Komuniti

KAMERA BADAN: SATU KEPERLUAN OPERASI MASA KINI

Kongsi di

Pada 9 Mei 2022 yang lalu, enam anggota trafik dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Seberang Perai dikenakan tindakan serta merta setelah mengasari seorang pesalah trafik. Anggota polis yang terlibat telah diarahkan untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran sementara siasatan dijalankan.

Berita seperti ini seringkali menghiasi akhbar dan juga tular di media sosial. Dengan jumlah kesalahan jalan raya dan kes jenayah yang meningkat, maka, suka atau tidak, anggota penguatkuasa khususnya anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu dilengkapi kamera badan sesuai dengan peredaran zaman. 

KAMERA BADAN

Kamera badan berfungsi sebagai alat perakam video yang dapat memberi bukti dan menjustifikasikan tindakan polis semasa bertugas. Kamera ini biasanya diletakkan di helmet anggota polis bermotosikal, di kenderaan, dan  boleh juga diletakkan di pakaian anggota yang bertugas. Di Amerika Syarikat khususnya, anggota polis sememangnya menggunakan kamera badan bagi penugasan harian.

Lazimnya, kamera badan mampu merakam sehingga 85 minit dengan ketajaman video sehingga 1080p. Ada juga kamera yang direka khusus untuk penguatkuasa atau anggota keselamatan yang  mampu merakam sehingga 6-12 jam dan videonya tidak boleh diedit.

JENIS KAMERA BADAN

Terdapat pelbagai jenis kamera yang terdapat di pasaran. Kamera ini juga boleh didapati secara mudah melalui pembelian online seperti platform Shopee dan Lazada. Pasaran yang meluas menyebabkan kamera sebegini bukan sahaja boleh dimiliki oleh anggota tentera dan polis malah orang awam juga. Harga yang murah dari puluhan ringgit sehingga mencecah ribuan ringgit juga turut menyumbang kepada faktor ini. Antara kamera badan yang sering digunakan ialah

KAMERA BADAN (BODY CAMERA)

Kamera sebegini lazimnya diletakkan di vest baju kalis peluru atau uniform anggota polis. Pelbagai jenama yang boleh didapati namun jenama yang popular ialah Axon Enterprise Inc (Sebelum ini dikenali sebagai Taser International Inc). Kamera ini mempunyai klip untuk diletakkan di baju dan kebiasaannya digunakan oleh anggota polis, pengawal keselamatan dan ahli perniagaan semasa mesyuarat.

KAMERA AKSI (ACTION CAMERA)

Action camera pula sejenis kamera yang boleh dipasang pada helmet, motosikal dan juga kereta. Kamera jenis ini direka khusus untuk penggunaan lasak sama ada dalam ketenteraan, penguatkuasaan undang-undang, hiburan, sukan, rekreasi dan sebagainya. Dengan dilengkapi pelindung kedap air, kamera ini juga boleh merakam di dalam air sehingga kedalaman 30 meter. Antara jenama yang popular ialah GoPro, Eken, SJcam dan Insta360.

KEPENTINGAN KAMERA BADAN

Umum mengetahui bahawa banyak kes jenayah yang berlaku melibatkan kejadian tembak menembak antara pihak polis dengan penjenayah telah mencetuskan banyak kontroversi. Apatah lagi dengan tuduhan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang selalu mempertikaikan tindakan PDRM menembak mati penjenayah.

Istilah trigger happy atau suka-suka tembak bukanlah satu istilah yang asing di negara ini. Apa yang menghairankan, NGO-NGO tertentu hanya mempertikaikan penjenayah yang mati ditembak namun jika anggota polis dan orang awam yang menjadi mangsa, mereka diam seribu bahasa.

Jelaslah disini bahawa penggunaan kamera badan oleh PDRM amatlah penting sama seperti pentingnya negara ini mempunyai jumlah pesawat pejuang yang mencukupi untuk mengekalkan kedaulatan negara.

Menurut penyelidikan yang dijalankan  oleh institut Cato, sebuah organisasi pemikir yang beribu pejabat di Washingthon DC, Amerika Syarikat, penggunaan kamera badan disokong oleh 89% warga AS. Kajian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat lima kebaikan anggota polis  dilengkapi kamera  semasa bertugas.

