AcaraBeritaEksklusifKomunitiSejarah

Dimensi Baharu FRU Sebagai Pasukan Pelbagai Peranan

Kongsi di

Tertubuhnya Pasukan Cegah Rusuhan

Penampilan dengan seragam biru memakai beret merah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja merasa gerun sekiranya melihat kehadiran anggota pasukan berkenaan berada di tempat awam.

Nama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) mungkin kedengaran asing, sebaliknya apabila disebut FRU (Federal Reserve Unit) maka ramai yang buka mata.

FRU sebagai salah satu cabang ketumbukan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan unit berkemahiran khusus dan diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sama sepertimana Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin.

Penubuhan pasukan ini bertitik tolak daripada situasi negara yang ketika itu masih dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu semasa era 1950-an kerap berhadapan dengan insiden mogok, perarakan dan rusuhan.

Ancaman dan pengaruh gerakan-gerakan subversif dalam pertubuhan dan kesatuan sekerja yang kebanyakannya didalangi elemen Parti Komunis Malaya (PKM) sering menimbulkan kekacauan.

Ketiadaan pasukan pencegah rusuhan yang tersusun dan sempurna untuk menangani insiden berkenaan ketika itu menyaksikan FRU ditubuhkan pada Disember 1955 untuk menangani situasi ketenteraman awam.

Awal permulaannya, kumpulan perintis melibatkan seorang inspektor, sarjan mejar dan lima sarjan dihantar mengikuti kursus cegah rusuhan di Police Training Centre Mount Vernon, Singapura.

Sekembalinya mereka ke ke tanah air, kumpulan ini telah melatih pelatih-pelatih baharu polis bagi melaksanakan penubuhan FRU di Kuala Lumpur.

Ringkasnya, peranan FRU adalah khusus untuk menyuraikan perhimpunan haram, penumpasan rusuhan dan tugas-tugas lain berkaitan ketenteraman awam.

Unit Simpanan Membantu Ketenteraman Awam

Sesuai dengan fungsinya, unit-unit FRU bersifat mobil dan boleh diaturgerak dengan segera ke sesuatu lokasi yang berhadapan ancaman dan menjadi unit simpanan ketenteraman awam. Unit ini juga boleh ditugaskan untuk membantu Ketua Polis Daerah, Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas bagi tugas-tugas pencegahan jenayah.

Ini termasuklah bantuan semasa bencana untuk menyelamatkan nyawa, memindahkan penduduk, mengepong kawasan dan mencegah rompakan. Tugasan lain seperti melakukan kepungan dan pemeriksaan, rondaan intensif dan lain-lain

FRU telah melalui proses tranformasi serta pembesaran dari masa ke semasa, dan ketika ini ia mempunyai tujuh buah unit dengan keanggotaan kira-kira 2,500 pegawai dan anggota diketuai SAC Mohd. Said Ibrahim sebagai Komander, manakala Timbalan Komandernya ialah Asisten Komisioner (ACP) Rosman Kasman.

Unit-unit FRU ditempatkan secara strategik di beberapa kawasan bandar utama di seluruh negara iaitu unit 1 dan 4 PSP di Kuala Lumpur, 2 PSP  di Johor Bahru, Johor, 3 PSP di Pulau Pinang, 5 PSP di Ipoh, Perak, 6 PSP di Kuala Terengganu, Terengganu dan 7 PSP di Seremban, Negeri Sembilan.

Manakala Unit Berkuda di Kuala Lumpur dan Terup Wanita PSP pula di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Setiap unit FRU mengandungi tiga terup selain mempunyai unit water canon (meriam air) dengan sebuah Pusat Latihan FRU yang terletak di Sungai Senam, Ipoh, Perak.

Seperti lain-lain pasukan dalam PDRM, pegawai dan anggota FRU juga turut dipilih untuk mengikuti misi dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti tugas pasukan pencegah rusuhan di Timor Leste.

Pasukan ini ditugaskan untuk mengawal rusuhan dan ketenteraman awam di sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan.

Transformasi FRU

Tugas membantu pihak berkuasa semasa aman oleh FRU bukan baharu, cuma penonjolan penugasan tersebut kurang diketahui umum selain tiada liputan media berbanding unit-unit polis yang lebih khusus.

