penguatkuasaan undang-undang, memadam kebakaran, pengangkutan dan sebagainya. Antara peralatan yang dipasang seperti kamera inframerah, alat pandang malam, dan sistem kawalan penerbangan automatik.

Pesawat ini juga berkeupayaan untuk terbang selaju 306km/j, jarak jangkauan sejauh 1,061km, dan mampu berada di udara selama lima jam.

AW189 milik JBPM

JBPM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai tiga jenis helikopter Agustawestland iaitu AW109, AW139, dan AW189. 

Helikopter AW109 diterima pada 2003 sebanyak dua buah, Helikopter ini dilengkapi dengan takal penyelamat, cangkuk kargo, pembesar suara, radio, antenna, kamera inframerah, kit ikhtiar hidup dan peralatan fast roping.

AW139 pula diperoleh pada tahun 2010 sebanyak dua buah unit manakala helikopter AW189 pada tahun 2018. Pesanan helikopter AW189 telah dibuat pada tahun 2016 di Singapore Airshow.

Dengan kemasukan helikopter AW189 dalam inventori JBPM, jumlah kesemua pesawat helikopter sebanyak sembilan buah termasuk empat buah MI-17Vs. Sebuah A109 JBPM terhempas dalam kemalangan di Lanchang Pahang pada tahun 2010.

Jumlah aset ini dapat membantu Jabatan Bomba dalam melaksanakan tugas-tugas penyelamatan di kawasan bandar dan di hutan khususnya.

Peranan Helikopter di Malaysia

Malaysia, sebuah negara yang terletak di geografi strategik iaitu Selat Melaka yang memisahkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik memerlukan aset yang mencukupi bagi melaksanakan rondaan di kawasan perairan.

Umum mengetahui bahawa sejak sekian lama, Selat Melaka dan Laut China Selatan terdedah kepada pelbagai ancaman semasa seperti pelanunan, penyeludupan manusia dan barang terlarang, pencerobohan nelayan asing serta kapal asing sama ada milik awam atau tentera negara tertentu.

Aset helikopter memainkan peranan yang penting dalam hal ini iaitu penggunaan kamera inframerah dan eyeball bagi memantau serta helikopter boleh melakukan tugas penguatkuasaan di kawasan kejadian jika perlu.

Insiden ORKIM HARMONY pada tahun 2015 boleh dijadikan satu pengajaran bahawa ancaman keselamatan boleh berlaku tanpa diduga.

Di Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu, nelayan Vietnam kerap menceroboh perairan negara bagi tujuan aktiviti menangkap ikan. Hal ini sekaligus merugikan negara daripada sudut keselamatan makanan dan sumber pencarian rezeki nelayan tempatan.

Di utara iaitu sekitar perairan pulau Langkawi, pelarian Rohingya menceroboh perairan negara untuk mendapatkan tempat perlindungan. Manakala di selatan iaitu Johor, pendatang asing tanpa izin menyusup masuk ke perairan negara bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di negara ini.

Di perairan Sarawak dan Sabah, pencerobohan sering berlaku membabitkan kapal pengawal pantai dari negara China serta pengganas / penjenayah rentas sempadan. Kesemua ancaman ini dapat diminimakan dengan penguatkuasaan helikopter sebilang masa.

Helikopter Penyelamat

Bagi tugas penyelamatan pula, aset helikopter digunakan bagi memindahkan pesakit ke hospital terdekat contohnya dari pulau ke tanah besar Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Hal ini demikian kerana akses kepada pengankutan udara lebih cepat dan efektif berbanding jalan laut.

Di kawasan hutan belantara pula, helikopter digunakan bagi mengesan orang yang hilang, pesawat yang terhempas, pemindahan perubatan serta memadam kebakaran di hutan.

Situasi keselamatan yang dinyatakan dapat diatasi dengan penggunaan helikopter dan Leonardo Helicopters ialah calon yang sesuai untuk kesemua peranan tersebut.

Pada 18 Ogos 2022, tular video di media sosial mengenai sebuah helikopter AW139 yang melakukan tugas penyelamatan di laut. Sebelum itu, helikopter milik APMM tersebut sedang menjalani latihan di perairan Kapar, Klang pada pukul 9.30 pagi.

Tiga puluh minit kemudian, krew helikopter AW139 telah ternampak sekumpulan nelayan yang terkandas di Pulau Batu Berantai selama 15 jam. Keputusan telah dibuat untuk menyelamatkan nelayan tersebut berikutan cuaca yang buruk serta laut yang bergelora.

Kesemua mangsa seramai lima orang itu berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Saiz Helikopter Memainkan Peranan Yang Penting

Pada tahun lepas, TUDM menyatakan bahawa bermula 2026, perolehan sebanyak 24 buah helikopter terbaharu bagi menggantikan helikopter Nuri yang telah dipencenkan.

Buat masa sekarang, TUDM hanya bergantung pada 12 buah helikopter Eurocopter EC725AP (sekarang dikenali sebagai syarikat Airbus Helicopters) untuk tugas utiliti serta mencari dan menyelamat kombat (CSAR).

Lapan buah EC725 juga akan dinaiktaraf bagi memastikan tugas yang dilaksanakan lebih berkesan.

Syarikat Leonardo Helicopters mempunyai calon yang sesuai untuk tugasan utiliti bersaiz sederhana untuk TUDM iaitu AW101. Helikopter ini mula diperkenalkan pada tahun 1999. AW101 mampu membawa krew seramai tiga hingga empat orang manakala penumpang pula sebanyak 30 orang.

Untuk tujuan perubatan, helikopter ini boleh memuatkan 16 pesakit di dalam pengusung. Kuasa tujahan AW101 dijana oleh tiga enjin Rolls-Royce Turbomeca dan mampu beroperasi sejauh 1,389km.

Selain tugas utiliti, AW101 juga boleh berperanan sebagai helikopter mencari dan menyelamat serta anti kapal selam. AW101 boleh terbang selaju 300km/j. Bagi tujuan persenjataan, AW101 boleh dilengkapkan dengan mesingan, roket, caj letupan kedalaman, peluru berpandu anti kapal serta torpedo.

Walaubagaimanapun, kos helikopter ini sangat tinggi iaitu sekitar $55 juta dolar Amerika Syarikat (AS). Tidak dapat dipastikan apakah helikopter yang bakal dipilih oleh TUDM kelak sama ada helikopter jenis yang sama (EC725) , AW101 atau jenis lain.

Hal ini bagaimanapun terletak pada kebijaksanaan TUDM untuk memilih helikopter yang sudah tentu rendah kos pengoperasiannya, alat ganti yang mudah didapati serta mampu melakukan tugas dengan efektif.

Leonardo Helicopters – Jenama Yang Dipercayai

Dengan lambakan helikopter Leonardo Helicopters dalam inventori pasukan keselamatan dan agensi keselamatan, hal ini membuktikan bahawa kualiti dan kemampuan helikopter ini dipercayai oleh para pengguna.

Apatah lagi dengan pusat servis Leonardo Helicopters yang terletak di Subang menjadikan tugas penyelenggaraan helikopter lebih mudah.

Pihak kerajaan perlulah mengambil peluang dalam hal ini dengan mencukupkan bilangan aset udara agensi pertahanan/keselamatan negara bagi tujuan digunapakai dalam tugas-tugas umum dan khusus.

Duit pembayar cukai yang dilaburkan perlu memberi pulangan kepada negara dan rakyat sejajar dengan konsep kerajaan yang melaksanakan pengurusan kewangan berhemah seperti peribahasa ‘Alah membeli, menang memakai.’

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.