EksklusifIndustriKomuniti

Sistem Pertahanan Udara Korea Selatan: Mengisi Keperluan Untuk Pertahanan Pangkalan ATM?

Kongsi di

Pada 12 Julai yang lalu,Pasukan Pertahanan Udara (PPU) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dibubarkan secara rasmi di Markas Armada Pemerintahan Timur. PPU TLDM telah beroperasi selama enam tahun.

Sejak penubuhannya, PPU bertanggungjawab menjaga pangkalan utama TLDM daripada sebarang ancaman udara seperti pesawat tempur, helikopter dan dron. Pada April tahun ini juga, PPU TLDM telah menyerahkan misil STARStreak kepada Tentera Darat.

Misil Starstreak diperoleh pada tahun 2015 dengan kos sebanyak RM897 juta. Dengan pembubaran PPU TLDM, ramai pihak terutamanya netizen yang menyangka bahawa langkah ini merupakan petunjuk  kewangan negara berada pada tahap yang tidak mengizinkan.

Akan tetapi berbeza pula dengan pandangan daripada pemerhati pertahanan yang menyatakan bahawa satu cabang baharu akan dibentuk bagi menyediakan pertahanan udara secara efektif.

Sistem Pertahanan Udara Korea Selatan

Kekerapan ujian peluru berpandu dari Korea Utara menyaksikan Korea Selatan berusaha untuk memajukan sistem pertahanan udaranya sendiri. Walaupun mempunyai sistem pertahanan udara yang canggih seperti MIM-104 Patriot  namun Korea Selatan tidak boleh cepat berpuas hati.

Ancaman udara kini  bukan sahaja terdiri daripada peluru berpandu malah pesawat tempur, helikopter dan dron. Kos peluru berpandu Patriot bukanlah murah dan tidak berbaloi untuk ancaman udara yang murah serta ringkas.

Secara amnya, terdapat dua jenis sistem pertahanan udara yang dikeluarkan sendiri oleh Korea Selatan.

K200 KIFV (Kredit Foto: Getty Images / NurPhoto)
K30 BIHO (Kredit Foto: Getty Images / Jung Yeon-Je)

K30 BIHO

Sistem pertahanan udara ini dibangunkan daripada casis kenderaan K200. BIHO (Harimau Terbang dalam bahasa Korea) berkeupayaan untuk bergerak selaju 60 km/j dan mempunyai meriam berkembar 30mm serta pelancar peluru berpandu MANPADS (Man portable air defence system).

BIHO mampu menembak sejauh 3 km dan kadar tembakan meriam seminit ialah 650 butir peluru. Ujian tembakan ketika mula diperkenalkan membuktikan BIHO mempunyai prestasi yang mengagumkan setanding dengan sistem pertahanan udara negara lain tapi dengan kos yang lebih murah.

Pada tahun 2007, syarikat Doosan diberikan kontrak untuk membekalkan tambahan unit BIHO kepada tentera Korea Selatan dengan kos sebanyak 543 juta Dollar US. Pada tahun 2019, sistem BIHO dipilih untuk kegunaan tentera darat India namun pembelian tersebut dibatalkan pada 2020.

K-SAM Pegasus “Chunma” (Kredit Foto: Getty Images: Jung Yeon-Je)

K-SAM Pegasus

Sistem ini  diasaskan daripada sistem Crotale buatan Perancis. Pegasus mula dibangunkan pada 1989 dan dihasilkan pada 1999 bagi  tentera Korea Selatan. Pegasus mampu bergerak dengan kelajuan 60 km/j. Ciri-ciri kenderaan ini dilengkapi dengan 8 x pelancar misil, radar, dan kamera.

Casis kenderaan ini juga diasaskan daripada K200, sama seperti BIHO.

K-SAM berkeupayaan untuk menembak sasaran udara pada jarak 11 km dengan kelajuan misil ialah 3.5 Mach. Dengan keupayaan yang ada, K-SAM boleh ditempatkan di fasiliti dan infrastruktur yang strategik seperti pelabuhan, loji bekalan air, janakuasa elektrik, pangkalan tentera dan lain-lain.

ATM Memerlukan Sistem Pertahanan Udara Yang Mudah Alih

Dengan ancaman di Kepulauan Spratly, maka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memerlukan sistem pertahanan udara yang bersifat mudah alih bagi mempertahankan pangkalan daripada serangan udara musuh.

Sistem pertahanan statik dirasakan tidak begitu sesuai bagi menghadapi ancaman peperangan moden. Sistem pertahanan statik di pangkalan berisiko untuk dimusnahkan terlebih dahulu oleh aset musuh berikutan ketidakupayaannya untuk bergerak secara bebas.

Walaupun TLDM sebelum ini mempunyai sistem misil STARStreak yang diletakkan di atas kenderaan 4×4, namun dengan penambahan sistem pertahanan udara BIHO dan Pegasus, pertahanan udara negara dapat dimantapkan lagi.

Langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan bermakna sistem yang lebih ampuh seperti Pantsir S1 tidak boleh dibeli dalam keadaan sekarang. Maka, pilihan yang berkesan dan menjimatkan wang ialah ATM perlu menilai perolehan alternatif sebegini.

Sistem ini bukan sahaja berperanan menjaga keselamatan pangkalan tentera malah juga boleh digerakkan bersama sekumpulan konvoi kereta kebal atau kereta perisai. Dengan adanya Pegasus dan BIHO, maka konvoi kereta kebal dan kereta perisai ATM sukar digugat oleh aset udara musuh.

Pencerobohan Udara Perlu Dikekang

Perebutan perairan Spratly antara negara yang berkepentingan menyaksikan pencerobohan sebilang masa oleh PLAAF. Pada Jun 2021, 16 buah pesawat pengankut China jenis Ilyushin II-76 dan Xian Y-20 menceroboh sehingga 60 batu nautika dari perairan Sarawak.

Pesawat pejuang BAe Hawk 208 dari Pangkalan TUDM Labuan telah dikerahkan untuk memintas pesawat China tersebut seterusnya membuat pengesahan visual.

Dengan kekurangan pesawat pejuang dalam inventori TUDM, maka pangkalan tentera ATM di Sabah dan Sarawak terdedah kepada serangan udara musuh. Walaupun pesawat tempur boleh dikerahkan dari Semenanjung, namun ia mengambil masa untuk sampai di Malaysia Timur.

Aset strategik yang berada di Pangkalan TLDM Sepanggar dan pangkalan TUDM Labuan mampu musnah dalam sekelip mata jika sistem pertahanan udara hanya sekadar ala kadar.

Pihak kerajaan perlu menilai adakah berbaloi aset strategik negara musnah hanya kerana mahu menjimatkan wang dalam aspek pertahanan.

Berjimat Jangan Sampai Kedaulatan Negara Tergugat

Pandemik COVID-19 semestinya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kewangan dan pembangunan negara. Tidak terkecuali aspek pertahanan turut terkena tempiasnya. Namun begitu, hal ini tidak bermaksud penjimatan perlu dilakukan semaksimum mungkin.

Apa yang penting, pihak kerajaan perlu meneliti keperluan ATM. Pembelian sistem pertahanan udara dari Korea Selatan sebagai contoh walaupun dalam jumlah yang kecil tapi sedikit sebanyak mampu  menggugat armada udara musuh.

Dan jika musuh masih berdegil menceroboh kedaulatan negara, maka mereka perlu membayar dengan harga yang ‘mahal’.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.