Meningkatkan keselamatan anggota polis

Penggunaan kamera dapat meningkatkan keselamatan anggota polis. Hal ini berlaku apabila suspek penjenayah lazimnya akan bersifat agresif apabila dihampiri oleh polis. Apabila mengetahui yang insiden tersebut dirakam oleh kamera badan, suspek berkemungkinan berfikir yang kamera  boleh menjadi bahan bukti yang kukuh di mahkamah atau bimbang video rakaman akan tersebar di media sosial dan dia akan dikenali oleh ramai orang, maka suspek lebih cenderung untuk bekerjasama dengan anggota polis.

Kamera badan meningkatkan integriti polis

Dengan pelbagai tuduhan keganasan dan kes rasuah terhadap anggota polis, maka kamera merupakan satu alat yang berkesan untuk membasmi perbuatan tersebut. Setiap gerak geri anggota polis diperhatikan dan dirakam. Maka, anggota polis terhalang untuk melakukan tindakan kekerasan berlebihan dan juga aktiviti rasuah. Penggunaaan kamera juga dapat merapatkan lagi hubungan komuniti antara pihak polis dengan masyarakat.

Kamera sebagai alat untuk latihan

Insiden jenayah yang dirakam oleh kamera badan boleh menjadi alat mengajar yang sangat bagus. Rekrut boleh melihat tindakan anggota polis  yang dilakukan adalah salah atau betul.  Dengan ini, rekrut lebih bersedia untuk menghadapi perkara yang sama di jalanan. Audio yang didengari rekrut menjadi nilai tambah untuk latihan.

Mengurangkan aduan awam

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Las Vegas (UNLV)  mendapati bahawa pemakaian kamera badan mengurangkan aduan orang awam mengenai tindakan polis sebanyak 30%. Setiap tahun di AS, seramai 8,500 orang anggota polis disiasat kerana salah laku semasa bertugas. 

Mengurangkan jumlah kertas kerja

Anggota polis tidak perlu lagi mengisi borang yang panjang berjela sebaliknya hanya mengepilkan gambar atau video yang berkaitan dengan kes jenayah dalam email. Hal ini mengurangkan masa di pejabat dan anggota polis dapat menumpukan masa di jalanan untuk membanteras jenayah.

APLIKASI KAMERA BADAN DALAM ASPEK KETENTERAAN 

Berbanding dengan tugas penguatkuasaan undang-undang, kegunaan kamera badan dalam angkatan tentera banyak bezanya. Memandangkan angkatan tentera lebih menumpukan kepada kerahsiaan operasi, maka rakaman video yang dibuat lebih kepada pemantauan, operasi khas, pengumpulan maklumat risikan dan sebagainya. 

  • Penggunaan kamera oleh angkatan tentera untuk pemantauan bertujuan merekod sebarang aktiviti yang mencurigakan contohnya di sempadan negara. Video siaran langsung yang dipancarkan terus ke markas taktikal membantu memberikan arahan selanjutnya kepada anggota tentera di lapangan. 
  • Untuk operasi khas, kamera yang dipancarkan secara siaran langsung membantu pihak atasan tentera mengenalpasti ketua pengganas yang  ditangkap sebagai contoh. Anggota komando yang dilengkapkan dengan kamera juga akan menggeledah tempat persembunyian pengganas dan merekod segala bahan bukti dengan kamera badan mengenai aktiviti keganasan. 
  • Maklumat aktiviti pengganas yang dirakam akan disalurkan kepada pihak perisikan untuk menilai serta mengetahui tindak tanduk pengganas dan mematahkan sebarang cubaan jahat serangan yang bakal dilakukan. 
  • Kamera yang merakam juga boleh menjadi alat untuk latihan dan proses taklimat balas. Hal ini penting untuk mengetahui tindakan yang dilakukan di lapangan boleh menjadi contoh kepada anggota tentera yang lain atau sebagai peringatan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama semasa operasi. 
  • Kamera badan juga boleh berfungsi sebagai alat menaikkan moral anggota dan orang awam. Penggunaan kamera badan yang menunjukkan apa yang pihak tentera lakukan semasa bertugas dan diselangi dengan muzik yang menaikkan semangat, maka ia dapat membantu tentera dan orang awam khususnya sebagai alat untuk perang saraf.
  • Di pihak orang awam pula, video yang dirakam oleh kamera badan menunjukkan kehebatan tentera membuatkan orang muda tertarik untuk menyertai tentera dan berkhidmat kepada negara. 