Misalnya, semasa insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2008, FRU bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia ditugaskan menjaga keselamatan kawasan tersebut.

Bagaimanapun, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dua tahun lalu, pasukan FRU turut sama menonjol apabila tidak ketinggalan memainkan peranan sama bagi membantu polis negeri dan daerah.

Antaranya di Lembah Klang apabila seramai 84 anggota FRU membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya buat pertama kali dalam sekatan jalan bagi merancakkan lagi penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR).

Selain tugasan SJR, anggota FRU di negeri-negeri turut dihantar melaksanakan rondaan berkenderaan, pemantauan di lokasi awam dan mengadakan pemeriksaan premis perniagaan bagi menguatkuasakan arahan kerajaan.

Unit Berkuda FRU semasa menjalankan rondaan di sempadan Malaysia – Thailand bersama anggota PGA.

Membantu Mangsa Banjir

Semasa peristiwa banjir besar yang melanda Selangor pada Disember tahun lalu pula, FRU benar-benar diperanankan apabila pasukan ini mengatur gerak aset terpenting yang dimiliki iaitu kenderaan meriam air untuk melakukan pembersihan.

Jentera meriam air yang sinonim dengan tugasan untuk meleraikan rusuhan kali ini digunakan FRU untuk kerja-kerja membersihkan sisa lumpur yang menyelaputi rumah penduduk di kawasan Sungai Lui dekat Hulu Langat.

Sebenarnya, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk menggerakkan aset yang ada dalam usaha membantu mangsa banjir.

Beliau mahu ketika bencana seperti ini, FRU gerakkan bersama aset dan tenaga untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Penggunaan meriam air juga mempercepatkan kerja-kerja membersihkan bangunan masjid, sekolah dan rumah yang dipenuhi lumpur tebal.

Selain itu, berpegang kepada prinsip ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’, pihak FRU turut membantu menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di kawasan perkampungan Orang Asli di mana jalan keluar masuk ke lokasi tersebut sukar dilalui.

Turut diperanankan ialah penempatan Unit Berkuda FRU bagi membantu penugasan di kawasan sempadan Malaysia – Thailand di Padang Besar, Perlis dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Peranan Unit Berkuda adalah sebagai elemen sokongan khususnya di kawasan yang sukar dilalui kenderaan tetapi mudah bagi kuda seperti di jalan-jalan keselamatan yang mempunyai kawasan lapang.

Anggota FRU bersama jurulatih PULAMAR semasa mengikuti kursus asas menyelam di Pangkalan Marin Kampung Acheh Sitiawan

Kumpulan Rintis Penyelam FRU

Visi FRU ialah untuk menjadikan ia sebagai sebuah pasukan simpanan Ketua Polis Negara yang lebih mantap dalam menangani sebarang masalah-masalah ketenteraman awam.

Bagi Misi pula ialah hendak memperluaskan aspek latihan yang merangkumi perkembangan dan peringkat daya fizikal anggota serta pelbagai taktik dan gerak tindak. Melengkapi hasrat ini FRU mestilah memperkemas dan meningkatkan tahap kelengkapan peralatan pasukan.

Atas sebab itu, kepimpinan FRU mula merangka pelan untuk menjadikan pasukan ini sebagai ketumbukan serba boleh dalam aspek kepolisan dan juga kemahiran luar selain kecekapan sebagai unit cegah rusuhan.

Peranan pelbagai kemahiran atau multi tasking termasuk menjadikan FRU sebagai sebuah pasukan yang mahir dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ini penting untuk FRU berganding dengan agensi-agensi penyelamat lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memastikan keadaan keselamatan di negara ini.

Sehubungan itu, pada Jun lalu buat julung-julung kalinya pasukan ini telah menjalankan

Kursus Asas Selam PSP Siri 1/2022 selama sebulan dengan kerjasama penuh daripada pihak Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (PULAMAR).

Calon-calon awal telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik oleh Doktor Pakar Selam, Hospital Angkatan Tentera (HAT), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.

Pengesahan daripada doktor pakar selam ini adalah diwajibkan kepada semua calon untuk memastikan sama ada mereka layak atau tidak untuk menjadi seorang penyelam.

