EksklusifIndustriKomunitiSejarah

Carl Gustaf : Senjata Perobek Armor Yang Masih Berbisa

Kongsi di

Penyelidikan untuk mencari sejenis senjata yang mampu memusnahkan ancaman kereta kebal telahpun dilakukan pada tahun 1920an oleh seorang ahli sains roket, Robert H. Goddard

Ia adalah satu sistem mudah yang mengandungi tiub pelancar dan peluru roket yang distabilkan oleh sirip pada bahagian belakang. Sistem yang diguna pakai adalah konsep tanpa rekoil atau recoilles principle

Sehingga hari ini, konsep sama telah digunakan bagi kesemua sistem pelancar roket atau grened bagi pasukan infantri.  

Berbeza dengan sistem meriam biasa yang menyerap hentakan rekoil tembakan dengan sistem spring dan hidraulik, sebaliknya sistem tanpa rekoil akan membebaskan tindak balas aksi-reaksi ke belakang dalam bentuk tekanan, haba dan asap. 

Pengendali yang berada di tengah-tengah senjata tidak akan merasai sebarang tekanan memandangkan proses fizik aksi-reaksi (aksi peluncuran roket ke hadapan, reaksi – semburan haba, tekanan dan asap ke belakang) berada dalam keadaan seimbang. 

Senjata anti kereta kebal Bazooka yang diperkenalkan pada 1942 menggunakan prinsip tembakan ini. 

Bazooka yang menggunakan peluru berkaliber 60mm dengan berat roket 1.5kg mampu menujah ke sasaran sehingga pada jarak 365 meter. 

Pihak Jerman pula membangunkan sistem anti kereta kebal Panzerschreck yang merupakan sistem hampir sama dengan Bazooka tetapi menggunakan peluru kaliber 89mm, roket seberat 3.5kg dengan jarak sasaran 150 meter.

Carl Gustaf M1 menjadi pilihan banyak negara-negara NATO sebagai salah satu senjata anti armor kerana sifat mobil dan mudah kendali.

Pelancar Grened Tanpa Panduan

Perlumbaan untuk membina sistem senjata anti kereta kebal mula memuncak selepas Perang Dunia Kedua di Eropah diikuti semasa era Perang Dingin berikutan kebimbangan terhadap ancaman kemungkinan berlakunya peperangan kereta kebal dari Soviet. 

Antara yang terbaik ialah sistem Carl Gustaf yang diperkenalkan oleh Sweden pada 1948. 

Uniknya, Carl Gustaf adalah sistem meriam tanpa rekoil (recoilles gun) yang menggunakan sistem peluru mirip kepada sistem meriam, lengkap dengan kelongsong, tidak mempunyai ciri-ciri roket dengan bahan bakar berada di dalam badan roket yang meluncur ke sasaran.  

Peluru diisi melalui belakang senjata. Terdapat dua tuil berbentuk bulat pada bahagian belakang senjata, di mana anggota pengisi peluru perlu menolak tuil paling kanan bagi membuka bahagian pengisi (loader) untuk memasukkan peluru sebelum menutup dan mengunci semula tuil. 

Peluru yang sudah dimasukkan ke dalam laras berada dalam keadaan sedia untuk ditembak, manakala penembak pula hanya perlu membidik ke sasaran (selepas membuka kunci selamat) sebelum menekan picu. 

Selepas menembak, anggota pengisi peluru akan menolak semula tuil yang paling kanan untuk membuka bahagian pengisi dan menekan sekali lagi tuil yang sama untuk menolak sedikit kelongsong keluar ke belakang sebelum ditarik dengan tangan.

Bagaimana pun, sifat mobiliti senjata ini selain tidak begitu berat dan boleh dipikul di atas bahu seperti pelancar roket manakala impak letupan ke atas sasaran yang begitu baik menyaksikan senjata ini menjadi pilihan banyak pasukan infantri di medan tempur. 

Definasi berat bergantung kepada pengguna kerana jika anggota tentera negara barat, saiz dan berat Carl Gustaf M2 pada kadar 14kg bukan sesuatu yang sukar. 

Sistem Artileri Mudah Alih

Carl Gustaf dikenali sebagai satu sistem anti armor pelbagai dan daripada segi taktik infantri pula, senjata ini boleh diatur gerakkan mengikut tugasan iaitu sebagai senjata anti  armor, pemusnah halangan atau pemusnah bunker.  

