EksklusifKomunitiSejarah

Kapten Mohd. Khalid, Pembawa Suratcara Kemerdekaan

Kongsi di

Union Jack Berkibar Kali Terakhir

Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra, tepat pada pukul 12 tengah malam, 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘Merdeka’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka.

Pada upacara tersebut, sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari enam pemuda dan enam pemudi (enam UMNO, empat MCA, dua MIC) tampil ke hadapan membawa dua buah dulang.

Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.

Pada malam pengisytiharan kemerdekaan 31 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan oleh Tahir Abdul Majid diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhirnya pentadbiran British di Tanah Melayu.

Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan ‘Merdeka’ yang menggegarkan seluruh padang secara spontan

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dicipta oleh Mohamed Hamzah telah dinaikkan diikuti lagu Negaraku yang pertama kali diperdengarkan kepada umum.

Gambar kenangan Kapten Khalid (kanan) bersama Tunku Abdul Rahman.

Pengisytiharan Kemerdekaan

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20,000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.

Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.

Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun

Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 menyatakan bahawa ; “negara kita ini akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Hari bersejarah tanggal 31 Ogos 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan daripada pentadbiran British.

Siapa Di Sebelah Tunku Abdul Rahman

Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, visual Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melafazkan laungan keramat ‘Merdeka’ kerap diputar semula baik di kaca televisyen maupun paparan media sosial.

Pada masa sama, sosok seorang pegawai lelaki di sebelah beliau pasti menancap mata kita.

Mungkin ramai dalam kalangan kita sering tertanya-tanya siapakah pegawai tentera berpangkat Kapten yang berdiri di sebelah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sewaktu lafaz kemerdekaan dilaungkan di Stadium Merdeka ketika itu?

Visual yang sama akan kerap dimainkan sepanjang masa setiap kali memperingati hari kemerdekaan.

Pegawai berkenaan ialah Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid yang ketika itu berpangkat Kapten. Beliau telah melalui era penuh cabaran bermula semasa Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi sehingga bersara daripada perkhidmatan tentera pada 1965.

Beliau merupakan antara sebahagian daripada mereka yang menggerakkan persiapan majlis menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Khalid pada masa itu berpangkat Kapten menjawat sebagai Pegawai Undang-undang di Malaya Command (kini Kementerian Pertahanan).

Penyerah Suratcara Kemerdekaan

Beliau adalah satu-satunya pegawai tempatan yang amat bertuah apabila diberi penghormatan menjadi juruiring tentera untuk menyerahkan Suratcara Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman pada hari keramat tersebut.

Pada detik yang dinantikan itu, Kapten Mohd. Khalid begitu tenang mengawal diri menghadapi suasana tersebut kerana ia akan berhadapan dengan Raja-Raja Melayu, pegawai tertinggi British sebagai mewakili Ratu Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester dan ribuan rakyat Tanah Melayu yang tidak sabar hendak melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’.

Bagi memastikan acara itu berjalan dengan sempurna, beberapa hari sebelum itu, mereka telah memulakan latihan kawad di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur selama tiga hari.

Perbarisan kawalan kehormatan pada hari tersebut diketuai Mejar Abdul Hamid Bidin yang ketika itu Penolong Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.

Abdul Hamid kemudian menjadi Ketua Turus Tentera Darat (kini Panglima Tentera Darat) dan anak Melayu kedua memegang jawatan sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera (kini jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia).

Allahyarham Mejar (B) Khalid menjadi individu penting pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Siapa Kapten Khalid?

Dilahirkan pada September 1920, anak kelahiran Taiping, Perak ini memulakan perkhidmatan sebagai Prebet di dalam Askar Melayu dan naik setingkat demi setingkat sebelum ditauliahkan sebagai pegawai pada 1949.

Mungkin namanya tidak dikenali sepertimana Allahyarham Lt Adnan Saidi, bagaimana pun Mejar Mohd. Khalid memainkan peranan yang berbeza tetapi amat signifikan dalam sejarah negara.

Bapa beliau, Mohd. Hamid berketurunan Punjab berasal dari Sind, India dan berhijrah ke Tanah Melayu pada  tahun 1870 bertugas sebagai anggota Malay States Guides di Taiping.

Pasukan ini  sebahagian daripada Garison Negeri-negeri Selat yang keanggotaannya dikhususkan kepada berbangsa India.

Mohd. Khalid adalah salah seorang daripada rekrut pengambilan khas bagi penubuhan Kompeni W, iaitu kompeni tambahan selepas ambilan Askar Melayu sebelum itu bagi mengisi Kompeni Percubaan Askar Melayu seramai 382 orang kesemuanya ditukar menjadi Rejimen Askar Melayu pada Januari 1935.

