BeritaEksklusifKomunitiSejarah

Taring Baharu Rejimen Sempadan

Kongsi di

Evolusi penstrukturan kekuatan infantri Tentera Darat (TD) memasuki fasa baharu apabila batalion-batalion Rejimen Sempadan (RS) telah diisytiharkan sebagai berstatus Batalion Infantri Standard (BIS).

Penstrukturan semula RS ini adalah untuk melengkapi keperluan semasa dan dekad hadapan, sekali gus menyaksikan keupayaan tempur rejimen tersebut digandakan.

Apabila berstatus sebagai BIS, RS berperanan dengan keupayaan sama sepertimana Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD). 

Ini bakal melonjakkan lagi fungsi RS yang tidak lagi dilihat sebagai tentera di sempadan, sebaliknya boleh melaksanakan tugas serta diatur gerak dengan aset-aset serta persenjataan yang lebih baik.

Sudah pasti pertambahan kuasa tembakan yang bakal dimiliki ini untuk menghasilkan keupayaan yang mampu beroperasi sepenuhnya dan melaksanakan pelbagai latihan sama seperti RAMD dan RRD.

Pengisytiharan bersejarah ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain di Padang Kawad, Markas 30 Briged pada Khamis (11 Ogos).

Perbarisan seramai 21 pegawai dan 706 anggota ini diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama RS, Leftenan Kolonel Mohd Asrul Mohd Sadali.

Turut dilangsungkan pada majlis tersebut ialah Pemakaian Pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) RS melibatkan 611 anggota.

Hadir sama pada upacara ini adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan pegawai-pegawai kanan TD.

Acara bersejarah ini merakam dimensi baharu pada warga RS dalam pembentukan semula batalion-batalion sedia ada kepada BIS lantas meletakkan fungsi sama penting rejimen infantri termuda TD ini.

Ia juga dilihat sejajar dengan pelan pembangunan strategik TD, Army 4NextG bagi mengukuhkan ketumbukan Tentera Darat yang lebih kompeten dan dinamik.

Panglima Tentera Darat menandatangani plak semasa  upacara Rejimen Sempadan (RS) telah diisytiharkan sebagai berstatus Batalion Infantri Standard (BIS).

Infantri Kerahan

RS merupakan Kor Infantri ketiga selepas RAMD dan RRD apabila ditubuhkan pada tahun 2008, jadi ia memikul peranan sebagai ketumbukan tempur yang cekap dan terlatih.

Rejimen tersebut diasaskan daripada penyusunan semula Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn Inf Siri 300AW) yang mengawasi jajaran Lebuh Raya Timur Barat di Gerik dan kawalan sempadan di Kedah, Perlis serta Kelantan.

Penugasan batalion kerahan Askar Wataniah sejak tahun 1979 membolehkan pasukan-pasukan lain dalam TD memberi tumpuan kepada operasi memburu dan memerangi pengganas komunis di perbatasan pada masa itu.

Penubuhan RS diputuskan oleh kerajaan pada tahun 2007 setelah mengambil kira keperluan semasa untuk memantapkan pengawalan sempadan darat negara dan atas keperluan nasional di bawah Polisi Pengurusan Sempadan.

Selain itu, ia juga sejajar dengan pemikiran strategik kepimpinan TD pada masa itu yang mahukan sebuah rejimen khusus untuk melaksanakan operasi ketenteraan di sempadan Malaysia-Thailand bagi membolehkan lain-lain batalion infantri memberikan tumpuan terhadap peranan yang lebih spesifik.

Briged Sempadan

Beberapa tahun sebelum itu, perancangan untuk mempunyai sebuah briged khusus bagi kawalan di sempadan telah mula dibincangkan oleh kepimpinan TD. Dikatakan rancangan untuk membentuk Briged Sempadan atau Border Brigade ini bagi memperkemas Bn Inf Siri 300 AW.

Ia juga bakal menjadi program mobilisasi terbesar TD apabila lima buah batalion tersebut diserap sebagai batalion infantri dengan keanggotaan tetap dan bukan lagi tentera kerahan sepenuh masa.

Inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan itu walaupun melibatkan implikasi kewangan yang besar tetapi telah memberi jaminan kerjaya kepada lebih 300 pegawai dan anggota apabila kemudian diserapkan ke dalam RS.