Senjata ini dibangunkan oleh dua pereka cipta iaitu Hugo Abramson dan Harald Jentzen yang ketika itu bertugas di Pentadbiran Persenjataan Diraja Sweden. 

Seperti dinyatakan sebelumnya, senjata ini mula diperkenalkan pada 1948 sebagai 8.4cm Granatgevar (Grg m/48) aau raifal grened yang ketika itu berada dalam kelas sama seperti Bazooka, PIAT (British) dan Panzerscreck (Jerman). 

Bagaimana pun, bezanya sistem Sweden ini menggunakan laras berpilin bertujuan memberi kestabilan kepada peluru semasa menujah keluar dari laras. 

Konsep tanpa rekoil pada senjata ini pula membolehkan Carl Gustav menggunakan bahan letupan yang lebih padu dan berkuasa pada kadar halaju pada laras iaitu 290 meter per saat berbanding senjata lain misalnya Panzerschreck (105 meter per saat) dan Bazooka (76 meter per saat). 

Hasilnya ialah tembakan yang lebih tepat dengan impak letupan ke atas sasaran yang hebat. 

Carl Gustaf boleh menembak sasaran statik pada jarak sehingga 700 meter manakala sasaran bergerak pada had 400 meter. 

Carl Gustaf pantas mendapat tempat dalam kalangan pasukan tentera di Eropah serta menjadi senjata anti kereta kebal pada peringkat seksyen dan platun infantri.  

Bermula dengan versi terawal Carl Gustaf iaitu M1 pada 1948, pengeluarnya ketika itu, Bofors pantas memperkenalkan versi M2 yang lebih baik pada 1964. 

Setelah memasuki usia lebih 20 tahun, versi baru iaitu M3 diketengahkan pada 1991 dengan ciri-ciri lebih kredibel.

Pelbagai variasi bahan letupan yang boleh dipadankan pada Carl Gustaf menjadikan senjata ini sebagai istimewa.

Pilihan Pelbagai Amunisi

Selain Sweden, Carl  Gustaf pantas memikat negara pengguna seperti Australia, Austria, Belgium, Kanada, Jerman, Amerika Syarikat dan sehingga kini lebih 40 negara telah mengoperasikan senjata ini termasuk Malaysia. 

Kebanyakan pengguna adalah dalam kalangan negara-negara NATO. Selain itu, amunisi persenjataan ini turut dihasilkan oleh beberapa negara lain secara berlesen di lain-lain negara pengguna termasuklah di Belgium dan India.

Walaupun Carl Gustaf dikenali sebagai senjata anti kereta kebal, tetapi kelebihan taktikal pada persenjataan ini menyaksikan penggunaanya dipelbagaikan mengikut keperluan si pengendali, operasi dan bentuk ancaman semasa pertempuran. 

Ini juga disebabkan kepelbagaian amunisi menyaksikan Carl Gustav dilabel senjata senjata artileri individu atau ‘one man artillery gun’. 

Hanya satu masalah ketara pada senjata ini (terutama bagi versi M2) iaitu saiz serta berat yang keterlaluan berbanding dengan senjata serupa seperti RPG-7.

Bagi versi M2, larasnya diperbuat daripada besi manakala versi terkini, M3 pula menggunakan logam nipis yang dibaluti dengan bahan polimer bagi menjadikan senjata ini lebih ringan.

Bahagian utama pelancar ialah sistem penembak iaitu pistol grip, picu serta kunci selamat. 

Pada bawah laras pula terdapat bahagian pelapik bahu (bahagian di mana laras diletakkan pada bahu penembak), kaki dua boleh ubah serta penggenggam tangan. 

Carl Gustaf dilengkapkan dengan pejera terbuka jenis kekal pada sisi kiri laras selain boleh dipasangkan dengan pejera teleskopik sebagai aksesori tambahan bagi memudahkan bidikan.

Tentera Darat masih mengoperasikan senjata anti armor Carl Gustaf yang fungsinya kekal relevan hari ini. (foto kredit BTDM)

Carl Gustaf Tentera Darat

Bagi Tentera Darat (TD) misalnya, konsep Batalion Infantri Standard (BIS) yang diperkenalkan sejak 1999 telah memberi tumpuan terhadap aspek kuasa tembakan, apabila tunjang bagi sesebuah seksyen infantri ialah dua laras senjata pelancar grened RPG-7, selaras pelancar grened berganda (MGL) selain selaras mesingan FN Minini 5.56mm. 