Kompeni W ialah kompeni kedua selepas penubuhan tiga Kompeni Percubaan Askar Melayu terdahulu, di mana skuad kompeni ini bermula dari nombor tentera 1097 hingga 1199.

Mohd. Khalid memakai nombor tentera 1163. Kompeni ini kemudian disusun semula pada Disember 1941 dengan kekuatan seramai 453 anggota yang menjadi asas kepada penubuhan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu sebaik meletus Perang Dunia Kedua.

Semasa perang, kompeni ini dibahagikan kepada dua iaitu A Kompeni dan D Kompeni dengan kelengkapan yang serba kekurangan berbanding batalion pertama.

Gambar kenangan Allahyarham Mejar (B) Khalid semasa dikunjungi Panglima Tentera Darat, Jeneral Md Hashim Hussin.

Wira Tidak Didendang

Mohd. Khalid melapor diri semula di Port Dickson selepas tamat Perang Dunia Kedua dengan jumlah keseluruhan kira-kira tiga kompeni berjaya dikumpulkan. Beliau secara rasmi ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 1949 dan ditukarkan ke Batalion Ketiga Askar Melayu.

Pada tahun 1958, beliau dihantar mengikuti kursus Ketua Kompeni di Warminister dan sekembalinya ke tanah air dilantik sebagai Ketua Kompeni Markas di batalion yang sama.

Jujurnya, tidak banyak sumber atau media yang mengisahkan tentang beliau terutama peranannya semasa hari pertama ‘Merdeka’ dilaungkan.

Bagaimanapun, pada tahun 2001, Markas Tenera Darat ketika itu telah menerbitkan sebuah memoir tentang beliau dan merupakan satu-satunya dokumentasi bertulis tentang biografi dan sejarah perkhidmatan Mejar Mohd. Khalid.

Penulisan buku memoir ini diilhamkan oleh Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Md. Hashim Hussein. Buku ini ditulis oleh Mejar Dzulkafli Hj Mustafa (kini Mejar Jeneral, Panglima 1 Divisyen Infantri) yang bertindak sebagai Ketua Pengarang.

Buku ini telah dilancarkan pada 9 November 2001 oleh Mejar Mohd. Khalid sendiri yang saksikan oleh Jen Tan Sri Md Hashim dan puluhan warga bekas perajurit yang sebahagian besarnya adalah mereka yang pernah berkhidmat bersama-sama Khalid.

Dalam memoirnya, Mejar Mohd. Khalid memberitahu; “Tunku amat ceria sekali ketika itu untuk menyempurnakan pengistiharaan kemerdekaan. Dengan berpakaian baju Melayu lengkap sebagai seorang anak raja negeri Kedah, beliau melangkah dengan penuh semangat,” Kapten Mohd. Khalid

Petikan akhbar yang melaporkan berita pemergiaan Mejar Mohd. Khalid pada tahun 2005:

Pembawa Perutusan Kemerdekaan Meninggal

TAIPING: Bekas pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diamanahkan membawa perutusan kepada Tunku Abdul Rahman sempena kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Mejar (B) Mohd. Khalid Abd Hamid meninggal dunia di rumahnya, kelmarin.

Beliau yang juga tokoh pejuang kemerdekaan menghembuskan nafas terakhirnya di No 9, Jalan Kakak Tua, Taman Kamunting dekat sini di sisi isterinya, Esah Elias, 75, kira-kira jam 9.15 malam kerana sakit tua.

Allahyarham yang berusia 85 tahun, meninggalkan lima anak perempuan dan dua lelaki berusia 37 hingga 48 tahun serta 21 cucu.

Esah ketika ditemui berkata, sebelum meninggal dunia, arwah suaminya sedang berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen bersamanya.

"Sambil berehat di ruang tamu, arwah menyapu bedak di badan saya apabila tiba-tiba mengadu dadanya sakit dan berasa mahu pergi ke tandas.

"Selepas keluar dari tandas, dia berbaring dan kemudian mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi saya," katanya sambil menambah hanya mereka berdua berada di dalam rumah ketika itu manakala seorang daripada cucu mereka berada di luar rumah.

Esah berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum meninggal dunia kecuali ada menyatakan kerinduannya terhadap anak-anak yang menetap di Kuantan, Pahang dan Johor.

Esah yang turut hadir menyaksikan perisytiharan hari kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1957, reda dengan pemergian suaminya.

Katanya, ketika Tunku masih hidup, beliau memang rapat dengan arwah suaminya dan selalu datang bermain pingpong di kawasan rumah sewa mereka di Petaling Jaya, Selangor.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.