Pada masa ini, kawalan pagar sempadan oleh TD di Semenanjung membabitkan jajaran Bukit Kayu Hitam di Kedah sehingga Rantau Panjang di Kelantan melalui OP PAGAR, OPS KOTA dan OP MERPATI KELANTAN.

Penugasan juga melibatkan pasukan selain TD iaitu Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Simbolik perubahan struktur RS sebagai BIS dengan aturan komponen terdiri daripada kompeni raifal, kompeni bantuan dan markas kompeni.

Tertubuhnya Briged Sempadan

Gabungan kelima-lima batalion kerahan Siri 300 AW menjadi asas pada tertubuhnya Briged Sempadan pada 25 Julai 2008 di Kem Oran, Kangar, Perlis iaitu pengistiharan status operasi Markas Briged Sempadan (MK BS).

Upacara pengistiharan telah disempurnakan  Panglima TD, Jeneral Tan Seri Muhammad Ismail Jamaluddin dan turut dihadiri Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Dato’ Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pada upacara tersebut berlaku upacara  menandatangani sijil serah terima batalion Rejimen Sempadan daripada Briged Kedua Infantri, Briged Keenam Infantri dan Briged Kelapan Infantri kepada Briged Sempadan.

Bn Inf Siri 300 AW yang dulunya berada di bawah pentadbiran Bahagian Pasukan Simpanan telah diserahkan pada kawal selia Jabatan Arah Infantri apabila ia diserahkan ke Rejimen Sempadan mulai 12 Januari 2008.

Panglima 2 Briged, Brig Jen Dato’ Zulkifli Mansur menyerahkan Batalion Ketiga Rejimen Sempadan dan Batalion Keempat Rejimen Sempadan kepada Kolonel Adnan Ariffin selaku Pemangku Panglima Briged Sempadan.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Dato’ Fadzil Mokhtar menyerahkan Batalion Kelima Rejimen Sempadan kepada Pemangku Panglima Briged Sempadan.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Azizan Mat Delin menyerahkan Batalion Pertama dan Batalion Kedua Rejimen Sempadan kepada Pemangku Panglima Briged Sempadan.

Upacara menaikkan bendera Briged Sempadan diikuti bendera batalion-batalion Rejimen Sempadan sebagai simbolik kepada penerimaan batalion-batalion tersebut di bawah pemerintahan Briged Sempadan.

Panglima Tentera Darat memakaikan lencana pangkat pada anggota RS yang menerima kenaikan. (Kredit foto: BTDM)

Struktur Baharu BIS

Melihat kepada penugasan RS sejak ditubuhkan sehingga kini, maka adalah perlu bagi TD untuk memperkemaskan fungsi-fungsi yang boleh digandakan iaitu menjadi rejimen infantri pelbagai peranan.

Ancaman keselamatan yang dihadapi Malaysia ketika ini amat berbeza dengan ancaman yang dihadapi negara 50 tahun sebelum ini. Atas sebab itu, perancangan strategik perlu sentiasa diambil kira agar relevan dengan kehendak semasa.

Apabila RS ditubuhkan dan mula melalui transformasi pembesaran, maka TD membentuk markas pemerintahan bagi menaungi batalion-batalion tersebut.

Markas 30 Bgd Inf ditubuhkan di Perlis bagi pemerintahan lima buah batalion di Semenanjung

manakala 31 Bgd Inf pula ditubuhkan pada 1 Julai 2015.

Ia bagi meningkatkan keupayaan tempur dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia sepanjang 2,019 kilometer dari Sarawak sehingga Sabah.

Sepanjang 14 tahun sejak ditubuhkan, RS tidak bercirikan sebagai sebuah batalion BIS yang dilengkapi dengan aset-aset senjata berat sepertimana dua rejimen infantri TD yang lain.

Berperanan sebagai batalion infantri biasa sebenarnya ada kelebihan tersendiri kepada RS kerana ciri-ciri tersebut membolehkan ia bersifat lebih fleksibel tanpa menjejaskan fungsi sebagai pasukan tempur.

Ciri-ciri menyamai konsep infantri ringan atau light infantry itu telah dipraktikkan tentera banyak negara maju khususnya di barat.

Ini kerana sebagai batalion infantri biasa, ia lebih ‘agile‘ atau mudah gerak disebabkan tiada persenjataan berat lantas bebanan logistiknya tidak ketara.

Buktinya, RS sepanjang tempoh tersebut menjadi lebih dinamik dan pada masa yang sama kekal dengan peranan utama mengawal perbatasan negara untuk menghalang pencerobohan dan mengekang jenayah rentas sempadan.