Manakala penolong ketua seksyen masih lagi dibekalkan dengan senjata Colt M-16 dengan pelancar grened 40mm M203. 

Bagaimana pun, evolusi terhadap pemilikan senjata anti armor bagi kegunaan peringkat seksyen dan platun dalam TD telah pun bermula lebih awal apabila diperkenalkan pada era 1970an menerusi pemilihan terhadap senjata Carl Gustaf M2 84mm. 

Batalion-batalion infantri TD yang ketika itu secara beransur-ansur mula didedahkan terhadap konsep peperangan konvensional (CW) termasuk ancaman menghadapi pertempuran dengan kereta kebal atau kenderaan armor musuh berikutan situasi di IndoChina agar membiasakan diri dengan penggunaan senjata berkenaan.

Walaupun jarang sekali dipertontonkan kepada umum hari ini namun, senjata utama anti-armor bagi infantri TD sejak sekian lama adalah sistem Carl Gustaf M2 yang mempunyai kemampuan yang amat digeruni dan merupakan sistem anti armor yang mempunyai keupayaan tinggi. 

Apa yang mungkin menjadikan sistem ini kurang digemari oleh pengendalinya ialah ia mempunyai berat pelancar yang agak keterlaluan iaitu kira-kira 15kg keseluruhan dengan kaki duanya. 

Ini berbanding sistem pelancar RPG-7 yang mempunyai berat 7kg, iaitu lebih kurang dari berat M2. 

Walaupun demikian terdapat versi pelancar Carl Gustav M3 yang mempunyai berat pelancar 8kg, namun ia tidak digunakan oleh TD yang masih mempunyai sejumlah besar sistem M2 dalam inventorinya. 

Seperti juga sistem RPG-7, pelancar M3 boleh menggunakan pelbagai jenis sistem peluru bagi tugasan khas dari anti-kereta kebal kepada letupan kuat terhadap anggota dan struktur sehinggalah kepada suaran atau pencahayaan.

Senjata anti armor tembak buang M72 yang turut dimiliki Tentera Darat. (foto kredit BTDM)

Konsep BIS

Konsep BIS TD, setiap batalion infantri kini memiliki sebuah platun anti kereta kebal yang diletakkan di bawah Kompeni Bantuan. 

Mengikut kepada pegangan aset sedia ada, setiap platun ini memiliki tiga seksyen anti kereta kebal di mana kekuatan setiap seksyen ialah dua unit sistem peluru berpandu anti armor (ATGM). 

Aset sedia ada ketika ini ialah ATGM Metis M buatan Rusia yang dibawa atau dipasang pada kenderaan Vamtac. Bagaimana pun, difahamkan senjata Carl Gustaf M2 masih berada di bawah pegangan platun ini sesuai dengan fungsinya. 

Cuma penugasannya adalah mengikut keperluan pasukan kerana Carl Gustaf dibawa bersama-sama oleh anggota infantri semasa berjalan kaki dan bukan diletakkan di atas kenderaan. Malah, ia juga bukan sekadar berperanan sebagai pembunuh armor atau pemusnah kereta kebal (tank killer), tetapi juga perobek halangan infantri misalnya kubu pertahanan musuh.

Silibus bagi latihan Carl Gustaf M2 juga masih dijalankan pada peringkat latihan pegawai dan anggota TD termasuk kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan kursus-kursus persenjataan di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan). 

Ini termasuk atur gerak semasa latihan bagi kadet-kadet Palapes serta juga di semua batalion infantri Rejimen Askar Wataniah. 

Sekali gus, ini menunjukkan reliabiliti sistem persenjataan ini masih ada, bezanya cuma TD masih kekal menggunakan sistem Carl Gustaf yang  mencecah usia 40 tahun tetapi berbisa. 

Kebuk peluru Carl Gustaf

Evolusi Carl Gustav M3

Pengeluar Carl Gustaf, Saab Bofors Dynamic melakukan evolusi terhadap senjata pemusnah armor Carl Gustaf apabila memperkenalkan versi lebih baik iaitu M3 pada awal 1991. 

Berbeza dengan versi terdahulu, M3 menambah baik beberapa kelemahan kepada Carl Gustaf iaitu yang paling utama ialah berat. 

Carl Gustaf M3 hanya seberat 7kg ini dihasilkan menerusi kemajuan teknologi persenjataan apabila sebahagian besar komponen pada laras menggunakan bahan polimer. 