Kursus ini melibatkan seramai 22 orang peserta dan 15 daripadanya adalah pegawai kanan dan pegawai rendah PSP, lima orang dari PPM dan dua dari Cawangan Pengiring Istana Johor.

Kesemua pelatih kemudian dipakaikan lencana penyelaman PDRM menunjukkan mereka sebagai anggota penyelam terlatih.

Kursus asas menyelam memberi kemahiran baharu kepada warga FRU untuk menjadi pasukan pelbagai peranan dan tidak terhad dalam tugas mencegah rusuhan.

Kursus Asas Selam

Kursus asas selam merupakan kursus  menawarkan pengetahuan secara asas kepada anggota-anggota FRU yang berminat supaya mempunyai kemahiran untuk terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penyelamatan mangsa di air.

Banyak risiko dan kemalangan yang berlaku melibatkan mangsa lemas di sungai, tasik dan tempat-tempat perkelahan seperti air terjun dan pantai. 

Justeru itu, kursus asas selam ini penting untuk diberi pendedahan kepada anggota FRU apabila khidmat mereka diperlukan bagi menjalankan tugas penyelamatan termasuk membantu agensi-agensi berkaitan.

Objektif mengadakan kursus ini juga sebagai pendedahan kepada anggota-anggota yang berminat, memberi pengetahuan secara asas yang berguna kepada anggota dalam menjalankan latihan atau operasi menyelamat di air.

Ia juga bagi memastikan segala latihan dan tindakan yang dijalankan sebelum, semasa dan selepas aktiviti menyelamat di air di laksanakan secara betul dan selamat mengikut prosedur yang telah ditetapkan agar dapat mengelakkan risiko.  

Dengan latihan ekstensif daripada jurulatih mahir PULAMAR, kursus ini bakal melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai pengetahuan secara asas dalam bidang penyelamatan di air.

Ini penting termasuk menitikberatkan aspek-aspek keselamatan dalam menjalankan kerja-kerja operasi penyelamat di air.

Objektif jangka panjang kepimpinan FRU pula ialah bagi memberi menonjolkan keterampilan pegawai dan anggota pasukan yang tidak lagi dikenali semata-mata dengan baton dan perisai di tangan, sebaliknya boleh berfungsi untuk tugas-tugas menyelamat di air semasa diperlukan.

Ini termasuk dalam tugas-tugas menyelamat misalnya di hutan, paya, gunung dan bangunan-bangunan besar. Maka, latihan sewajarnya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab apabila diperlukan.

SAC Mohd. Said Ibrahim memakaikan beret merah kepada anggota baharu FRU.

Generasi Baharu FRU

Sepertimana lain-lain pasukan dalam PDRM, begitu juga FRU turut berhadapan dengan proses penggantian pegawai dan anggota melalui penyertaan orang-orang baharu. 

Terbaru, FRU telah menerima seramai 255 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (konstabel lelaki) dan 23 pelatih konstabel wanita daripada pusat latihan seluruh Malaysia.

Seramai 52 pelatih lelaki telah ditempatkan di Unit 4 PSP Kuala Lumpur manakala 23 pelatih wanita pada Terup Wanita PSP Kuala Lumpur.

Kursus induksi ini yang julung-julung kali diadakan di PSP Kuala Lumpur selama dua minggu bermula 7 Jun. Ia sebagai pendedahan awal kepada semua peserta kursus tentang penugasan PSP serta memberi ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran tugas masa kini.

Terbaru pada 7 Julai lalu, FRU turut menghantar pasukan menyertai Pertandingan Persahabatan Mara Lasak KDNKA 2022 di Markas PGA Ulu Kinta, Perak.

Aksi tiga penjuru itu melibatkan pasukan 69 Komando PDRM, Batalion 1 PGA dan FRU pada jarak sejauh 20 kilometer dengan membawa senjata api M16 dan bebanan pasir 11 kilogram.

Keputusan pertandingan ini menyaksikan 69 Komando mencatat masa 2 jam 55 minit, FRU 3 jam 6 minit dan Bn 1 PGA 3 jam 7 minit. Bukan kalah menang yang menjadi ukuran, tetapi semangat berpasukan selain menguji kecergasan yang menjadi asas sebagai warga polis.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.