Setelah 14 tahun ditubuhkan, RS telah membuktikan ia sebagai pasukan infantri serba boleh sehingga meyakinkan kepimpinan TD untuk penstrukturan semula sebagai BIS.

Kelengkapan Baharu

Penstrukturan baharu ini menyaksikan perubahan besar dalam pertambahan aset-aset baharu batalion RS khususnya kuasa tembakan bermula dari peringkat platun, kompeni dan batalion serta penggunaan senjata bantuan.

Setiap batalion BIS akan mempunyai tiga kompeni raifal, satu kompeni bantuan dan kompeni markas.

Sistem persenjataan yang bakal dimiliki antaranya ialah mesingan ringan dan pelancar roket RPG untuk setiap seksyen, mesingan berat, mortar 81mm, senjata anti kereta kebal dan pelancar grened.

Turut ditambah ialah sejumlah kenderaan-kenderaan taktikal bermobiliti tinggi. Bagaimana pun, paling ketara apabila penstrukturan BIS menyaksikan banyak perjawatan baharu serta peluang kenaikan pangkat yang lebih fleksibel kepada anggota.

Ini berikutan perjawatan dan pangkat yang berbeza dalam batalion BIS yang mana setiap seksyen diketuai anggota berpangkat sarjan berbanding koperal pada pasukan infantri biasa.

Proses penambahan aset dan kelengkapan baharu ini juga akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebelum kesemua 10 buah batalion RS memiliki kemampuan BIS.

Difahamkan, untuk peringkat awal, pasukan-pasukan baharu iaitu lima buah batalion RS di Sabah dan Sarawak akan dibuat pengisian anggota daripada pasukan lain yang mempunyai  lebihan perjawatan.

Ia bakal diikuti dengan pengisian perjawatan persenjataan dan lain-lain aset.

Ketika ini Batalion 8 RS diletakkan di bawah pemerintahan 13 Bgd bersama-sama dengan 26 RAMD. Ia bersifat sementara sehingga tertubuhnya 32 Bgd yang dirancang penubuhannya melalui pelan Army 4NextG.

Daripada segi infrastruktur pembangunan, TD akan menaiktaraf kem RS mengikut spesifikasi sebagai BIS yang mana penyediaan prasarana latihan dan rumah keluarga akan dibina dari semasa ke semasa mengikut perancangan.

Ia juga bagi menentukan latihan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta dapat menjaga kebajikan anggota RS.

Sepanjang 14 tahun penubuhannya, penstrukturan fungsi baharu RS ini menunjukkan progres pembangunan rejimen berkenaan yang sebenarnya mempunyai signifikan tersendiri dan relevan dalam TD.

Info Sejarah Rejimen Sempadan

  • RS ditubuhkan pada 12 Januari 2008 bagi menggantikan Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (AW) yang menjaga laluan sempadan.
  • Tujuan penubahan antara lain bagi mengenang jasa dan pengorbanan Batalion Infantri Siri 300 AW terhadap kedaulatan dan kemerdekaan negara.
  • RS telah ditubuh selama 14 tahun dan mempunyai organisasi pemerintahan tersendiri.
  • Mempunyai dua briged iaitu 30 Briged Infantri di Semenanjung Malaysia dan 31 Briged Infantri di Sarawak.
  • Terdapat 10 batalion infantri RS yang bernaung di bawah briged-briged ini.
  • RS merupakan kedudukan kekananan ketiga daripada 16 kor / rejimen TD dengan mengambil kira RS adalah kor infantri kategori elemen tempur.

Penempatan Batalion RS

  • Batalion Pertama, Kem Batu Sebelas, Tanah Merah, Kelantan
  • Batalion ke-2 Kem, Batu Melintang, Jeli, Kelantan
  • Batalion ke-3 Kem Pengkalan Hulu, Pengkalan Hulu, Perak
  • Batalion ke 4 Kem Grik, Grik, Perak
  • Batalion ke-5 Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah
  • Batalion Ke-6 Kem Junaco Park Sibu, Sarawak
  • Batalion ke-7 Kem Simalajau, Bintulu, Sarawak
  • Batalion Ke-8 Kem Tawau, Sabah
  • Batalion Ke-9 Kem PLKN Bumimas, Sibu
  • Batalion Ke-10 Kem PLKN Puncak Permai, Bau, Kuching

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.