PDRM DAN KAMERA BADAN – DI MANA HASILNYA? 

Pada November 2020, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan bahawa perolehan kamera badan untuk PDRM sebanyak 2,168 kamera jenis 4G. Kamera ini dijangkakan akan digunakan pada tahun 2021. Manakala  pada majlis perbarisan Hari Ulang Tahun PDRM Ke-214, sebanyak RM30 juta telah diluluskan untuk peruntukan kamera badan. Hal ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Menurut Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim, pembelian sebanyak 2,000 unit kamera mendapat maklum balas positif daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jawatankuasa Teknikal akan menilai proses perolehan ini sebelum dipilih oleh Lembaga Perolehan Tender di KDN. Hal ini bagi mengeluarkan surat setuju terima kepada syarikat yang terpilih.

Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan untuk proses perolehan kamera badan untuk PDRM. Memandangkan status perolehan ini tidak diketahui hasilnya, ramai anggota trafik dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang menggunakan inisiatif sendiri dengan membelanjakan duit poket mereka untuk membeli kamera daripada jenis action camera.

Tindakan anggota sebegini perlu diberikan pujian oleh orang atasan kerana sekurang-kurangnya mereka dapat menangkis tohmahan negatif oleh masyarakat dan netizen ketika bertugas. Farhan Zainal, Hafifi Kadray, AkmalHakimRoseli, Gerak42Selangor, Rusydi Rohim, dan Mohd Jahari Awang adalah antara Youtuber anggota trafik PDRM yang menggunakan GoPro dan Insta360 semasa bertugas.

Insta360 sebagai contoh mampu merakam video melalui pandangan 360 darjah dan ketajaman video sebanyak 4K. Dengan ciri-ciri yang ada pada kamera ini, sebarang pertembungan antara anggota polis tersebut dengan penjenayah akan memudahkan lagi kerja polis.

Hal ini demikian kerana sekiranya penjenayah tersebut berjaya melarikan diri, nombor plat kenderaan, jenis, dan warna kenderaan akan jelas terpampang dalam video dan memudahkan pengesanan penjenayah di lokasi lain. 

KAMERA JENIS BODYCAM UNTUK POLIS BANTUAN DAN GOPRO MAX 360 UNTUK ANGGOTA JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)

Pada tahun 2018, Auxiliary Force Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Yitu Technology, sebuah syarikat dari China yang mempunyai kepakaran dalam pengesanan wajah penjenayah melalui bodycam. Anggota polis bantuan akan dilengkapi dengan kamera sebegini untuk memudahkan tugasan harian khususnya  rondaan dan pencegahan jenayah.

Pada April yang lalu, sumber BERNAMA melaporkan bahawa anggota JPJ akan dilengkapi kamera jenis GoPro Max 360. Kamera ini mampu merakam imej pesalah trafik dan akan digunakan oleh Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB).  RM300,000 diperuntukkan bagi pembelian kamera sebanyak 128 unit yang diedarkan ke JPJ di seluruh negara.

Diharapkan agar anggota MPV, JSPT dan URB yang bertindak sebagai first responder dalam kes jenayah serta kecemasan turut dilengkapi kamera jenis yang sama. Bodycam yang mempunyai kemampuan mengenalpasti penjenayahdan GoPro Max 360 yang boleh merakam video dengan sudut 360 darjah ialah satu alat yang sangat kritikal dalam konteks penguatkuasaan undang-undang.

KESIMPULAN

PDRM pada dekad 2020-an ini perlu maju seiring dengan peredaran zaman. Dengan kepesatan teknologi pada masa kini, segala usaha dan kelengkapan yang pada zahirnya dilihat asas tetapi mampu untuk menumpaskan penjenayah serta memberi imej yang positif kepada masyarakat perlulah diambil perhatian.

Jangan kerana ingin menjimatkan bajet, maka keselamatan awam dikorbankan. Lebih teruk lagi jika berlaku kematian dan korban dalam kalangan anggota polis, dan si pelaku terlepas disebabkan kekurangan bahan bukti. 

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.