Pada pandangan mata kasar, M3 kelihatan seperti barang mainan apabila kelihatan seperti plastik dan bukan besi padu seperti M2. 

Suntikan penambahan termasuk sistem pejera yang lebih baik selain mempunyai sistem rel ‘picantinny’ bagi membolehkan senjata dipasangan dengan pejera tambahan bagi meningkatkan lagi had kepayaan membidik sasaran. 

Pada badan senjata turut dipasang dengan bahagian pemegang bagi memudahkan pengendali senjata untuk membimbit pelancar semasa berlari atau berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain semasa operasi.

Carl Gustaf M3 menepati ciri-ciri asas yang diperlukan iaitu memiliki cara membidik dan menembak yang mudah, boleh memuntahkan peluru jenis HEAT bagi melumpuhkan kereta kebal dan kenderaan armor manakala peluru jenis HE pula cukup ampuh untuk memusnahkan halangan konkrit. 

Peluru berkaliber 84mm pula memang memberikan kelebihan ketara kepada senjata ini kerana impak letupannya. 

Ciri-ciri pada Carl Gustaf variasi terbaru turut memikat pihak tentera Amerika Syarikat.

Pilihan Infantri AS

Pasukan khas AS, Green Beret telah mempunyai keperluan untuk menggandakan kuasa tembakannya apabila menggunakan Carl Gustaf M3 sejak 1991. 

Melihat keberkesanan senjata ini, beberapa unit-unit infantri AS di Afghanistan turut dibekalkan dengan Carl Gustav M3 bermula tahun 2011 sebelum pihak kepimpinan tentera mengusulkan cadangan agar senjata berkenaan dibekalkan sebagai salah satu senjata bantuan pelbagai guna infantri di sana. 

Versi Carl Gustaf yang digunakan infantri AS diikenali sebagai M3A1 Multi-Role Anti-Armor / Anti-Personnel Weapon System (MAAWS).  Sebanyak 1,100 laras senjata ini dibekalkan oleh firma Saab Bofors Dynamics, di mana ciri-ciri pada M3A1 sebenarnya adalah menyamai versi terkini Carl Gustaf yang dikenali sebagai M4. 

Beratnya adalah 30 peratus lebih ringan berbanding M3 manakala laras pula lebih pendek iaitu 950mm. Sekali gus menjadikan M3A1 MAAWS ini bermobiliti tinggi tetapi pada masa sama memiliki keupayaan seperti sebuah sistem meriam kecil.

Pemililhan Carl Gustaf oleh pihak infantri AS kerana keampuhan serta kuasa tembakan padunya bukanlah sesuatu yang baharu kerana aspek-aspek ini telah menjadi pertimbangan sejak pertama kali pasukan ini mengoperasikan senjata armor bermula dengan Bazooka semasa Perang Dunia Kedua. 

Hal ini yang mempengaruhi pembinaan senjata seperti M18 berkaliber 57mm dan kemudian senjata tanpa rekoil M20 berkaliber 75mm. 

Bermula akhir tahun 1970-an, infantri AS menggantikan dua senjata ini dengan sistem peluru berpandu anti kereta kebal M47 Dragon sebelum digantikan dengan ATGM Javelin

SMAW

Ketika ini, unit infantri AS menggunakan senjata anti armor Mk 153 Shoulder Launched Multipurpose Assault Weapon (SMAW) dan sistem pelancar tembak buang. 

SMAW mula digunakan pada 1984 dengan berat pelancar 7.5kg manakala berat kebuk bersama peluru pula 4.5kg. AT4 pula merupakan sistem pelancar tembak buang, juga buatan Sweden dengan kaliber 84mm. 

Sistem pelancar ini paling banyak dibekalkan kepada anggota tentera dalam operasi di Afghanistan dan Iraq, sama seperti taktik yang digunakan semasa Perang Vietnam. 

Sistem tembak buang tetap memiliki kelebihan terutama daripada aspek beban kerana pelancar akan dibuang selepas diguna sekali gus mengurangkan beban infantri. 

Bagaimana pun, konflik di Afghanistan dan Iraq memperlihatkan pihak infantri perlu dibekalkan dengan satu sistem persenjataan yang menepati kesesuaian operasi insurgensi di sana iaitu ringan, bukan jenis pelancar tembak buang tetapi boleh diulang isi, pilihan pelbagai amunisi serta pada kos pengoperasian yang lebih menjimatkan. 

Carl Gustaf M3A1 turut menarik perhatian pihak Kor Marin AS apabila pada 2018 memutuskan memilih senjata. 

Ini kerana, sejak beberapa tahun lalu, kumpulan pemikir pasukan berkenaan mencadangkan kemestian membekalkan setiap seksyen atau skuad infantri Kor Marin AS dengan Carl Gustaf. 

Pasukan Kor Marin AS akan menerima persenjataan Carl Gustaf M3A1 ini bermula tahun hadapan secara berperingkat-peringkat manakala unit simpanan pula setahun kemudian dengan jangkaan kesemua batalion infantri siap dilengkapi senjata ini pada tahun 2025. 

Pengoperasian Carl Gustaf sudah pasti akan merubah corak pertempuran kor ini menjelang dekad akan datang.

Carl Gustaf juga boleh dikendalikan hanya seorang anggota sebagai pengisi peluru dan penembak.

Carl Gustaf M4

Versi terkini Carl Gustaf, iaitu M4 diperkenalkan pada 2014 dan sepertimana generasi terdahulu, reputasi senjata anti armor ini berjaya memikat penggunanya.

Seperti M3, versi ini kelihatan kompak, lebih fleksibel dan sangat menepati dengan keperluan operasi medan tempur hari ini.  

Ia dilengkapi dengan sistem pejera pintar seperti pejera optik berteknologi tinggi, laser penjejak sasaran dan optik pandang malam sebagai aksesori tambahan.

Carl Gustaf M4 masih sama dengan keistimewaan fungsinya ialah boleh menggunakan semua jenis amunisi 84mm, termasuk amunisi yang digunakan pada versi M2 dan M3. 

Kelebihan ini yang menjadikan Garl Gustaf sebagai senjata anti armor sangat fleksibel daripada aspek penggunan bahan letupan. 

Jarak berkesan senjata ini adalah antara 400m hingga 1,000 meter samada untuk memusnahkan kereta kebal, sasaran statik atau bunker bergantung pada jenis amunisi. 

Kementerai Pertahanan Denmark menjadi pengguna ke-15 serta terkini apabila memilih Garl Gustaf M4 untuk dilengkapkan pada tentera darat negara tersebut. 

Sistem persenjataan ini bakal diterima tahun ini di mana Denmark merupakan pengguna Carl Gustaf sejak lebih 40 tahun lalu. 

Estonia pada tahun 2020 pula dikatakan memesan 300 unit pelancar Carl Gustaf M4 manakala Latvia turut memperolehi senjata ini tetapi jumlahnya tidak dinyatakan.

Sistem Amunisi Panduan Laser

Menerusi kerjasama dengan firma Raytheon Technologies pula, Saab telah membangunkan sistem amunisi panduan laser dan telah lengkap diuji buat pertama kali pada 2019.  

Amunisi panduan laser ini adalah yang pertama seumpamanya bagi senjata anti armor tersebut, lantas meningkatkan lagi keupayaannya apabila menjadi pembunuh kereta kebal yang lebih praktikal. 

Penggunaan amunisi pintar ini telah menjadikan keupayaan pelancar Carl Gustaf yang asalnya menggunakan amunisi umpama sistem pelancar peluru berpandu.

Ini kerana amunisi pintar tersebut mempunyai kelajuan menghampiri supersonik serta boleh menembusi pelbagai jenis sasaran antaranya kubu, struktur yang diperkukuhkan dan kenderaan perisai. 

Ia mampu mengenai sasaran bergerak atau statik pada jarak sehingga 2,000 meter. 

Dengan kaedah operasi Carl Gustaf yang ditembak secara lancaran bahu, maka pengendalinya boleh berada pada jarak lebih dekat dengan sasaran lantas menambahkan lagi keberkesanan tembakan.

Pada tahun lalu, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) telah mengeluarkan iklan pembekalan dan penghantaran sebanyak 110 unit senjata anti armor berkaliber 84mm untuk keperluan TD. 

Walaupun jenis persenjataan tersebut tidak dinamakan, namun berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan dalam kontrak tersebut ia cenderung pada Carl Gustaf M4.

Menambahkan lagi keyakinan tersebut apabila turut dinyatakan sistem persenjataan berkenaan hendaklah boleh menggunakan pelbagai jenis amunisi 84mm menggunakan pelancar yang sama. 

Manakala sumber-sumber luaran pula mengandaikan pembekalan ini adalah bagi keperluan Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) 10 Briged Para dan juga Gerup Gerak Khas (GGK).

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.